Setelah setahun mengenali Iman, dan detik-detik indah serta cemas yang dilalui bersama, Qina semakin pasti bahawa Iman adalah lelaki yang tepat untuk dijadikan suami. Hubungan mereka semakin kukuh, dan kini tiba masanya untuk melangkah ke fasa yang lebih serius.... perkahwinan.
Namun begitu, seperti pepatah melayu lama, "berat mata memandang, berat lagi bahu memikul." Walaupun hati Qina sudah bersedia, ujian sebenar belum bermula. Kali ini, dugaan hadir bukan dari luar, tetapi dari dalam keluarga Iman sendiri.
Satu petang, Iman memberitahu Qina dengan nada yang berat, “Sayang, ibu ada cakap sesuatu tentang kita.”
Qina memandang wajah Iman dengan resah. “Kenapa? Dia tak setuju ke?”
Iman menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab, “Bukan tak setuju, tapi ibu... dia ada harapan. Dia nak menantu yang setaraf. Maksud dia, kerja kamu kena sama taraf dengan kerja aku. Atau lebih baik.”
Qina terkedu seketika. Dia tahu keluarganya bukanlah dari golongan berada. Kerjanya sebelum ini hanyalah sebagai penyambut tetamu dan model sambilan. Kini, dia hanya bekerja sebagai kerani. Sementara itu, Iman pula sudah pun bekerja tetap sebagai pegawai penyelamat kerajaan. Perbezaan taraf itu nyata.
Iman, tidak mahu membiarkan kekasih hatinya larut dalam tekanan, segera menelefon ibunya, Puan Rozi, untuk mendapatkan kepastian.
“Ibu, saya dah buat keputusan. Saya nak kahwin dengan Qina. Dia baik, jujur, dan tak berpura-pura. Saya yakin dia boleh jaga saya dan keluarga kita nanti.”
Di hujung talian, kedengaran suara ibunya yang dingin. “Suka hati kamu lah, Iman. Kalau itu pilihan kamu, ibu ikut saja.”
Walaupun kata-katanya tampak reda, namun nada suaranya menyimpan seribu maksud. Selepas memutuskan panggilan, Iman termenung seketika. Dia tahu benar, jauh di sudut hati ibunya, Puan Rozi mengharapkan menantu yang berkerjaya kukuh, berpendapatan tinggi, dan mampu memberi nama kepada keluarga mereka yang dihormati di kampung kerana memiliki tanah sawah yang luas dan rumah pusaka yang gah.
Namun, Iman tidak berputus asa. Dia mula memikirkan jalan untuk mengurangkan jarak perbezaan itu — bukan demi darjat, tetapi demi mengelakkan jurang yang bakal menjadi racun dalam rumah tangganya nanti.
Setelah berfikir panjang, Iman mencadangkan kepada Qina, “Sayang, macam mana kalau kamu cuba mohon jadi jururawat? Saya tahu kamu minat kerja yang membantu orang. Lagipun, jururawat kerja kerajaan juga. Ibu mungkin akan lebih terbuka kalau kamu kerja dalam bidang kesihatan.”
Qina diam seketika. Hatinya berkocak. Namun, demi masa depan, dia mengangguk. “Baiklah, saya cuba. Kalau itu buat kita lebih diterima, saya akan usahakan.”
Beberapa bulan berlalu, dan Qina akhirnya diterima bekerja sebagai jururawat pelatih di sebuah hospital kerajaan. Iman sangat gembira. Dia tahu pengorbanan Qina bukan kecil. Menukar kerjaya bukan sesuatu yang mudah, namun Qina lakukannya demi cinta.
Akhirnya, hari bahagia mereka tiba. Qina dan Iman disatukan dalam satu majlis akad nikah yang sederhana tetapi penuh bermakna. Ketika itu, Qina sempat berbual dengan ibunya, Normah, yang duduk di sisi sambil membetulkan veil pengantin di kepalanya.
“Mak... ingat lagi tak pakcik dulu pernah kata saya ni nanti kahwin dengan gelandangan? Tengok sekarang… suami saya kerja kerajaan.”
Normah hanya tersenyum penuh makna. “Allah tu adil, nak. Dia tahu siapa yang ikhlas. Jangan pernah pandang rendah pada diri sendiri.”
Namun, walaupun hati Qina lega kerana bergelar isteri kepada lelaki pilihannya, hatinya sedikit terusik apabila melihat kehadiran ibu mertuanya di majlis persandingan. Puan Rozi hadir, tetapi dengan wajah yang hambar. Tatkala semua orang bersalaman dengan kedua mempelai, memanjangkan doa dan restu, Puan Rozi sekadar menghulur tangan kepada Qina tanpa sepatah ucapan. Senyum pun tiada.
Dia hanya memandang Qina dengan pandangan tajam — seolah-olah sedang menilai seseorang yang tidak layak. Hatinya berbisik, “Anak aku boleh dapat lebih baik dari perempuan ini.”
Malah, sepanjang majlis berlangsung, Puan Rozi tidak berhenti membandingkan. Dalam hatinya, dia melihat keluarga Qina yang serba sederhana — hanya tinggal di rumah kampung yang kecil, tiada tanah sendiri, dan hanya menyewa gerai untuk berniaga kecil-kecilan. Sedangkan dia memiliki sawah bendang, rumah besar pusaka, dan anak-anak lain yang semuanya sudah bekerjaya besar.
Namun, Puan Rozi tidak tahu… masa akan menjawab segala sangkaan.
Qina bukan sekadar seorang wanita biasa. Dia ialah seorang isteri yang sanggup berkorban, menukar kerjaya, mengubah hala hidup, dan menyesuaikan diri dengan dunia yang bukan miliknya.....hanya kerana cinta dan kesetiaan.
Share this novel