Rate

BAB 2

Drama Completed 585

“Bahaya tu Pak Jalal , nanti kita dihalau, di mana kita nak tinggal, mati hidup balik pun tak terbeli pangsapuri kalau harganya setengah juta sebuah.” Keluh Hasbul .
“Kita akan disediakan rumah panjang dan tinggal di sana sementara waktu sebelum diberi flat kos rendah percuma. Hasbul tak mahukah?” Pak Jalal menam¬bah.
“Kalau macam tu ok Pak Jalal , saya takut jadi macam penduduk rumah panjang di Tanjung Batu, rumah panjang sampai nak roboh, flat yang dijanjikan tak dapat-dapat. Akhirnya diberi flat berharga lapan puluh lima ribu. Penduduk dipaksa bayar baki tiga puluh ribu kerana perjanjian asal mereka akan diberi flat bernilai lima puluh lima ribu. Kasihan sungguh kepada yang tua-tua tidak bekerja. Tak ada bank yang akan meluluskan pinjaman kepada mereka. Akhirnya dianiaya tanpa pembelaan.” Hasbul menambah.
“Kerajaan negeri mesti tolong punya, jangan takut Hasbul . Kerajaan negeri sekarang ni bagus.” balas Pak Jalal .
“Pak Jalal janganlah menipu diri sendiri, kita sama-sama duduk di negeri ini, kita bukan orang luar. Hari-hari kita tengok…,” Hasbul berkata dengan sinis dan agak kritis.
Pak Jalal terdiam. Hasbul ikut mendiamkan diri. Dia cuba mengelak daripada bertelagah soal politik dengan Pak Jalal . Dia cuba sedaya upaya untuk tidak menyentuh soal itu ketika bersembang dengan Pak Jalal . Namun apakan daya semua percakapan mereka akhirnya membawa ke situ juga. Mungkin sudah menjadi kebiasaan, sebut sahaja masalah setinggan di negeri ini, pasti akan terkeluar senarai panjang kegagalan menguruskan penempatan semula penduduknya. Ditambah pula dengan senarai panjang projek-projek perumahan mewah yang bakal menghapuskan saki-baki setinggan dan meminggirkan mereka jauh ke dalam kemelut atau mungkin juga ke dalam laut.
“Pak Jalal , saya masuk dululah, besok kerja pagi,” Hasbul mohon berundur diri.
“Ok, Hasbul , jangan ambil hati ya,” Balas Pak Jalal .
“Tak, Pak Jalal pun janganlah ambil hati juga, ” Hasbul pula membalas.
“Ok, saya ok,” Pak Jalal berkata sambil tersengih.
Hasbul menutup pintu. Dulang berserta semua isinya diletakkan ke dalam sinki. Anak-anak yang kecil semuanya sudah tidur. Tinggal anak dara sulungnya masih membuat kerja sekolah. Anak itu di tingkatan satu. Hasbul duduk di meja makan yang juga merupakan meja tulis anaknya sambil memerhatikan anak yang sedang tekun menulis. Dia mengerling dan melihat empat orang lagi anaknya sedang nyenyak tidur di ruang kecil yang merupakan ruang tamu di waktu siang. Di sebelah ruang tamu itu ada satu-satunya bilik di rumah itu. Di bilik kecil itulah mereka suami isteri tidur.
Marjina sedang melipat kain baju bersebelahan dengan anak-anak yang sedang tidur. Hasbul kasihan melihat wajah isterinya yang kepenatan. Kerja suri rumah sepenuh masa tidak pernah selesai.Ditambah pula dengan anak seramai lima orang masih kecil dan bersekolah. Beruntung dia mendapat isteri yang taat menjalankan tanggungjawab.
Marjina tidak pernah mengadu keletihan. Marjina tidak pernah merungut tentang kerjanya yang tidak pernah habis. Marjina tidak meminta dibelikan barang kemas atau alat solek. Marjina hanya mahu mereka pindah dari rumah setinggan kecil berbilik satu itu – Itu sahaja!
Dia ingin memenuhi hajat isterinya. Dia ingin mereka pindah ke rumah flat tiga bilik yang selesa. Dia ingin semua itu namun gajinya tidak mencukupi untuk pindah ke rumah yang lebih besar. Mereka sekeluarga terpaksa berjimat-cermat dengan makan pakai ala kadar. Dia bersyukur Kerajaan Pusat memberi bantuan kewangan dan bantuan persekolahan seratus ringgit seorang anak untuk mengurangkan bebannya. Dia juga mengambil bantuan persekolahan anak dari kerajaan negeri.
Mungkin kepada orang-orang senang, itu adalah gula-gula politik, tetapi bagi dirinya, itulah talian hayat yang besar dan sangat bermakna. Jika diambil peduli apa kata orang, terlepaslah peluang keemasan. Dia ambil sahaja semua bantuan daripada pihak manapun asalkan dapat melegakan sesak perbelanjaan keluarganya.
BELAJAR
Dia terpaksa kuatkan semangat menempuh kesukaran hidup sebagai golongan miskin bandar dengan amat getir. Dia redha dengan ketentuan rezekinya. Kalau ada pun kekesalan dalam hidupnya adalah kerana tidak menyambung pelajaran hingga ke peringkat tinggi. Dia bukannya tidak pandai di sekolah, dia hanya malas untuk menyambung pelajaran pada masa itu. Keluarganya pula tidak mengambil kisah. Tidak ada seorang pun yang mendorongnya untuk meneruskan pelajaran. Tidak ada seorang pun juga yang memberi amaran awal tentang kesukaran yang bakal dihadapinya di masa depan jika tidak menyambungkan pelajaran.
Mujur Hasbul tidak terpengaruh dengan doktor pakar di flat PPRT keluarganya dahulu. Doktor pakar itu semua tiada kelulusan tetapi pandai mencucuk diri sendiri. Ramai juga rakan sebayanya punah lingkup masa depan. Mereka menjadi sampah masyarakat dan penyebab kepada kes-kes kecurian di situ.
Apabila ditanya, kata mereka ini pengaruh rakan dan suasana rumah flat kecil berbilik satu menyebabkan mereka lebih suka melepak di luar rumah dan terdedah dengan pengaruh dadah. Bukankah hidup adalah pilihan, apabila memilih untuk rosak, maka rosaklah diri. Bukan salah orang lain atau keadaan sekeliling, semuanya adalah kesalahan tuan punya diri. Alasan-alasan hanyalah dicipta untuk menyedapkan hati sendiri.
Hasbul membelai rambut anak dara sulungnya yang masih sibuk menulis. Anak itu mendongak dan tersenyum kepadanya. Mata bundar anak itu dihias kening dan bulu mata lebat sedang bercahaya-cahaya menghiasi wajah yang berjerawat halus. Gadis sunti itu mewarisi kecantikan ibunya dan kecerdikan pula adalah hasil pertembungan genetik antara ayah dan ibu. Anak itu adalah harapan mereka suami isteri untuk memberi teladan yang baik kepada adik-adik sekali gus mengubah masa depan keluarga. Anak itu seolah-olah menyedari tanggungjawab besar terbeban di bahunya. Dia sentiasa cemerlang dalam pelajarannya.
“Kakak, janji dengan ayah, bila kakak kerja nanti, kita pindah ke rumah yang lebih selesa ya ayah. Kakak akan belajar bersungguh-sungguh. Kakak akan cari kerja bergaji besar. Kakak nak bantu keluarga kita. Ayah jangan risau, kakak janji…,” kata anak yang memahami apa yang terbuku di hati ayahnya.
Mendengar kata-kata puteri sulungnya, dengan serta-merta, air mata lelaki Hasbul mengalir deras, tanpa segan-silu kepada anaknya itu. Air matanya tidak dapat dibendung lagi…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience