Bab 2: Jejak yang Tertinggal

Mystery Series 81

Rumah pusaka itu berdiri teguh di hujung jalan tanah merah, dikelilingi pokok rambutan dan bunga kertas yang sudah jarang berbunga. Dindingnya kayu, masih kukuh tapi warnanya pudar dimakan waktu. Di anjung, Mak Leha sudah menunggu — wajahnya tenang, tapi matanya merah seperti baru lepas menangis.

Zahra turun dari kereta perlahan, melangkah seperti orang asing menjejak tanah sendiri.

“Zahra… anak saudara Mak Leha yang paling kuat,” ucap wanita separuh usia itu sambil membuka tangan. Zahra segera mendakap tubuh itu erat. Hatinya yang keras sejak di Kuala Lumpur akhirnya retak di bahu itu. Air mata yang ditahan pecah juga.

“Mak Leha… kenapa semua ni berlaku?” soalnya sambil teresak.

Mak Leha tidak menjawab. Dia hanya mengusap rambut Zahra, seperti membelai anak kecil yang hilang arah.

Selepas tenang, mereka masuk ke dalam rumah. Bau kayu tua dan daun sirih masih sama seperti dulu. Dinding rumah dihiasi gambar lama — termasuk satu potret besar ayah Zahra di tengah ruang tamu.

“Dia simpan ni untuk Zahra,” kata Mak Leha sambil menyerahkan sebuah kotak kayu kecil berukir.

Zahra duduk perlahan di atas lantai. Tangannya bergetar memegang kotak itu. Di atasnya tertulis namanya dalam tulisan tangan ayahnya — “Untuk Zahra, bila masanya tiba.”

“Dia pesan, jangan bukak selagi Zahra belum benar-benar bersedia,” ujar Mak Leha, suaranya serak.

Zahra menahan nafas. Terasa berat seluruh tubuh. Bagaimana ayahnya tahu bahawa satu hari nanti dia akan kembali untuk mencari sesuatu?

“Mak Leha… surat yang Zahra terima tu, dari siapa?”
Mak Leha menggeleng. “Mak Leha tak tahu. Tapi sehari sebelum arwah jatuh… dia ada bergaduh dengan seseorang. Zahra perlu hati-hati. Kampung ni tak semuanya jujur.”

Azril berdiri di ambang pintu, memerhati dalam diam. Ada sesuatu dalam pandangannya — rahsia yang dia simpan sendiri.

“Zahra,” panggilnya. “Esok aku bawa kau ke tempat ayah kau jatuh. Mungkin kau patut tengok sendiri.”

Zahra angguk perlahan. Dia tahu, langkah pertama sudah pun bermula. Dan setiap langkah selepas ini, mungkin akan membawa luka yang tak pernah disangka.

Tapi dia sudah sedia. Kerana kebenaran, walau sepahit mana pun, tetap harus ditemui.

---

jangan lupa tinggalkan komen korang kat bawah tau!! ?..kalau korang suka dengan cerita ni, boleh request untuk part 3 ??.. jgn lupa share jgk tau kat kawan² .. family and media sosial korang ??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience