BAB 4

Romance Completed 868

Mesra bukan main Datuk Idham dan Datin Imah melayan kenalan baru mereka, Tengku Ahmad dan Tengku Asnah, ibu bapa kepada Tengku Adrian. Siap ajak makan sekali lagi dan yang tak senang duduk bagai cacing kepanasannya pastilah Bunga Idriani. Lain pula dengan Tengku Adrian. Lelaki itu turut rancak berbual bersama orang tua mereka.

“Rian, senyap aje. Kenapa?” soal Datuk Idham dan semua mata sudah tertumpu padanya.

Bunga Idriani menggeleng laju. “Tak ada apa-apa. Segan saja.”

Datin Imah senyum. “Rian ni memang macam ni. Kalau dah lama kenal, rancaklah dia.”

“Saya nak ambilkan pencuci mulut. Bunga nak apa-apa?”

Bunga Idriani menoleh memandang lelaki di sebelahnya, tidak percaya lelaki itu baik benar hendak mengambil pencuci mulut untuknya.

“No, thanks,” jawab Bunga Idriani pendek dan kesemua orang tua mereka sedang tersenyum penuh makna.

“Rian dah berpunya ke, Imah?” soal Tengku Asnah terang-terang di depan Bunga Idriani. Merah sungguh muka Bunga Idriani tika itu menahan malu dan rasa terkejut. Mujur Tengku Adrian tiada masa itu.

“Belum, Nah. Sedang mencari. Adrian tu sudah ada yang punya ke?” balas Datin Imah.

“Isk, kamu ni Imah. Orang kacak dan bekerjaya macam Adrian tu takkanlah solo lagi,” sampuk Datuk Idham sambil ketawa kecil.

“Itulah masalahnya, datuk. Umur sudah meningkat, kerjaya dah stabil, rupa pun boleh tahan tapi tak ada yang punya. Memilih sangat. Yang itu tak nak, yang ini tak nak. Entah macam mana lagi kami nak cari untuk dia,” kata Tengku Ahmad.

“Dah ada depan mata mama dan papa. Cepatlah masuk meminang.”

Dup! Mahu jatuh jantung Bunga Idriani dibuatnya mendengar kenyataan daripada suara itu. Entah bila masa dia muncul. Cepat gila!

“Kamu biar betul Adrian?” Keceriaan Tengku Asnah tidak dapat dibendung lagi. Dia kenal benar anak terunanya. Kalau dia suka, dia akan cakap depan-depan.

Tengku Adrian meletakkan semangkuk buah dan melabuhkan punggung di tempatnya tadi.

“Iyalah, mama. Kalau Aunty dan Uncle setuju dan yang penting Bunga setuju.”

‘Oh, Tuhan?’ Bunga Idriani bagai mahu menyorok di bawah meja.

“Rian macam mana?” soal Datin Imah. Tak sabar-sabar nampaknya untuk bermenantukan Tengku Adrian. Pelik sungguh. Biasanya tentu Datin Imah akan menyiasat latar belakang lelaki yang berkawan denga Bunga Idriani terlebih dahulu. Ini jumpa sekali, sudah terpikat.

“Orang kata, senyap tu tanda setuju. Balik nanti bolehlah kita satukan mereka, Imah.” Kedua-dua ibu sedang membuat kata sepakat. Pihak bapa hanya tersenyum simpul.

“Awak cantik bertudung,” bisik Tengku Adrian tiba-tiba dan kemudian dia selamba saja menyuapkan buah ke dalam mulutnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience