Rate

BAB 2

Drama Completed 430

Tanpa ditanya lagi, Mak Elah terus menyambung bila melihat Syamsul menekur lantai kebodoh-bodohan, “Ibu kau bela kucing. Lihat tu, kucingnya di atas sofa dekat TV. Bila mak kau kena demensia dan dijaga oleh rumah penjagaan untuk pesakit-pesakit demensia, mak cik ambil dan membelanya. Tahukah kau kucing yang mak kau kutip di longkang dulu itu, pandai mengiau, memanggil mak kau ‘mama’?”

Ya Allah. Pada tahap itu Syamsul merasakan Mak Elah seperti mentertawakannya penuh serius. Manakan tidak? Kerana kucing jalanan berwarna kelabu lebih berguna mengusir kesepian seorang ibu tua daripada anak dari darah daging sendiri yang hanya pandai merengkuk di penjara LA selama 10 tahun.

Huhhh!

Syamsul mengeluh panjang. Sepuluh tahun bukan satu tempoh waktu yang singkat. Dalam 10 tahun banyak perkara yang baik-baik dan mulus-mulus boleh dilakukan. Lebih-lebih lagi menabur budi dan bakti kepada orang tua sendiri.

Kini Syamsul seperti mendapat tenaga baru. Dia menyeka air matanya yang laju membasahi pipi. Jauh di dasar hatinya yang amat terusik, dia bertekad bulat, “Aku akan menemui ibu di rumah kebajikan itu. Akan aku dekatinya sepanjang masa. Walaupun ibu tak lagi kenal aku kerana demensia, aku akan sujud di kakinya. Meminta ampun. Akan kukucupnya. Akan aku dakapnya sepuas-puasnya.”
Syamsul sudah melewati tangga-tangga dan kolong flat. Pantas berjalan ke arah pinggir jalan. Menahan teksi untuk membawa dia ke rumah kebajikan yang dimaksudkan Mak Eton.

Dalam teksi, Syamsul dapat melihat bangunan-bangunan pencakar langit yang tersergam indah dan gah serta pokok-pokok yang menghiasi jalan seperti berlari-lari ke belakang. Sekali gus mengingatkan dia untuk berlari juga meninggalkan kisah silam yang pahit.

Ibuuu!

Saya datang!

Anak ibu sudah pulang!

Kini, ibunya bagaikan datang merapat ke ruang matanya dalam teksi yang dipandu lelaki Cina. Ibunya pernah berpesan, “Syamsul, ibu dan ayah sudah tua. Entah bila akan dipanggil Allah. Ibu cuma ada satu pesan. Biar sesat jalan, jangan hilang. Kalau sesat, boleh kembali ke pangkal jalan. Sesat boleh berubah menjadi baik. Sesat boleh insaf dan bertaubat. Tanyalah mereka yang sesat jalan. Sesat akidah. Tapi kalau dah hilang sesuatu yag berharga dan bermakna, sukar hendak ditemui. Atau dipulih. Sukakah kau kalau hilang kuasa? Hilang arah? Hilang iman? Hilang ingatan?”

Bercakap tentang hilang ingatan, Syamsul kembali gundah. Ibunya yang menghidapi demensia sukar untuk dipulihkan dan dia menjadi semakin pilu.

Kepiluan itu bagaikan sampai di puncak apabila sampai saja di katil di mana ibunya sedang bangun duduk, Syamsul seperti mahu menjerit keterharuan. Lupa sekejap untuk melutut dan bersujud di kaki ibunya yang kelihatan lebih tua daripada usianya yang mencecah 75 tahun. Rambutnya kusut dan wajahnya yang layu dan kering berkedut. Matanya terperosok ke dalam. Mulutnya ternganga luas menampakkan gusi yang bergigi tak seberapa. Pipinya yang cengkung dan tubuhnya yang kurus benar-benar memancing simpati. Lupa sekejap meminta maaf. Lupa sekejap untuk mengucup dahi ibu dan lupa sekejap untuk mendakap erat-erat melepas rindu.

“Beginilah dia selalu, Encik Syamsul,” ujar pekerja wanita 30 tahun, 25 tahun lebih muda daripada Syamsul. “Ibu encik suka bermain-main dengan anak patung. Dia amat sayang dan rindukan anak patung itu.”

Syamsul terasa terpukul, seolah-olah kini giliran pekerja wanita itu pula untuk mentertawakannya penuh sinis. Perlahan-lahan dia mendekati ibunya. Ibunya tak mengendahkannya. Tak kenal dia siapa. Dia hanya kenal si anak patung dan terus didakapnya erat-erat. Dalam hati Syamsul, dia merasakan anak patung itu adalah dia sendiri. Dia memanggil ibunya. Tapi ibunya memandang kosong kepadanya, seolah-olah memberitahunya dia tidak kenal langsung. Pada tahap itu, dia memang seberani angan-angan ketika dalam teksi tadi. Dia bersujud di kaki ibu dan pekerja wanita menyaksikan bahunya terenjut-enjut hebat. Hebat sekali. Dan wanita gebu bangsa India itu turut sekaki. Tanda dia amat mengerti, walaupun si ibu tua tidak mengerti apa-apa, ada seorang puteranya bergelar anak bersujud dan mengucup kakinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience