BAB 1

Romance Completed 462112

SYAZWIN memandang alat penguji kehamilan di tangannya dengan mata berkaca. Dua garis merah itu menandakan penantian dia dan Eidlan selama dua tahun berakhir jua. Dia dan Eidlan menjalani perkahwinan jarak jauh. Eidlan di Sarikei, Sarawak manakala dia di Johor Bahru. Ya, mereka berdua sama-sama bekerja sebagai pendidik. Berkahwin di tahun akhir pengajian dengan harapan mereka akan di tempatkan di daerah atau setidaknya di negeri yang sama, namun takdir berkata lain. Apa yang mereka harapkan, tidak sesuai dengan apa yang dirancang Tuhan.
Baik Syazwin mahupun Eidlan, mereka sama-sama reda. Tidak apa jika harus berjauhan sementara waktu, yang penting mereka mendapat penempatan. Ada kerja dan mampu menampung kehidupan mereka tanpa perlu menyusahkan keluarga.

Selama dua tahun ini, mereka hanya bertemu pada waktu cuti sekolah. Dalam tempoh itu, baru sekali Syazwin pergi ke tempat Eidlan di Sarawak iaitu ketika cuti Thaipusam yang bersambung dengan hujung minggu.
Syazwin mencapai telefonnya di atas katil lalu menghubungi nombor Eidlan. Seminit deringan, orang di hujung sana tidak kunjung menjawab. Dia mendail sekali lagi, namun hasilnya masih sama. Syazwin berdecit kesal. Sejak akhir-akhir ini Eidlan susah sekali menjawab panggilannya. Terbit juga rasa curiga, namun dia membuang rasa itu jauh-jauh, tidak mahu mencetus perbalahan kerana rasa curiga yang tidak berasas.

Tidak mungkin Eidlan menduakannya, Mereka sudah menjalin hubungan cukup lama, sejak di tahun pertama universiti lagi dan Eidlan lelaki yang setia. Dia yakin itu.

Gagal menghubungi Eidlan, Syazwin menaip mesej kepada suaminya itu.

Abang, minggu depan cuti sekolah kan? Abang dah book tiket? Balik hari apa?

Hantar!

Dicampak telefon itu ke katil saking geram kerana Eidlan tidak menjawab panggilannya. Kakinya dibawa menuju ke ruang tamu, tempat rakan-rakannya bersantai sambil menonton TV. Dia menyewa rumah teres bersama tiga rakan lain. Antara mereka berempat, hanya dia yang sudah berkahwin

“Apa hal kau tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba bad mood ni?” tanya Kamilah.

“Eid tak jawab call aku.” Syazwin menjawab dengan nada sedikit membentak. Mereka berempat bergraduat dari universiti yang sama namun berbeza opsyen. Kamilah serta dua rakan serumahnya yang lain tahu tentang kisah cintanya dengan Eidlan.

“Dia ada hal la tu. Nanti-nanti dia call balik.” Liyana pula memujuk. Dikerling Syazwin sekilas sebelum kembali fokus kepada drama di TV.

“Aku pregnant.”

Dua patah perkataan dari mulut Syazwin yang membuat tiga pasang mata di ruang itu sontak menoleh dan memandangnya dengan wajah teruja selepas terkebil-kebil beberapa saat.

“Serius babe?” tanya Marisa. Bukan tidak percaya, namun mahu memastikan.

Syazwin mengangguk.

“Congrats wei. Cepat-cepat bagitau Eid,” kata Kamilah.

“Itu yang aku bengang bila dia tak jawab call.”

“Apa kata kau buat surprise. Jangan bagitahu dulu. Kau simpan elok-elok kau punya pregnancy test kit tu, letak dalam kotak, balut cantik-cantik. Jumpa Eid nanti, kau kasi kotak tu kat dia.” Liyana memberikan cadangan yang berhasil membuat wajah murung Syazwin menjadi cerah semula.

“You know what, Yana? That’s a brilliant idea.”

“Well…” Liyana angkat bahu sambil pamer wajah bangga.

“Jangan lupa rakam start dari dia buka kotak, sampailah reaction dia bila nampak test kit tu.” Kamilah pula menambah cadangan membuat Syazwin semakin teruja. Hilang seketika rasa bengang kerana Eidlan tidak menjawab panggilannya tadi.

“Korang memang pandailah.”

Syazwin bangun lalu berlari semula ke biliknya. Diambil kit ujian kehamilan di atas singki bilik mandi dan disimpan di dalam laci meja di sisi katil. Diusap perutnya yang masih rata dengan bibir yang tidak mampu menahan senyum. Sembilan bulan dari sekarang, dia akan menjadi mama dan Eidlan akan menjadi papa. Kehadiran anak ini mungkin boleh menjadi alasan kukuh untuk Eidlan memohon pertukaran ke Johor Bahru.

Bunyi telefon yang menandakan mesej masuk mengalihkan perhatiannya. Segera dicapai telefon itu lalu menggeser skrin apabila melihat mesej daripada Eidlan.

'Hai sayang. Sorry tadi abang ada kelas tambahan. Abang belum book tiket sebab tahun ni abang kena jadi pengawas SPM. Dah confirm jadual bertugas nanti abang book ya?'

Syazwin mendesah kecewa membaca mesej daripada suaminya itu. Cuti hujung tahun adalah cuti yang dia tunggu-tunggu untuk meluangkan masa bersama Eidlan. Sekarang diganggu dengan tugas pengawasan peperiksaan pula.

'Abang kan orang Semenanjung, kena jadi pengawas jugak ke? Bagilah orang local. Cuti panjang ni kan orang nak balik kampung. Dahlah jarang-jarang dapat balik.'

Dengan bibir terketap-ketap, Syazwin menaip balasan kepada suaminya.

Selesai menaip dan menghantar mesejnya kepada Eidlan, telefon tidak berdosa itu dicampak semula ke katil. Ikutkan geram, mahu saja dia mencampak telefon itu ke dinding, namun diurungkan niatnya. Kalau hancur berderai, siapa mahu ganti? Makan ratus juga kalau mahu dibeli baharu. Dia dan Eidlan baru bekerja, gaji pun belum banyak dan perlu berjimat kerana mereka menyimpan untuk membeli rumah sendiri.

Beberapa minit kemudian, Eidlan membalas mesejnya.

'Semua kena sayang, tak kira cikgu local ke cikgu Semenanjung. Lagipun tahun lepas kan abang tak kena. Tahun ni terpaksalah. Orang local pun nak bercuti jugak. Abang bukan tak balik, tapi abang balik lambat sikit je.'

Sejuk sedikit hatinya yang panas membaca balasan daripada Eidlan itu.

'Kalau Awin pergi sana, boleh tak? Awin boleh teman abang sampai abang habis jaga exam. Lepas tu kita balik sama-sama.'

Tidak lama, dia melihat Eidlan menaip balasan. Syazwin merenung skrin telefon sehingga mesej Eidlan muncul.

'Tak payahlah sayang. Abang kan menyewa dengan member. Kalau nak duduk hotel, lama tu. Tiga minggu kot rasanya. Sayang tunggu kat sana je ya? Abang janji, habis exam abang terus balik.'

Syazwin mengeluh. Kecewa, namun jawapan Eidlan itu ada juga benarnya. Laju tangannya menaip balasan kepada Eidlan.

Emm… Yalah. Abang, call lah Awin. Rindulah nak dengar suara abang.

Sudah beberapa hari Eidlan tidak menghubunginya. Alasannya sibuk dengan kelas tambahan, penat, mengantuk, dan tidak selesa kerana kawasan rumahnya yang terlalu bising.

Abang baru balik sekolah, sayang. Tak solat Asar lagi. Malam nanti abang call ya?

Marah, Syazwin hanya membalas ‘k’ sahaja. Harapnya Eidlan mengerti dan segera menghubunginya selepas solat asar.

Namun dari petang beranjak ke senja, sehingga tibanya malam, Eidlan tidak kunjung menghubunginya. Syazwin kecewa.

Merajuk juga, namun dia malas berfikir yang tidak-tidak. Dirasionalkan fikirannya dengan menganggap Eidlan letih dan mengantuk. Apatah lagi, menurut Eidlan waktu mengajar di sekolahnya bermula pukul 7.00 pagi.

Malas melayan andaian buruk yang mula menerjah fikiran, Syazwin kembali ke ruang TV, bergabung semula dengan teman-temannya. Menonton TV, mengecam watak dalam drama lebih baik daripada dia berfikir yang tidak-tidak. Sekurang-kurangnya rasa geramnya pada Eidlan dapat dia lampiaskan pada watak hero lelaki Melayu yang selalunya digambarkan bodoh dan bebal serta sering menyesal di akhir waktu. Apa semua lelaki Melayu seperti itu? Patutlah semua gadis muda lebih cenderung memilih warga asing sebagai suami. Ya, mungkin itu salah satu sebabnya barangkali.

.
.
.

“DIA janji malam dia nak call. Tapi sampai pukul sebelas aku tunggu, jangan kata call, mesej pun tak ada. At least bagitahulah, tak dapat call sebab penat ke, mengantuk ke. Tak adalah aku macam orang bodoh tertunggu-tunggu. Aku suspicious betullah. Entah-entah dia ada perempuan lain kat sana.” Syazwin merungut ketika dia dan Liyana makan bersama di kantin pagi itu.

Liyana yang sedang mengunyah makanannya, diam dengan riak wajah seperti berfikir-fikir. Berkerut-kerut wajahnya cuba menelan makanan yang belum lumat dikunyah kerana mahu segera merespons kata-kata Syazwin.

“Aku tak nak fikir bukan-bukan sebab aku kenal Eid. Kau pun tentu kenal dia lebih daripada aku. Tapi, kalau kau curiga, mungkin kau boleh buat surprise kat dia. Kau book tiket, pergi rumah dia dan ajak dia tidur hotel dua malam, bagitahu dia kau pregnant lepas tu balik.”

Syazwin mengangguk-angguk. Cadangan Liyana itu kedengaran bernas juga. Semalam Eidlan melarangnya ke sana kerana dia mahu berada di sana selama Eidlan bertugas sebagai pengawas. Ya, tiga minggu itu sangat lama jika mahu menyewa hotel. Tetapi kalau dua malam, tidak apa-apa, kan? Dapat juga melepas rindu walaupun sekejap.

“Betul jugak ek. Tak sabar aku nak tengok respons dia bila tahu aku pregnant.”

Liyana tersenyum. “Mesti dia excited.”

Syazwin mengangguk. Eidlan sangat menginginkan cahaya mata dalam perkahwinan mereka, namun mereka tidak mahu terlalu mengharap atau memaksa diri disebabkan mereka sekarang menjalani hubungan jarak jauh. Siapa sangka, di saat mereka tidak mengharap, Allah menghadirkan benih di rahimnya dan dia yakin ini adalah permulaan yang sangat baik untuk rumah tangga mereka. Moga anak ini menjadi asbab untuk dia dan Eidlan boleh tinggal bersama kelak.

PULANG dari sekolah, Syazwin melayari laman web penerbangan tambang murah dan melihat harga tiket untuk hujung minggu nanti. Dia berdecak melihat harga tiket yang agak mahal.

“Macam mana babe?” tanya Liyana yang tiba-tiba muncul dari arah dapur bersama satu bekas keropok. Alat kawalan jauh TV dicapai sebelum dia melabuhkan duduk di sebelah Syazwin.

“Mahallah tiket hujung minggu.”

“Ya ke?”

Syazwin hanya menjawab dengan gumaman sambil matanya masih meneliti harga-harga tiket yang tertera.

“Mahal tu berapa?” tanya Liyana.

“Pergi balik dalam seribu macam tu.”

“Alah, tak adalah mahal sangat. Demi suami tercinta, pejam mata jelah seribu tu. Nanti hotel suruh dia bayar.”

Syazwin terkekeh. Dia juga berfikir seperti itu. Hotel, teksi, makan dan minum dia akan minta Eidlan membayarnya.

“Lagipun sekali-sekala. Bukan selalu. Fikirkan dua hari yang bermakna yang akan kau spend dengan dia, lagi mahal daripada seribu tu.”

“Betul… Betul… Betul…” Syazwin mengangguk setuju. Jemarinya bergerak laju, menggeser skrin, memilih waktu penerbangan dan membuat pembayaran. Dibesarkan oleh keluarga sederhana, seribu itu begitu besar nilainya, namun seperti kata Liyana, dua hari yang dia akan luangkan bersama Eidlan lebih berharga, maka dia merelakan seribu ringgit itu melayang keluar dari akaun banknya.

.
.
.

“KAU serius nak pergi KK dengan Nadia?” tanya Firdaus sambil memandang tepat ke arah Eidlan yang sedang tersenyum-senyum berbalas mesej dengan kekasihnya. Siapa lagi kalau bukan Nadia. Guru yang baru di tempatkan di sekolah Eidlan awal tahun ini. Bermula dengan membantu mencari rumah sewa, menumpangkan Nadia ke sekolah, tolong menempah tiket penerbangan dan akhirnya tumbuh bibit-bibit cinta.

“Seriuslah. Aku dah lama nak island hopping dekat Sabah.” Eidlan menjawab tanpa mengalihkan fokusnya dari skrin telefon.

“Syazwin macam mana?” tanya Firdaus lagi.

“Aku bagitahu dia, aku kena jadi pengawas SPM.” Santai Eidlan menjawab, seolah-olah apa yang dilakukannya itu bukan suatu dosa.

Firdaus mendengus geram. Dari awal Firdaus sudah mengingatkan supaya berpada-pada berbuat baik dengan perempuan lain kerana Eidlan sudah punya isteri, namun sahabatnya itu berkeras meyakinkan bahawa dia tidak bermaksud apa-apa, hanya mahu membantu. Entah sejak bila rasa cinta mulai wujud antara mereka, Firdaus tidak sedar. Namun saat dia sudah dapat menghidu perkara itu, sekali lagi dia mengingatkan Eidlan supaya menamatkan hubungannya dengan Nadia, namun
Eidlan tetap berdegil. Hati sudah terlanjur sayang katanya.

“Kalau kau nak sangat pergi island hopping, kenapa tak pergi dengan Syazwin je?”

“Kau kenal Awin tu macam mana. Dia kan jenis lembut-lembut, ayu-ayu, mana suka aktiviti macam tu. Ajak pergi shopping complex bolehlah.”

Firdaus menjeling sebal. Yang lembut-lembut, yang ayu-ayu tu jugak kau ambik buat bini. Dulu tergila-gila bagai nak rak.

Pukul tujuh pagi dah terpacak depan pondok gad tunggu nak pergi kelas sama-sama. Eh, dah kahwin kau buat macam sampah pulak! Menari-nari sahaja kata-kata itu di dalam benaknya, hanya tunggu masa sahaja mahu diluah keluar, namun dia malas bergaduh. Orang kalau sudah bebal, bukan mudah terima nasihat.

“Kalau Syazwin tahu, macam mana?”

Eidlan tertawa. Matanya melirik sekilas wajah Firdaus yang kelihatan bengang sebelum kembali fokus pada telefon. “Kalau kau tak bagitahu, dia takkan tahu.”

“Bangkai kalau sorok pun, lama-lama keluar jugak bau busuk dia. Kalau aku tak bagitahu pun, kalau Allah nak tunjuk, sekejap je.”

Eidlan berdecit, mula jengkel dengan Firdaus yang dirasakan sudah keterlaluan mencampuri urusan peribadinya.

“Salah ke aku bercinta dengan Nadia? Lelaki boleh kahwin lebih dari satu, kan?”

Firdaus tertawa sumbang.

“Bercakap memang senang bro, macam melepas kentut dalam air. Tapi, sekarang ni pun, kau masih belum kahwin dengan Nadia, kau dah tak berlaku adil dengan Syazwin, kau tipu dia, kau tak call dia, tak mesej dia, and sanggup tak balik jumpa dia semata-mata nak bercuti dengan Nadia. Macam mana bila kau dah kahwin nanti?” bebel Firdaus. Masalah Eidlan, namun dia juga turut menerima tempias. Mana tidak, Liyana tunangnya serumah dan sama sekolah dengan Syazwin. Hampir setiap hari Liyana merungut dengan sikap Eidlan yang sudah jarang menghubungi Syazwin.

Sebagai sahabat, dia terpaksa mengiakan sahaja setiap kali Liyana bertanya benarkah Eidlan begitu sibuk sehingga tiada masa untuk menghubungi isterinya. Bukan dia menyokong tindakan Eidlan dengan membantunya berbohong. Tidak sama sekali. Cuma dia rasa tidak pantas perkara itu dibincangkan melalui telefon. Dia akan memberitahu Syazwin, tetapi secara berdepan. Bukan mahu menjadi batu api, tetapi mahu Syazwin melakukan sesuatu supaya Eidlan tidak terus hanyut
dengan perasaannya. Ya, itu pun jika Syazwin bersedia memaafkan Eidlan atas pengkhianatan yang dilakukan.

“Kau tak payah sibuklah! Tahulah aku handle hidup aku.”

“Okey! Lepas ni kalau apa-apa berlaku, jangan mengadu dengan aku dan jangan menyesal!” Firdaus bangun lalu meninggalkan Eidlan yang nampaknya langsung tidak peduli dengan amaran dan nasihatnya. Masih tersengih-sengih berbalas mesej dengan perempuan yang tidak ada malunya merampas suami orang.

Assalamualaikum dan hai semua. terima kasih yang sudi baca novel terbaru Calyta ni. novel ni akan menggunakan UC. jadi hanya bab 1 hingga 4 yg boleh dibaca secara percuma. terima kasih semua... love y'all muahxxx

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience