Rate

BAB 2

Drama Completed 154

Iris hanya mendengarkan leteran Ogos tanpa berbuat apa-apa. Iris juga mengongsi rasa sebenar Ogos, tapi dia tidak tahu cara terbaik untuk menghilangkan rasa kurang senangnya. Mungkin kerana tidak nampak Iris bertindak, selang tidak lama selepas itu, orang yang sama mendakwa lagi. Kali ini dia menimbulkan topik yang lebih penting dan besar – sistem. Dia mempertikaikan sistem kampung yang kurang sempurna dan banyak kelemahannya.

Iris yang pada mulanya hanya datang kerana ingin membeli kayu-kayan yang tumbuh di sepanjang sungai dan ikan-ikan yang hidup di dalam sungai, terdiam sejenak mendengarkan kata-kata Ogos. Memang niat awal kedatangan mereka ke situ sekadar untuk berdagang. Tetapi, tanpa sistem yang matang, kepentingan perniagaan mereka pastinya tidak terjamin. Iris tidak boleh menuduh kampung ini tiada sistem. Kampung ini memang sudah lama mempunyai sistem. Sistem yang dimaksudkan, misalannya bangun untuk mencari nafkah ketika ayam mula berkokok dan pulang bila matahari menghilangkan diri ke sebalik bukit di bahagian barat sungai itu. Penduduk kampung tidak merasa kurang senang dengan sistem yang sudah lama digunakan di situ. Penduduk-penduduk kampung tidak merasa janggal dengan cara hidup yang sekian lama dipraktikkan. Yang merasa kurang selesa dan senang ialah Iris dan orang-orangnya.

“Bagaimana aku mahu menukar tabiat lama penduduk di sini?” Iris mengajukan soalan kepada orang-orangnya. “Sudah sekian lama mereka kekal dengan cara mereka. Kalau kita memperkenalkan cara baru, pastinya ditentang secara habis-habisan.”

Iris menyangka orang-orangnya mempunyai cadangan dan rancangan yang lebih bagus. Iris tidak menyangka, mulut yang melontarkan cadangan juga membisu seribu bahasa.

Setelah terdiam agak lama, seorang pengikut Iris berkata, “Kita tawan saja mereka. Kemudian kita paksa mereka menggunakan sistem kita.”

Seorang lagi menyokong, “Ya. Kita terpaksa menggunakan kekerasan.”

Berdasarkan sistem yang dipraktikkan tempat asal Iris – semua tindakan berdasarkan golongan majoriti, maka suatu rancangan diatur untuk menawan kampung itu. Ketua kampung dilucutkan kuasanya. Anak ketua kampung yang ditangkap, kemudiannya dihantar ke tempat asal Iris untuk dididik dengan sistem negara Iris.

Rancangan Iris memang mendatangkan hasil yang cukup menggalakkan. Setelah ditawan dan dijajah, generasi baru penduduk kampung semuanya dihantar ke negara Iris untuk menerima pendidikan. Mereka yang dibesarkan dalam suasana serba baru itu, akhirnya sudah melupakan asal usul mereka. Semua ingatan mereka sekadar berdasarkan pendidikan yang diterima mereka. Kiranya diperkatakan secara positif, mereka adalah manusia generasi baru. Dari akar umbi penduduk pinggir sungai, sekarang mereka dibawa ke suatu pentas yang lebih luas.

Pemerintahan Iris dan orang-orangnya tidak berkekalan. Mungkin kerana kebangkitan beberapa kuasa baru, mungkin juga kerana ideologi-ideologi baru yang berleluasa, cengkaman orang Iris terhadap kampung yang ditawan mereka semakin lemah. Orang Iris pernah menikmati harta kekayaan kampung seperti kampung di pinggir sungai. Tetapi, jangkamasa mereka menikmati kekayaan itu sudah berakhir. Akhirnya dengan kebangkitan semangat tidak mahu diperintah, orang-orang Iris diusir keluar. Mereka dipaksa meninggalkan kampung yang pernah mereka tawan. Perbezaannya, hanyalah ada kampung yang mereka tinggalkan secara aman, ada pula kampung yang mereka tinggalkan setelah kejadian tumpah darah.

Kampung yang pernah ditawan dan dijajah, kini bertukar pentadbir. Semuanya seperti masih serupa, kecuali bertukar pentadbir. Tetapi, dengan berlalunya masa, jelas masyarakat kampung yang dulunya hanya sepuluh keluarga, sekarang sudah berlipat ganda, bahkan meningkat menjadi berpuluh ribu keluarga. Dengan berlipat gandanya bilangan penduduk, di antara mereka ada pula orang yang datang dari kampung lain, keadaannya pasti menjadi lebih kompleks dan rumit. Mereka sekarang menghadapi masalah budaya, bahasa dan sistem.

Masa berlalu dan keadaan sudah berubah, bolehkah mereka kembali kepada sistem sebelum kedatangan Iris dan orangnya? Kiranya mereka kekalkan sistem yang digunakan zaman Iris dan orangnya, di manakah identiti mereka? Kiranya sistem yang sedia ada perlu digubal, apa yang patut ditukar dan dibuang? Apa pula yang perlu dikekalkan? Semua itu didebat dengan hangat di setiap perhimpunan.

Soal sistem bukan soal yang kritikal. Soal yang lebih membimbangkan adalah masalah budaya dan bahasa. Campuran bahasa dan budaya bukannya suatu proses mudah. Yang paling membimbangkan adalah generasi baru penduduk kampung yang cuba menegakkan budaya dan bahasa kaum Iris. Mereka ini sudah lama dididik, dilatih dan terpengaruh dengan budaya dan bahasa kaum Iris. Mereka sudah terlupa asal usul mereka. Kiranya mereka ingat sekalipun, hanya tinggal ingatan yang tidak sempurna dan lemah.

Bagaimana pun, pertukaran pucuk pemimpin atau golongan pentadbir tidak boleh ditangguhkan. Pada tarikh dan masa yang dipersetujui, orang-orang Iris pun meninggalkan pentas pentadbiran kampung itu. Kiranya ada golongan mereka yang masih kekal tinggal di kampung itu, peranan mereka sudah berubah. Mereka sekarang hanya menjadi pedagang, tukang atau memegang jawatan mengikut bakat masing-masing, mereka tidak lagi bergiat aktif dalam soal pentadbiran.

Ketika mengambil alih pucuk pimpinan, pentadbir baru memang mempunyai niat yang mulia dan suci. Mereka mahu kembali membangunkan tamadun dan budaya yang pernah hilang. Mereka mahu mengembalikan kegemilangan masa silam. Niat begitu memang sedap didengar. Kerana laungan slogan yang cukup meyakinkan itulah, penduduk kampung melantik dan memilih mereka untuk menjadi pemimpin. Kiranya bukan kerana termakan janji manis dan tunduk di bawah naungan orang itu, masakan penduduk kampung yang lain sanggup mengangkat mereka menjadi wakil pentadbiran!

Penduduk kampung memang naive. Mereka menyangka dengan memilih pemimpin, semua mimpi mereka pasti tercapai dan semua masalah terbabit pasti diselesaikan dengan baik. Mereka terlalu mempercayai kebolehan pemimpin. Mereka tidak tahu, pemimpin juga manusia seperti mereka. Bahkan, ada pemimpin yang dididik dan dilatih dengan budaya dan bahasa luar. Mereka ini lebih senang menggunakan lidah orang untuk meluahkan kemahuan diri. Mungkin kerana pernah ditawan dan dijajah, generasi pemimpin ini merasakan bahasa dan budaya orang lain lebih canggih dan hebat daripada darah yang diwarisi mereka dan warisan di tubuh mereka.

Pada mulanya, semua orang mempercayai, dengan berlalunya masa, semua kesan penawanan dan penjajahan menjadi semakin luput dan pupus. Kes itu akan menjadi seperti kes kebudayaan dan bahasa mereka yang pernah semakin lemah dan tidak bertenaga ketika mereka ditadbir dan diperintah pihak luar. Dengan berlalunya masa, keadaan itu masih tidak berubah. Sekalipun ada pihak yang melaung-laung untuk menghidupkan semula budaya dan bahasa asal, usaha itu tidak menampakkan hasil yang menggalakkan. Setelah mengambil alih pucuk pimpinan dan menjadi pentadbir, masih kekal begitu, pasti bukan tanggungjawab kaum pendatang lagi. Sesekali ketika Chia Fei dan Am yang sudah lanjut usia bertemu, mereka sering saling menyoal.

“Kiranya dikatakan zaman dulu kita tidak boleh mendaulatkan budaya dan bahasa kita kerana golongan pentadbir bukan orang kita. Sekarang setelah mengambil alih pucuk pemerintah, kita masih seperti waktu itu, apa pula alasan kita?” Tanya Am.

“Kenapa dikatakan bahasa dan budaya kita tidak serasi dengan perkembangan zaman? Kenapa dikatakan bahasa kita bukan bahasa teknologi dan bahasa sains?” Am bertanya lagi. “Apa itu sebenarnya teknologi dan sains itu?”

Chia Fei menjawab dengan suara yang kurang yakin, “Entahlah .... Mungkin dalam proses ditawan dan dijajah itu, kita sudah kehilangan lidah kita ....”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience