BAB 1

Family Completed 7002

Lama ditatap wajahnya, dari membelek dan mengusap tanda pigmentasi di wajah, membilang butiran jerawat di dahi dan pipi selain menyapu serum anti penuaan pada garis-garis halus yang mula singgah di mukanya. Dan kalau dulu dia tidak mengambil masa yang lama untuk berada di situ. Kini, dia mampu menghadap cermin sehingga berpuluh-puluh minit lamanya. Mengharap akan ada perubahan pada wajahnya setelah dia berusaha kuat untuk menjadi cantik semula. Namun, segala usahanya hanya sia-sia. Hatinya hancur luluh bagai disiat-siat.

Perlahan-lahan, wanita berusia 55 tahun itu meletakkan semula gincu bibir Chanel yang dipegangnya tadi ke atas meja solek. Niat asalnya hendak mewarnakan bibir tuanya dengan warna merah cili namun terbantut, apabila wajah seorang gadis cantik tiba-tiba bergayutan di tubir matanya. Wajah gadis muda bertaraf jelitawan itu yang telah merubah kehidupannya yang dulu bahagia kini sengsara.
Berkali-kali airmatanya jatuh semenjak dia tahu siapa gadis itu di dalam hati Lukman, suaminya.

Ah, Adibah! Dia memang dah tak cintakan kau lagi. Bukan saja kerana kau sudah tidak secantik dulu. Tetapi kerana kau sudah tua. Ya, kau wanita yang meningkat usia hari demi hari.
Sedangkan dia pula, semakin bertambah usianya, semakin muda rasa dan nafsunya. Mampukah kau yang sudah tua kerepot dan berkedut ini hendak menjadi muda semula dan memberi layanan padanya sama seperti dulu?

Sebenarnya, kalau dilihat dari pandangan mata kasar, Adibah sebenarnya tidaklah setua mana. Badannya tidak seperti kebanyakan perempuan yang sudah berumur lima puluhan kerana dia memang pandai menjaga bentuk tubuhnya sejak dulu. Cuma, kalau diamati wajahnya betul-betul, memang akan kelihatan garis-garis penuaan pada wajahnya yang berkulit sederhana cerah itu. Garis-garis halus itu tidak mampu dilindungi atau dinyah sama sekali. Kerana setiap manusia yang meniti usia sepertinya pasti akan mengalami keadaan yang sama seperti itu. Belilah produk kecantikan berjenama apa sekali pun. Ia takkan mampu membuat kulit yang sudah berkedut itu tegang dan licin semula. Ya, tidak akan!

Yang tulus ikhlas
Ingin sekali sekala dirinya dibalas
Walau hanya dengan dakapan di angin lalu

Yang selalu memberi
Ingin sekali sekala jadi penerima
Cukup dengan salam dan manis doa

Aku ingin kau merasakan hebatnya cinta
Dan leburkan saja serpihan calar derita

Selamat ulang tahun sayang
Kini kau bersayap, pergilah terbang
Rentaslah langit cita cita mu
Harap nanti kita 'kan bertemu

Selamat ulang tahun sayang
Janganlah engkau tak terbang pulang
Ku nanti penuh kerinduan
Selamat tinggal, selamat jalan

Aku hanya inginkan engkau setia
Kerana setia yang mencipta bahagiamu

Lagu Selamat Ulang Tahun Sayang nyanyian Imran Ajmain berkumandang. Terpanah tepat di sanubarinya. Adibah memejamkan matanya sesaat dua. Kolam mata yang mula sebak dengan airmata itu perlahan-lahan mula mencurahkan manik-manik jernih di pipinya yang polos. Lagu itu benar-benar meninggalkan bekas di dalam dirinya. Kalau dulu, kepolosan dirinya yang digilai sang suami atas alasan si suami tidak gemar kepada perempuan yang bersolekan tebal. Tetapi kini pipi polos itu mungkin sudah mula jemu dipandang. Sang suami mula mendambakan gadis berkulit tegang, berbibir mungil dan berkening halus terbentuk. Sang suami mula kemaruk pada gadis muda berbadan ramping, berleher jinjang dan berpipi pauh dilayang.

Dan itulah perkara yang tidak mampu dimiliki semula oleh Adibah. Walaupun pernah suatu ketika dia memiliki semua itu. Namun, kini semuanya sudah hilang dimamah usia. Zaman kegemilangannya sudah berakhir. Dia kini tidak lagi menggiurkan di mata Lukman.

“ Ibu… Ika tengok ibu lain macam je sekarang. Kenapa, ya? Ibu tak sihat, ke?” tanya Zulaikha, anak bongsu Adibah pada suatu malam ketika hanya mereka berdua berada di rumah. Sementara Lukman seperti biasa masih belum pulang selagi jam tidak menghala ke angka sepuluh malam.

Banyak kerja. Itulah alasan yang sering diberikan Lukman setiap hari. Walhal Adibah sudah tahu apakah perkara yang disibukkan sangat oleh suaminya itu akhir-akhir ini. Lukman sibuk mengulit gadis muda dan mula lupa tentang dosa dan pahala.

Adibah merenung wajah lembut Zulaikha sekilas. Teringatkan Melissa, gadis muda yang sedang digilai oleh suaminya sekarang. Tentu usia Melissa dengan Zulaikha tidak jauh beza atau mungkin juga sebaya. Bagaimana Lukman boleh jatuh cinta dengan gadis yang boleh dianggap seperti anak sendiri itu? Apakah ia benar-benar berasaskan cinta atau hanya nafsu semata-mata?

Dan, apakah benar gadis itu memang benar-benar ikhlas mencintai suaminya. Atau hanya harta benda yang dikejarkannya? Tidakkah masih ramai lelaki muda di luar sana yang berharta. Mengapa masih suaminya yang sudah beruban itu juga yang dihajati dan digila-gila?

Ah, bodohnya gadis secantik Melissa itu kerana memilih suami orang. Sedangkan lelaki lain yang masih bujang dan berharta tentu saja ada yang sedang menanti di luar sana. Kadang-kadang, Adibah sendiri tidak faham apa yang dikejarkan oleh gadis zaman sekarang. Entah apa yang mereka cari dalam hidup mereka sebenarnya sehingga mereka tergamak menikahi suami orang dan rela menyandang gelaran isteri kedua, ketiga atau keempat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience