“AKHIRNYA…Rosewarda tunjuk juga muka tunang dia. Patutlah selama ni sorok. Dapat yang herlok rupanya! Sesuailah dengan dia yang jutawan. Tunang dia tu pun dengar kata jutawan jugak. Habislah dia nanti kalau tak pandai jaga…”
Izyan yang mendengar mula menjulingkan mata hitam ke atas. Macam mak cik bawang. Kuat bergosip! Tak padan dengan lelaki, mengalahkan dia yang perempuan.
“You kenal tak tunang dia?”
“Manalah I kenal. Tunang dia pun I tak tahu sape.” Malas Izyan menjawab lalu menyisip air minumannya yang masih berbaki.
“You ni kalau bab-bab artis Malaysia tak pernah nak ambik tahu.” Merungut.
“You ingat I ada masa nak ambik tahu bab-bab retis ni. Kerja I kat opis berlambak lagi tau.”
“Cuba you tengok tunang dia. Mana tahu kenal. Silap-silap client you.”
Geram dengan desakan Rafiqi, Izyan melemparkan pandangan pada televisyen yang terpasang di kafe. Rata-rata pelanggan memang menumpukan perhatian pada berita panas ini.
Argh, siapa saja yang tidak mahu terlepas berita tentang perkembangan Rosewarda, seorang usahawan dan selebriti yang sangat terkenal di Malaysia. Walaupun dia tidak minat dengan dunia hiburan, tetapi populariti yang dikecapi Rosewarda sedikit sebanyak dalam pengetahuannya.
Mata Izyan mula melirik pada wajah Rosewarda di kaca televisyen. Sebagai wanita, dia tidak mampu menafikan yang gadis itu sangat cantik. Tambahan Rosewarda seorang yang berdarah campur.
“Kami dah lama kenal, satu kampung. Tapi habis SPM masing-masing bawak haluan sendiri. Cuma tak sangka, atas takdir Allah, kami berjumpa balik…”
Dipasang telinga mendengar kata-kata Rosewarda. Melihat kamera mengfokuskan pada wajah seorang lelaki di sebelah gadis itu, kerutan halus mula terbentuk di dahi. Lelaki itu dipandang. Cuba untuk mengingat sesuatu.
“Zahrin lelaki terbaik yang pernah saya kenal. Dia penyayang, penyabar, caring…dia faham kerjaya saya…”
Membulat mata Izyan saat sepotong nama itu masuk ke gegendang telinga. Ya, dia sudah ingat.
Lelaki itu!
Apa dia salah orang? Wajah itu ditatap.
Ya, dia salah orang. Yakin!
Lelaki yang terlihat di skrin televisyen sangat berbeza dengan lelaki yang pernah dikenalinya. Tak mungkin dia.
Pelanduk dua serupa? Itu pasti. Tapi saat mata menangkap sebaris mana yang tertera, liur ditelan.
Ahmad Zahrin Rakin!
Nama itu sama. Apa ini hanya kebetulan? Ya, dia percaya ini hanya kebetulan. Kebetulan semata-mata. Kalau di dunia ni ada tujuh yang berwajah serupa, setakat nama yang sama pasti berlambak.
“Sayang, you kenal tak?” Soalan diulang lantas mematikan lamunan Izyan.
“Tak. Kenapa?”
“I ingat you kenal. Dah viral dah tunang dia kat twitter. Laju netizen pergi spotcheck background dia. Memang jutawan rupanya. Dia banyak buat bisnes. Tapi yang mainnya ZR Automobile tu. Tak sangka owner dia muda lagi. Tapi yang bagus, dia berjaya atas usaha dia sendiri. You bayangkan umur baru 30 aset dia dah lebih 10 juta. Dulu dia ni dengan family dia orang susah tapi…”
“Fiq…” potong Izyan enggan lelaki itu meneruskan bicara. Tidak berminat mengetahui sejarah hidup tunang Rosewarda yang sememangnya dalam pengetahuannya.
“Dia dah kahwin, kita ni bila lagi? Dah dua tahun dah, tunang pun belum.”
“Sikit masa je lagi. I tengah kumpul duit. Mama you demand sangat. Hantaran je nak RM 50 k. Belum masuk majlis lagi. Mahu setengah juta nak pakai duit.”
“Alasan! Setakat setengah juta bukan you tak mampu.”
Rafiqi ketawa. “Sabar ya sayang. Sampai masa kita pasti kahwin. I nak penuhkan segala ilmu dulu sebelum kita kahwin. Nanti I boleh didik you jadi isteri solehah. Kita nak bercinta sampai syurga, kan.”
“Fiq, I nak pergi ladies jap.”
Izyan bangun lalu langkah diatur ke tandas. Selesai urusan dia menuju ke singki.
“Itu rosak…” beritahunya pada gadis yang ingin masuk ke tandas. Melihat gadis itu berpaling, Izyan tergaman.
Rosewarda!
Tadi dia melihat di skrin, sekarang gadis itu muncul depan mata. Tak sangka! Kali pertama melihat depan-depan, Rosewarda berkali ganda lebih cantik. Kulit halus, mulus dan licin.
Malah lebih kurus!
Hanya sempat berbalas senyuman, bunyi telefon membuatkan Izyan pantas mencuci tangan. Selesai, telefon segera dikeluarkan dari dalam beg tangan.
“Assalamualaikum ma. Mama nak order makan ke?”
“Izi balik sekarang.”
“Kenapa tu ma?”
“Balik je.”
Talian dimatikan. Telefon diletakkan atas singki lalu Izyan menarik beberapa helai tisu lalu dikesat pada tangannya yang masih basah.
Selesai, langkah terus diatur keluar.
Elok melangkah ke pintu, matanya jatuh pada seorang lelaki yang sedang menunggu sambil bermain telefon. Sebaik kehadirannya disedari, mata mereka mula bergabung.
Diam. Dua-dua terpaku. Terpanar. Hilang kata. Jantung berdegup kencang dengan pertemuan tak terjangka ini. Hati saling berbicara.
“Eh you…ni phone you ke?”
Teguran itu mengembalikan Izyan ke alam realiti. Telefon dipandang.
“Ya, thank you!” Telefonnya diambil.
“Careful tau lain kali…”
“I will.”
“Sayang, kenapa you tunggu kat sini? Kan I suruh you tunggu dalam kereta.”
“I risau takut-takut ada paparazzi ikut you.”
Tidak betah melihat kemesraan pasangan itu, langkah kembali diatur ke meja makan. Sambil berjalan nafas ditarik panjang. Suara garau lelaki itu, sudah memberitahunya yang dia tidak salah orang.
Dia cuba menafikan apa yang dilihat walaupun hakikat mereka sudah bertemu.
Tak percaya! Kenapa mereka ditakdirkan untuk berjumpa lagi? Untuk apa? Masing-masing sudah ada kehidupan sendiri.
“Lamanya you…buat apa kat tandas tu?”
Soalan itu diabaikan. Cuba ditenangkan diri. Bukan tidak bangkit daripada kisah lepas. Cuma pertemuan ini buatkan dia teringat kisah lalu. Mereka pernah ada sejarah.
Sedang membetulkan duduk matanya kembali menangkap pasangan tadi berjalan di kaki lima. Di saat Rosewarda sibuk melayan peminat untuk bergambar, matanya memandang lelaki yang menjadi tunangan gadis itu.
Entah kenapa, matanya mahu melihat lelaki itu.
Dan tidak disangka, lelaki itu turut memandangnya.
Memandang dengan tajam!
Share this novel