1- KEMBAR

Drama Series 3326

LANGSIR bercorak geometri berwarna hitam putih itu diselak. Dari balik tingkap yang menghadap timur itu Hakim dapat melihat jalur jingga sudah pun mewarnai dada langit yang keunguan.

Dia tersenyum menghayati panorama indah pada pagi itu. Dia bersyukur kerana Allah masih mengizinkannya untuk bernafas di muka bumi ini dan menyaksikan keajaiban alam itu.

Hakim yang sudah pun lengkap berpakaian seragam pengawas sekolah kemudiannya berpaling melihat ke arah katil yang bercadarkan corak jalur-jalur berwarna biru dan hitam di hadapannya. Terdapat sekujur tubuh yang masih berselubung di bawah selimut tebal itu.

Dia mendekati katil itu lalu menarik selimut tersebut. Kelihatan Luqman masih lena tidur sambil memeluk bantal peluk. Rambutnya sedikit kusut di atas bantal.

Hakim menghela nafas berat. Apalah nak jadi dengan abang kembarnya itu? Dia sudah mengejutkannya untuk menunaikan solat subuh setengah jam yang lalu. Tetapi nampaknya, Luqman langsung tidak terkutik dari tempat tidurnya sehinggalah sekarang.

“Luq, bangunlah!” Jerit Hakim seraya menggoyang-goyangkan bahu Luqman. Namun, tiada sebarang reaksi daripada abang kembarnya itu.

“Woi, bangunlah. Pergi sekolah!” Ujar Hakim lagi cuba untuk mengejutkan Luqman. Bahu abang kembarnya itu digoyang dengan lebih kuat.

“Hmmm....” Suara Luqman sudah kedengaran namun matanya masih lagi terpejam. Tiada tanda-tanda yang Luqman akan bangun.

Hakim menggelengkan kepala. Nampaknya dia terpaksa menggunakan cara kasar jika beginilah situasinya.

Langkah diatur menuju ke bilik air di dalam billik Luqman itu. Dia menadah air di dalam sebuah baldi kecil lalu membawa baldi itu ke arah katil Luqman.

“Bismillah,” Sebaik saja membaca perkataan itu Hakim terus menjirus air itu ke muka Luqman tanpa teragak-agak.

Air yang dijirus itu berjaya mengejutkan Luqman. Luqman menggelupur seketika tatkala air yang mengalir bagaikan air terjun itu mengena mukanya, membuatkan dia berasa lemas.

“Woi! Woi! Apa ni?” Marah Luqman lalu bangkit dari perbaringan. Hakim segera berhenti menjirus air ke muka Luqman. Dia hampir tergelak melihat rambut dan muka Luqman yang sudah pun lencun disiram air.

“Air.” Jawab Hakim selamba bagi soalan abang kembarnya itu.

“Haish! Yang kau jirus air dekat muka aku tu kenapa?” Marah Luqman lagi. Siapa yang tidak marah apabila dia sedang sedap-sedap bermimpi makan aiskrim Baskin Robin tiba-tiba saja ‘hujan’ turun?

“Untuk bagi kau bangun.” Jawab Hakim lagi dengan selamba.

“Aku tak nak bangun. Aku nak sambung tidur." Bantah Luqman.

Dia merebahkan semula badannya ke atas katil.
Katil yang sudah basah itu langsung tidak dihiraukan. Basah pun basahlah. Dia sangat mengantuk saat ini. Malam tadi dia bersengkang mata sampai pukul 3 pagi semata-mata mahu menyaksikan perlawanan bola antara Liverpool dan Manchester United.

Hakim merentap lengan Luqman dan memaksanya untuk bangun.

“Bangunlah. Nanti kita lambat pergi sekolah.”

“Kalau tak nak lambat kau pergilah sekolah sendiri.” Marah Luqman lagi dan mengeraskan dirinya di atas katil. Dia tidak mahu bangun.

“Luq, kau jangan degil boleh tak?” Kali ini Hakim pula yang naik marah. Susah betul dia mahu mengajak abang kembarnya itu ke sekolah.

“Aku memang degil pun.”

“Kenapa bising pagi-pagi ni?” Satu suara mencelah pertengkaran mereka. Hakim melihat ke arah muka pintu bilik Luqman. Kelihatan Puan Amelia sudah pun tercegat di situ sambil berkerut muka. Kedua-dua tangannya melekat di pinggang.

Hakim terdiam. Melihatkan mamanya begitu dia tahu mamanya itu sedang marah. Bila mamanya sudah naik angin dia sendiri tidak tahu mahu berbuat apa. Luqman berpura-pura tidur walaupun dia dapat mendengar dengan jelas suara mamanya itu yang nyaring bak halilintar.

“Hakim, kalau dia tak nak pergi sekolah biarkan. Hakim pergi sekolah sendiri. Suruh Pak Cik Jufri hantarkan. Kalau Hakim nak tunggu budak tu memang sampai ke esok Hakim tak pergi sekolah.” Suara Puan Amelia tajam menghiris telinga adik-beradik itu. Sebenarnya lebih kepada menghiris hati Luqman.

Hakim tahu yang Luqman dapat menangkap setiap perkataan bisa yang keluar dari mulut mama. Hakim tidak mahu keadaan menjadi lebih teruk lantas dia mendekati mamanya perlahan-lahan.

“Err.. mama, Kalau Hakim nak breakfast dulu boleh?” Pinta Hakim dengan suara yang lembut.

Riak muka Puan Amelia terus berubah kendur. Senyuman tipis mula terukir di wajahnya.

“Mestilah boleh. Apa pulak breakfast tak boleh? Breakfast tu penting untuk anak mama ni agar kekal cergas dan bersemangat di pagi hari.” Kata Puan Amelia sambil membelai rambut Hakim lembut.

“Mama dah breakfast? Jom kita breakfast sekali.” Hakim memancing mamanya untuk keluar dari bilik Luqman. Dia tidak tahu apa akan terjadi sekiranya mama berlama-lama di situ. Mungkin lebih banyak kata-kata pedas yang meluncur dari mulut mamanya itu. Dan mungkin hati Luqman akan lebih terguris.

“Jomlah.” Puan Amelia menerima pelawaan itu dengan gembira. Mereka berdua akhirnya keluar dari bilik Luqman.

Setelah mereka keluar barulah Luqman membuka matanya. Budak tu? Sekarang nama dia pun mama tak mahu sebut? Apa jijik sangatkah dia?
Apa hebatnya Hakim dan apa kurangnya dia sehingga mereka adik-beradik diberi layanan yang berbeza oleh mama sendiri? Mengapa begitu? Adakah kerana Hakim lebih bijak daripadanya? Adakah kerana Hakim begitu baik di mata mama manakala dia pula yang paling teruk? Adakah kerana dia suka membuat masalah di sekolah jadi mama membezakan layanan antara mereka?

Mama seharusnya sedar mengapa dia bertindak sedemikian. Perhatian mama terhadapnya sudah berkurang sejak 5 tahun yang lalu iaitu apabila Hakim disahkan mempunyai masalah jantung.

Mama memberikan perhatian yang lebih banyak kepada Hakim berbanding diriya. Oleh itu, dia berasa terpinggir. Dia mahu mama memberikan perhatian kepadanya juga. Bukan kepada Hakim seorang saja.

Malas mahu terus menyerabutkan otaknya dengan perkara yang melibatkan hati dan perasaan itu, Luqman terus bangkit dari katil.

Tuala yang tersidai di tempat penyidai bersebelahan katilnya dicapai lalu langkah terus diatur menuju ke bilik air.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience