Rate

KETIGA

Other Completed 779

“Enta tahu berapa orang yang menziarahi ana sewaktu ana terlantar dulu yang telah mati?” tanya ulama yang sangat saya segani itu.
“Sewaktu tu ana terbaring tidak dapat bergerak dan bercakap. Tapi ana masih kenal orang-orang yang datang ziarah ana. Ramai anak murid yang ziarah dan mendoakan ana. Sewaktu tu harapan ana untuk pulih hanya 50-50. Dalam ramai-ramai anak murid tu ada yang menangis sambil berdoa minta kepada Allah untuk menyembuhkan ana…”
“Alhamdulillah, makbul doa mereka tu. Sekarang ustaz dah sembuh,” ujar saya.
“Alhamdulillah dan innalillah.”
Kenapa innalillah, gumam saya dalam hati?

“Alhamdulilllah sebab Allah sembuhkan ana. Innalillah sebab ada di antara yang mendoakan ana itu telah meninggal dunia,” jawab ulama itu seperti dapat meneka pertanyaan hati saya.
“Ajaib benar kematian ini. Orang sakit yang dirasakan akan mati hidup, orang sihat yang mendoakannya pula yang mati. Bukan seorang, tetapi ana kira sepanjang tempoh enam bulan ana terlantar hingga kini sudah 8 orang yang menziarahi ana dahulu telah meninggal dunia!”
“Apa yang kau menungkan?”
Tiba-tiba kawan saya memutuskan lamunan panjang saya. Dia memandu perlahan sahaja. Mungkin dia juga sedang melayan lamunannya.

“Saya tertanya-tanya bila pula agaknya giliran kita?”
“Apakah datang dengan tiba-tiba atau sudah dijangka?”
“Itu tidak penting. Yang penting apakah kita diambil semasa dalam ketaatan atau kejahatan?”
“Alhamdulillah, sahabat kita meninggal semasa melaksanakan aktiviti kebaikan.”
“Kau tahu, saya ada cerita tentang kematian yang sangat menakjubkan. Malah menimbulkan cemburu di hati,” tambah saya.
“Cerita benar?”
“Baru berlaku dua bulan yang lepas…”

Saya mula bercerita tentang seorang lelaki abang kepada kawan isteri saya yang telah meninggal dunia dua bulan lalu. Allahyarham meninggal sewaktu mengerjakan solat Asar berjemaah di dalam masjid.
“Alhamdulilah masih ada kematian yang semacam itu pada zaman ini,” ulas sahabat saya selepas mendengar cerita saya.
“Cara mati kita ditentukan oleh cara hidup kita,” pintas saya perlahan.
“Macam pernah dengar sahaja ungkapan tu.”

“Itu kata-kata Imam Ghazali,” kata saya mengingatkan.
“Saya agak terlupa akan maksudnya.”
“Kau tahu mengapa agaknya Allahyarham meninggal dalam keadaan yang sebaik itu?”tanya saya. Saya pun bercerita lagi. Menurut kawan isteri saya itu abangnya memang orang yang istiqamah solat berjemaah di masjid setiap waktu. Kerja kampung seperti ambil upah menebas, membersihkan kebun di samping berniaga secara kecil-kecilan membolehkan Allahyarham mengatur jadual hidupnya sendiri. Ya, hanya orang yang sering ke masjid yang “terpilih” mati di sana. Dan orang yang konsisten solat sahaja yang besar kemungkinan mati dalam keadaan bersolat. Siapa yang hidup secara baik akan mati baik. Insya-Allah.

“Soal mati lambat atau cepat sekarang tidak penting lagi. Tetapi apakah kita mati dalam keadaan baik atau sebaliknya, itu lebih utama.”
“Ada yang lebih utama daripada itu… yakni menentukan cara hidup yang baik! Sebab cara hidup yang baik akan menentukan cara mati yang baik, ” saya mengingatkan.
“Bolehkah kita mati dalam keadaan lidah dan hati kita mengingati Allah?”
Kali ini dia pula yang mengalih arah perbualan.
“Bergantung pada keadaan kita semasa hidup. Jika kita selalu berzikir dan mengingati Allah semasa hidup, insya-Allah semasa hampir kematian, Allah jugalah yang akan sentiasa di hati dan di bibir kita.”

“Saya teringat satu analogi yang pernah diberikan oleh sekumpulan pendakwah ketika masih di kampus dulu. Kata mereka, jika lori berisi pasir berlanggar, yang akan terkeluar dan berselerak ialah pasir. Sebaliknya jika lori sampah, sampahlah yang akan bertabur dan tersembur ke luar.”
“Maksudnya?”
Kali ini saya pula yang menagih penjelasan daripadanya.
“Samalah seperti manusia. Manusia yang lidah, hati dan dirinya sentiasa penuh dengan zikirullah, maka kalimah zikir itulah yang akan terluncur keluar bila tiba saat kematiannya. Sebaliknya jika perkara-perkara kotor yang ada dalam dirinya, maka perkara itulah yang akan tersembur keluar di saat kematiannya. Tak kanlah lori sampah akan mengeluarkan pasir apabila berlanggar?”
“Cantik dan tepat sekali analogi itu.”

“Kita berhenti makan sedikit, ok?” ajak sahabat saya sambil membelok ke tepi jalan. Sebuah warung sederhana di tepi desa itu menjadi persinggahan kami. Memang agak lapar juga rasanya. Sejak awal pagi (sewaktu mendengar berita kematian) hingga jam 5 petang waktu itu kami tidak menjamah apa-apa. Hampir terlupa makan dek rasa terkejut tentang kematian yang itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience