BAB 1

Mystery Series 22

Hujan turun dari langit seolah-olah sebuah empangan gergasi baru sahaja pecah.

Malam itu, Kuala Lumpur tenggelam dalam biasan lampu jalan yang berkaca di atas tar basah. Tayar kenderaan membelah lopak, menghasilkan simfoni percikan air yang bersahutan. Di kejauhan, siren polis mula meraung, mula-mula sayup, kemudian membedah keheningan malam, bersatu dengan bunyi hon dan deru enjin yang tidak pernah lelah.

Nadya Zafirah berdiri kaku di bawah unjuran bumbung sebuah kedai serbaneka yang sudah lama mengunci pintu. Sebelah tangannya menggenggam telefon pintar, manakala sebelah lagi kemas memegang kamera kompak; nyawa kedua yang hampir tidak pernah berpisah dari sisinya.

Di skrin telefon, nama 'Farid Editor' berkelip-kelip.

Nadya menarik nafas dalam, memerangkap udara lembap ke paru-paru sebelum menekan punat hijau.

"Ya?"

"Nadya, kau di mana?" Suara Farid kedengaran tercabut-cabut, cemas.

"Jalan Raja Laut. Kenapa?"

"Gerak ke Hotel Seri Bayang. Sekarang!"

Nadya mengerutkan dahi. Di hadapannya, lampu isyarat bertukar merah, memantulkan warna merah di atas permukaan jalan yang licin.

"Seri Bayang? Hotel usang tu?"

"Ya. Ada mayat."

Nadya terdiam. Sebagai wartawan jenayah, kematian adalah 'makanan' hariannya. Mayat di celah longkang, mayat di bilik sewa yang berbau, atau mayat tanpa identiti yang kaku di dalam kereta, semuanya sudah lali. Kadangkala dia terfikir, manusia di kota ini tidak benar-benar mati; mereka hanya berubah wujud menjadi sebuah laporan berita.

Namun, getaran suara Farid kali ini berbeza. Ada nada yang tertahan.

"Kes apa?" tanya Nadya cuba mencari kepastian.

"Wanita. Bilik 306. Polis baru sahaja tiba. Aku dapat info daripada 'lubang' lama. Pergi sekarang sebelum media lain mula menghidu."

"Identiti mangsa?"

"Belum ada. Tapi Nadya..." Farid berjeda. Nadya merapatkan telefon ke telinga, menanti bicara yang tertunda.

"Kau kena tengok sendiri."

Talian mati.

Nadya terpaku seketika di tengah aroma hujan yang berbaur petrol dan simen basah. Ada sesuatu yang memberat di dadanya, bukan ketakutan, tetapi satu firasat yang tajam. Naluri kewartawanannya sudah cukup terlatih untuk membezakan antara kes rutin dengan kes yang bakal menghantuinya seumur hidup.

Malam itu, nalurinya berbisik: Jangan pergi.

Tetapi Nadya bukan wanita yang tunduk pada amaran. Dia menahan sebuah teksi, meluncur masuk ke tempat duduk belakang dan memberikan alamat dengan suara yang tekad. Di sepanjang perjalanan, dia hanya memerhatikan titisan hujan yang berlumba di cermin tingkap. Bayang wajahnya terpantul samar, rambut hitam yang diikat rendah, beberapa helaian basah melekat di pipi dan sepasang mata yang tampak letih namun tetap tajam. Mata seorang wanita yang sudah terlalu lama mengejar kebenaran sehingga terlupa bagaimana rasanya tidur dengan tenang.

Hotel Seri Bayang
Bangunan itu berdiri kusam di hujung lorong sempit, seolah-olah dihimpit oleh kedai pajak gadai dan blok pejabat yang terbiar. Papan tandanya malap. Huruf 'SERI' masih bertahan, namun 'BAYANG' berkelip-kelip, seakan-akan sedang bertarung dengan sakaratulmaut.

Dua buah kereta peronda sudah sedia terparkir dengan lampu biru-merah yang berpusing, menyimbah warna pada dinding bangunan yang berkulat.

Nadya melangkah laju, merapatkan jaketnya ke tubuh.

"Media dilarang masuk," halang seorang anggota polis muda dengan tangan yang mendepang.

Nadya pantas menunjukkan pas medianya.

"Nadya Zafirah. Suara Kota."

"Maaf cik, ini arahan..."

"Nadya?"

Satu suara garau memotong dari arah lobi. Seorang lelaki bertubuh tegap keluar, Inspektor Irfan. Dia berkemeja gelap dengan jaket kulit hitam yang membalut tubuh. Wajahnya tenang, tetapi matanya tidak mampu menipu. Nadya kenal renungan itu; mata yang melihat manusia sebagai cebisan bukti, bukan lagi sebagai nyawa.

"Cepat betul kau sampai," tegur Irfan tanpa senyum.

"Kerja saya memang mengejar masa sebelum berita menjadi basi."

"Ini bukan sekadar berita, Nadya."

"Semua perkara akan menjadi berita apabila ada pihak yang cuba menyembunyikannya."

Rahang Irfan bergerak-gerak, menahan geram. Mereka sering bertembung, namun hubungan itu tidak pernah melangkaui sempadan profesional yang dingin.

Irfan mendekat, suaranya jatuh ke nada berbisik.

"Siapa yang bagi maklumat?"

"Kalau saya jawab, saya bukan wartawan yang berintegriti."

"Kalau kau mengganggu tempat kejadian, kau akan jadi suspek, bukan lagi pemerhati."

Nadya mendongak, menentang mata lelaki itu.

"Saya cuma mahu melihat."

"Tak boleh."

"Kenapa?"

Irfan diam. Nadya perasan perubahan riak wajah itu. Diamnya Irfan bukan kerana protokol, tetapi kerana rasa sangsi. Ada sesuatu di dalam bilik 306 yang membuatkan pegawai berpengalaman itu goyah.

"Kenapa, Irfan?" ulang Nadya, kali ini lebih lembut.

Suasana lobi yang hapak dengan bau karpet lama dan asap rokok itu terasa semakin menyesakkan. Dari tingkat atas, kedengaran derap kaki pasukan forensik yang sibuk.

"Mangsa ditinggalkan dengan 'sesuatu'," jawab Irfan akhirnya.

"Apa dia?"

"Sebab itu kau tak patut masuk."

Belum sempat Nadya membantah, seorang anggota forensik meluru turun sambil membawa beg plastik bahan bukti. Dia berbisik sesuatu kepada Irfan. Nadya tidak mendengar keseluruhannya, tetapi satu perkataan berjaya menembus deru hujan di luar.

"...akhbar."

Darah Nadya seakan-akan berhenti mengalir. Akhbar?

Dia memandang Irfan. Kali ini, ketakutan yang cuba disembunyikan Irfan terlepas jua melalui pandangan matanya.

"Nadya, baliklah," arah Irfan, suaranya hampir menyeru.

Namun, segalanya sudah terlambat.

Melalui celah pintu tangga yang terbuka, Nadya terpandang lorong tingkat tiga yang malap. Di hujung koridor, pintu Bilik 306 ternganga sedikit, diselangi kilatan lampu kamera forensik. Dan di atas lantai, sebelum tubuh anggota polis menghalang pandangan, Nadya sempat melihat objek itu.

Sekeping kertas kekuningan.

Jantungnya berdegup kencang. Tubuhnya mengenali objek itu lebih pantas daripada akalnya. Nadya merempuh masuk melepasi garisan polis.

"Hei! Cik!"

Irfan sempat menyambar lengannya.

"Nadya! Jangan paksa aku gari kau!"

"Lepaskan aku!"

"Aku serius!"

"Aku lebih serius!"

Mereka bertatapan dalam ketegangan yang memuncak. Hujan di luar semakin menggila, memukul pintu kaca hotel. Tiba-tiba, satu suara menjerit dari tingkat atas.

"Inspektor! Ada mesej lain!"

Genggaman Irfan melonggar. Nadya tidak mensia-siakan peluang itu. Dia merentap lengannya dan memacu langkah mendaki tangga.

Tingkat tiga berbau hanyir yang pekat, bau darah yang cuba dilawan oleh aroma antiseptik forensik. Nadya terpaku di ambang pintu bilik 306.

Dia tidak melihat mangsa secara penuh, hanya sepasang kaki wanita yang pucat dan kaku di balik katil. Langsir bilik berkibar lemah, ditiup angin malam yang masuk melalui jendela yang terbuka.

Di dinding, ada contengan dakwat merah. Bukan darah, tetapi dakwat yang pekat. Hurufnya besar dan kasar, namun cukup untuk menghantar kedinginan ke tulang sumsum:

TULIS.

Pandangan Nadya beralih ke lantai, tepat di sisi tangan mangsa yang kaku. Di situ, terbaring sekeping keratan akhbar lama. Tepinya sudah reput kekuningan dengan bekas lipatan yang dalam. Di satu penjuru, ada tompokan dakwat merah yang masih basah.

Nadya sempat membaca tajuk yang dicetak tebal sebelum anggota forensik memasukkannya ke dalam beg plastik:

"GADIS HILANG DITEMUI MATI: POLIS TOLAK UNSUR JENAYAH"

Dan di bawah tajuk itu, nama penulisnya tertera jelas: Oleh: Nadya Zafirah.

Dunia sekeliling Nadya seakan-akan mengecil. Suara hiruk-pikuk polis kedengaran sayup-sayup, cahaya kamera menjadi kabur. Bau hanyir darah hilang, diganti dengan memori bau bilik lama dan bunga layu, bau malam yang tidak pernah benar-benar berakhir sembilan tahun lalu.

Itu adalah artikel pertamanya. Berita tentang Suraya, gadis yang ditemui mati di sebuah rumah kosong. Dia masih ingat wajah ibu Suraya yang hancur, masih ingat betapa yakinnya dia menulis ayat terakhir: "Kematian Suraya mungkin akan dilupakan oleh kota ini, tetapi tidak oleh mereka yang pernah menyayanginya."

Tetapi Suraya sudah lama bersemadi. Jadi, siapa wanita di bilik 306 ini? Dan mengapa pembunuh memetik kembali naskhah lamanya?

Irfan berdiri di belakangnya. Kali ini kemarahannya sudah padam, diganti dengan rasa simpati yang berat.

"Kau kenal benda ni?"

Nadya ingin menjawab, tetapi kerongkongannya terasa sebu. Tiba-tiba, telefon di dalam poketnya bergetar.

Sekali. Dua kali.

Dengan tangan yang menggigil, dia mengeluarkan telefon. Nombor tidak dikenali. Nadya menjawab panggilan itu, menjauhkan diri sedikit daripada keriuhan polis.

Hening. Hanya bunyi nafas yang teratur dan perlahan di hujung talian.

"Nadya..." suara itu berbisik. Begitu dekat, seolah-olah pemanggil itu berada tepat di belakang telinganya.

"Siapa ni?" suara Nadya bergetar.

Lelaki di hujung talian ketawa kecil—sebuah tawa yang kosong, tawa seorang pemangsa yang sudah lama menantikan saat ini.

"Kau masih tulis cerita orang mati?"

Nadya memerhati sekeliling dengan liar. Irfan sedang sibuk berbicara dengan pegawai lain, namun matanya tetap melirik ke arah Nadya.

"Siapa kau?!" Nadya mengulang, lebih keras.

"Aku pembaca pertama kau," bisik suara itu, lebih lembut namun lebih mengancam.

"Kau tulis cerita mereka. Sekarang..."

Dia berjeda seketika sebelum menyambung:

"...tulis cerita aku."

Talian diputuskan.

Nadya menurunkan telefon dengan tangan yang sejuk seperti ais. Dia menggenggam peranti itu sekuat hati sehingga buku jarinya memutih, tidak mahu sesiapa pun melihat ketakutannya.

Di sisi mayat, keratan akhbar itu kini dibawa pergi. Namun Nadya tahu, bukti paling nyata dalam bilik itu bukan pada kertas tersebut, tetapi pada namanya yang kini terpalit pada naskhah kematian seorang wanita asing.

Malam itu bukan lagi sekadar penugasan wartawan. Malam itu adalah satu jemputan ke dalam labirin gelap yang sudah lama tertutup.

Nadya tidak lagi pemerhati di luar garisan kuning. Kali ini, dia adalah watak utama dalam naskhah berdarah ini.

Nadya tidak pulang selepas meninggalkan perimeter Hotel Seri Bayang.

Dia tahu dia sepatutnya pulang. Sekurang-kurangnya untuk mandi, menukar pakaian yang lencun dan memejamkan mata walau sejenak. Namun, tubuhnya bergerak di luar kawalan akal, seolah-olah ditarik oleh suatu daya yang jauh lebih songsang daripada keletihan. Apabila teksi yang dinaikinya berhenti di hadapan pekarangan bangunan Suara Kota, jam digital di lobi sudah menunjukkan angka 3:17 pagi.

Bangunan akhbar itu tersergam umpama gergasi tua yang enggan mati. Sisi korporatnya gelap-gelita, hanya beberapa tingkat di bahagian atas yang masih bernyawa dengan biasan cahaya pendarfluor putih kebiruan. Di tingkat tujuh, bilik berita tidak pernah benar-benar tidur. Berita buruk tidak mengenal jadual dan selalunya, ia gemar mengetuk pintu ketika manusia biasa sedang hanyut dalam mimpi.

Nadya melangkah masuk dengan jaket yang masih lembap. Rambutnya yang diikat rendah terasa berat dan melekat pada tengkuk. Setiap derap langkahnya meninggalkan jejak air kecil di atas lantai marmar yang sejuk.

Pengawal keselamatan di kaunter mendongak.

"Lewat balik, Cik Nadya?"

Nadya cuba mengukir senyum. Gagal.

"Awal masuk, Pak Man."

Pak Man tertawa kecil, namun tawa itu mati serta-merta sebaik sahaja dia menatap raut wajah Nadya.

"Semua... okey?"

Nadya tidak menjawab. Dia hanya mengangguk tawar sebelum memacu langkah ke arah lif.

Di dalam lif yang sempit, dia melihat pantulan dirinya pada dinding besi yang berkilat. Wajahnya sangat pucat dan bibirnya sedikit kebiruan kerana kesejukan angin malam. Namun, apa yang membuatkan dia berasa tidak selesa bukanlah wajahnya yang nampak letih dan tidak bermaya itu.

Tetapi matanya.

Sepasang mata itu memancarkan kilatan yang asing, mata seorang wanita yang baru sahaja disapa semula oleh ketakutan masa lalu.

Pintu lif berdenting, terbuka di tingkat tujuh.

Bilik berita menyambutnya dengan simfoni yang biasa: ketukan papan kekunci, deru mesin pencetak, deringan telefon yang bersahutan dan gumam suara wartawan yang separuh berbisik, separuh menjerit mengejar waktu cetakan. Di sudut ruang, sebuah televisyen yang tergantung memaparkan saluran berita 24 jam tanpa suara. Teks bergerak di kaki skrin menyala:

SUMBER: WANITA DITEMUI MATI DI HOTEL USANG. POLIS BELUM SAHKAN IDENTITI.

Nadya kaku seketika. Belum sampai sejam, berita itu sudah mula membocor keluar.

Bagus, bisik hatinya, sinis. Kota ini mungkin gagal dalam memelihara nyawa warganya, tetapi ia luar biasa pantas dalam meraikan kematian mereka.

* * *

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience