BAB 1

Young Adult Completed 90036

DI kejauhan kesibukan bandaraya metropolitan Kuala Lumpur, terdengar suara anak-anak kecil sedang berkejar-kejaran, riang bermain. Walaupun taman ‘permainan’ mereka hanyalah sebatang lorong kecil dan kotor, mereka tetap gembira bagaikan berada di syurga.

Tong-tong buruk, kayu-kayan mereput, tin kosong malah botol kosong dijadikan alat permainan bagi anak-anak kecil ini.

Dua orang sahabat, Amir dan Syahir adalah yang paling gembira di ‘taman’ permainan ini kerana apabila mereka pulang nanti, mereka tahu tawa mereka akan terhenti.

Menjelang waktu senja, akan duduk duduk melepaskan lelah setelah puas bermain. Sejak kecil lagi, wasilah hubungan mereka tersimpul kuat dan tiada sesiapa mampu memutuskannya. Kini, mereka sudah remaja. Akan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi.

Mereka adalah anak-anak dari keluarga yang daif dan miskin. Mujurlah mereka masih mempunyai tempat untuk berteduh. Itupun hanya sebuah rumah kecil di celah-celah lorong yang kotor dan usang di tengah-tengah kota berkenaan.

“Syahir, esok aku nak pergi sekolah. Kau nak pergi sekali tak?” Amir lemparkan buah pertanyaan. Matanya penuh pada raut wajah Syahir, menanti respons sahabatnya.

“Sekolah? Tak mahu aku, bosanlah. Lagipun bukannya dapat apa, jadi bahan kutukan orang adalah,” jawab Syahir tanpa memandang Amir. Acuh tak acuh nadanya.

“Kau nak ponteng lagi? Dah lama kau tak pergi sekolah ni, weh …” keluh Amir.

“Aku tak minatlah. Lagipun mak bapak aku bukannya kisah aku pergi sekolah ke tidak. Cikgu-cikgu pun bukannya suka aku. Asyik marah aku adalah. Aku benci kau tahu tak?” Syahir menggetus geram.

“Ala, jomlah Syahir ... pelajaran saja yang mampu ubah nasib kita. Tak akanlah kau nak hidup kat lorong ni selamanya?” Amir memuntahkan pujuk rayu, cuba melembutkan hati sahabatnya.

Syahir mencemikkan muka. Apabila perkataan belajar dan sekolah menampan koklea, rasa meluat menujah masuk ke dalam dirinya. Baginya, itu semua tiada makna jika kedua ibu bapanya sendiri mengherdik dirinya bodoh, tidak berguna dan menyusahkan mereka.

Bila di sekolah, Syahir memberontak dan memeningkan kepala guru dan pelajar lain dengan masalah disiplinnya. Meskipun pelbagai tindakan telah diambil, Syahir masih tidak berubah. Itu kerana dia sudah lali dengan cacian, tomahan, denda dan sebagainya.

Dia tidak heran kerana di rumah, penderaaan yang lebih berat dan dahsyat telah dia alami sejak kecil lagi. Ia sudah sebati dan mendarah daging dalam hidupnya.

Syahir dan Amir, keluarga mereka serupa. Selalu kucar-kacir dengan pelbagai kemelut yang melanda. Ibu bapa mereka sering bertelagah walaupun hanya hal remeh. Tinggal dan membesar di lorong gelap yang penuh dengan pelacuran, judi, arak, samseng dan segalanya yang berkait.

Bila ayah mereka pulang dalam keadaan mabuk, ibu mereka termasuklah mereka sendiri menjadi mangsa dipukul. Belum lagi dengan masalah judi dan dadah. Itulah yang menjadi tontonan Amir dan Syahir setiap hari.

Amir memandang sahabatnya, faham akan pendirian Syahir. Dia tidak akan memaksa dan berceramah lebih-lebih. Dia mafhum, bukan mudah untuk melalui situasi seperti mereka.

Dia sendiri terpaksa sabar dan tabah serta menguatkan semangat untuk meneruskan persekolahan kerana masalah kewangan, masalah dicemuh, dipandang rendah oleh rakan-rakan sekolah kerana datang dari keluarga yang daif dan hina.

Ibunyalah yang menjadi penguat semangatnya, yang saban hari memberi semangat supaya tabah dalam mengharungi pelbagai onak dan duri untuk keluar dari lembah hina ini. Guru-gurunya juga selalu mencurahkan inspirasi dan hanya pelajaran sahaja yang mampu mengubah hidup dan nasibnya.

Ibu Amir amatlah menderita kerana selalu menjadi mangsa deraan suaminya yang baran, pemabuk dan kaki judi. Bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar, wangnya sering dirampas. Tetapi demi masa depan Amir, Salmah pandai menyorokkan separuh daripada hasil gajinya yang sedikit itu daripada suaminya.

Kasihan Salmah, dia dipukul hanya kerana wang yang sedikit. Amir sangatlah ‘marah’ malah menyimpan dendam dalam ruang lipatan sukma. Dalam hati, dia berazam untuk membawa ibunya keluar dari lorong tersebut pada suatu masa nanti.

Bila ada masa senggang atau ketika cuti sekolah, Amir akan membantu ibunya di pasar – tempat Salmah berkerja. Itu sudah menjadi rutin hariannya.

***

ESOKNYA, Amir meneruskan persekolahan seperti biasa. Dengan hanya mempunyai sehelai baju yang sangat lusuh dan peralatan persekolahan yang kurang, tidak ramai yang mahu berkawan dengannya.

Amir sibuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Tiba-tiba dia dibaling dengan kertas yang direnyukkan menjadi bola. Kepalanya dipanggung ke arah datangnya bola kertas berkenaan.

“Wei Amir! Orang macam kau ni boleh berjaya ke? Dengan baju kau yang kuning dengan busuk tu, patut campak dalam sungai Klang sajalah!” Selamba dan tidak berhati perut pelajar itu menghamburkan ejekan.

“Mesti mati semua ikan dalam sungai sungai tu. Ha! ha! ha!” Rakan di sebelah pelajar itu menambah, disambut pula dengan deraian tawa daripada rakan-rakan yang lain sekaligus membuatkan Amir tersinggung.

“Hei! Gelak-gelak, kerja dah siap ke belum?”

Jerkahan Cikgu Lisa yang merupakan guru bagi subjek Sejarah kedengaran, membuatkan pelajar dalam kelas itu tersentak. Automatik kelas bertukar sepi, patah lidah masing-masing. Kerana terlalu seronok mentertawakan Amir, mereka terlupa akan guru di hadapan kelas.

“Belum cikgu.” Kendur suara mereka menjawab.

“Habis? Yang kamu sibuk mengutuk Amir dah kenapa? Dia memang miskin, tapi dia berada di sini untuk ubah nasib dia. Untuk bantu keluarga dia. Kamu semua ni pula, sibuk nak mengata dia macam keluarga kamu tu kaya sangat dah kenapa? Kamu patut bantu dia, bukannya sibuk mengutuk dia. Lagi sekali saya dengar kamu mengata dia lagi, saya masuk nama kamu dalam SSDM. Nak?”

“Tak nak, cikgu.”

Cikgu Lisa mengheret langkahnya menghampiri Amir. Bahu remaja itu disapanya lembut. “Amir, kamu jangan hiraukan apa yang kawan kamu katakan ya. Banyakkan bersabar.”

Amir hanya melakar senyum kecil sambil mengangguk perlahan. Walaupun dia dipandang rendah oleh rakan-rakan, dia disayangi oleh guru-guru dek kecemerlangan akademik dan akhlaknya yang baik.

Kerana itulah Amir masih boleh bertahan walaupun terpaksa menghadapi orang di sekeliling yang mencabar kesabaran dan cemburu terhadap kejayaan yang dikecapi olehnya. Matlamat Amir hanya satu, yakni untuk berjaya.

***

SEMENTARA itu, Syahir pula hanyut dalam dunia kedendaman terhadap keluarganya. Baginya, merekalah penyebab dia rosak dan menjadi jahat. Merekalah ‘contoh’ kepada akhlaknya sekarang.

Syahir juga bergaul dengan penghuni lorong yang lain. Marah dengan ayahnya, Syahir juga merokok dan berjinak-jinak dengan dadah. Untuk menjana wang bagi mendapatkan dadah, dia juga melakukan jenayah-jenayah kecil seperti merompak, meragut, mencuri dan seumpama dengannya.

Ada kalanya Syahir tidak pulang ke rumah berhari-hari lamanya. Apabila dia pulang, mereka sekeluarga akan bertikam lidah dan saling menyalahkan antara satu sama lain bagai anjing dengan kucing.

Alhamdulilah, baru sempat update. Selamat membaca!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience