Bab 4

Romance Series 196641

SEBAIK sahaja Ash Farrel duduk di sebelah ibunya, serentak Puan Suzilah dan Puan Athirah berdiri dengan isyarat mata yang hanya mereka berdua sahaja mengerti.

"Mama dan Auntie Tirah duduk kat meja situ ya? Ash bersembanglah dengan Syaz. Order makanan dan minuman," ujar Puan Suzilah sambil tersenyum dan menepuk-nepuk bahu kekar anaknya sebelum dia berpindah meja dengan Puan Athirah.

"Unexpected! Kecil betul KL ni, kan?" kata Ash Farrel sambil menyungging senyuman sinis.

Syazleen yang kembali beriak tenang itu turut melakar senyuman sinis. "Tahu takpa! Sebab tu kau jangan nak berlagak sangat dengan orang. Pusing-pusing, terjumpa orang yang sama juga," ujarnya dengan nada suara yang sedaya upaya dikawal supaya ibu mereka tidak dengar.

Kata-kata wanita itu membuatkan Ash Farrel tertawa kecil. Ketawa yang dipaksa dan yang dibuat-buat. "Silly childish girl!"

"Eh! Cakap orang childish pula! Kau tulah yang childish. Hmm, kau nak tahu tak, selalunya mama aku tak pernah salah menilai orang tau, tapi tak sangka pula kali ni mama aku tersilap besar."

"What do you mean?" soal Ash Farrel sambil menjongketkan sebelah keningnya.

"Yalah, mama aku beria nak aku jumpa calon menantu pilihan dia, tapi lepas aku tengok calon menantu pilihan mama aku ni, ewww, turn off terus!"

"Hmmm." Ash Farrel mengetuk-ngetuk bibirnya menggunakan jari telunjuk sambil memicingkan mata merenung seraut wajah di depannya. Sejujurnya dia sudah mulai terasa bahang yang naik ke wajahnya, namun dia berusaha sedaya upaya untuk terlihat tenang. "I feel the same. It's funny to know yang mama I nekad nak jodohkan I dengan anak kawan dia yang macam tak habis sekolah," ujarnya disusuli dengan tawa kecil.

"Oh! Lucu ya?" soal Syazleen sambil menjongketkan kening. "Aku nak tengok kau rasa lucu lagi ke tak kalau aku bagitahu mama kau pasal kau bahayakan nyawa aku kemarin."

Serta-merta riak wajah Ash Farrel yang terlihat tenang tadi berubah. Dia sudah tidak mampu mengawal riak wajahnya lagi selepas mendengar ugutan wanita itu. "You ugut I?"

Pertanyaan daripada lelaki itu hanya dibalas dengan jongketan kening oleh Syazleen sebelum wanita itu mengoyak senyuman licik.

"Well, nampaknya memang aku akan cancel teruslah plan mama aku tu memandangkan calon menantu mama aku tu adalah kau. Aku tak nak jadi perempuan malang. Well, aku bukannya terdesak sangat nak kahwin pun. Mama aku je yang beria."

"You ingat I nak kahwin dengan you juga ke? Listen carefuly, silly woman..." Ash Farrel memajukan wajahnya sedikit merapati wajah Syazleen. "Perempuan macam you ni jauh daripada layak untuk jadi isteri I."

"Oops! Salah tu, sebenarnya kau yang tak layak untuk jadi suami aku. Sangat tak layak! Kan aku dah cakap kemarin, setakat lelaki macam kau ni, bersepah di muka bumi ni," balas Syazleen disusuli dengan tawa mengejek, lalu dia bingkas berdiri seraya menuju ke meja dua bersahabat yang sedang rancak bersembang itu.

"Syaz dah order makanan ke?" soal Puan Athirah.

Syazleen membalas dengan gelengan. "Syaz tak sedap perut ni, ma. Syaz nak balik," ujarnya sambil memegang perutnya.

"Eh! Syaz nak balik ke?"

Kali ini Syazleen membalas dengan anggukan. "Mama stay ajelah dulu sini makan dan bersembang dengan Auntie Suzi ya? Syaz balik naik Grab je." Pandangannya kemudian beralih kepada Puan Suzilah. "Sorry tau, auntie. Tak dapat pula lama-lama bersembang."

"Takpa, lain hari boleh jumpa lagi," balas Puan Suzilah sambil menepuk-nepuk lembut tangan Syazleen bersama dengan senyuman.

- - - -

SEBAIK sahaja kereta yang dipandu oleh pemandu peribadi keluarga Puan Suzilah mulai bergerak, Ash Farrel terus menyandarkan tubuhnya sambil menutup mata berpura-pura tidur, padahal dia cuma malas hendak berbual. Dia tahu ibunya pasti akan mengajaknya berbual untuk bertanya tentang calon menantu pilihannya tadi.

Dalam keadaan mata terpejam, rahangnya bergerak-gerak menahan rasa yang sedang dia rasakan pada ketika ini sambil membayangkan wajah wanita yang dia rasakan telah mencalarkan keegoannya sebagai seorang lelaki yang belum pernah direndahkan.

Semakin dia mengingat tentang apa yang diperkatakan oleh Syazleen sejak kemarin, semakin bertambah rasa sakit hati dan kemarahan yang mencucuk-cucuk di dadanya.

Aku takkan benarkan kau lepaskan diri macam tu aje lepas kau rendahkan aku! Aku akan pastikan kaulah perempuan malang tu! Aku nak kau menyesal dan aku akan buat kau melutut depan aku merayu minta maaf! getus batinnya, lalu dia membuka mata.

"Ma."

Laju Puan Suzilah yang duduk di sebelahnya itu menoleh. "Ya, Ash?"

"Ash setuju nak kahwin dengan calon menantu pilihan mama tu."

"Really? Mama tak salah dengar, kan?" soal Puan Suzilah dengan mata membulat, terkejut dan dalam masa yang sama teruja.

Manakan tidak, sebelum ini anak lelakinya itu mati-matian menolak dan membantah cadangannya. Anaknya bersetuju untuk datang ke restoran mewah tadi untuk berjumpa dengan calon menantu pilihannya itupun selepas dipujuk dan didesak.

"Yes, mama tak salah dengar. I have no reason to refuse," jawab Ash Farrel dengan muka yakin dan serius sambil membayangkan apa yang bakal dia lakukan kepada Syazleen apabila wanita itu menjadi isterinya nanti.

- - - -

"APA Syaz cakap ni?" soal Puan Athirah dengan muka tidak puas hati.

"Kan mama cakap nak jumpa dan berkenal-kenalan dulu. Syaz dah jumpa dan berkenalan dah pun kemarin tapi anak kawan mama tu bukan taste Syaz," jawab Syazleen jujur dengan lagak bersahaja.

"Apa masalahnya dengan Ash? Apa yang kurang? Bagi mama, tak ada yang cacat dan kurangnya dengan budak tu pun. Dahlah handsome, sopan, berbudi bahasa lagi."

Spontan Syazleen membuat mimik muka seperti hendak termuntah selepas mendengar kata-kata ibunya, tetapi dia tidak memperlihatkan reaksinya kepada wanita kesayangannya itu.

"Yang tak kurangnya dia tu di mata mama, di mata Syaz... ermmm, tak tahu macam mana nak cakap, tapi dia bukan taste Syaz, itu je," balas Syazleen, sengaja dia tidak memberitahu hal sebenar kerana tidak mahu isu lain pula timbul.

"Jadi, apa cerita calon suami taste Syaz yang kata nak bawa jumpa mama tu? Tak jadi jugakan? Kalau macam nilah gayanya, sampai ke tua pun tak berpeluanglah mama tengok anak perempuan mama ni berkahwin dan bagi mama cucu."

Spontan Syazleen mengemam bibir. Dia langsung mati kata, tidak tahu mahu membalas apalagi. Lantas, dia berpura-pura menggeliat untuk meregangkan tubuhnya. "Syaz letihlah, ma. Syaz nak mandi, lepas tu nak rehat sekejap. Pukul 9.00 malam nanti ada ambush. Alah, mama balas ajelah chat Puan Suzi tu bagitahu yang Syaz tak berkenan dengan anak dia. Tak pun, call je terus."

"Amboi! Senangnya cakap, kan! Kalau..."

Syazleen dengan pantas berdiri seraya mencium pipi Puan Athirah yang baru hendak memulakan bebelan. "Syaz naik dulu ya, ma. Kita sambung bersembang esok. Syaz betul-betul rasa letih sebab siapkan data report kat office tadi!" Sekali lagi Syazleen mencium pipi wanita itu, lalu dia segera mencicit lari menuju ke tangga.

Padahal alasan letihnya tadi kerana hendak mengelak daripada mendengar bebelan ibunya sahaja.

"Haih, budak ni!" Puan Athirah hanya mampu melepaskan keluhan sambil menggeleng dan memerhati sosok tubuh anak daranya itu sehingga menghilang daripada pandangannya.

- - - -

SETELAH panggilan ditamatkan, Puan Suzilah lantas melepaskan satu keluhan panjang sambil berjalan menuju ke ruang tamu dengan pandangan yang menghala kepada anak lelakinya yang sedang ralit menatal telefon pintarnya di atas sofa.

"Mama ada masalah ke? Muka macam ada masalah besar aje," tegur Tyara iaitu anak perempuannya yang merupakan adik kepada Ash Farrel yang sedang duduk di sebelah abangnya di ruang tamu yang luas itu.

Sekali lagi Puan Suzilah melepaskan keluhan panjang sambil mencerlung wajah anak lelakinya dengan pandangan serius. Pertanyaan daripada anak daranya itu tidak diendahkan langsung. "Ash ada cakap apa-apa yang tak elok kat Syaz kemarin ke?"

Pertanyaan daripada wanita itu membuatkan pergerakan tangan Ash Farrel serta-merta terhenti. Lantas, wajah ibunya dipandang bersama dengan kerutan di dahi. "Kenapa mama tiba-tiba tanya macam tu?"

"Kan Ash suruh mama bagitahu Puan Athirah yang kita nak pergi ke rumah dia untuk bincang pasal rancangan Ash yang setuju nak kahwin, tapi..."

"Tapi?" pintas Ash Farrel dengan muka tidak sabar hendak tahu.

"Tapi Puan Athirah bagitahu tadi yang Syaz tak setuju. Dengan kata lain, dia reject Ash."

Spontan Ash Farrel mengepal penumbuk sambil mengetap giginya selepas dia dengar penjelasan daripada ibunya.

"Eh! Abang nak kahwin ke? Dengan siapa? Kenapa Tya tak tahu pasal ni?" soal Tyara bertubi-tubi sambil memandang wajah ibu dan abangnya dengan riak terkejut.

Puan Suzilah melepaskan keluhan, lalu dia duduk berdepan dengan dua orang anaknya itu. "Mama rancang nak jodohkan Ash dengan anak kawan lama mama. Kawan mama tu pun okey aje. Ash dah jumpa dah pun dengan Syaz kemarin, tapi baru tadi mama dia cakap anak dia tak nak."

Tanpa berkata apa-apa, Ash Farrel bingkas berdiri seraya melangkah menuju ke tangga untuk naik ke biliknya.

"Ash," panggil Puan Suzilah membuatkan langkah Ash Farrel serta-merta terhenti.

"Ash nak bersiap. Mama pun bersiaplah. Kita nak pergi ke rumah Puan Athirah. Ash nak bincang pasal ni secara berdepan juga," ujar Ash Farrel dengan muka serius sebelum dia meneruskan langkah kakinya yang terhenti tadi.

"Abang, tunggu!" Tyara turut berdiri seraya berlari mengejar abangnya yang sedang berjalan laju itu.

Dengan muka tidak puas hati, Tyara menarik tangan abangnya ketika mereka berada di pertengahan tangga. "Kenapa abang tiba-tiba beria nak kahwin pula ni? Habis tu, mana abang nak letak Erika?"

"Kenapa dengan Erika?" soal Ash Farrel dengan lagak acuh tak acuh, lalu dia meneruskan ayunan langkah kakinya.

"Hisy, abang ni! Erika tu berharap sangat kat abang tau! Abang jangan nak permainkan perasaan kawan baik Tya tu pula."

"Bila masa abang permainkan perasaan dia? Siapa suruh dia berharap? Abang tak ada cakap apa-apapun yang buat dia berharap masa Tya ajak jumpa dia dulu tu," balas Ash Farrel, lalu dia berhenti dan menoleh memandang adiknya sebaik sahaja dia tiba tepat-tepat di depan pintu biliknya. "Kalau dia berharap, itu masalah dia, bukan masalah abang," lanjutnya dengan muka serius sebelum dia masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu.

"Eee, abang!" bentak Tyara dengan muka cemberut sambil menghentakkan kakinya beberapa kali.

- - - -

SYAZLEEN berpeluk tubuh menghadap kolam renang di halaman belakang rumah mereka dengan lagak bersahaja menanti apa yang hendak diperkatakan oleh lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya dengan kedua-dua tangan di dalam poket seluar itu.

"Cepatlah cakap apa yang kau nak cakap!"

Ash Farrel merenung sisi wajah wanita yang tidak memandangnya langsung itu sambil mengetap gigi menahan emosi, namun dia berusaha sedaya upaya untuk terlihat tenang. "First of all, you boleh tak jangan kaukan I?"

Laju Syazleen menoleh. "Apa masalahnya dengan kau? Nak aku tukar jadi cow ke?"

Ash Farrel menarik nafas dalam-dalam lalu dihembus perlahan, masih tetap berusaha untuk kekal tenang. "Let be more mature and civilized, okay?"

"Eh! Tahu pula cakap pasal adab."

"Syazleen, please. We need to talk seriously."

Spontan Syazleen mendecit. "Haa, cepatlah cakap! Aku ada hal kat luar sekejap lagi ni."

"You memang biasa keluar malam ke?"

"Kenapa kau nak sibuk hal aku?"

"Sebab you bakal wife I dan kita akan kahwin secepat yang mungkin."

"Eh, eh, yakinnya dia! Siapa cakap aku nak kahwin dengan kau? Kemarin bukan main berlagak lagi kau cakap yang aku tak layak jadi isteri kau, kan?"

"I ubah fikiran."

"Bagi aku sebab kenapa kau ubah fikiran," pinta Syazleen dengan renungan serius.

"Sebab I tak nak hancurkan harapan mama I. Sejahat-jahat dan seburuk-buruk sikap I, I takkan pernah kecewakan mama I," jelas Ash Farrel dengan muka yakin. "Sebab tu I sanggup ketepikan ego I demi mama I. I tak nak jadi anak derhaka," lanjutnya dengan muka yakin dan bersungguh-sungguh, padahal dia tahu itu hanyalah alasan rekaannya semata-mata.

"Itu masalah kau, bukan masalah aku! Aku takkan kahwin dengan kau, titik! Eh, dahlah! Aku ada hal ni. Kau pergilah balik dan aku harap kita tak berjumpa lagi lepas ni," balas Syazleen seraya berpaling hendak masuk ke dalam rumah, namun Ash Farrel dengan pantas berdiri di depannya untuk menghalang jalan.

"Ada apalagi ni!" bentak Syazleen dengan perasaan sebal.

"About my request early... Boleh tak you jangan kaukan I? It sounds harsh to me. Just in case manatau kita terserempak secara tak sengaja lagi lepas ni, kan? Kan you sendiri cakap, pusing-pusing, terjumpa orang yang sama jugakan?" ujar Ash Farrel sambil bertentang mata dengan sepasang mata galak di depannya.

Syazleen lantas menarik hembus satu nafas panjang dan cuba terlihat profesional. "Well, okay! Tapi you jangan harap keakuran I untuk ubah cara panggilan I ni akan buat I ubah keputusan I, sebab keputusan I muktamad! I takkan kahwin dengan you!" Dia lantas menolak tubuh kekar itu ke tepi lalu dia segera masuk ke dalam rumah.

Bergerak-gerak rahang Ash Farrel memerhati wanita itu dari belakang. Kau ingat kau boleh lepas macam tu je ke daripada aku? Aku akan pastikan kau kahwin dengan aku secara rela atau terpaksa! getus hatinya yang sudah bulat tekad.

Lantas, dia mengeluarkan telefonnya daripada poket seluarnya, lalu dia menghubungi seseorang. "Korang standby sekarang. Dia nak keluar tapi tak tahu nak ke mana. Ikut plan yang kita dah bincang petang tadi," kata Ash Farrel sebaik sahaja panggilannya dijawab.

"Baik, tuan! Jangan risau, semua dah standby ni."

"Bagus!" Talian langsung ditamatkan. "The game will begin, Syazleen!" gumam Ash Farrel sambil menyungging senyuman licik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience