Bab 2: Cahaya Kecil

Young Adult Series 11

Langit malam dikelilingi cahaya lampu jalan. Angin sejuk meniup perlahan, tapi hati Kael terasa hangat. Dia duduk di bangku taman bersama Farah, gadis yang sentiasa ada dengan dia — walaupun dunia seakan tak berpihak.

Tadi mereka baru habis makan. Farah belanja makan di kedai kegemaran Kael — nasi ayam madu. Kael gelak besar sebab Farah cuba buat suara robot masa order minuman.

“Apa beza semut dengan gajah?” soal Kael sambil jeling manja.

Farah angkat kening. “Hmm… besar sangat beza dia?”

Kael gelak, “Satu suka manis, satu suka… tak muat pintu.”

Farah terus gelak, gelak yang buat Kael rasa dia lelaki paling bertuah walau dunia tak beri dia apa-apa.

Mereka berjalan sepanjang taman yang penuh dengan lampu berkelip. Ada pasangan lain main permainan booth, ada budak kecil kejar-kejar buih sabun.

Kael tarik Farah ke satu mesin “ball mystery” — mesin mainan di mana kau dapat satu bebola berisi hadiah rawak.

“Kalau saya dapat benda pelik, awak kena simpan,” Kael senyum.

Farah angguk sambil gelak. Kael masukkan duit dan putar tombol. Keluar satu bola plastik, dia buka — dalam tu cuma rantai plastik mainan kanak-kanak.

“Tengok, rezeki anak-anak,” usik Farah sambil pakai rantai tu.

Kael pandang wajah Farah. Dalam cahaya malam, dia nampak sempurna.

“Farah…” Kael bersuara perlahan. “Kalau satu hari nanti… saya betul-betul susah… susah sangat sampai takda siapa nak pandang… awak akan ada lagi untuk saya tak?”

Farah pandang Kael. Dia tak jawab terus. Tapi tangan dia genggam tangan Kael erat.

“Saya tak janji saya kuat. Tapi saya janji… saya nak cuba ada.”

Dan itu lebih dari cukup buat Kael. Walaupun dia tahu, dunia ni tak pernah beri jaminan

Lepas mereka jalan-jalan, makan, dan ketawa sampai lupa dunia, Farah pandu kereta kecilnya perlahan di jalan yang mulai sunyi. Hujan rintik-rintik mula turun, dan lampu jalan menyala kekuningan. Suasana jadi hening, tenang, macam nak peluk malam tu lama-lama.

Mereka berhenti depan flat Kael.

Kael buka seatbelt, tapi tak terus keluar. Farah pandang dia.

“Awak…” Farah panggil perlahan.

Kael angkat muka, mata dia merah sikit sebab penat, tapi masih tersenyum kecil.

Farah pegang tangan Kael sekejap, genggam erat. Suaranya lembut, tapi penuh rasa:

"Awak sabar eh. Saya tahu susahnya awak nak hadap semua dugaan. Walaupun saya tak ada kat tempat awak, tapi saya faham... awak dah cuba yang terbaik buat keluarga awak."

Kael tunduk. Dada dia rasa berat. Tapi kata-kata Farah macam penawar, buat dia rasa dia tak berjuang sorang-sorang.

“Terima kasih… sebab faham,” Kael balas perlahan.

Farah senyum kecil. “Balik rehat. Jangan tahan letih tu.”

Kael baru je letak beg kat sudut bilik kecil tu bila satu suara kecil muncul dari belakang.

“Abang…”

Dia toleh. Adik darjah empat dia berdiri kat pintu bilik, baju kelawar lusuh, rambut ikat senget, tapi senyum dia lain macam.

“Abang… sekolah lantik saya jadi pengawas.”
Matanya bersinar, bangga sangat.

Kael terdiam. Dalam riuh kekecohan rumah, itu berita yang mencairkan hati dia.

“Wah… tahniah dik,” Kael senyum, tepuk bahu adik dia.

“Cikgu cakap kena pakai baju pengawas hari Isnin ni… boleh tak abang belikan?”
Dia pandang Kael dengan harapan.

Kael tunduk sekejap. Dalam dompet dia, tinggal dua keping seringgit dan beberapa syiling. Tapi dia tak tunjuk. Dia angguk.

“InsyaAllah… abang cuba.”

“Lepastu… pensel warna pun dah pendek semua, abang belikan sekali boleh?”

Kael senyum, angguk lagi walaupun dada dia rasa ketat.
Dia tak tahu nak korek duit kat mana, tapi bila tengok senyuman adik dia… rasa macam wajib cari jalan.

Malam tu, selepas makan malam ala kadar, Kael baring sebelah adik-adik dia yang paling kecil. Yang baby dah lena dalam buaian, Iman dan Zikri masing-masing peluk bantal comel sambil tengok Kael bacakan cerita pendek dari buku lama yang dah lusuh.

Iman pula letak kepala atas lengan Kael.

“Abang… nanti kalau abang kerja kaya, abang belikan beg baru boleh?”

Kael senyum, usap rambut adik dia.
“Boleh… tapi sekarang ni abang kena kerja kuat dulu, boleh?”

“Boleh…” jawab si kecil itu, perlahan, sebelum matanya terpejam.

Satu per satu nafas mereka jadi perlahan. Rumah flat sempit tu mungkin sunyi, tapi dalam hati Kael, serabut tak pernah hilang. Dia tenung siling, rasa dada berat sangat. Tapi bila dia toleh kiri, nampak semua adik dia lena dengan wajah tenang… dia pun senyum sikit.

Tanpa sedar, pelupuk mata dia berat.

Dan malam tu, Kael tertidur sekali, dalam pelukan tanggungjawab yang terlalu besar untuk budak seusia dia.

---

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience