Rate

1

Fantasy Series 489

"Moldtree."

Alan Wickham membaca perlahan perkataan yang terukir di permukaan badan sebuah goblet perak di tangannya. Dia menjumpainya di kaki bukit landai, hampir satu ratus meter dari pagar belakang rumahnya yang terletak di atas bukit.

Gugusan awan gelap, menghuni dan menerawang ke serata ruang langit, diiringi bunyi deruman-deruman guruh yang sayup, memberi maklum tanda hujan lebat bakal  membasahi bumi.  Tiupan angin sudah mula menderu laju dan barisan pokok-pokok hazel yang hidup membarisi tiang-tiang pagar putih di seberang jalan mula bersiul dan bergoyang.

Alan menelek goblet yang dijumpainya tertanam separuh badan di dalam tanah merah di tempat dia berdiri. Dia membersihkan pasir dan menguis kesan tanah merah yang melekat di permukaan goblet dengan ibu jari.  Terdapat ukiran sekuntum bunga, yang terukir di tengah-tengah permukaan badan goblet, muncul disebalik comotan tanah yang dibersihkan. Mata Alan meneliti ukiran itu. Penelitiannya mengaktifkan keupayaan daya taakulannya untuk seketika. Dia cuba mengaitkan hubungan ukiran bunga dengan ukiran nama yang kedua-duanya terukir di permukaan yang sama. Ukiran bunga kelihatan sedikit lebih tua ukirannya berbanding dengan ukiran nama itu. Nama yang asung itu tidak membunyikan mana-mana loceng dikepalanya.

Tiada terdapat apa-apa selain dua ukiran yang terukir di permukaan goblet itu. Hanya sebuah goblet perak yang ringkas , kosong dan tidak menarik. Setidaknya, itulah yang difikirkan Alan ketika mempelajari nilai yang ada pada goblet itu.

"Milik keluarga Wilkinson?" Alan tertanya.

Kerana dia pasti goblet itu bukan milik atau kepunyaan keluarganya, yang bukan peminat dan pengumpul barangan antik atau barangan unik yang jarang di keluarkan. Dia juga tahu, jika goblet itu datang dari dapur ibunya, tidak mungkin ia dibuang atau dicampak dengan sewenang-wenangnya oleh ibu ke luar rumah. Memahami akan sikap ibunya ; seorang yang pembersih dan cermat, juga amat tegas dan sensitif jika barang atau alatan miliknya disentuh; membuatkan Alan lebih yakin bahawa goblet itu bukan hak milik keluarganya.

Kediaman keluarga Wilkinson terletak di hujung jalan tidak berturap itu. Beberapa hektar tanah ladang yang menghijau dihujung jalan adalah milik keluarga itu. Hanya jalan itu sahaja yang menjadi laluan utama keluar masuk untuk keluarga itu bagi sebarang urusan atau perkara harian. Kebanyakan kenderaan seperti kereta, traktor atau lori milik keluarga Wilkinson, yang kerap kali kelihatan melalui jalan itu masuk kedalam kawasan tanah mereka. Jarang sekali keluarga itu menerima tetamu luar. Secara faktanya, seluruh keluarga mereka tinggal menetap di sana. Mungkin mereka yang tercicirkan goblet itu dengan tidak sengaja, fikir Alan.

Dia memasukkan goblet itu kedalam beg sandang dan  mendongak ke atas. Matanya mengecil terpaku ke arah langit yang di penuhi gugusan awan kelabu.

"Bagus!" Alan bernada sindiran.

Padanya, petanda hujan yang jelas kelihatan di langit, menjadi petanda kepadanya untuk menghentikan aktiviti yang sedang dan hendak dia lakukan pada petang itu. Dia bercadang untuk pergi melewati ke hujung padang rumput untuk ke gigi sebatang air sungai dan kawasan air terjun yang kecil. Sekarang dia terpaksa membatalkan niatnya.

"Alan! Hujan akan turun nanti! Mari balik!" Jerit ibunya dari ruang serambi dapur rumah sambil mencapai pakaian yang tersidai di ampaian.

"Ibu tidak suka Alan basah di dalam rumah!" Sambungnya lagi.

"Lima minit!" Balas Alan

Dia melangkah ke seberang jalan dan mengutip dua bentuk figura askar mainan sebesar jari telunjuknya. Dibersihkannya lalu di masukkan kedalam beg sandang.

"Semalam lebih banyak dari hari ini." Kata Alan sendirian.

Deruman guruh semakin garang. Setitis air hujan jatuh beberapa batu dari langit, menyapa dan pecah di pipi Alan. Kedinginan air hujan itu membuatkan Alan tersedar dari lamunan dan mendongak sekali lagi melihat langit. Kemudian diikuti deraian air-air hujan yang mula lebat turun membasahi bumi.

Alan mengangkat tangan kiri ke atas kepala dan menutupi rambutnya yang lebat, dan terus berlari ke arah pintu pagar belakang rumahnya. Dia terus berlari mendaki dan mendapatkan dua anak tangga serambi dapur rumahnya. Kasutnya dibuka dan disusun di atas rak kasut di sebelah pintu. Alan berpusing dan melihat hujan yang turun dengan lebat secara tiba-tiba untuk seketika. Angin yang bertiup membawa tempias air hujan ke arah Alan. Lantas dia memulas dan menarik tombol pintu dan masuk ke dalam rumah.

"Basah?" Ibunya terus menyapa Alan selepas dia menutup pintu dapur di belakangnya.

"Tidak setitik pun." Balas Alan walau pun boleh yerlihat dengan jelas akan kebasahan di rambut dan bahunya. Dia sedar akan kesalahannya itu.

"Pergi mandi. Selepas itu kita boleh makan. Pergi panggil kakak kamu sekali." Balas ibu sambil membongkok memeriksa ketuhar dibawah kabinet.

Aroma ayam panggang yang begitu menyelerakan terus merangsang kuat selera makan Alan dan membuat tahap kelaparannya semakin menjadi-jadi, selepas penutup ketuhar dibuka ibunya.

Alan berjalan terus meninggalkan dapur. Sempat juga dia menjeling hidangan makanan di atas meja makan ; kentang lenyek, hirisan lobak merah, roti, sos lada hitam, stew, kacang pic dan asparagus.  Dihidang di dalam mangkuk dan pinggang setiap satu hidangan.

Dia berlari menaiki tangga untuk ke biliknya yang berada di tingkat atas rumah. Bilik Alan terletak di hujung koridor melintasi bilik kakaknya yang berada di tengah-tengah di antara biliknya dan bilik air.

"Ibu panggil di dapur!" Teriak Alan sambil mengetuk pintu bilik tidur kakaknya. Bunyi muzik pop yang kuat dari dalam bilik itu membuat Alan berasa jengkel dan lemas. Dia mengetuk pintu bilik itu sekali lagi dengan kuat. Muzik yang kuat di dalam bilik tiba-tiba senyap.

"Lembap." Bisik Alan.

Alan terus masuk ke biliknya dan menutup pintu. Tali beg sandang diangkat dan dikeluarkan dari bahu dan diletakkan di atas meja belajarnya. Dia mencapai kain tuala merah yang tergantung di tepi almari dan membuka bajunya yang basah. Dia mengelap kepala dan badannya yang basah sambil matanya memandang keluar rumah dari  tingkap empat segi biliknya.

Titisan air-air hujan yang turun dengan garang, menghentam cermin tingkap biliknya, mengehadkan limitasi visual pemandangan mata Alan untuk melihat dengan lebih jelas keadaan di luar rumah. Keadaan cahaya senja yang malap juga tidak berapa membantu.

Namun begitu, dalam pemandangan sayup-sayup di dalam hujan lebat itu, mata Alan dapat menangkap sesuatu yang ganjil di tengah-tengah padang rumput, yang terletak di seberang jalan rumah.

Kelihatan seperti sebuah pokok tua yang besar dan tidak berdaun, tumbuh berdiri di dalam hujan lebat itu. Tumbuh dan menua seperti sudah terpacak di atas padang rumput itu berpuluh tahun lamanya.

Seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, Alan membetulkan fokus kedua matanya. Matanya mengecil cuba mendapatkan visual pandangan yang lebih tepat. Tangan yang memegang tuala mengelap kepala dan badannya, terhenti seketika bila pemandangan aneh itu wujud di hadapan mata..

Bukanlah suatu perkara yang ganjil untuk melihat atau ternampak sepohon pokok mati yang pernah hidup di tempat itu. Apa yang menjadi keganjilan kepada Alan adalah, sepanjang hidupnya membesar di estet atau ladang  milik keluarganya itu, tidak pernah langsung walau sekali, dia ternampak atau sedar akan kewujudan pokok besar yang sudah mati, tumbuh di tengah-tengah kawasan padang rumput itu.

Alan tertanya-tanya jika dia pernah terlepas pandang selama ini akan kewujudan pokok itu. Juga rasanya agak mustahil untuk dia terlepas pandang sesuatu yang jelas seperti itu, sedangkan dia membesar, bermain dan berkali- kali melihat pemandangan di luar tingkapnya biliknya itu.

Walaupun dia tidak dapat melihatnya dengan jelas, dia tetap yakin, bahawa, dia terlihat satu figura berwarna kuning berbentuk seorang manusia bersaiz budak ; seperti tinggi dan besar budak berumur lapan ke sepuluh tahun; berdiri tegak seorang diri di sebelah pokok besar itu di dalam hujan  yang sangat lebat. Cahaya terang yang hadir, datangnya dari kilat garang yang masih muda, menerangi kawasan itu untuk beberapa detik, membantu keupayaan pandangan mata Alan untuk seketika menangkap kelibat yang berdiri dibawah pokok itu.

Alan merapatkan diri lebih dekat dengan cermin tingkap bilikya itu.  

"Siapa kau dan apa kau buat di situ?"  Bisik Alan.

Sebelum sempat fikirannya menerawang cuba mencari jawapan di kotak fikiran, pintu biliknya terbuka dengan laju secara tiba-tiba. Alan tersentak dan berpusing ke arah pintu. Kakaknya berjalan masuk terus ke dalam bilik.

"Hey, boleh kau ketuk pintu sebelum masuk?!" Alan marah.

"Kau tidak kunci pintu. Jadi.." balas kakaknya sambil menghampiri meja belajar Alan.

" Tidak bermakna kau boleh masuk ke dalam dengan sewenang-wenangnya! Syukur aku tidak telanjang!" Sambung Alan sambil menutup badannya dengan kain tuala.

"Apa yang kau sedang buat? Mengintai anak perempuan Wilkinson dari tingkap tua kau yang menyeramkan itu?" Usik si kakak. Tangannya memegang beg sandang Alan yang terletak di atas meja.

"Diam lah." Balas Alan.

"Apa yang kau nak?"

Kakaknya berjalan ke tingkap bilik Alan dan menarik ikatan kain yang mengikat langsir yang terikat kemas di kedua sisi tingkap, langsir terletai menutupi tingkap itu seluruhnya.

"Ibu suruh kau mandi sekarang dan kita boleh mula makan malam. Nerd!" Kakaknya menunjal dahi adiknya itu dengan ibu jari.

"Dan kakak cadangkan kau buat sekarang. Sebab kakak dah kebulur. Cepat!" Ujarnya lagi sambil berjalan keluar dari bilik.

"Oh satu lagi. Jangan buka langsir itu ketika hujan lebat. Kau akan dapat mimpi ngeri nanti." Kakaknya tersenyum sinis dan terus berlalu pergi.

"Pembuli." Kata Alan kegeraman.

Alan menutup pintu dan menekan punat kecil di tengah-tengah tombol untuk mengunci pintu. Dia mencapai suis lampu dan menekannya. Seluruh biliknya di terangi cahaya lampu berwarna putih.

Alan kembali menghampiri tingkap bilik. Dia menyelak kecil langsir ke tepi dan menjenguk keadaan hujan lebat diluar. Keadaan yang gelap, membutakan terus keseluruhan pemandangan di luar rumah. Sekaligus menghalang niat Alan untuk melihat pokok dan kelibat manusia yang dilihatnya sebentar tadi di situ.

Banyak yang bermain di fikirannya ketika itu. Hatinya merasa tidak tenteram selagi tidak dapat menyelesaikan persoalan teka-teki misteri yang dengan tiba-tiba wujud pada petang itu.

Dia menjatuhkan kembali langsir dan bersiap untuk mandi. Lebih baik dia cepat dari mendengar bebelan ibunya yang menyakitkan telinga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience