BAB 1

Mystery Completed 575

Malam semakin lewat tetapi Mahadi tetap dengan kerjanya. Dia sedang
mengulang kaji nota-nota kuliahnya untuk subjek Literary Criticism
yang diambilnya untuk semester itu. Dr. Jalal bukanlah seorang pensyarah
biasa yang akan memudahkan pelajar-pelajarnya ketika menjawab soalan
peperiksaan. Pensyarah itu mempunyai falsafah bahawa dia lebih rela
pelajar tidak menyukainya daripada dia merendahkan kualiti pelajar yang
dihasilkannya. Walaupun begitu, Mahadi tetap menggemari cara Dr. Jalal
menjalankan kelasnya. Setiap kelas pensyarah itu akan padat dengan
perbincangan yang menyeluruh walaupun kadang-kala terlalu banyak isu
yang dibincangkan. Mahadi berpendapat, cara sedemikian lebih memantapkan
dirinya sebagai seorang pelajar di sebuah universiti. Bukannya mencari
jalan singkat untuk lulus sesuatu subjek dengan mudah seperti yang
dilakukan oleh sesetengah rakan-rakannya.

Jam menunjukkan 2.30 pagi dan Mahadi berhenti sejenak untuk melegakan
urat-urat yang tegang. Dia baru saja menghabiskan Apology for Poetry
oleh Philip Sidney dan ianya adalah satu bacaan yang agak berat.
Perdebatan yang mengatakan sajak dan puisi adalah membuang masa dan
merosakkan jiwa adalah topik yang dibincangkan Sidney di dalam karyanya itu.

Mahadi menggeliat sedikit sebelum mencapai gitar tongnya dan memetik
perlahan tali-temali gitar kesayangannya itu. Dia tidak memainkannya
kuat-kuat seperti biasa kerana hari sudah lewat malam dan sedang
beranjak ke siang hari. Dia berseorangan di dalam bilik yang di kongsi
bersama tiga orang rakannya. Rakan-rakannya yang lain keluar untuk
menonton perlawanan bola dan mereka tidak akan balik sehingga pagi.
Maklum sajalah, hujung-hujung minggu, memang itulah kebiasaan mereka.
Ada juga mereka mengajaknya keluar sekali, tetapi dia menolak dengan
baik. Mereka pun tidak bertanya lagi dan dia pun tidak kisah tinggal
seorang di dalam bilik.

“Nak takut apa, kata anak lelaki...” getusnya perlahan sambil tertawa
kecil. Jari-jemarinya terus-terusan memetik tali gitar dan memainkan
beberapa lagu berunsurkan sentimental.

Tiba-tiba saja angin yang kencang bertiup dari tingkapnya yang terbuka
membuatkan dia tersentak dan berhenti dari memainkan gitarnya itu.
Secara tiba-tiba juga, bulu tengkuknya berdiri dan dia mula rasa tidak
sedap hati. Beberapa ketika berlalu sebelum dia berasa normal semula.

“Ah, tak ada apa-apalah, angin saja... Aku je yang fikir macam-macam...”
katanya sendiri sekadar menyedapkan hati.

Baru saja dia hendak memulakan kembali pembacaannya, dia mendengar ada
bunyi tapak kaki yang sedang melangkah perlahan-lahan dari arah tingkapnya.

“Siapa pula yang jalan malam-malam macam ni?” tanya sendiri dan bagaikan
menjawab soalannya, dia melihat ada seorang lelaki yang sedang berjalan
di tepi tingkapnya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience