MALAM itu, villa mewah di pinggir bandar Lunar Heights dipenuhi dengan jemputan eksklusif dari golongan elit. Lampu kristal bergemerlapan di siling tinggi, bayangannya memantul di dinding marmar putih.
Aroma wain mahal dan bunga mawar segar memenuhi udara, bercampur dengan dentingan gelas dan bunyi tawa yang bergemaan di ruangan luas.
Di tengah semua kemewahan itu, Dante Rashan berdiri di sudut bilik, memerhatikan suasana seperti raja memandang kerajaannya. Sut hitam yang dipadankan dengan kemeja satin biru gelap menonjolkan tubuhnya yang tegap dan atletis.
Senyumannya penuh makna. Menggoda setiap pandangan wanita yang berlalu di hadapannya. Tapi malam ini, matanya tidak bermain-main seperti biasa.
Dia sedang memerhati seseorang.
Di hujung ruangan, seorang wanita berdiri dengan gaun satin merah yang melekap sempurna pada tubuhnya. Rambutnya yang panjang dibiarkan terurai, melingkari wajah yang cantik tapi penuh kedukaan.
Kara Sofee. Mata coklatnya memandang ke arah wain di tangannya, seperti sedang cuba melupakan dunia di sekelilingnya.
Dante Rashan menyedari kehadirannya sejak awal malam tetapi kini, dia tak mampu mengalihkan pandangan.
Ada sesuatu tentang wanita itu. Sesuatu yang membuatnya ingin lebih dari sekadar cumbuan biasa.
"Dia nampak lain daripada yang lain," gumam Dante Rashan sambil mengangkat gelas whiskey di tangannya.
“Siapa?” Suara teman lamanya Ryan, menyelinap dari sebelah.
Dante Rashan tersenyum nipis, matanya masih tertumpu pada Kara Sofee.
"Wanita berbaju merah itu. Dia bukan seperti mereka yang lain di sini. Dia... kelihatan tersesat."Prediknya pandai-pandai.
Ryan menggeleng, ketawa kecil. Dia tahu sangat dengan sikap 'buaya darat' Dante Rashan.
"Itu Kara Sofee. Bekas tunang Nash. Kau tahu, lelaki yang memalukan keluarganya sendiri sebab skandal dengan model?"
Dante Rashan mengangkat kening.
"Ah, jadi itulah ceritanya. Seorang wanita yang dihancurkan. Hmm... nice plot. By the way, orang macam dia biasanya paling menarik untuk dijaga... atau..." Sengaja enggan menoktahkan kata. Ada senyum sinis dia ukirkan di hujung bibir.
Tanpa menunggu jawapan, Dante Rashan bangun dan melangkah menuju ke arah susuk tubuh elegant, Kara Sofee.
Langkahnya yakin seperti pemburu yang sudah pasti akan mangsanya. Kara Sofee menyedari kehadiran lelaki itu tetapi dia tidak bergerak. Dia terlalu penat untuk melarikan diri dari apa pun malam itu.
“Awak kelihatan seperti memerlukan teman,” suara Dante Rashan muncul, dalam dan penuh keyakinan.
Kara Sofee mendongak, sedikit terkejut dengan kehadirannya. Dia melihat lelaki itu.
Ketinggian. Mata gelap yang tajam. Senyuman separuh menggoda yang cukup untuk membuat sesiapa pun goyah. Tetapi Kara Sofee tidak ingin kelihatan mudah di pengaruhi.
“Apa yang membuat awak fikir saya perlukan teman?” jawab Kara Sofee, suaranya tenang tapi penuh dengan sindiran halus.
Dante Rashan ketawa kecil.
"Sebab saya tahu bagaimana rupa seseorang yang cuba melupakan sesuatu."
Dia mengangkat gelas whiskeynya.
"Dan, mari kita jujur, saya cukup mahir mengenalinya."
Kara Sofee memandang lelaki itu, cuba membaca maksud di sebalik kata-katanya.
Dia kelihatan terlalu yakin, terlalu selesa dan itu membuat Kara Sofee ingin menjauhinya. Tetapi sesuatu dalam dirinya menyuruh dia tinggal.
"Mungkin saya cuma mahu bersendirian," kata Kara Sofee akhirnya, meskipun suaranya tidak sepenuhnya yakin.
"Atau mungkin," balas Dante Rashan, melangkah lebih dekat hingga jarak antara mereka hanya beberapa inci.
"Awak perlukan seseorang untuk mengingatkan bahawa hidup ini lebih daripada apa yang awak cuba lupakan."
Darah Kara Sofee terasa mendidih. Kata-katanya menusuk tepat pada luka yang cuba dia sembunyikan. Tapi dia tidak mampu melawan aura lelaki itu, sesuatu yang membuatnya merasa dilihat dan difahami dalam cara yang tidak pernah dia alami sebelum ini.
“Mungkin,” Kara Sofee berkata perlahan, suara seperti bisikan.
"...awak terlalu yakin.”
Dante Rashan tersenyum lebih lebar. Pandangannya tidak terganggu.
“Dan mungkin itu yang buat saya menarik.”
Mereka berdiri di situ, di tengah orang ramai yang berpura-pura sibuk dengan urusan masing-masing.
Kara Sofee dapat merasakan denyutan jantungnya semakin laju. Tidak ada lelaki lain yang pernah membuatnya merasa seperti ini rentan tetapi kuat. Lemah tetapi penuh kuasa.
"Awak mahu keluar dari sini?" Tanya Dante Rashan tiba-tiba, memecah keheningan yang penuh ketegangan.
Kara Sofee memandangnya, sedikit terkejut.
"Apa?"
"Keluar. Tinggalkan semua ini," katanya sambil menggerakkan tangannya ke arah bilik itu.
"Hanya kita berdua. Jangan fikir terlalu banyak."
Kara Sofee terdiam. Dia tahu dia seharusnya menolak tetapi suara kecil dalam dirinya memberontak.
Malam ini, bukan tentang melakukan perkara yang betul. Malam ini tentang melupakan.
"Baiklah," jawab Kara Sofee akhirnya, suaranya lebih tegas daripada yang dia rasakan.
Dante Rashan mengangguk, senyumannya lebih lembut kali ini. Dia menghulurkan tangannya, dan Kara Sofee menyambutnya dengan hati yang berdebar.
Mereka berjalan keluar dari bilik itu, meninggalkan lampu kristal, bunyi tawa dan kenangan yang ingin mereka lupakan.
Malam itu baru sahaja bermula, tetapi Kara Sofee tahu. Ia akan menjadi malam yang tidak pernah dia lupakan.
Share this novel