BAB 61

Thriller Series 17

“TAK…tak mungkin. Tak mungkin awak dah jumpa pengganti saya. Saya tak percaya! Ini semua hanya lakonan! Awak saja nak uji saya, kan? Awak cuma nak prank saya, kan? Tak mungkin awak boleh cari lelaki yang lebih baik dan setia selain saya!” Ujar Zack dengan senyuman mengerikan dengan pandangan yang tidak percaya.

Asyikin menatap Zack dengan pandangan dingin, dengan berani dia memeluk pinggang Aryan dengan erat membuatkan mata Aryan terbuka luas dengan tindakan beraninya.

“Awak percaya atau tak, itu terpulang pada awak. Saya pun dah kata kan? Itu janji dulu, sekarang semua dah berubah. Awak dah kahwin dan saya dah jumpa lelaki yang lebih layak dari awak, Zack. Aryan seribu kali lebih hehat dan lebih baik dari awak.” Balas Asyikin dengan suara tegas membuatkan Aryan terdiam seketika dengan ayatnya.

“Saya tak boleh terima semua ini! Saya takkan benarkan awak kahwin dengan sesiapa pun! Hanya saya yang layak dan sesuai untuk jadi isteri awak! Awak tak boleh kahwin dengan dia!” Baru sahaja Zack ingin menyentuh lengan Asyikin, Aryan dengan pantas memegang lengan Zack dengan kuat.

“Jangan sentuh dia, dia milik aku. Jangan sembarangan sentuh dia.” Aryan melepaskan pegangan Zack lalu menarik Asyikin ke belakang badannya, melindungi Asyikin dari Zack.

“Kau! Jangan mimpi kau boleh kahwin dengan Syikin! Dia hak aku! Aku akan pastikan Syikin akan kahwin dengan aku juga tak kira apa cara sekalipun! Kau tunggu je jantan!” Setelah berkata begitu, Zack melangkah laju meninggalkan mereka berdua.

Asyikin berdiri di sebelah Aryan menatap kelibat Zack hilang dari pandangannya, “Apa pula yang jantan tu nak buat agaknya? Aku pula rasa tak sedap hati.” Bisik hatinya.

Asyikin menghela nafas lega, sementara Aryan menatap Asyikin lalu bertanya, “Siapa lelaki tu? Stalker awak ke?”

Asyikin memandang Aryan apabila mendengar pertanyaannya. “Dia bukan stalker saya. Saya kalau boleh tak nak mengaku tapi memandangkan awak pun dah tersabit sekali. Dia…bekas kekasih saya dulu. Tapi saya dah putus dengan dia atas sebab tertentu.”

“Bekas kekasih awak? Kenapa awak putus dengan dia?” Asyikin tersenyum kecil dengan pertanyaan Aryan.

“Sebab…dia curang belakang saya. Jadi awak fikir saya akan terima lelaki yang jelas-jelas dah curang dengan saya? Tak mungkin dan tak akan, saya benci dengan kecurangan.” Asyikin membaiki cermin mata pada mukanya.

“Begitu. Tapi saya risau kalau dia datang jumpa awak balik dan buat perkara yang tak elok pada awak. Awak tak nak buat laporan polis?” Aryan menatap Asyikin dengan perasaan risau bercampur cemas.

“Tidak apa-apa, Aryan. Saya nak cakap terima kasihlah sebab sudi lindungi saya tadi dan sudi berpura-pura berlakon dengan saya. Saya pun nak minta maaf sebab pegang awak sesuka hati walaupun awak mesti tak rasa selesa kan? Saya minta maaf.”

“Dah memang tugas seorang lelaki lindungi perempuan. Lagipun saya tak rasa yang tadi tu sebarang lakonan.” Asyikin tergamam seketika dengan ayat terakhir Aryan.

Aryan berpaling muka memandang arah lain dengan muka sedikit merah, “Kalau jadi teman lelaki betul-betul awak pun, saya tak kisah. Saya seribu kali sudi nak jadi teman lelaki awak. Bukan setakat teman lelaki, nak jadi suami awak pun lagilah saya tak kisah.”

Mendengar hal itu, automatik muka Asyikin berubah merah lalu menutup mukanya dengan kedua tangan.

“Sebentar. Sebentar. Betul ke apa yang aku dengar tadi atau cuma khayalan aku je? Mustahillah Aryan pun ada perasaan yang sama macam aku…” Bisik hatinya membuka sedikit jarinya melihat reaksi Aryan.

Asyikin terkejut seketika dengan riak muka Aryan yang sudah berubah merah sepertinya memaling pandangan arah lain sambil menggosok belakang leher.

“Kalau reaksi dia begitu maknanya dia tak main-main, maknanya dia serius dengan apa dia kata tadi? Seriuslah?! Ahh macam mana ni, mana nak letak muka aku yang panas ni?” Menutup kembali mukanya.

Aryan melihat tindakan Asyikin tersenyum kecil kerana pada pandangannya Asyikin nampak comel dengan gaya macam tu lalu dia menghampirinya berhenti betul-betul di hadapan Asyikin.

Aryan menghembus nafas lalu dengan perlahan menarik tangan Asyikin daripada terus menutup muka lalu menatap mukanya yang sudah merah kerana malu.

Asyikin terkejut dengan sentuhan lembut Aryan, mengangkat kepala memandang Aryan yang menatapnya dengan senyuman kecil di bibir.

“Syikin. Mungkin kita baru sahaja berkawan, tapi awak tak terfikir untuk teruskan hubungan kita ke arah yang lebih serius? Walaupun ramai yang kata kita pasangan secocok tapi kita selalu nafikan. Kali ni saya tak boleh nafikan lagi perasaan saya selama ini. Luna Asyikin…” Aryan menatap mata Asyikin lalu mengucapkan tiga patah perkataan.

“Saya suka awak.” Asyikin tergamam mendengar 3 patah perkataan tersebut. Mereka menatap antara satu sama lain dengan pandangan yang sukar ditafsir ibaratkan ada bau-bau cinta dan bunga yang berterbangan di sekeliling mereka.
Angin malam pun seperti memahami mereka, angin meniup dengan kencang ke arah mereka yang masih tidak beralih pandangan.

DI bilik tidur, Asyikin merebahkan badannya setelah pulang dari makan malam dengan Aryan begitu juga setelah mendengar luahan Aryan tadi.

Mengingat hal itu, Asyikin mengambil bantal peluk di sebelahnya lalu memeluk bantal tersebut sambil menjerit kecil.

“Ah! Dia kata dia suka aku? Suka aku? Kyaaa! Apa yang patut aku buat sekarang ni? Padahal aku baru je nak balas perasaan dia tapi…” Teringat kembali pada selepas Aryan meluahkan perasaan padanya.

BELUM sempat Asyikin ingin membuka mulut untuk membalas, Aryan meletakkan jari telunjuk pada bibirnya.

“Awak tak perlu bagi jawapan sekarang. Saya akan tunggu hari dimana awak akan balas luahan saya tu. Jadi ambil masa awak, Syikin.” Balas Aryan dengan suara tenang sambil menatap mata Asyikin.

Asyikin terpaku seketika dengan ayat Aryan lalu mengangguk kepala, Aryan melihat hal itu tersenyum manis sambil mengusap rambut Asyikin dengan perlahan.

“Terima kasih, Syikin. Sebab sudi dengar luahan saya malam ni. Malam ini awak tak bermimpi tapi ini realiti.” Bisik Aryan dengan suara rendah tapi pada pendengaran Asyikin, suara itu kedengaran menggoda membuatkan jantung berdegup dengan kencang.

“KENAPA dia buat suara menggoda macam tu? Kalau dia buat suara macam tu, macam mana aku tak terbalas perasaan dia. Aduh ni lebih parah daripada masa aku couple dengan Zack dulu walaupun Zack tu sampah masyarakat tapi Aryan ibaratkan malaikat yang turun dari langit.”

Asyikin memusing badan ke kiri dan kanan sambil memeluk bantal mengingat kembali pada luahan Aryan.

“Tapi sekurangnya aku tak bertepuk sebelah tangan.” Asyikin tersenyum kecil lalu bangkit dari baring dan bangun dari katil dengan semangat.

“Ni buatkan aku semangat nak sambung kerja. Apapun tukar baju dulu selepas tu buat kopi.” Asyikin melangkah ke bilik mandi sambil bernyanyi kecil.

SEMENTARA Aryan merebahkan badan di atas katil setelah sampai di rumahnya sendiri, memandang siling atas mengingat kembali pada tindakan berani dia tadi.

Aryan tersenyum kecil mengingat muka dan reaksi comel Asyikin setelah dia meluahkan perasaan sebenar dia.
“Awak comel, Syikin. Bukan sebab muka awak yang cantik tapi reaksi awak, gaya awak dan tingkah laku awak yang comel tu buat saya jatuh suka pada awak.” Meletakkan lengannya di atas muka dengan senyuman yang tidak hilang dari tadi.

Tidak lama kemudian, senyumannya hilang dengan suara dingin. “Adakah dia sudi terima aku selepas dia dapat tahu sesuatu yang mungkin boleh buat dia benci aku? Sudi ke dia terima aku selepas dia dapat tahu perkara sebenar?”

Apa agaknya rahsia terbesar yang disimpan oleh Aryan? Adakah rahsia yang melibatkan Moonlit Killer? Adakah mereka mampu bersama sehingga alam perkahwinan?

KEESOKAN paginya, suasana Kuala Lumpur kembali sibuk dengan kesibukan jalan raya dan juga kesibukan manusia melakukan kerja masing-masing untuk mencari rezeki halal.

Di dalam kereta, Detektif Laya menatap skrin telefonnya yang terpapar beberapa kod komputer membuatkan dia berfikir sejenak.

“Nampaknya semalam dia jejak aku, mungkin Moonlit Killer yang suruh. Dia tak percaya agaknya yang aku ni dah jadi salah seorang pengikut sejatinya padahal aku dah banyak tolong dia. Dasar lelaki tak kenang budi.” Kutuk Detektif Laya menutup skrin telefonnya menyambung pemanduannya di tengah hutan.

Setelah 10 minit, dia menghentikan keretanya di sebelah kanan dimana terdapat ruang kosong. Detektif Laya membaiki topi dan cermin mata hitamnya lalu melangkah keluar dari keretanya.

Dia pun mengambil semak samun untuk menutupi keretanya walaupun jalan itu jarang dilalui oleh mana-mana kenderaan tapi sebagai langkah berjaga-jaga.

Setelah berpuas hati, Detektif Laya menuju ke laluan yang berada tidak jauh darinya lalu memasuki laluan tersebut sehingga tiba di sebuah bangunan terbiar yang merupakan markas baharu Moonlit Killer.

Apabila dia melangkah masuk ke dalam bangunan tersebut dan terus menuju ke ruang kerjanya. Dia memegang tombol pintu lalu memulas dan melangkah masuk setelah pintu itu terbuka.

Detektif Laya menatap Jamal yang sedang lena tertidur di kerusi kerjanya dengan mulut terbuka, Detektif Laya menggeleng kepala melihat hal itu.

Dia menghampiri kerusi kerjanya lalu meletakkan sarapannya yang dibuat dari rumah di atas meja kemudian memandang Jamal yang kelihatan lena.

“Tak tidur ke semalam jantan ni?” Detektif Laya dengan berhati-hati menghampiri Jamal lalu tanpa sebarang sentuhan dia mengejut Jamal.

“Hoi, bangun. Nanti Master datang buat rondaan.” Tapi apa daya, Jamal masih lagi terlena membuatkan Detektif Laya terfikir satu idea jahat.

Dia mendongkak kepala ke atas sambil meletakkan kedua tangan pada mulutnya lalu menjerit, “Bangun! Master datang dengan bawa pedang dia!”

Mendengar jeritan itu, Jamal dengan terkejut dan masih mamai segera bangkit dari kerusi lalu berlutut.

“Ma…maafkan saya, Master. Saya hanya terlelap seketika, saya tak bermaksud untuk curi tulang. Tolong maafkan saya…” Jamal berhenti bercakap apabila mengangkat kepala untuk melihat reaksi Master tetapi hakikatnya tiada kelibat Master melainkan kelibat Detektif Laya yang menatapnya dengan dahi berkerut.

“Maaflah bukan niat aku nak buat kau terkejut. Aku kejutkan kau supaya takdelah Moonlit Killer datang sini tengok kau lena tidur. Silap-silap dia bunuh kau dulu sebelum sempat kau jelaskan perkara sebenar.” Balas Detektif Laya lalu menghampiri meja kerjanya.

Jamal mendengar hal itu dengan cepat bangun lalu kembali duduk di kerusinya dengan helaan nafas, “Kau ni ganggu aku tidur betul. Dahlah semalam aku terpaksa tidur lewat sebab kau takde semalam. Master ada tanya pasal kau, kenapa kau tak datang semalam.”

Detektif Laya baru sahaja meletakkan bekas makanan di atas meja, mengalih pandangan pada Jamal yang matanya sudah terpejam rapat sementara mulutnya masih menjawab.

“Habis tu kau jawab apa?” Soal Detektif Laya sementara dia meletakkan sebekas makanan di atas meja Jamal.

“Aku katalah yang kau ada hal malam tadi selepas tu dia pergi macam tu je.” Detektif Laya tersenyum sinis lalu memegang Thermos yang berisi kopi lalu menuangkan kopi tersebut ke dalam cawan yang dibawa dari rumah.

Dia menghulurkan cawan itu di hadapan Jamal membuatkan mata Jamal yang terpejam rapat tadi mula terbuka luas menghidu bau kopi yang kuat.

“Kopi?” Jamal menyambut huluran Detektif Laya, menghidu bau kopi dan meniup kopi yang masih panas tu lalu meneguk perlahan-lahan.

“Ahh lama betul aku tak minum kopi sesedap ni. Mana kau beli kopi ni?” Soal Jamal lalu sambung menghirup kopi itu dengan perlahan.

“Siapa kata aku beli? Aku buat sendirilah kopi tu.” Mendengar ayat terakhirnya, mata Jamal terbuntang lalu menjauhkan cawan kopi tersebut dari mulutnya, menatap Detektif Laya dengan perasaan mencurigakan.

“Kau fikir apa? Kau ingat aku letak racun ke dalam kopi tu?” Soal Detektif Laya tidak menatap Jamal sebaliknya memandang Thermos yang dibawanya.
“Kalau aku letak racun…” Dia menatap Jamal dengan senyuman kecil sambil memegang cawan kopi lalu meneguk sedikit.

“…mungkin sekarang kau dah mati. Kau pun dah tegur banyak tadi kan? Jadi kau rasa apa sekarang?” Detektif Laya memandang Jamal yang sedang memeriksa badannya sendiri.

“Tak rasa apa-apa cuma rasa segar dari mengantuk. Kau pasti kau tak letak apa-apa dalam kopi ni?” Detektif Laya mengabaikan soalan Jamal lalu membuka laptopnya.

“Apa faedah yang aku dapat? Kalau aku bunuh kau, kau tak rasa yang Moonlit Killer akan lepas aku macam tu je selepas aku bunuh kau? Tak, kan? Jadi takde makna aku nak letak racun dalam kopi dengan makanan kau tu.” Jawab Detektif Laya menatap skrin laptopnya.

Jamal melihat bekas makanan yang ada di atas mejanya lalu mencapai bekas itu dan membukanya. Dia menelan air liur melihat nasi lemak yang penuh menyelerakan dengan sambal, telur dan timun tak lupa juga seketul ayam goreng.

“Kau yang masak ni?” Soal Jamal sambil menunjukkan bekas nasi lemak di tangannya kepada Detektif Laya yang masih fokus pada skrin laptopnya.

“Taklah, bayangan aku masak pagi tadi.” Jawab Detektif Laya spontan membuatkan Jamal menjuling matanya dengan jawapan bodohnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience