Rate

2

Fantasy Series 483

Hujan yang masih lebat di luar, menghentam garang membasahi bumi seolah-olah tiada penghujungnya. Kilat dan guruh beriringan mengambil giliran untuk memenuhi dan membedil ruang angkasa yang gelap.

Tiang-tiang lampu yang berdiri tegak di bahu jalan sudah mula menyala. Menyuluh dan menerangi ruang jalan tidak berturap di bawah. Keadaan malam yang berhujan lebat, ditemani suasana yang gelap, sekaligus membuat cahaya lampu-lampu itu lebih terang daripada kebiasaannya. Bulan dan langit malam masih lagi tidak kelihatan. Seolah-olah ianya disorok oleh gugusan awan yang masih tebal memberat dengan air hujan.

Sebatang jarum panjang milik sebuah jam loceng berwarna kelabu yang terletak di tingkat tiga rak buku, sudah melepasi takuk kedua selepas angka tujuh. Hampir mendapatkan jarum pendek yang berada satu takuk di hadapan,

Alan berasa segar selepas mandi dan membersihkan diri. Dia berdiri dan menyikat rambutnya di depan cermin. Tuala disidai cermat di tempat penyidai. Baju-baju kotor diletakkannya di dalam satu bakul khas untuk dibawa dan di basuh. Terutama bajunya yang basah dek hujan yang turun sedari tadi.

Suasana yang dingin membuat dia menjadi lebih selesa bila mengenakan pakaian malam yang tebal dan suam. Baju pijamas yang disarungnya, berwarna hitam, dibelikan ibunya untuk cuaca yang sedemikian rupa. Dia berasa cukup selesa dan nyaman.

Setelah selesai bersikat, dia meletakkan sikatnya di atas para kayu yang dipaku di bawah cermin. Lalu dia mencapai tombol pintu bilik dan memulasnya mengikut arah jam. Dia menarik tombol pintu dan daun pintu terbuka.

Alan berhenti sejenak di tengah-tengah ruang terbuka antara daun dan rangka pintu.

Dia berpaling ke arah tingkap bilik yang ditutupi langsir, dan berfikir untuk melihat keadaan di luar rumah. Dia Meletakkan tanda tanya di atas persamaan kalkulasi kebarangkalian, untuk peratus peluang, agar dia dapat melihat dengan jelas akan sesuatu yang terdapat diseberang jalan, di dalam cuaca yang begitu buruk itu.

Tetapi Alan memutuskan untuk terus keluar dari biliknya selang beberapa ketika sekepas itu. Tambah lagi dia tidak mahu mengalami mimpi ngeri seperti yang dikatakan kakaknya berulang kali sebelum ini, setiap kali kilat dan guruh menghadirkan dirinya di ruang langit.

Alan menekan punat di suis lampunya yang terletak di sebelah pintu. Biliknya kembali berada di dalam keadaan yang gelap. Hanya beberapa kelipan cahaya kilat menerjah masuk menembusi lapisan kain langsir, yang menapisi kapasiti penuh kilauannya yang menakutkan mata, menerangi sebahagian ruang bilik untuk beberapa detik.

Dia keluar dari bilik dan terus turun ke dapur untuk menikmati santapan makan malam bersama yang lain.

"Itu pun dia. Mari. Duduk di sebelah ayah." Sapa ayahnya, sambil menarik kepala kerusi yang kosong di sebelahnya. Dia yang sudah tersedia duduk di meja makan bertentangan dengan si kakak, menunggu ibu yang masih membuat sesuatu di atas dapur masak.

Alan menarik kerusi dan duduk di sebelah ayahnya. Sebuah pinggan kosong berwarna hitam telah siap terletak di hadapannya. Kesemua hidangan yang dilihatnya tadi sudah tersedia untuk di jamah, kecuali hidangan utama mereka pada malam itu yang di tunggu-tunggu, resepi ayam panggang ibu yang sememangnya tidak akan ditolak oleh sesiapa..

"Bagaimana hari kamu, Alan?" Ayahnya bertanya memulakan perbualan.

"Emm? Tiada apa yang menarik." Balas Alan.

"Betul?" Tanya si ayah lagi.

"Yeah. Ayah tahu lah, rutin yang sama, benda yang sama, tempat yang sama dan.." Alan berhenti seketika, mengalihkan fokus mata dari wajah ayahnya dan dihampar tepat ke arah wajah si kakak.

"..orang yang sama." Sambungnya pendek sambil mengangkat sebelah keningnya dan membuat muka lesu.

Si kakak membalas reaksi Alan kembali dengan reaksi mukanya yang mengejek dan menjengkelkan.

Ayahnya hanya menjeling ke telatah kedua mereka.

"Ayah pasti satu hari nanti Alan akan menjumpai sesuatu yang menarik untuk dikongsi dan dijadikan cerita kisah hidup kamu." Kata bapanya sambil melabuhkan pandangan matanya yang suam dan penuh dengan harapan kepada anak lelakinya itu.

"Maksud ayah, seperti cerita-cerita sebelum tidur?" Tanya Alan sambil memandang wajah ayahnya.

"Oh..emm.. lebih kurang. Tetapi cerita-cerita yang selalu ayah bacakan sebelum Alan tidur itu, kesemuanya menceritakan tentang kisah dan pengalaman orang lain. Masih dikira sebagai cerita juga, jika ianya mempunyai teladan yang boleh dipelajari." Balas ayahnya.

"Ianya terletak ke atas kamu, bagaimana hendak kamu ceritakan kisah dan pengalaman kamu kepada orang lain." Sambung ayahnya lagi sambil menghulurkan tangan ke tengah meja makan, mencapai sebiji roti berbentuk bulat yang di longgok kesemuanya di dalam satu pinggan. digarap, diangkat dan di letakkan ke dalam pinggannya yang masih kosong.

"Sesetengah kisah, kamu boleh bercerita tentang perkara yang mengembirakan, memori yang manis, kisah yang memberi inspirasi atau kisah yang kelakar. Dan setengah lagi, perkara yang sedih atau menakutkan." Dia mencapai sebiji lagi roti dan di letakkannya ke dalam pinggan Alan.

Si kakak menghulurkan pinggan dengan niat agar juga dapat menerima roti yang diagihkan dari tangan ayahnya. Sebiji roti di letakkan si ayah di atas pinggannya yang terapung di tengah-tengah meja, di pegang dan di tadah cermat dengan kedua tangan kanan dan kirinya.

"Tetapi, apa yang paling penting di sini, tidak kira apa jua cerita yang kamu rasa ianya berbaloi untuk dikongsikan, semua cerita itu adalah tentang diri kamu dan perkara yang terjadi di sekeliling kamu, Alan. Dan ianya adalah sebuah cerita yang benar-benar terjadi. Bukan rekaan, bukan dongeng dan tidak benar." Sambung ayahnya.

"Pfft. Cerita yang hanya boleh dia ceritakan adalah bagaimana dia mengintai anak perempuan Wilkinson di hujung jalan itu setiap hari." Si kakak menyampuk.

"Tidak. Kakak menipu!" Balas Alan berang dengan tuduhan liar yang dilemparkan kakaknya tidak berasas.

"Ya, kau lakukannya." Si kakak cuba pertahankan.

"Alana!" Tegur ayahnya sambil mengerutkan dahi tanda tidak setuju dengan tuduhan Alana.

"Sudah." Pandangan si ayah yang setajam pandangan mata helang, di tujukan tepat ke arah muka anak perempuannya itu.

Si ayah sudah teramat memahami perihalaku anak-anaknya yang sering bergaduh di antara satu sama lain. Seorang dengan perangai yang lain, dan seorang lagi dengan yang lain. Tidak pernah mereka bersetuju di dalam apa jua perkara atau meletakkan diri mereka di dalam satu pasukan yang sama. Namun jauh di sudut hatinya, yang sudah tersemat penuh dihuni naluri kebapaan sejak lima belas tahun dahulu, dia tahu bahawa dia perlu bersikap adil, bertimbang rasa dan sama rata.

"Jadi, bercakap tentang cerita yang menggembirakan, ayah ada berita baik untuk semua. Maksud ayah, untuk kita semua!" Ujar ayahnya sambil menunjukkan jari telunjuk tangan kanan kebawah dan melukis bulatan di atas angin di tengah-tengah meja makan. Si ayah cuba menyampaikan kata-kata yang boleh membangkitkan semangat dan menghidupkan suasana makan malam keluarganya. Dia membongkok kedepan dan rapat ke arah meja, mengecilkan mata, dan melihat perlahan-lahan ke arah Alan dan Alana. Seolah-olah ingin membisikkan sesuatu dengan penuh rahsia.

Alan dan Alana menunggu detik ayahnya untuk meluahkan apa yang ingin dikongsikan dengan penuh debaran.

"Ayah sudah mendapatkan tiket kita semua untuk bercuti ke Disneyland, yay!" Jerit ayahnya kuat dihadapan muka Alan dan Alana dengan laju menyampaikan perkara yang dikatakan sebagai berita gembira itu.

Suasana dapur yang suam dan selesa, kini terasa bertambah terang dan menggembirakan. Kelihatan perasaan girang yang tercungkil dari lubuk hati, terpacul naik menghuni reaksi wajah dan senyuman mereka, juga mula mengemudi gerak bahasa tubuh mereka yang sedang di dalam kegembiraan.

Ibu yang sedang menyiapkan hidangan ayam panggang di kabinet dapur masak, berpaling ke arah suami dan mengukirkan senyuman bahagia bila melihat gelagatnya, serta reaksi positif dan tidak ternilai daripada kedua anak kesayangannya.

"Tetapi dengan syarat." Ayahnya terus mencelah di tengah-tengah selebrasi kegembiraan mereka.

"Oh, sekarang tiba berita buruknya." Alana bersuara sambil melentokkan kepala ke bahu kiri, dengan reaksi mukanya berubah dari bersinar-sinar kepada suram dan malap.

Alan menatap wajah ayahnya.

"Kamu berdua, harus membantu ibu kamu dalam membuat semua kerja rumah. Dan maksud ayah, semua. Bermula pagi esok hingga ke tujuh hari seterusnya." Ujar ayahnya.

"Emm? Kenapa tujuh hari? Apa yang ada pada hari kelapan?" Tanya Alana.

"Kerana pada hari kelapan, kita sudah berada di Disneyland." Jawab ayahnya sambil tersenyum.

Mata Alana membulat, seronok membayangkan dirinya yang sudah berpijak di tanah Disney. Bermacam-macam perkara sudah dimasukkan kedalam senarai perlu buat di dalam mindanya.

"Dan syarat yang paling penting di dalam perjanjian syarat-syarat ayah. Ayah tidak mahu kamu berdua bergaduh dan berkelahi di antara satu sama lain. Jangan ada walau sepatah perkataan pun, yang boleh menyakiti hati masing-masing. Tidak kira walau apa jua keadaan sekali pun. Gagal berbuat demikian? Maka hukumannya mungkin sakit atau tersangat-sangat mengecewakan." Ayahnya memberi kepastian dengan sangat konkrit dan meyakinkan keatas syarat dan amaran yang ditetapkan.

"Setuju?" Si ayah menginginkan jawapan serta merta dari mereka berdua.

Alan dan Alana menatap wajah masing-masing. Di dalam hati dan kotak fikiran mereka sedikit tergoncang oleh usul yang dikemukakan ayahnya itu. Bunyinya seperti boleh diusahakan, tetapi mustahil untuk mencapai matlamatnya. Unjuran trajektori untuk hari esok dan tujuh hari seterusnya, terbentang diminda mereka berdua, menjadi begitu pantas dalam merangka kira-kira ke atas keupayaan dan kapasiti hati untuk mewujudkan satu ikatan damai di antara mereka berdua. Dengan mengambil kira juga ke atas pertimbangan dan fakta, bahawa mereka lebih kenal akan perangai di antara satu sama lain.

"Ayah masih menunggu jawapan di sini." Ayahnya menggesa dan meletakkan tekanan yang tidak perlu ke atas mereka berdua.

"Saya rasa kami boleh menguruskannya. Betulkan, adik ku yang manis?" Jawab si kakak bernada sindiran. Diiringi dengan senyuman yang sengaja dibuar-buat kepada Alan.

Si ayah berpaling ke arah Alan. Menanti sepatah perkataan untuk di sebut di bibir anaknya itu.

"Setuju." Balas Alan pendek.

"Bagus! Itu yang ayah dan ibu mahu dengarkan." Ujar ayahnya.

"Siapa sudah lapar?!" Ibunya mencelah dengan membawa hidangan utama ke tengah meja makan.

Seekor ayam panggang yang tersedia memyelerakan di atas pinggan segiempat putih yang besar, sudah dihias kemas dengan salad yang hijau dan beberapa biji tomato ceri, beserta sos pekat berwarna coklat di dalam sebuah mangkuk yang kecil, diletak dan dihimpitkan sedikit di sisi ayam panggang itu. Aromanya menusuk terus menyinggahi ruang rongga hidung mereka semua.

Mereka menjamu dengan berselera makan malam mereka bersama-sama, dengan penuh nikmat dan bahagia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience