Bab 1

Romance Series 641206

Beberapa tahun kemudian…

HUJAN lebat turun membasahi ibu kota sedari jam enam pagi. Jalan-jalan utama mula mengalami kesesakan lalulintas. Apatah lagi hari ini adalah hari Isnin. Kesesakan yang dialami bertambah buruk.

Di sebuah rumah teres satu tingkat yang terletak di kawasan perumahan kos sederhana, suasana kelam-kabut mengisi seluruh ruang.

“Icha, cepat sayang! Mama ada meeting pagi ni.” Izelda melaung dengan nada suara tinggi dari ruang tamu. Menanti anak daranya yang masih bersiap di dalam bilik tidur kedua.

Dua minit kemudian wajah comel si anak yang berusia lapan tahun itu muncul. Lengkap berpakaian sekolah rendah. Namun, rambutnya masih tidak bersikat.

“Ya Allah. Ni dah kenapa rambut tak sikat ni?” Izelda bertanya.

Di dalam hati sudah menggerutu. Apatah lagi dia sedang mengejar masa. Lambat keluar lima minit ‘confirm’ jalan nak menuju ke sekolah itu sesak teruk.

“Icha tak jumpa getah rambut. Tak nak pergi sekolah!” Spontan si kecil itu meraung macam kena cubit.

Kesabaran Izelda benar-benar teruji. Sudahlah dia kena masuk ke pejabat awal pagi hari ini. Pukul 8:30 ada perhimpunan pagi bersama pengurusan atasan. Pukul 9 pula mesyuarat bahagian di mana dia perlu bentangkan laporan kepada bos besar. Ini pukul berapa nak tiba di pejabat?

Argh. Terbayang-bayang muka bosnya yang garang seperti harimau sedang menanti di muka pintu pejabat.

“Icha sayang, please. Mama tak boleh lewat hari ni. Mama ada mesyuarat penting sangat. Pergi sekolah ye. It’s okay, kita ikat rambut Icha guna getah rambut lain ye.” Izelda cuba memujuk anaknya.

Namun, si anak masih menangis teresak-esak. Hal kecil sahaja. Tapi, sengaja dibesar-besarkan.

“Tak nak. Icha nak getah rambut Frozen tu juga! Huwaaa!!”

‘Ya Allah, Kau berikanlah kesabaran kepadaku.’ Sempat Izelda berdoa di dalam hati.

Rasa macam nak ‘join’ menangis sekali. Namun, dia cuba bertenang. Kalau sama-sama ‘tantrum’ karang tak selesai masalah.

Lantas dengan pantas Izelda menyelongkar ke seluruh ruang bilik tidur kedua mencari di mana letaknya getah rambut ‘Frozen’ seperti yang disebut si anak. Tak jumpa di bilik, di ruang tamu serta ruang makan pula digeledah. Habis berpeluh-peluh muka dan tubuhnya. Solekan yang dipakai di muka juga kian luntur.

Akhirnya getah rambut itu ditemui berada di dalam bilik air. Si kecil itu yang terlupa nak ambil selepas mandi pagi tadi. Haish!

Tanpa banyak soal, Izelda membantu menyiapkan si anak. Rambut panjang paras bahu diikat tocang dua dengan kemas.

Setelah itu, Izelda cepat-cepat mencapai beg kerja, beg sekolah serta beg bekal si anak sebelum disumbat ke dalam kereta.

“Breakfast ni Icha makan dalam kereta ye. Kita dah lambat ni. Kena keluar sekarang,” ujar Izelda sambil melirik ke arah jam di lengan kirinya yang menunjukkan jam 6:45 pagi.

Si kecil akur lalu keluar dari rumah dan masuk ke perut kereta yang sudah dihidupkan enjin. Izelda menutup dan mengunci pintu rumah sebelum ikut sama masuk ke tempat pemanduan. Sebentar kemudian, kereta Perodua Axia itu bergerak perlahan-lahan meredah hujan lebat meninggalkan kawasan perumahan.
 
 

 
EMPAT PULUH LIMA minit kemudian, Izelda selesai menghantar anaknya ke sebuah sekolah kebangsaan. Mujurlah masih sempat. Ngam-ngam sebelum loceng berbunyi. Lencun jugalah tubuhnya mendukung si Icha sambil sebelah tangan memegang payung.

Alhamdulillah selesai satu urusan. Sekarang nak bergegas ke pejabat pula. Sekali lagi Izelda terpaksa menghadap kesesakan lalulintas di lebuhraya. Melalui laporan berita di radio, ada kemalangan lori berlaku di satu persimpangan. Menyebabkan laluan ke jalan utama tersekat dan menjadi punca kesesakan di jalanraya semakin kritikal.

Aduhai. Kenapalah mesti semua itu berlaku di pagi Isnin? Hujan, kemalangan di highway, traffic jam teruk. Arh, inilah yang orang panggil Monday Blues. Rasa macam nak ambil MC aje.

Hurm tapi, tak boleh. Dia tetap harus munculkan diri di pejabat hari ini. Kalau tidak kemungkinan markah di dalam penilaian tahunannya akan ditolak. Dan seterusnya mengakibatkan dia hilang kelayakan untuk mendapat bonus nanti. Oh, tidak!

Dan ternyata hampir dua jam kemudian barulah Izelda tiba di tempat parkir kenderaan kakitangan yang terletak di sebuah bangunan setinggi empat puluh tingkat itu.

Cepat-cepat disarungkan kasut bertutup tumit rendah ke kaki dan dirapikan solekan tipis di wajah serta ikatan rambut. Beg kerja yang berada di kerusi belakang dicapai. Setelah itu dia terkocoh-kocoh keluar dari kenderaan dan berlari menuju ke pintu lif.

Seperti dijangka wajah bengis bosnya sudah menanti di dalam bilik Pengurus Bahagian Kewangan yang berdinding kaca lutsinar dan dapat dilihat kelibatnya dari luar itu.

Izelda berjalan perlahan-lahan. Berpura-pura tenang dan berlagak biasa sambil menuju ke kubikel meja kerjanya yang terletak di satu sudut. Padahal tahu sudah terlewat tiba di pejabat.

“Woih, lambatnya hang sampai. Bos dah ‘hingaq’ kat dalam bilik tu tau. Dia dok cari hang dari tadi.” Syidah temannya yang berasal dari utara itu menegur dari kubikel sebelah.

“Alamak! Yeke? Aku terlambat. Traffic jam teruk. Ada lori accident kat highway tadi. Hujan lebat lagi pagi ni.” Izelda menjelaskan hal yang berlaku.

“Hurm hang pi lah ‘story-mory’ kat bos tu. Kot-kot dia boleh terima alasan hang.” Syidah menjeling anak matanya memberi isyarat ke arah bilik bos mereka.

Ayat sindiran Syidah itu sudah difahami. Mana mungkin bos mereka yang garang itu akan percaya dengan segala alasannya walaupun memang benar itu yang berlaku.

Seperti dijangka lima saat kemudian terdengar namanya dijerit lantang dari dalam bilik ketua mereka.

“IZELDA QAIREEN!!”

Izelda terus melompat dari tempat duduknya dek kerana terkejut. Automatik menggigil segala otot sendinya. Seram!

“Err ya… ya bos!” Izelda menyahut panggilan encik bos.

“SINI!” Suara lantang itu melaung sekali lagi.
 
“Ha, dia dah seru nama hang tu. Lebih baik hang pi jumpa dia cepat. Sebelum Encik Bakar kita tu bertambah ‘terbakar’. Jenuh kena panggil abang bomba mai padam api satgi. Hihi.” Syidah sempat berseloroh dari sebalik dinding kubikel.

Izelda terasa nak ketawa dengan lawak spontan Syidah. Minah ni memang ‘sewel’. Namun, bayangan muka garang Encik Bakar di dalam bilik membuatkan dia lebih kecut-perut. Dengan segera dicapai pen dan buku nota lalu melangkah ke bilik ketuanya.

“Assalamualaikum Encik Bakar…” ucap Izelda gugup selepas mengetuk pintu. “Err maaf saya terlambat pagi ni. Traffic jam teruk dari rumah saya nak ke sekolah anak. Lepas hantar anak, sekali lagi ‘stuck’ dalam traffic jam di highway sebab ada lori accident. Tambah pulak pagi ni hujan lebat. Sa-“

Belum habis Izelda menjelaskan ‘karangan’ berjelanya, kelihatan satu dokumen bersaiz A4 melayang tepat ke mukanya. Pap!

Adoi. Izelda menggosok hidung mancungnya yang kesakitan terkena balingan dokumen berkenaan.

“Ni report apa yang kau buat ni, hah?! Macam-macam alasan kau bagi kan? Macam kau seorang je ada anak. BUAT SEMULA REPORT NI!!” Suara jerkahan Encik Bakar bergema di ruang bilik kecil itu.

Mimik muka Izelda waktu itu sudah mencerun. Sakit sebab dibaling dokumen satu hal. Malu kerana ditengking satu hal lagi.

“Baik, bos. Nanti saya buat semula report ni.” Angguk Izelda akur menerima arahan.

“Lagi satu, tiap-tiap minggu lewat. Asal pagi Isnin je kau datang lambat. Macam-macam alasan! Pasal anaklah, pasal kucinglah, accidentlah…”

“Err bos, salah tu. Saya takde kucing.” Izelda mencelah.

Encik Bakar tersentak seketika. Menggaru kepalanya yang beruban. Lupa sekejap staf mana entah yang bagi alasan terlambat sebab kucing nak beranak. Haih!

“Hah, tak kisahlah. Ni kau tengok jam dah pukul berapa? Assembly tadi kau tak ada. Meeting dengan top management pun kau ponteng. Apa nak jadi ni?! Kalau tak berubah juga, aku suruh HR Department terminate je kau!” Encik Bakar mengugut.

Mendengar perkataan ‘terminate’, Izelda terus tak keruan.

“Encik Bakar, tolong. Janganlah minta HR terminate saya. Ini je satu-satunya punca rezeki saya. Lagipun, saya masih ada anak kecil yang perlu ditanggung. Please-please, Encik Bakar. Saya mohon sangat tolong jangan terminate saya.” Izelda memohon sambil berlutut di lantai. Udah serupa hamba abdi yang merayu kepada tuannya.

Encik Bakar mendengus nafas. Dia bukanlah seorang bos yang kejam. Masih punya hati perut. Apatah lagi kepada ibu tunggal seperti Izelda. Di mulut sahaja garang.

“Hurm, dah. Ambil balik report tu. Buat semula dan hantar pada aku petang nanti.” Nada suara lelaki itu sudah mengendur.

Perlahan-lahan Izelda bangun berdiri. Kertas-kertas laporan yang berselerakan tadi dikutip semula lalu disusun dengan kemas.

“Baik, bos. Saya betulkan report ni dan hantar kepada bos petang nanti. Terima kasih banyak, bos. Jasamu dikenang.” Sambil tersengih Izelda menundukkan kepala tanda hormat kepada lelaki awal empat puluhan itu.

Setelah itu Izelda kembali semula ke meja kerjanya. Kertas laporan yang dibaling tadi diletak di atas meja. Sempat dia mengeluh mengenangkan nasib diri yang kurang baik hari ini.

“Sabaqlah, Zelda. Encik Bakar tu asal pagi Isnin ja dia memang ‘hangin’ satu badan. Macam hang tak biasa dengan perangai dia,” ujar Syidah yang bersimpati kerana temannya dimarahi bos mereka seketika tadi.

“Hurm. Agaknya bini dia suka masak makanan yang berangin kot. Itu yang dia hari-hari naik angin. Menyampah aku dengan perangai dia!” Izelda mencebik meluahkan perasaan geram.

“Mungkin kot. Apa kata hang pulak tolong masak untuk bos kita tu. Hang masaklah makanan yang sejuk-sejuk. Confirm hilang angin taufan dia. Haha.” Syidah bergurau lagi.

Cadangan tak boleh dipakai! Spontan Izelda melontar pen di tangannya ke arah Syidah.

“Dahlah. Aku nak siapkan report yang bos minta ni. Kang puting-beliung dia datang serang sekali lagi habis terbang melayang aku.”

Izelda mula memberi fokus terhadap tugasan yang harus disiapkan. Berkerut-kerut dahinya memerhati satu-persatu kesalahan di dalam laporan kewangan yang terpapar di skrin komputer.

Hurm itulah. Dulu masa zaman belajar main-main. Sibuk nak bercinta. Sekarang dah kerja baru tahu ilmu tu penting.

Nasib kaulah, Zelda. Belajar setakat diploma mampu jadi kuli ajelah. Kalau dulu kau tak gatal nak kahwin awal mesti hari ini jawatan kau di dalam syarikat jauh lebih tinggi. Haih. Izelda mengeluh perlahan.

 
WAKTU rehat makan tengahari, Izelda menyertai teman baiknya Syidah serta Wana dari Bahagian Pentadbiran. Mereka mengunjungi sebuah warung menjual nasi campur yang terletak beberapa meter dari bangunan pejabat.

Hidup sebagai ‘marhaen’ di bandar besar Kuala Lumpur ini harus belajar berjimat-cermat. Kos hidup sangat mahal. Makan pun pilih yang ‘mur-mur’ aje. Dan sudah tentulah warung tepi jalan menjadi pilihan.

“Korang, aku dengar kan syarikat kita nanti dapat CEO baru.” Wana memulakan topik perbualan ketika mereka bertiga menjamu selera.

“CEO baru? Bukan Encik Yusri tu baru jadi CEO kita tak sampai setahun ka? Takkan dah nak ganti orang baru?” Syidah menyoal sengaja mencari bahan bercerita bagi mengisi waktu makan mereka.

“Ha, itulah kau tak tahu. Aku dengar Board of Directors semua tak suka Encik Yusri. Sebab itu kontrak dia nak ditamatkan awal.”

“La yaka? Adoi, tak bestlah kalau Encik Yusri takdak. Nanti tak dapatlah aku nak ‘ushar’ muka handsome dia. Hidung terpacak macam Shah Rukh Khan kot.” Syidah berseloroh.

“Entah-entah CEO baru nanti lagi handsome. Kalau betul, harap-harap CEO yang akan datang masih bujang. Bolehlah aku try nasib kot-kot boleh jadi bini CEO. Haha.” Wana ketawa di hujung ayatnya.

“Kah! Hang bab berangan memang nombor satu kan Wana. Haha.” Syidah ikut sama ketawa.

Pandangan mereka berdua kemudian beralih ke arah Izelda yang leka mengadap telefon pintarnya sambil menyuap makanan ke mulut. Langsung tidak tertarik dengan topik yang sedang diborakkan.

“Oit, Zelda. Hang rasa CEO baru kita nanti handsome ka dak?” Syidah menyoal sambil menyigung siku temannya.

Izelda tersentak. Dia ralit membaca satu gosip hiburan di sebuah laman sesawang tadi. Tak ikut campur saat Syidah dan Wana bercerita.

“Hah? Siapa yang handsome?” Izelda bertanya dalam mata terkebil-kebil.

“Ni Wana dengaq cerita syarikat kita akan dapat CEO baru untuk ganti Encik Yusri tak lama lagi. Kami harap-harap CEO baru tu handsome. Barulah ada semangat sikit nak mai kerja. Kan Wana?”

Wana mengangguk-angguk bersetuju. “Fuh! Kalau dia handsome, aku ‘cop’ dulu ye nak ngorat dia. Korang jangan caras tau.” Wana memberi amaran siap-siap.

Spontan Izelda menjuihkan bibir memerhati gelagat dua orang teman baiknya itu.

“Jangan risau. Kalau betul CEO baru tu handsome, aku akan pastikan dia jatuh cinta kat aku dulu sebelum korang berjaya dapatkan dia. Ahaks!” Izelda ketawa mengekek. Sengaja mengusik teman-temannya.

Seperti dijangka Syidah dan Wana membalas dengan jelingan tajam. Namun, seketika kemudian terhambur gelak tawa mereka bertiga. Topik berkaitan ‘CEO baru’ hanyalah sekadar bahan untuk mengisi perbualan sesi makan tengahari mereka.

Share this novel

Nik
2024-04-17 07:51:41 

Bila nk update pulk"?

Nik
2024-04-13 21:06:32 

Best sangat ii

Nik
2024-04-13 21:06:19 

Dah faham dah


NovelPlus Premium

The best ads free experience