Rate

BAB 1

Family Completed 378

Tidak pernah dia terfikir perkara itu akan terjadi. Sekuman pun tidak. Ini semua angkara cucunya 5 tahun lalu. Hendak dia marahkan cucunya yang bernama Jamil itu, tidaklah juga. Apabila difikirkan kembali, apalah salahnya pula?

Dalam hitung-hitung fikir itu, sebenarnya dia bangga juga pada Jamil .

Satu-satunya cucu lelaki yang begitu rapat dengannya. Satu-satunya cucu lelaki yang gemar pulang ke kampung ketika musim cuti persekolahan.

Cucu yang lain? Ada… bukan tidak ada. Balik ke kampung, pada musim cuti? Ada… bukan tidak ada. Tapi jarang-jarang sekali, paling tidak cuti sekolah hujung tahun. Itu pun tidak lama, sehari dua di kampung, sudah menggelisah bagai cacing kepanasan. Serba tidak kena. Serba tidak cukup di rumahnya.

Tapi Jamil ini memang lain sedikit. Tidak kira cuti sekolah. Malah hujung minggu pun Jamil akan menjenguknya di kampung.

Seperkara lagi perihal aneh yang membungkus tempurung mindanya. Si Jamil ini gemar berkebun. Tidak kira berpanas dan berhujan. Pada takat usianya sekarang, jarang benar ada anak muda seperti Jamil yang begitu intim dengan tanah.

Itu… tanah seluas 2 ekar di belakang rumahnya itulah menjadi bukti. Jadi saksi. Tanah itu, habis ditanam semuanya ubi. Daripada 2 ekar menjadi 5 ekar. 3 ekar lagi Jamil beli dengan hasil tabungannya sendiri. Mujur ada juga yang mahu menjual tanah yang bersempadan dengan tanahnya.

Selepas ubi, dari tanahnya ditumbuhi rumput dan lalang, eloklah ditanam pula ubi keledak Jepun, kata Jamil .

“Kenapa Jamil hendak menanam ubi? Kenapa tidak tanam pokok buah-buahan sahaja?” tanya dia, ketika mereka sedang berehat di pangkin di hadapan rumah.

“Lambat Tok… ubi kayu dan keledek lebih cepat mengeluarkan hasil. Sekarang ini ada sejenis ubi kayu bernama ubi 3 bulan. Tok pernah dengar? 3 bulan sahaja ditanam… sudah mengeluarkan buah Tok. Ubi keledek ni pun sama. Isinya berwarna ungu dan rasanya lemak manis Tok. Ramai orang suka. Kalau betul cara menjaga dan diberi baja secukupnya, buahnya pasti lebih banyak.”

Begitu penerangan Jamil . Dia? Buat-buat mengerti, tapi adalah juga butir yang sangat dia tidak fahami.

“Betul ke kamu ni? Tok tidak setuju kalau tanah seluas itu ditanam ubi sahaja, baik tanam pokok-pokok lain juga.” Tanya dia dalam cadang.

“Eh... betullah, Tok. Tok percayalah cakap, Jamil . Silap-silap kerana ubi dan keledek ni, Tok boleh jadi terkenal nanti.” Usik Jamil .

“Ah! Ada-ada saja, kamu Jamil .” Dia mendengus seakan tidak berpuas hati dengan keputusan dan kehendak Jamil .

“Boleh sahaja kalau tanam pokok buah-buahan yang lain Tok. Kita tanam di sekelilingnya. Sekali gus jadi sempadan tanah. Di tengah-tengahnya kita tanam ubi dan keledek.” Ujar Jamil penuh semangat.

“Hish! Tak fahamlah Tok, cara fikir kamu, Jamil . Hendak dibuat apa ubi dan keledek banyak-banyak. Kalau suka makan ubi dan keledek pun, tidaklah mahu Tok makannya hari-hari.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience