Bab 1: Nafas Yang Perit

Young Adult Series 11

Nama aku Kael Azryan. Umur baru 17 tahun. Tapi beban atas bahu ni, rasa macam dah tua 40 tahun.

Setiap pagi aku bangun lebih awal dari matahari. Rumah flat tiga bilik yang sempit tu penuh dengan suara—tangisan baby, jeritan budak nak cari baju, dan suara emak yang terkejar-kejar nak siapkan semua orang.

“Aku tak jumpa stokin, bang!”

“Bang! Bekal adik mana!”

“Kael, tolong angkat pampers adik kau tu! Aku nak siapkan sarapan!”

Satu demi satu. Tak berhenti. Aku diam. Angguk. Buat.

Aku hantar Iman, darjah 4. Lepas tu Zikri, darjah 1. Lepas tu si Yaya ke tadika. Baby? Masih menangis dengan pampers berat, tunggu giliran.

Mak? Kerja sapu bersih dekat klinik swasta. Keluar awal pagi, balik lewat petang. Kadang-kadang aku tengok tangan dia penuh rekahan, kulit kering sebab sabun pencuci kuat sangat. Tapi dia tetap kuat. Atau pura-pura kuat, macam aku.

Ayah? Kerja offshore. Tapi dah hampir dua tahun tak balik. Tak tahu dia masih kira rumah ni rumah dia lagi ke tak.

---

Masa aku capai helmet buruk, hujan turun renyai-renyai. Aku lambat.

Sampai rumah customer, aku lambat 10 minit. Lelaki berkemeja buka pintu dengan muka bosan.

“Dah lambat. Makanan aku dah sejuk.”

“Saya minta maaf, encik… saya hantar adik-adik saya dulu tadi. Saya cuba yang terbaik…”

“Maaf tak boleh panaskan makanan aku, kan? Aku report kau."

Pintu tertutup depan muka aku. Dada aku panas. Tapi aku tak mampu lawan. Takut kena buang kerja. Aku masih perlukan duit tu.

Aku berdiri depan rumah tu. Hujan makin lebat. Aku tak gerak. Bukan sebab tak boleh… tapi sebab aku penat. Terlalu penat.

---

Setiap hari macam ni. Aku urus rumah, jaga adik, kerja, pastikan mak makan, pastikan bil tak tertunggak.

Aku tak ada ruang. Tak ada masa. Tak ada siapa pun tanya, “Kael okay tak?”

Tapi tak apa… sebab aku dah biasa.

Petang tu, selepas siap semua delivery dan mak dah balik dari kerja, aku ambil masa sekejap. Walaupun badan rasa macam nak rebah, aku tetap capai kunci motor dan keluar.

Aku tahu Syafiq dah tunggu.

Dekat parkir hujung flat, aku nampak kelibat dia tengah duduk atas motor EX5 hitam dia yang dah banyak calar tapi masih steady. Dia lambai sikit sambil senyum kecil.

“Apa cerita abang long hari ni?” gurau Syafiq.

Aku gelak sikit. “Hari ni? Macam biasa lah. Customer marah, adik menangis, mak jerit.”

Syafiq hulur air tin kat aku. Aku duduk sebelah dia, tarik nafas panjang. Hujan dah reda, tapi jalan masih basah. Bau tanah, bau minyak motor, semua macam familiar sangat.

“Kadang-kadang aku fikir, hidup ni akan berubah ke?” Aku pandang langit yang kelabu.

Syafiq pandang aku sekejap. Mata dia tak pernah main-main bila aku cakap macam tu.

“Kau sabar je, Kael. Aku tahu kau kuat. Kalau bukan esok, lusa. Tapi satu hari nanti, hidup kau akan jadi macam yang kau doa tiap malam tu.”

Aku diam. Telinga aku dengar suara kawan-kawan lain ketawa hujung parkir, cerita pasal bunyi ekzos dan rim baru. Tapi hati aku cuma fokus kat Syafiq. Dia satu-satunya orang yang betul-betul faham aku. Dia tak pernah tanya benda bodoh. Dia tak pernah buat aku rasa aku kena pura-pura okay.

Kadang-kadang, aku rasa dia je sebab kenapa aku masih mampu senyum.

“Thanks, Fiq.”

“Benda.”

---

Hidup aku gelap, tapi bila aku duduk dengan dia… sekurang-kurangnya aku rasa ada lampu jalan, walaupun samar-samar

Aku tengah gelak dengan Syafiq bila telefon aku bergetar. Skrin menyala — Farah calling.

Aku bangun sikit dari tempat duduk, jauh sikit dari bunyi bising ekzos dan ketawa.

"Hello?"

"Kael…" suara Farah lembut, tapi aku dah boleh teka nada dia — ada benda yang dia nak tegur.

"Ha, kenapa? Rindu ke?" aku cuba lighten the mood.

"Dengar bunyi motor... Awak kat mana?"

Aku garu belakang kepala. "Lepak kejap dengan Si Syafiq ni ha. Dah lama tak jumpa dia."

Dia diam sekejap.

"Kael… saya bukan nak halang. Tapi saya rasa awak patut kurangkan lepak dengan geng motor tu. Bukan apa… saya takut awak terjebak. Benda-benda macam tu… bukan semua boleh handle."

Aku terdiam.

"Syafiq bukan orang macam tu, Farah. Dia jaga saya. Dia dengar bila saya cakap."

"Saya tahu. Tapi ramai sangat yang mula dengan lepak-lepak… last-last hilang hala tuju."

Aku tarik nafas. Aku faham maksud Farah. Tapi pada masa yang sama, Syafiq tu satu-satunya tempat aku boleh rasa ‘hidup’.

"Lagipun," sambung Farah, "malam ni saya nak belanja awak makan. Saya rasa awak penat sangat lately. Saya nak awak rehat. Boleh?"

Nada dia berubah lembut semula. Aku tahu Farah memang jenis yang tengok semua sisi aku. Dia selalu risau, bukan sebab dia tak percaya — tapi sebab dia sayang.

Aku senyum sendiri. "Okey, pukul berapa?"

"Pukul 8. Saya jemput awak. Awak jangan lambat."

"Baik, cik Farah."

Dia tergelak sikit. "Love you."

Aku pandang balik ke arah Syafiq yang tengah borak dengan dua orang kawan kami.

"Love you too."

---

Kadang-kadang, antara dunia yang aku kena tempuh dengan dunia yang aku nak hidup… aku tersepit.

Tapi setidaknya, aku masih ada mereka. Walaupun dua dunia tu tak pernah benar-benar serasi

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience