BAB 4

Mystery Completed 575

“Hah, itulah ceritanya... Amacam, seram tak?” tanya Yunus kepada budak
junior itu sebelum menghirup air Coke dari cawan plastik.

Dia adalah seorang senior di universiti itu dan dia suka
menakut-nakutkan junior dengan cerita-cerita seram yang di katakan
benar-benar terjadi di kampus itu. Malam itu, dia berkunjung ke sebuah
bilik dan dia mendapati yang hanya ada seorang junior di bilik itu.
Apabila ditanya, jawapan yang diterima adalah belum ada pelajar lain
yang memasuki bilik itu. Yunus tidak kisah sangat malah lebih suka
dengan keadaan sunyi sebegitu, supaya timbul mood yang lebih nyata.

“Seram jugak, tapi...” dia tidak menghabiskan ayatnya kerana bunyi pintu
dibuka dan kedengaran suara rakan Yunus memanggilnya dari luar bilik itu.

Yunus bingkas bangun lalu bergerak menuju ke pintu sebelum ditarik
rakannya keluar dengan pantas. Dia hampir saja jatuh terjerumus tetapi
sempat ditahan oleh rakannya yang lain.

“Eh, apa hal kau ni? Tarik aku macam tu sekali?” tanya Yunus dengan garang.

“Kau buat apa kat dalam tu? Kau dah gila ke?” tanya rakannya.

“Apasal kau kata aku ni gila? Kan aku buat benda biasa yang kita buat
tiap-tiap kali ada junior baru... kita kan suka cerita kat diorang
cerita-cerita seram kat kampus ni.. kenapa aku dikata gila pulak?”
sahutnya dengan nada marah.

“Kau pusing, dan kau tengok sendiri...” balas rakannya sambil memeluk tubuh.

Yunus pun berpaling untuk menghadap ke arah pintu bilik di mana dia baru
saja menghabiskan masa setengah jam bercerita kepada budak junior yang
nama pun dia lupa hendak bertanya. Alangkah terperanjatnya dia apabila
mendapati bahawa itu bukanlah bilik untuk para pelajar, sebaliknya stor
lama yang sudah berdebu dan penuh dengan sampah. Setahunya stor itu
memang ditutup dan para pelajar dilarang untuk berada di kawasan yang
berdekatan dengan stor itu kerana tidak selamat.

Dia dapat melihat daripada pintu yang terbuka itu, bayang-bayang hitam
seakan-akan susuk tubuh junior yang baru saja melayan ceritanya. Dia
juga dapat melihat cawan plastik yang terisi air hitam yang berbau
hanyir, dan dia menyedari air itulah yang diminumnya sebentar tadi
apabila dihulur oleh budak junior itu. Tekaknya terasa loya, perutnya
mulai memulas, kepalanya pening serta-merta dan kakinya terasa lembik
dan tidak bermaya. Yunus pitam dan tidak sedarkan diri sehingga dia
terbangun tiga hari kemudian.

Menurut cerita rakan-rakannya, mereka kehairanan apabila Yunus hilang
secara tiba-tiba lalu mereka memutuskan untuk mencarinya di kawasan
sekitar. Apabila tidak juga berjumpa dengannya, salah seorang rakannya
mencadangkan supaya mereka memeriksa kawasan stor lama itu, manalah
tahu, kalau-kalau Yunus ada di situ. Mereka berasa terperanjat apabila
melihat pintu stor sedikit terbuka kerana setahu mereka pintu itu
sentiasa berkunci. Tambah mengejutkan mereka apabila mendengar suara
Yunus berbual-bual dengan seseorang atau sesuatu lalu mereka nekad
menyelak sedikit pintu stor itu dan memanggil Yunus keluar. Selebihnya,
Yunus mengalaminya sendiri.

Semenjak itu, Yunus dan rakan-rakannya tidak lagi berani menjalankan
aktiviti kesukaan mereka iaitu berkunjung ke bilik-bilik para junior
untuk menakut-nakutkan mereka dengan cerita-cerita seram di kampus itu.
Mereka takut kejadian yang menimpa Yunus, akan berlaku kepada salah
seorang dari mereka malah, siapa tahu, barangkali lebih dahsyat!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience