BAB 2

Mystery Series 22

"Nadya!"

Suara Farid memotong kekalutan bilik berita.

Lelaki itu muncul dari bilik kaca di hujung ruang. Kemeja putihnya sudah renyuk dengan lengan yang dilipat hingga ke siku. Rambutnya kusut-masai dan cermin matanya sedikit senget di batang hidung. Sebagai ketua editor meja jenayah, Farid adalah manifestasi seorang lelaki yang hidupnya hanya ditampung oleh kafein, tekanan darah tinggi dan kronika duka.

Dia melangkah tangkas mendapatkan Nadya.

"Kau dapat apa?"

Bukan "Kau okey?" Bukan "Apa yang jadi?". Tetapi, "Kau dapat apa?". Itulah Farid. Seorang oportunis berita yang tegar.

Nadya meletakkan beg sandangnya di atas meja kerja yang bersepah.

"Mangsa wanita. Bilik 306. Ada contengan pada dinding."

Farid mencapai buku nota dari meja berhampiran secara rawak.

"Contengan apa?"

Nadya berjeda. Perkataan itu seperti baru sahaja dicalit dengan besi panas ke dalam ingatannya.

"Satu kata perintah. Tulis."

Farid menjungkitkan kening.

"Tulis?"

"Guna dakwat merah."

"Menarik," gumam Farid, penanya sudah bersiap sedia.

Nadya menjegilkan mata, taring kewartawanannya mula keluar.

"Seorang wanita mati dalam keadaan tragis Farid. Bukan 'menarik'."

"Aku tahu. Tapi dalam perniagaan kita, butiran sekecil itu yang menjual."

"Dalam perniagaan kita," Nadya mengulang perlahan, suaranya sarat dengan kekesalan, "semua nyawa hanyalah bahan mentah, kan?"

Mata pena Farid berhenti. Dia merenung wajah Nadya dalam-dalam, seolah-olah baru menyedari ada retakan emosi pada dinding pertahanan wartawan terbaiknya itu.

"Kau nampak mayat?"

"Sikit."

"Identiti?"

"Belum ada."

"Ada petunjuk lain?"

Nadya menarik kerusi lalu melabuhkan punggung. Tangannya mencapai sehelai tisu, mengelap sisa air hujan pada pergelangan tangan. Dia tahu dia sedang menipu diri sendiri; tisu itu sebenarnya untuk menyembunyikan tangannya yang masih menggigil.

"Ada keratan akhbar di sisi mayat."

Suasana di sekeliling meja mereka seakan-akan merosot setahap. Kesibukan bilik berita seolah-olah menjadi latar belakang yang kabur.

"Keratan apa?" soal Farid, suaranya merendah.

Nadya menghidupkan komputernya.

"Aku tak dapat ambil gambar. Kawalan Irfan terlalu ketat. Tapi aku sempat baca tajuknya."

"Tajuk apa?"

"Kes Suraya."

Riak wajah Farid berubah. Hanya sekilas, namun cukup untuk dikesan oleh mata tajam Nadya. Otot rahang editor itu mengeras. Pandangannya jatuh ke lantai buat sesaat sebelum kembali menikam wajah Nadya.

"Suraya? Gadis yang mati di rumah kosong tu?"

Nadya mengangguk perlahan.

"Artikel pertama aku di agensi ni."

Farid melepaskan helasan nafas yang berat.

"Sial."

"Ya. Itu juga perkataan pertama yang terlintas di kepala aku."

Nadya menancapkan pandangan pada skrin komputer yang mula menyala. Di atas hiasan latar berwarna kelabu, beberapa folder tersusun kemas: KES AKTIF, ARKIB LAMA, NISA, DRAF.

Satu tusukan tajam singgah di dadanya sebaik sahaja matanya tertancap pada nama folder 'NISA'. Dia pantas mengalihkan pandangan, mengusir bayang yang tidak diundang.

Farid berdiri di belakang bahunya.

"Kau simpan lagi salinan artikel Suraya?"

"Semua naskhah lama aku ada di sini."

"Buka."

Jari Nadya menari di atas papan kekunci, memasukkan kata laluan. Folder arkib sembilan tahun lalu dibuka. Fail bertajuk suraya_gadis_hilang_rumah_kosong_final. dilancarkan.

Artikel itu terpapar di skrin, lengkap dengan imej monokrom sebuah rumah banglo terbiar yang pernah menjadi saksi bisu penemuan mayat Suraya. Struktur ayatnya kelihatan mentah pada amatan Nadya hari ini—gaya penulisan seorang wartawan muda yang masih naif, yang masih percaya bahawa sebaris tulisan mampu menegakkan keadilan di mahkamah dunia.

Farid membongkok, mendekatkan wajah ke skrin.

"Ini naskhah yang ditinggalkan di bilik 306?"

"Ya."

"Kau pasti?"

"Nama aku dicetak tebal di bawah tajuk itu, Farid. Aku tak salah lihat."

Farid berpeluk tubuh, bersandar pada bucu meja.

"Ini bukan satu kebetulan, Nadya."

"Memang bukan. Ini satu pesanan."

"Polis tahu kau ada kaitan?"

"Irfan nampak reaksi aku masa aku baca tajuk tu. Dia bukan bodoh."

Farid mengeluh.

"Kau kena berhati-hati selepas ini."

Nadya melepaskan tawa sinis yang tidak sampai ke mata.

"Sekarang baru kau nak ingatkan aku?"

"Aku serius, Nadya."

"Aku pun serius. Sekarang, bagitahu aku... siapa contact kau? Macam mana kau boleh dapat maklumat tentang hotel tu lebih cepat daripada unit peronda lain?"

Farid tidak terus menjawab. Keberatan itu sudah menjadi satu jawapan buat Nadya.

Nadya memusingkan kerusinya, menghadap lelaki itu sepenuhnya.

"Farid."

"Informan lama. Orang dalam balai."

"Nama?"

"Kau tahu kod kita, Nadya. Aku takkan dedahkan sumber."

"Lucu, kan? Bila aku enggan dedahkan sumber aku, kau guna kuasa untuk paksa. Tapi bila melibatkan sumber kau..."

"Sebab aku editor kau!" potong Farid, tegas.

"Dan aku adalah orang yang namanya sedang terbaring di sebelah mayat!" balas Nadya, tidak kalah tinggi.

Ayat itu mematikan perbualan. Ia tergantung pekat di udara, dingin dan menekan. Beberapa orang wartawan di meja berhampiran menjeling sekilas sebelum berpura-pura sibuk semula dengan tugasan masing-masing. Di dalam bilik berita, semua orang mempunyai deria hidu yang tajam terhadap drama, namun mereka lebih pakar dalam seni berpura-pura pekak.

Farid menanggalkan cermin matanya, memicit batang hidung dengan keluhan yang panjang.

"Nadya, demi Tuhan, aku tak tahu langsung pasal keratan akhbar tu. Contact aku cuma hantar pesanan ringkas: ada mayat wanita di hotel lama, keadaan tempat kejadian pelik, dan pihak atasan cuba subdue butiran kes. Itu sahaja."

"Dia ada sebut nama aku?"

"Tak."

"Dia ada sebut pasal keratan akhbar?"

"Tak ada, Nadya."

Nadya merenung mata editornya, cuba mencari sebarang tanda penipuan. Farid adalah seorang pembohong yang licik jika keadaan memerlukan; itu kriteria yang membuatkan dia berjaya dalam industri ini. Namun malam ini, Nadya tidak dapat membezakan sama ada Farid sedang menipu, atau sekadar memilih helaian kebenaran yang paling selamat untuk dirinya sendiri.

Ting.

Satu notifikasi e-mel masuk ke dalam peti inbox komputer Nadya.

Subjek: (Kosong)

Pengirim: (Satu rentetan huruf dan nombor yang rawak).

Nadya memandang skrin. Farid turut membongkok.

"Jangan buka," amaran Farid.

Namun, jari Nadya sudah pun menekan tetikus.

Satu Daripada Tujuh E-mel itu tidak mengandungi sebarang teks, melainkan satu fail lampiran imej bernama muka_depan_1.jpg.

Darah Nadya terasa membeku. Fail itu mengambil masa beberapa saat untuk dimuatkan sepenuhnya. Perlahan-lahan, piksel yang kabur pecah menjadi sebuah imej yang berdefinisi tinggi.

Ia adalah foto Bilik 306.

Tetapi ia bukan diambil dari sudut pandang pasukan forensik. Sudutnya rendah dan sedikit terlindung, seolah-olah kamera itu disembunyikan di dalam celah almari pakaian atau bawah meja sisi. Dalam foto tersebut, jasad wanita itu kelihatan jelas. Wajahnya dilitupi rambut yang kusut. Di sisinya, keratan akhbar dengan nama Nadya diletakkan dengan begitu simetri. Terlalu kemas.

Namun, apa yang menangkap pandangan Nadya ialah tulisan merah yang tertera di atas lantai kayu teka, tepat di bawah mayat. Ia bukan perkataan 'TULIS' yang dilihatnya di dinding tadi.

Ini mesej yang berbeza.

SATU DARIPADA TUJUH.

Farid menyumpah seranah.

"Tutup fail tu, Nadya! Sekarang!"

Nadya kaku. Satu daripada tujuh.

Itu bermakna, ini hanyalah mukadimah. Maksudnya akan ada enam lagi nyawa? Atau enam lagi artikel lama miliknya yang bakal dijadikan skrip pembunuhan?

Bzz... Bzz...

Telefon di atas meja bergetar. Bukan panggilan, tetapi satu pesanan ringkas daripada nombor tidak dikenali yang sama di hotel tadi.

Dah dapat gambar? Jangan risau. Yang ini belum cukup estetik. – Pembaca Pertama.

Tekak Nadya terasa loya. Perutnya memulas seketika.

Farid mengambil telefon itu dari tangan Nadya.

"Bagi aku nombor ni. Aku akan hantar pada unit siasatan siber polis."

"Jangan!" tahan Nadya, merentap semula telefonnya.

"Nadya, ini bahan bukti kes pembunuhan!"

"Kalau aku serahkan sekarang, Irfan akan sita telefon aku. Komputer aku. Semua fail arkib aku akan disekat. Aku akan diseret ke bilik soal siasat sebagai suspek sebelum aku sempat faham apa yang gila ini mahukan!"

"Kau memang sudah menjadi sebahagian daripada kes ini, Nadya!"

"Tapi aku belum tentu dalangnya!"

Farid merenungnya dengan wajah yang menegang.

"Kau sedar tak apa yang kau cakapkan ni? Ada seorang psikopat baru sahaja hantar foto mayat terus ke komputer peribadi kau. Ini bukan berita eksklusif yang kau boleh kejar untuk dapatkan byline besar, Nadya. Ini ancaman bunuh!"

Byline. Nama penulis di kaki berita.

Nama yang kini dicampakkan di sebelah tubuh yang sudah tidak bernyawa.

Kemarahan Nadya meletus. Dia bingkas bangun dari kerusi.

"Jangan bercakap seolah-olah kau tak pernah ajar aku untuk mengejar byline itu, Farid! Sembilan tahun aku di sini, dan kau yang bentuk aku jadi macam ni!"

Farid terdiam, lidahnya kelu. Mata mereka bertembung dalam satu pertelingkahan yang sunyi.

Di belakang mereka, skrin televisyen masih menayangkan visual bisu. Wajah pembaca berita wanita itu kelihatan tegang. Di bawahnya, teks bergerak bertukar tajuk:

SUMBER: POLIS TIDAK TOLAK KEMUNGKINAN KES PEMBUNUHAN RITUAL RANGKAIAN.

Nadya membaca teks itu dan hampir melepaskan tawa yang sarat dengan kepahitan.

Ritual.

Manusia memang menggemari perkataan sedemikian. Ia memberikan ilusi bahawa pembunuhan itu dilakukan oleh entiti yang asing, jauh dan tidak siuman; sesuatu yang berada di luar garis normal komuniti mereka. Lebih mudah untuk tidur malam jika mereka percaya bahawa raksasa itu tinggal di dalam gua yang gelap.

Padahal, raksasa yang sebenar boleh sahaja duduk di meja sebelah. Boleh berkongsi secawan kopi di kafeteria. Boleh tersenyum manis dan bertanyakan khabar. Dan boleh menyimpan keratan akhbar lama selama sembilan tahun semata-mata untuk malam ini.

* * *

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience