Series
0
17 OKTOBER 2000.
JAM di bangunan operasi Pelabuhan Teluk Bayu sudah melepasi satu pagi. Kawasan terminal bermandikan cahaya lampu limpah. Deretan kren menjulang di bawah langit malam, membentuk bayangan yang nampak mengerikan. Bunyi enjin lori dan arahan melalui radio dua hala berselang-seli dengan deruan ombak yang menghentam struktur dermaga.
Daris menarik zip jaket keselamatannya hingga ke leher.
Angin laut malam itu lebih kuat daripada biasa.
Dia berdiri di atas apron dermaga, kawasan konkrit luas di antara gudang dan kapal sambil memandang kapal kargo yang sedang berlabuh di Berth 3.
MV Eastern Crown.
Kapal itu tiba hampir empat jam lewat.
Dan kelewatan empat jam itu telah menjadikan seluruh terminal kelam-kabut
“Lori pertama dah masuk?” tanya Daris. Wajah dipalingkan sedikit ke arah radio di bahu kanannya.
“Dah, bos. Reach stacker tengah bergerak ke zon sementara," jawab suara di hujung corong.
Daris memandang ke arah kawasan penyimpanan kontena. Sebuah reach stacker bergerak perlahan, membawa kontena dua puluh kaki di atas lengan pengangkatnya.
Dengusan halus lolos dari bibirnya.
Terminal baharu itu sepatutnya belum menerima operasi penuh sehingga minggu berikutnya.
Tetapi kapal pertama tetap tiba. Dan apabila kapal sudah berada di luar pelabuhan, menunggu di kawasan sauh dengan kargo bernilai jutaan ringgit di dalamnya, tidak ada sesiapa yang mahu menjadi orang yang berkata tidak.
Bunyi derap langkah yang tergesa-gesa dari arah belakang membuat Daris menoleh.
Seorang lelaki berhelmet putih sedang berjalan ke arahnya. Wajah lelaki itu nampak cemas.
“Encik Daris.”
Daris mengenalinya.
Faizal, jurutera tapak.
“Ada apa?”
Faizal tidak segera menjawab. Sebaliknya dia mengeluarkan beberapa helaian kertas daripada fail di tangannya lalu menghulurkannya kepada Daris.
"Laporan pemeriksaan," ujarnya.
Daris menyambutnya. Matanya bergerak pantas membaca beberapa baris, kemudian berhenti.
Retakan memanjang dikesan berhampiran sambungan dek apron.
Daris mengangkat wajah.
“Ni bila?” tanyanya.
“Petang tadi.”
“Kenapa saya baru tahu sekarang?”
“Saya dah hantar pada pihak pengurusan projek...”
Jawapan itu membuatkan rahang Daris mengetap.
“And?”
Faizal menelan liur.
“Mereka suruh teruskan pemantauan.”
“Struktur retak and mereka suruh awak pantau?” Suara Daris naik setakuk.
“Bukan setakat retak...” Faizal bersuara perlahan. Kedengaran ragu dan takut.
Daris mengerutkan dahi.
"Say it!" ujarnya. "Saya tak suka dengar cerita separuh-separuh macam ni!"
“Ada bacaan pergerakan pada bahagian tepi dermaga.”
Daris melongo tidak percaya. Laporan di tangannya dilihat semula.
“Berapa?” tanyanya datar, tanpa mengalihkan fokus dari laporan itu.
"Masih kecik.”
“Berapa?” Nada Daris meninggi. Berang kerana mendapat jawapan yang samar.
“Lapan milimeter.”
Daris tergamam. Lapan milimeter mungkin kecil bagi orang biasa. Namun bagi mereka yang mahir selok-belok pelabuhan, retakan sebesar itu cukup untuk membuat mereka tahu yang sesuatu yang sepatutnya pegun, telah mula bergerak.
“Awak dah maklumkan pada siapa?” tanyanya.
“Pengurus projek.”
“Dia cakap apa?”
Faizal terdiam sejenak sebelum menjawab.
“Dia kata tak boleh stop operasi.”
Daris tengadah bersama dengusan kasar yang lolos dari bibirnya.
Di kejauhan, hon kapal berbunyi panjang.
Sebuah tugboat bergerak perlahan di sisi Eastern Crown. Kapal kargo itu sudah diikat kemas pada bollard di sepanjang dermaga. Tali mooring yang tebal, menegang setiap kali badan kapal bergerak dipukul arus.
Daris tunduk, memandang struktur di bawah kakinya.
Apron itu kelihatan normal. Dari pandangan mata kasar, tidak ada apa-apa yang salah.
Namun dia tahu, sesuatu yang nampak tidak ada celanya itu, kadang-kadang hanya nampak sempurna di permukaan.
Radio di bahu Daris berbunyi.
“Control kepada Berth 3. Kapal minta mula pemindahan batch kedua.”
Daris menekan butang radio.
“Berth 3 hold.”
Suara di radio terdiam sejenak. Hanya beberapa saat.
“Pardon?"
“Hold semua pergerakan di apron Berth 3.” Daris mengulang arahannya sambil melangkah laju ke arah kawasan operasi.
"Reach stacker, stop di kedudukan sekarang. Tractor unit, jangan masuk ke apron."
Tiada respons daripada bilik kawalan. Namun beberapa saat kemudian, radio di bahunya berbunyi semula. Namun suara yang muncul bukan daripada pusat kawalan.
"Siapa arahkan hold?" Nada itu datar, namun jelas sedang menahan marah.
Daris mengenalinya. Pengarah operasi.
"Daris."
"What do you think you're doing?"
"Ada isu struktur," jawab Daris.
"Kita dah tahu."
"What?" Langkah Daris terhenti.
"Bahagian engineering dah cek.
"Jadi kenapa teruskan operasi?" soal Daris bengang.
"Masih dalam julat pemantauan."
Daris melemparkan pandangan ke arah kapal. "You nak ambil risiko?"
"You tahu berapa kos kapal tu tunggu di luar?"
"That's not my problem," balas Daris.
"Of course it's your problem. Ni operasi pertama terminal. Semua orang tengah memerhati."
Rahang Daris mengetap.
Dia faham maksudnya.
Pelabur.
Lembaga pengarah.
Syarikat perkapalan.
Media.
Orang-orang besar yang duduk di kerusi empuk dalam bangunan berhawa dingin sambil bercakap tentang angka, tanpa ada sedikit pun pertimbangan kepada nyawa setiap pekerja di apron itu yang bila-bila masa saja boleh melayang.
"Encik..." Daris bersuara. Nadanya rendah, berharap mendapat sedikit pertimbangan dari orang di hujung sana. "...saya mintak Berth 3 ditutup sementara."
"Permintaan ditolak."
Daris merapatkan kelopak matanya. Nafas ditarik dalam sebeum menghembusnya perlahan. Cuba meredam amukan yang hampir meledak.
"You bukan jurutera struktur," kata suara itu.
"You pun bukan orang yang berdiri di atas struktur sekarang," selar Daris cepat.
Tiada jawapan dari hujung sana. Namun beberapa saat kemudian, suara itu kembali.
"Teruskan operasi."
Daris mengetap rahang. Perlahan dia menoleh ke arah Faizal yang masih berdiri di sisinya.
"Tolong ambik laporan pemeriksaan petang tadi. I nak tahu siapa yang tandatangan keputusan untuk teruskan operasi."
Faizal mengangguk lalu bergegas pergi.
Daris kembali memerhatikan Berth 3 sambil menghubungi bilik kawalan sekali lagi.
"Control, Berth 3 masih hold," ujarnya.
"Copy."
"Jangan benarkan mana-mana unit masuk sampai saya bagi arahan," tambahnya.
"Copy."
Beberapa minit kemudian, Faizal kembali. Nafasnya termengah.
"Bos..."
"What?" Daris ikut cemas. Nada dan wajah Faizal jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.
Faizal tidak menjawab. Sebaliknya terus melangkah ke arah bahagian tepi apron. Daris mengekori langkahnya.
Faizal bertinggung berhampiran tepi apron.
"Ada retakan halus kat sini. Saya baru nampak masa datang balik tadi," ujarnya.
Daris ikut bertinggung. Walaupun halus, retakan itu nampak jelas.
"Yang ni takde dalam laporan pemeriksaan tadi," kata Faizal.
"Are you sure?" tanya Daris.
"Yeah."
Daris menyuluh permukaan itu dengan lampu suluh kecil yang tergantung pada vest keselamatannya.
"Ni macam retakan baru," kata Faizal.
Tiada jawapan daripada Daris. Dia bangun lalu menapak beberapa langkah mengikut garisan retakan itu yang memanjang dari bahagian tepi apron sehingga ke laluan kenderaan.
Di beberapa tempat, terdapat kesan lembapan gelap pada konkrit.
Faizal yang masih bertinggung, mengelap sedikit air yang terkumpul pada permukaan dengan hujung sarung tangannya. Dia memandang jarinya sejenak sebelum menghidu sedikit.
"Air masin," ujarnya.
"Dari mana?" soal Daris.
Faizal menggeleng. "Tak pasti. Saya kena tengok bahagian bawah struktur."
Daris diam. Matanya terhala ke arah kapal yang masih terikat di Berth 3.
Tali mooring terakhir baru saja ditegangkan. Kapal itu bergerak perlahan mengikut arus. Setiap kali badan kapal tertarik, tali yang tegang itu mengeluarkan bunyi geseran berat pada bollard.
Daris tidak menunggu lama. "All personnel, evacuate Berth 3 immediately. Move to the designated muster point. I repeat, evacuate Berth 3 immediately!"
Kraaak!
Bunyi itu membuat Daris dan Faizal membeku.
Permukaan konkrit di hadapan mereka tiba-tiba bergerak. Satu bahagian apron menurun beberapa sentimeter.
Sebuah lori berhampiran kawasan itu terangkat sedikit di bahagian belakang. Jeritan mula memenuhi ruang dermaga itu.
"Run!" jerit Daris. Namun suaranya tenggelam dalam bunyi runtuhan.
Kraaaaak!
Kali ini bunyi itu lebih kuat. Seluruh dermaga bergegar.
Sebuah bollard mooring tercabut daripada konkrit.
Tali kapal yang tegang terlepas, menghasilkan bunyi persis cemeti gergasi. Salah satu tali melibas udara. Seorang pekerja tercampak beberapa meter sebelum jatuh tidak bergerak. Kepalanya hancur.
Dermaga itu runtuh. Bahagian apron sepanjang beberapa puluh meter terbelah dan jatuh ke dalam air, menelan bersama kenderaan, kontena, besi, konkrit, dan puluhan manusia.
Daris sempat mendengar jeritan sebelum air laut menelan semuanya. Tubuhnya terhumban ke hadapan. Tangan kanannya sempat berpaut pada permukaan konkrit yang masih kekal.
"Bos!" Dia mendengar suara Faizal memanggilnya.
Matanya melilau, namun belum sempat dia menyahut, bunyi retakan kedengaran semula.
Bum!
Sebuah konkrit jatuh, menghentam dan menenggelamkan tubuh Daris ke dasar.
"Bos!!!"
Share this novel
Terima kasih Cikgu... ???
yeayy. yang dinanti2
Wah…ini betul2 bukan cubaan ye cikgu..storyline yg menarik ??