KORIDOR blok B itu penuh dengan para pelajar yang mahu menuju ke kelas masing-masing. Langkah mereka semuanya laju kerana takut terlambat masuk ke dalam kelas sebelum loceng berbunyi.
Hanya Luqman saja yang mengatur langkah malas menuju ke kelasnya yang terletak di hujung koridor itu. Beg galasnya disandang di sebelah bahu saja. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Di mulutnya terdapat sebatang gula-gula lolipop. Lagaknya seperti seorang samseng.
“Hakim!” Tiba-tiba kedengaran nama adik kembarnya itu dipanggil. Luqman malas mahu mengambil tahu. Langkah terus dibuka tanpa mempedulikan sekelilingnya.
“Hakim!” Suara itu semakin kuat kedengaran berhampiran dengannya. Tidak lama selepas itu, seorang pelajar perempuan bercermin mata berbingkai tebal berdiri di hadapannya sambil tersengih. Pelajar itu menghulurkan sebuah buku nota kecil berwarna hijau.
"Nah, ini nota yang awak bagi saya pinjam semalam. Saya dah salin. Nota awak memang kemas dan senang untuk dibaca,” Puji pelajar itu tanpa menyedari yang dia sudah tersalah orang.
Luqman menjongket kening tanda hairan.
Memang tidak dinafikan yang wajah dia dan Hakim amat serupa sekali sehingga kadangkala guru-guru dan pelajar sekolah lain keliru mahu mengenal pasti yang mana satu dia dan mana satu Hakim.
Namun, perbezaan antara dia dengan adik kembarnya itu ialah Hakim seorang pengawas dan dia hanyalah seorang pelajar biasa. Rasanya perkara itu sudah diketahui oleh semua orang di sekolah ini.Tapi mengapa masih ada lagi pelajar yang sudah tersalah anggap antara dia dan Hakim?
Pelajar perempuan itu menghulurkan buku nota itu lebih dekat kepada ‘Hakim’ kerana pelajar lelaki itu seperti tidak mahu mengambilnya.
Lolipop di mulut dikeluarkan. “Weh, kau dah salah oranglah.” Balas Luqman lalu tersenyum sinis.
“Hah?” Pelajar perempuan di hadapannya itu kelihatan terpinga-pinga.
Rasanya orang yang dia temui hari ini dan semalam adalah orang yang sama. Cuma yang lainnya hari pelajar itu berpakaian seragam sekolah pelajar biasa dan bukan pakaian pengawas seperti yang dilihatnya tempoh hari. Dia sangkakan mungkin Hakim sudah meletak jawatan sebagai seorang pengawas.
“Hakim dekat situ.” Ujar Luqman lalu menunjuk ke arah kelas 5 Sains 1 di mana berhadapan dengan tempat mereka berdiri saat itu.
Melalui tingkap kelas itu yang terbuka luas, kelihatan seorang pelajar lelaki yang serupa dengan wajah Luqman namun memakai baju pengawas sedang tekun membaca buku.
Tanpa menerangkan apa-apa, Luqman terus mengatur langkah menuju ke kelasnya dan meninggalkan pelajar tadi yang masih terpinga-pinga di situ.
“Oh, rupa-rupanya dekat sekolah ni ada lagi satu ‘Hakim’.” Ateera mengomel sendiri sambil matanya tidak lepas memerhatikan ‘Hakim’ yang baru ditemuinya itu.
“Maklumlah. Baru seminggu aku dekat sini. Manalah aku tau.” Omel Ateera lagi.
Ateera kemudiannya terus masuk ke dalam kelas 5 Sains 1 tanpa segan silu. Waktu PnP belum bermula dan cikgu pun tak masuk lagi jadi tak salah rasanya jika dia masuk ke kelas itu untuk memulangkan buku nota Hakim.
Ateera perasan ada beberapa pasang mata yang menoleh ke arahnya sewaktu dia masuk ke dalam kelas itu tetapi dia buat tidak peduli saja.
Ateera mendekati meja Hakim. “Nah, ini nota yang awak bagi saya pinjam semalam. Saya dah salin. Nota awak memang kemas dan senang untuk dibaca,” Ayat yang sama dia katakan kepada ‘Hakim’ tadi diulang semula kepada Hakim yang sebenar.
Mendengarkan suara yang menegurnya itu, Hakim terus mendongak melihat pemilik suara.
“Eh, Ateera. Awak dah salin? Wah, cepatnya!” Buku di tangan ditinggalkan sebentar. Buku nota yang dihulurkan Ateera pula disambut dengan baik.
“Mestilah! Saya tak nak tertinggal apa-apa nota pun memandangkan saya ni pelajar baru di sini. Saya tak nak ketinggalan. Kalau tak susah saya nak faham apa yang cikgu ajar.” Jawab Ateera pula dengan nada ceria.
Hakim mengangguk-angguk setuju. Dia kagum dengan semangat pelajar baru itu. Walaupun mereka dari kelas yang berbeza namun Ateera langsung tidak kekok untuk meminta bantuannya dalam pelajaran.
Dia juga sebenarnya suka menolong sesiapa saja yang memerlukan bantuan dalam pelajaran mereka. Mama cakap, ilmu yang kita ada jangan disimpan. Kita kena kongsi apa-apa ilmu yang kita ada dengan orang lain. Tak kiralah orang itu budak pandai ataupun budak kelas belakang.
“Oh, ya. Awak ada adik-beradik yang sekolah dekat sini juga ke?” Ateera memberanikan diri bertanya.
Hakim terdiam sejenak memikirkan soalan pelajar perempuan itu. Pasti Ateera telah pun berjumpa dengan Luqman.
“Ada...” Belum sempat kata-katanya dihabiskan, loceng berbunyi menandakan waktu pembelajaran akan bermula sebentar lagi.
“Alamak, saya kena balik kelas ni. Bye!” Pamit Ateera lalu mengatur langkah menuju ke pintu. Namun, baru saja beberapa langkah dibuka dia mengundur semula ke meja Hakim. Hakim kehairanan melihat pelajar itu yang berpatah balik.
“Lupa pula nak cakap. Terima kasih sebab pinjamkan nota!” Ucapnya seraya tersenyum.
Hakim melemparkan senyuman manis. Dia berpatah balik hanya untuk mengucapkan terima kasih? Comel betul orangnya.
“Sama-sama. Nanti kalau nak pinjam nota lagi bagitahu je saya, okey?”
“Okey.”
Ateera kemudiannya berlari-lari anak menuju ke kelasnya. Tanpa mereka sedar perlakuan mereka itu menimbulkan rasa tidak berpuas hati kepada salah seorang pelajar di dalam kelas itu.
*******
"SEKARANG cikgu nak bagi keputusan ujian bulan Mac yang lepas.” Ujar Cikgu Talha iaitu guru yang mengajar mata pelajaran Sejarah dan juga merupakan guru kelas bagi kelas 5 Akaun.
“Ada pelajar yang markahnya meningkat dari tahun lepas. Tahniah cikgu ucapkan. Ada juga yang markahnya lebih kurang macam peperiksaan akhir tahun lepas. Kamu kena tingkatkan usaha, ya. Dan ada juga yang tak naik-naik markahnya. Makin turun adalah. Haish... apa nak jadilah dengan budak ni,” Ujar guru yang agak gempal badannya itu.
Kata-katanya membuatkan pelajar-pelajarnya tergelak. Sesekali mereka melihat ke arah seorang pelajar yang duduk di bahagian belakang sekali kelas itu. Mereka sudah tahu pelajar mana yang dimaksudkan oleh Cikgu Talha.
“Luqman!” Panggil Cikgu Talha dengan suara yang kuat.
Luqman yang sedang mengelamun sambil membuang pandang ke luar kelas tersentak apabila namanya tiba-tiba saja disebut. Pandangannya segera dialihkan ke arah guru lelaki itu.
“Luqman....” Panggil Cikgu Talha lagi. Kali ini suaranya dilembutkan dan dileretkan. Seperti sedang memanggil seorang kanak-kanak.
Luqman bangun perlahan-lahan lalu menuju ke arah Cikgu Talha. Rakan sekelasnya yang lain sudah pandang lain macam saja tatkala dia mendekati guru itu.
Pandang-pandang... Cucuk mata nanti baru kau orang tahu menyesal pandang aku! Sempat lagi dia membebel di dalam hati.
Sebaik saja dia berdiri menghadap guru itu, sehelai kertas ditunjukkan ke arahnya. Kertas itu ialah keputusan ujiannya bulan Mac yang lepas.
“Apa ni Luqman?” Tanya Cikgu Talha lembut seolah-olah dia sedang bertanya kepada seorang kanak-kanak.
“Kertas.” Jawab Luqman selamba.
Cikgu Talha menghela nafas geram memikirkan jawapan yang diberikan oleh pelajarnya itu. “Ya, itu pun saya tau. Ini kertas. Tapi ini apa???” Ujar Cikgu Talha geram lalu menunjukkan satu per satu huruf E yang tertulis berderet ke bawah.
“Dari Bahasa Inggeris hingga ke Ekonomi Asas semuanya E! Nasib baik Bahasa Melayu kamu pun tak dapat E. Dapat D!”
Pelajar-pelajar yang lain sudah tidak dapat menahan ketawa mereka. Lucu pula mendengar keputusan Luqman yang penuh dengan E itu. Luqman pula hanya tersengih sumbing menunjukkan giginya yang putih walaupun di dalam hati dia bengang kerana rakan sekelasnya mentertawakannya.
Amboi... berani kau orang gelak ya? Kalau tak ada cikgu depan aku ni, dah lama aku belasah seorang demi seorang.
“Kenapa markah kamu teruk sangat? Kamu ada buat ulang kaji tak dekat rumah?” Tanya Cikgu Talha.
“Err... tak.” Jawab Luqman lagi dengan selamba. Tetapi memang itu pun kebenarannya.
Dia langsung tidak mengulang kaji pelajaran sebelum ujian dimulakan. Dia hanya menulis jawapan yang diketahuinya semasa menjawab ujian hari itu.
Cikgu Talha memegang kepalanya yang terasa berat tiba-tiba. Boleh pula pelajar itu selamba menjawab begitu? Macam manalah rambutnya tidak gugur jika memikirkan sikap pelajar yang seperti Luqman ini. Silap hari bulan nanti boleh botak dia!
“Apa nak jadi dengan kamu ni? Kenapa kamu lain sangat dengan adik kembar kamu tu?”
Riak wajah Luqman sudah berubah apabila dia dikaitkan dengan Hakim.
“Cuba tengok Luqman Hakim tu. Dia bukan saja budak pandai. Pengawas yang rajin pula tu. Terutamanya bila buat ulangkaji. Baik budaknya. Sopan santun. Tak pernah datang lewat ke sekolah. Tak pernah ponteng.” Puji Cikgu Talha. Luqman sudah tidak dapat menahan mendengar setiap kebaikan Hakim yang disebut oleh cikgunya itu. Di sekolah atau di rumah semuanya sama saja! Hakim... Hakim... Hakim...
“Kenapa kamu tak nak jadi macam dia?” Tanya Cikgu Talha.
“Sebab saya bukan dia!” Keras Luqman bersuara. Wajahnya serius menikam mata Cikgu Talha.
Bukan niatnya untuk bersikap biadap tetapi dia memang tidak suka dirinya dibanding-bandingkan dengan orang lain terutama dengan adik kembar sendiri.
Cikgu Talha dan seluruh kelas terkejut mendengar suara Luqman yang tiba-tiba saja berubah kuat itu. Suasana kelas yang tadinya riuh bertukar senyap seperti tanah perkuburan.
Luqman mengambil kertas yang berada di tangan guru itu dengan kasar lalu kembali semula ke tempatnya. Kertas itu kemudiannya dicampakkan ke atas meja. Pandangannya dialihkan semula ke luar tingkap seperti tadi.
Cikgu Talha berasa sedikit serba salah. Nampaknya dia telah mengatakan sesuatu yang tidak patut kepada pelajar bernama Luqman Haziq itu.
“Err... baiklah. Seterusnya, Rosdi. Datang ambil keputusan kamu.” Cikgu Talha meneruskan kelasnya seperti biasa. Dia tidak mahu marah lebih-lebih kepada Luqman. Nanti pelajar itu pasti akan memberontak dengan lebih teruk lagi.
******
BOLA berwarna oren itu dilantunkan ke lantai beberapa kali sambil dia berlari membuat satu pusingan bulatan. Sebaik saja kaki menghampiri bulatan jaring, dia melompat dengan tinggi dan memasukkan bola itu dalam bulatan tersebut. Bola itu kemudiannya jatuh ke lantai semula. Luqman melakukan pergerakan itu beberapa kali sehingga terbit peluh membasahi dahi dan bahagian belakang badannya.
Luqman juga cuba untuk membuat jump shot. Jarak antara dia dan bulatan jaring ialah 1.8 meter. Setelah yakin dengan posisi tangannya, jaringan cuba dibuat. Namun hampa. Jaringan yang diharapkan tidak berlaku malah tersasar dari bulatan tersebut.
“Argh!” Luqman menjerit kuat sehingga satu indoor coourt itu bergema dengan suaranya seorang.
Jaringan senang macam tu pun aku tak boleh buat ke? Marah Luqman kepada dirinya sendiri.
Nafasnya tercungap-cungap dek kerana kepenatan bermain bola keranjang. Luqman segera merebahkan diri di atas lantai yang licin itu. Siling gelanggang menjadi tatapannya. Dengan bermain bola keranjang ini dan memenatkan dirinya sendiri sekurang-kurangnya dia dapat melegakan sedikit perasaan geram yang terbuku di hati. Lega rasanya!
Sedang dia cuba mengatur nafasnya kembali dalam keadaan baring, kedengaran bunyi pintu gim itu dibuka. Luqman segera mengalihkan pandangan ke arah pintu tersebut tanpa niat untuk bangun.
Kelihatan seorang pelajar perempuan masuk ke dalam gim itu. Pelajar itu tidak sedar dengan kehadiran Luqman di situ. Terjengket-jengket langkah kaki pelajar itu seperti dia sedang masuk ke satu kawasan larangan.
Pelajar itu mendekati bangku-bangku penonton. Badannya terbongkok-bongkok memeriksa setiap bawah bangku seperti sedang tercari-cari sesuatu.
Tiba di bangku yang tingkat kelima, pelajar itu seperti sudah jumpa benda yang ingin dicarinya. Dia tersenyum gembira.
“Dekat sini rupanya.” Bisik Ateera perlahan. Lega dia kerana botol airnya yang tertinggal di sini sewaktu kelas pendidikan jasmani tadi masih berada di situ.
Ateera berpaling dan matanya tertancap ke arah tengah-tengah gelanggang itu. Bulat matanya tatkala terpandang ke arah itu.
“Arghh!” Ateera terjerit kecil lalu terjelopok jatuh ke lantai kerana terkejut melihat sekujur tubuh sedang terbaring di tengah-tengah gelanggang itu.
“Ma..mayat ke tu?” Ujarnya takut-takut.
Mayat? Luqman yang mendengar kata-kata pelajar itu pantas bangun. Dia dikatakan sebagai mayat? Buat lawak ke?
Sekali lagi Ateera terkejut kerana orang yang disangka sudah mati itu bangun secara tiba-tiba. Masih hidup rupa-rupanya!
Luqman pantas berdiri lalu bergerak menuju ke arah pintu. Luqman semakin mendekati Ateera.
Di kala itu barulah Ateera tahu siapa gerangan ‘mayat’ itu. ‘Hakim’ lagi satu rupanya. Ish! Buat orang terkejut saja.
“La... Awak rupanya kembar Hakim? Ingat siapalah tadi.” Ateera menarik nafas lega.
Langkah Luqman terus terhenti. Hakim lagi! Sudah tiada nama lainkah yang harus dia dengar?
Ateera bangun. Dia mendekati Luqman namun berhenti sebaik saja jarak antara mereka ialah 2 meter. Lelaki dengan perempuan tidak boleh rapat-rapat. Itulah yang dipesan oleh neneknya.
“Awak tidur dekat sini ke?” Tanya Ateera lebih kepada berseloroh. Mana mungkin orang tidur di gelanggang. Orang datang ke gelanggang untuk bersukan.
“Menyibuk!”
Luqman malas mahu berlama-lamaan di situ. Tambahan pula, waktu rehat sudah hampir tamat. Walaupun dia berat tulang mahu masuk ke kelas tetapi ke mana lagi dia boleh pergi di sekolah ini? Lagipun dia tidak mahu dibebel oleh Cikgu Suzana yang sangat pantang apabila pelajar-pelajarnya lambat masuk ke kelas.
Baru saja kakinya melangkah dua tapak, suara pelajar perempuan itu kedengaran lagi.
“Hoi, kembar Hakim!” Ateera memanggil pelajar lelaki itu yang kelihatan sudah mahu beredar dari situ. Dia mahu menjelaskan tentang sesuatu. Dia tidak mahu termalu sendiri.
Luqman berpaling dengan wajah serius. “Kenapa kau panggil aku macam tu?”
“First, sebab awak memang kembar Hakim, kan? Second, saya tak tau nama awak sebab awak tak pakai name tag.” Jawab Ateera pula selamba.
“Aku Luqman. So, stop panggil aku kembar Hakim.. kembar Hakim. Sakit telinga aku dengar tau tak?!” Suara Luqman meninggi. Dia kemudiannya berpaling bersedia untuk beredar dari situ.
Ateera sedikit tersentak apabila diherdik begitu. Pasal itu pun nak marah ke? Ateera memuncungkan mulutnya.
“Luqman!” Panggil Ateera lagi apabila mengingati apa yang dia harus cakap kepada pelajar lelaki itu. Kali ini dengan nama tuan badan itu sendiri.
Sekali lagi langkah Luqman berhenti dan dia terus berpaling dengan perasaan geram. “Apa lagi?!”
“Saya Ateera. Saya budak baru dekat sekolah ni jadi tak tau dekat sekolah ni ada kembar. Sorry sebab salah orang!” Ujar Ateera lalu segera meninggalkan gelanggang itu tanpa berpaling lagi.
Luqman tidak tahu mahu memberi reaksi apa terhadap kata-kata pelajar itu tadi.
Huh! Apa-apalah.
Share this novel