BAB 2

Romance Completed 462153

SYAZWIN menarik zip menutup bagasi yang akan dibawanya ke Sarawak esok setelah barang terakhir yang merupakan kotak berisi alat penguji kehamilan yang telah dibalut cantik dimasukkan ke dalamnya. Tidak sabar dia mahu bertemu Eidlan dan membuat kejutan untuk suaminya itu.

Direbahkan tubuh rampingnya ke katil. Telefon di atas meja tepi katil dicapai, melihat jika ada mesej daripada Eidlan. Namun dia kecewa apabila melihat mesej terakhir yang dihantar Eidlan adalah pagi tadi, membalas mesej ‘I miss you’ yang dihantarnya sebelum ke sekolah.

Hatinya tidak enak namun dia cepat-cepat beristighfar mengusir bisikan-bisikan jahat yang memenuhi fikiran. Usia perkahwinannya dengan Eidlan baru mencecah dua tahun. Masih terlalu baru dan dia yakin Eidlan tidak akan mengkhianatinya. Eidlan mencintainya dan dia sangat yakin itu.

Syazwin memandang skrin telefonnya yang gelap. Bunyi notifikasi mesej sudah tidak serancak dulu. Jika dulu, setiap lima belas minit atau paling lama setengah jam, Eidlan akan menghantar mesej, baik itu untuk bertanya apa yang dilakukannya atau memberitahu aktivitinya di sana. Dia rindu saat itu, rindu perhatian-perhatian kecil daripada Eidlan. Sekarang, jika dia tidak menghantar mesej terlebih dahulu, alamat tidak berbunyilah telefon itu. Kadang-kadang terfikir juga mahu merajuk dan mogok daripada menghantar mesej kepada Eidlan, namun selalunya berkesudahan dia akan sunyi. Lalu, dibuang rasa merajuk itu dan menghantar mesej kepada Eidlan seperti biasa. Jika dia senyap, Eidlan juga senyap, akan ke mana perkahwinan mereka ini? Lebih baik dia mengalah. Lagipun, tidak salah juga kan memberi dan menagih perhatian daripada suami sendiri?

Berpegang kepada keyakinan itu, buat ke sekian kalinya, Syazwin mengalah lalu menaip mesej kepada Eidlan.

'Assalamualaikum abang… Dah tidur ke? Awin nak tidur dah ni. Good night. I love you.'

Hantar!

Diletakkan telefon itu di atas dadanya, menunggu balasan Eidlan. Sejak Eidlan jarang menghubungi dan menghantar mesej kepadanya, dia telah meletakkan telefonnya dalam mod senyap supaya dia tidak ternanti-nanti panggilan dan mesej daripada suaminya itu. Ianya semacam suatu cara untuk dia mencipta rasa terkejut atau teruja, saat dia melihat telefon dan ada panggilan tidak dijawab atau mesej daripada Eidlan.

Syazwin cuba melelapkan mata sambil sesekali dia akan melihat skrin telefon jika ada balasan daripada Eidlan, namun tidak ada.

Kecewa sehingga air matanya jatuh walaupun dia tidak berniat untuk menangis. Dia takut andai Eidlan berubah hati. Dia takut jika cinta Eidlan beralih arah. Dia takut jika Eidlan berlaku curang di belakangnya. Dia takut jika harus kehilangan Eidlan di saat dia sedang mengandung benih lelaki itu.

“Abang…” Syazwin menggumam dengan air mata yang sudah membasahi bantal di bawah kepalanya. Entah mengapa dia begitu sensitif malam ini. Entah itu kerana hormon ibu hamil atau kerana terlalu takut andaian buruk dalam kepalanya itu akan menjadi kenyataan.

Tidak mahu membiarkan prasangka itu menular sehingga merosakkan fikirannya, dia mendail nombor Eidlan.

Beberapa kali deringan, panggilannya bersambut. Namun, bukan suara Eidlan yang dia dengar, sebaliknya Firdaus.

“Fir, Eid ada?” tanyanya.

“Oh… Eid… Dia… Dia dah tidur. Ni telefon dia caj kat bawah. Ada apa Win?”

“Oh...” Syazwin mendesah lega. Benar kan, semuanya baik-baik sahaja. Cuma dia yang berfikir terlalu banyak. “Tak ada apa. Esok mintak dia call aku balik, boleh?”

“Okey.”

Syazwin memutuskan panggilan dan tersenyum lega. Sekarang dia sudah boleh tidur lena, membayangkan malam esok dia akan tidur dalam pelukan Eidlan.

FIRDAUS memandang skrin telefon Eidlan selepas Syazwin memutuskan panggilan. Sarat dadanya dengan rasa bersalah kerana berbohong. Sebetulnya, Eidlan bukan tidur, namun keluar bersama Nadia selepas waktu sekolah tadi. Telefonnya ditinggalkan kerana Eidlan memiliki telefon lain yang digunakan untuk berhubung dengan Nadia.

“Aku mintak maaf, Win.”

Telefon itu kembali diletakkan di atas meja, sebelum dia menyambung kerjanya yang tertangguh sebentar tadi mengemas pakaian yang akan dibawa pulang esok. Dia akan menaiki penerbangan dari Sibu ke Senai. Liyana akan menjemputnya di lapangan terbang dan selepas itu mereka akan pulang bersama-sama ke Perak.

Ketika dia baru selesai mengemas, terjengul wajah Eidlan di muka pintu biliknya. Baru pulang selepas meluangkan masa bersama Nadia.

“Woah, dah siap kemas. Semangat betul,” ujar Eidlan lalu merebahkan tubuhnya ke katil.

“Awin call tadi. Dia suruh kau call dia balik esok.” Tidak mempedulikan usikan Eidlan, Firdaus terus menyampaikan pesanan Syazwin.

“Oh, ya ke…” Eidlan menjawab acuh tak acuh kerana sibuk menaip mesej pada telefonnya.

“Aku harap esok Syazwin datang, tengok kau dengan Nadia, lepas tu dia mintak cerai. Baru kau tahu rasa.” Lancar sahaja
kata-kata itu meluncur dari mulut Firdaus saking geramnya dia dengan Eidlan.

Namun sepertinya telinga Eidlan sudah tidak mendengar apa-apa. Dunianya cuma dengan Nadia sehingga dia terlupa langsung dengan isteri yang setia menunggunya di Semenanjung.

SYAZWIN memandang telefonnya yang masih sepi daripada mesej dan panggilan Eidlan. Disimpan semula telefon itu di dalam beg sandangnya. Dua jam lagi sebelum penerbangan ke Sibu dan dia sudah tidak sabar bertemu Eidlan. Berdebar juga kerana dia tidak biasa pergi ke mana-mana sendirian. Semasa ke Sibu pada cuti Thaipusam awal tahun lalu pun, Eidlan sudah menunggunya di lapangan terbang. Kali ini dia sendirian. Hanya berbekalkan alamat rumah sewa Eidlan untuk diberi kepada pemandu teksi nanti.

Berasa bosan, Syazwin mengambil semula telefonnya dari dalam beg lalu menghubungi nombor Eidlan, namun masuk ke peti suara. Tidak berpuas hati, dia mendail sekali lagi. Masih sama.

Syazwin berdecit. Ke mana pula Eidlan? Tidak mungkin masih tidur. Jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah hari.

Gagal menghubungi Eidlan, Syazwin mendail nombor Firdaus.

FIRDAUS, Eidlan dan Nadia berada di dalam teksi menuju ke lapangan terbang. Mahu menjimatkan wang teksi, dia terpaksa menaiki teksi bersama pasangan itu. Lagipun masa penerbangannya ke Johor Bahru hanya berselang dua jam dengan penerbangan Eidlan dan Nadia ke Kota Kinabalu. Tidak apalah menunggu lama sedikit daripada melayang seratus ringgit membayar wang teksi. Natijahnya, dia terpaksa dihadapkan dengan kemesraan yang terlihat sangat tidak wajar ditunjukkan oleh pasangan yang bukan suami isteri.

Terbakar juga dadanya melihat kemesraan dua sejoli yang duduk di bahagian belakang itu. Nadia merapatkan tubuhnya dengan Eidlan, sambil menonton entah video apa pada telefonnya. Sesekali mereka terkekeh-kekeh ketawa. Muak sungguh Firdaus melihat adegan secara langsung itu. Pemandu teksi di sebelahnya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Mungkin menyangka dua orang itu adalah suami isteri.

Tidak dapat dia bayangkan jika sampai Syazwin tahu pengkhianatan suaminya itu. Syazwin bukan wanita tegar. Dia manja, lemah, dan jenis bergantung. Eidlan juga yang bercerita kepadanya, mahu mengisi minyak kereta pun Syazwin tidak pandai.

Mahu bayar di mana dan bagaimana, mahu isi minyak yang mana, malah mahu membuka tempat isian minyak pun dia tidak tahu. Syazwin memang manja. Kata Eidlan, dia terpaksa membawa Syazwin ke stesen minyak, buat tutorial cara mengisi minyak, bermula dari cara buka tempat isian minyak sehinggalah cara menutupnya kembali. Dia hanya tertawa
ketika itu kerana dia tidak pernah tahu, wujud rupanya wanita seperti Syazwin. Kalau wanita yang tidak pandai menukar tayar, atau tidak tahu memeriksa enjin, itu biasa kerana kebanyakan wanita memang begitu.

Firdaus melepaskan keluhan. Rasa berdosa kerana terasa seperti dia bersubahat pula menyembunyikan perselingkuhan Eidlan.

Tapi, apa yang patut dia buat sekarang? Apa mungkin dia memberitahu Liyana dan meminta Liyana menyampaikannya kepada Syazwin? Ah, silap-silap dia pun akan menerima tempias kemarahan Liyana dan Syazwin.

Bunyi telefon dari saku seluar membuyarkan lamunannya. Segera digagau telefon itu sebelum melihat nama pemanggil.

Syazwin!

“Helo, Win.” Sengaja dikuatkan suaranya sewaktu menyebut nama panggilan Syazwin untuk menarik perhatian Eidlan di belakang.

“Eidlan? Ada. Sekejap.” Tanpa menoleh, Firdaus menghulurkan telefonnya kepada Eidlan di belakang.

Nadia cemberut, segera menjauhkan tubuhnya daripada Eidlan. Eidlan serba salah. Mahu memujuk, takut didengar Syazwin di hujung sana. Dengan hati berbelah bagi, dia menyambut telefon yang dihulurkan Firdaus sebelum dilekapkan ke telinganya.

“Helo, Win…”

Syazwin di hujung sana mengernyit. Mengapa Eidlan memanggilnya ‘Win’, sedangkan sejak berkahwin, panggilan Win itu digantikan dengan panggilan sayang.

“Win? Kenapa Win?” tanya Syazwin ketus.

Eidlan diam. Dia faham maksud pertanyaan Syazwin itu Matanya melirik Nadia yang berpeluk tubuh, membuang pandang ke luar.

“Kenapa abang panggil Win? Sejak kahwin kan abang panggil sayang.”

Suara Syazwin mengalihkan perhatian Eidlan daripada Nadia.

“Oh… S… Sayang…”

“Abang kat mana tu?”

“Emm… Sayang dekat mana? Kenapa abang dengar macam bunyi bising?” Eidlan cuba mengelak daripada menjawab pertanyaan Syazwin. Lagipun, dia dapat mendengar suara orang lain bercakap-cakap melalui corong telefon.

“Awin dekat luar. Nak pergi jalan-jalan kejap sebelum balik kampung.”

“Jalan-jalan mana? Dengan siapa?”

“Dekat-dekat ni je. Awin sorang.”

Dahi Eidlan berkerut. Sejak bila Syazwin berani keluar bersendirian? Setahunya, mahu ke kafe di dalam kawasan kolej dulu pun, Syazwin perlu berteman. Rasa khuatir akan keselamatan Syazwin mula menyerbu dirinya.

“Sayang masih kat JB ke? Belum balik kampung?”

“Ha’ah masih kat JB. Abang kenapa tak call Awin? Awin call abang pun masuk voicemail.”

Eidlan menelan ludah. Berdeham sekali bagi menghilangkan rasa gugup sebelum menjawab, “Entahlah sayang. Telefon abang tu agaknya dah kena beli baru. Baru caj dah kong balik.”

“Oh… Kalau tukar bateri je tak boleh?”

Suara Syazwin yang naif dan mudah percaya itu membuat rasa bersalah menyerang Eidlan tidak semena-mena. Syazwin meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk setia kepada perkahwinan mereka? Namun apa yang sedang dia lakukan sekarang? Pergi bercuti dengan teman wanita di saat isteri sedang menanti kepulangannya?

Dilirik Nadia yang masih mencuka. Tetapi, dia juga tidak boleh mengabaikan Nadia. Dia sudah terlanjur sayang dengan gadis yang berasal dari daerah yang sama dengan Syazwin itu. Dia dan Nadia cenderung kepada minat yang sama. Sukakan aktiviti lasak dan mencabar. Bersama Nadia, dia seperti menemui semula jiwanya yang hilang sejak dia menjalinkan hubungan dengan Syazwin. Bersama Syazwin pula, dia menjadi lelaki paling bertuah kerana berjaya merebut gadis paling popular di fakulti mereka dulu. Sebut saja nama Syazwin, siapa yang tidak kenal. Aktif dalam teater dan kelab kebudayaan.

Ya, Syazwin cenderung ke arah itu, yang sangat bertentangan dengan jiwanya.

“Abang…”

Suara lembut Syazwin di hujung sana membuat dia tersentak.

“Ya…”

“Abang sayang Awin tak?”

Eidlan meneguk liur. Lagi-lagi dia melirik Nadia di sebelah. Berbelah bagi sama ada mahu menjawab pertanyaan Syazwin itu ataupun tidak. Pertanyaan yang bukan kali pertama. Malah, entah sudah kali yang ke berapa, sejak mereka di universiti lagi.

“Kenapa perlu tanya lagi? Awin tak percayakan abang ke?”

“Bukan macam tu. Awin cuma nak dengar abang cakap abang sayang Awin. Sekali je… Please…”

Eidlan diam. Meneguk liur berkali-kali. Menurut kemahuan Syazwin, Nadia yang akan terluka. Tetapi tidak diturut, Syazwin pula yang akan curiga. Ah, pusing!

“Win, abang tak boleh cakap lama-lama sebab ni telefon Fir. Nanti abang call balik ya?” Eidlan akhirnya menemui alasan paling munasabah.

Agak lama Syazwin diam sebelum membalas ‘okey’. Eidlan mendesah lega lalu menyerahkan semula telefon itu kepada Firdaus. Kemudian, dia menggeser tubuhnya mendekati Nadia. Dicapai tangan kekasihnya itu lalu meramasnya lembut. Nadia tidak menanggapinya. Sebal kerana kebersamaan dia dan Eidlan diganggu oleh Syazwin.

“Janganlah marah. Lepas ni kan kita nak spend masa berdua, tak ada sesiapa akan ganggu kita.” Eidlan memujuk.

Firdaus di depan mengepal tangannya. Bergetar tubuhnya menahan marah. Dia benci dengan sikap hipokrit Eidlan. Kalau mahu bersama Nadia, mengapa tidak berterus terang saja dengan Syazwin? Ceraikan Syazwin supaya Syazwin boleh mencari lelaki yang lebih pantas menjadi suaminya.

Ah, balik nanti dia perlu memberitahu Liyana kecurangan Eidlan. Biar Liyana menyampaikannya kepada Syazwin. Bukan dia mahu menjadi batu api, tetapi dia tidak mahu bersubahat dengan perkara sumbang. Dia juga bukan tidak pernah menasihati Eidlan, dan dia rasa nasihat bukan lagi cara terbaik untuk menyedarkan Eidlan. Eidlan sahabatnya, Syazwin juga sahabatnya dan dia tidak akan membiarkan salah seorang sahabatnya terluka. Terlebih, Syazwin adalah sahabat Liyana. Jika sampai Liyana tahu dia menyembunyikan perselingkuhan Eidlan, mahu mengamuk besar tunangnya itu.

Share this novel

Guest User
2024-08-17 21:51:34 

hi


NovelPlus Premium

The best ads free experience