Rate

BAB 2

Drama Completed 375

Seseorang ini sebenarnya lebih akrab aku kenali dalam cerita lisan leluhur. Sedangkan, buku sejarah yang melambak di pasaran seringkali pula disamarkan maknanya oleh tangan asing.

“Pula?”

Semua orang pasti sedia maklum bahawa masyarakat Barat memang telah lama iri hati dengan masyarakat Timur. Masyarakat yang tidak kurang terkenal kerana kaya dengan peradaban tamadun bangsa.

“Hah! Kau nampaknya beria-ia hendak menjadikan saya sebagai kambing hitam untuk menentang ideologi Barat?”

Inilah antara sebab utama identiti dia kekal disembunyikan. Perwatakan sulit yang sengaja dibiarkan tidak bernama.

“Bukankah ia akan kedengaran agak lucu apabila kau tidak mampu menamakan saya?”

Dia harus faham dengan situasi semasa. Pak Pandir adalah watak lelucon ciptaan leluhur yang terkenal dengan sopan-santun kiasannya. Hal ini berlainan dengan watak yang aku ingin garap. Sekalipun dipacakkan di atas garisan linear masa dengan jarak ribuan tahun cahaya, dia masih juga mudah dijadikan sasaran serangan ideologi asing.

“Jadi benar dugaan saya. Kau sendiri memang tidak pernah yakin hendak menjadikan saya sebagai sesiapa!”

Sudah tentulah dia harus memiliki perwatakan yang berjiwa bangsa. Jika tidak, masakan dia memperolehi mandat seperti sekarang ini. Mandat penting untuk menentukan perwatakannya sendiri dan hala tuju peradaban unggul bangsa.

“Alangkah lega kerana saya akhirnya dapat membebaskan diri daripada cengkaman cerita karut kau ini.”

v. Ketika belum ada lagi kenyataan rasmi daripada pihak makmal agung bangsa dan isu virus serta bakteria semakin ditularkan sebagai sengaja dilepaskan oleh telah dijinakkan saintis Barat demi merangsang antibodi manusia, aku pun nekad untuk bersuara, “Adakah kamu sengaja membebaskan virus dan bakteria disebabkan oleh lambakan vaksin?”

Dia masih berdiam diri (barangkali beranggapan telah bebas sepenuhnya daripada cerita ini). Walaupun watak dia adalah hasil rekaan kreatif aku, bukan bermakna watak dia boleh disingkirkan dengan sewenang-wenangnya.

“Tukarlah jalan ceritanya jika kau mampu.”

Nah! Dia mula beranggapan sinis, iaitu setelah menenun sayap, aku akan membiarkan dia terus-terusan terbang dengan gembira. Melayah-layah bertemankan ego untuk menaburkan virus dan bakteria. Menyebarkannya ke segenap ruang udara demi menjangkiti seluruh keturunan aku.

Dia menjangkakan, setelah membakar senja, aku tidak memiliki cahaya untuk menanti gelap. Dengan hal demikian, mata keturunan aku bakal dibutakan oleh virus dan bakteria yang dianggapnya cuma dapat dilihat dengan mikroskop selama-lamanya.

Fikir-fikirkanlah; darah yang mengalir di selirat saraf nadi yang cuba dicemarinya ialah darah leluhur. Darah suci ini telah lama kebal daripada ancaman virus atau bakteria sebelum bantuan vaksin lagi. Leluhur mati dengan penuh maruah atas nama perjuangan menentang penjajah. Selain turut terkorban demi menyedarkan warga yang berpaling tadah. Bukan sekadar mati katak di makmal kebanggaan bangsa yang tidak berdinding pada zaman mutakhir ini!

vi. “Sepanjang pengetahuan saya, virus dan bakteria yang telah dilemahkan tidak pun pernah didengar mampu membunuh manusia kecuali menyirnakan penyakit kemiskinan.”

Cura bernada lelucon ini sekali lagi membuatkan semua lensa termasuk mata hati aku makin dipicingkan ke arahnya. Dia ialah lelaki yang telah dipertanggungjawabkan terhadap penyebaran virus dan bakteria. Lelaki sama yang dikenali ramai sebagai penaung makmal kebanggaan bangsa.

Mujurlah juga dia telah mendidik aku agar lebih berhati-hati. Aku berjaya menghidu niatnya sejak dari awal lagi. Hasrat hendak menyumbatkan kepercayaan dan pendirian aku ke dalam tabung uji. Tabung yang muncah dengan virus dan bakteria merbahaya.

“Kau juga mementingkan diri. Saya dipaksa memilih watak antibodi melainkan vaksinasi.”

Ah! Perlukah aku kekal percaya dengan kenyataan golongan saintis dari negara asing (yang penuh dengan propaganda itu) bahawa virus dan bakteria yang telah dijadikan vaksin benar-benar telah dilemahkan sepenuhnya?

Kalaulah aku masih tegar untuk mempercayainya, nescaya karya ini akan menjadi catatan biasa. Karya yang ditulis setelah bingung membaca dersik angin yang mudah bertukar menjadi taufan, dedaun makin luntur warnanya oleh gerimis, asap jentera berat tanpa jeda menghadirkan kabut, dan tangan asing kian rakus mencorak kanvas peradaban bangsa tanpa diperdulikan.

Hal lain paling aku khuatiri, kelak akan ada yang bertanya dengan lantang pula, “Bukankah cerpen ini milik mutlak watak dan bukan campur tangan penulis dengan monolog dirinya?”

Aku pernah katakan, penulis hingusan sudah pasti tidak akan tunduk dengan teori yang telah diterbitkan di negara Barat. Kepercayaan karut yang telah dibuktikan bukanlah bersifat definitif semata-mata. Ideologi Barat ini tetap berubah sifat mengikut peredaran zaman.

Makanya, teori asing yang membenarkan tindakan dia agar kekal memilih perwatakan bertentangan dengan adat resam leluhur adalah wajar untuk dinilai semula. Jika tidak, dia akan terus-terusan membangunkan dasar dengan sesuka hati. Lebih-lebih lagi, dasar pemberian vaksinasi yang diadun dengan niat tidak terduga. Hasrat untuk terus menternak dan menyebar virus dan bakteria yang kononnya telah dilemahkan; doktrin yang terang-terangan pernah merencatkan pemikiran dan peradaban generasi demi generasi di bumi bertuah ini.

vii. Aku mudah terfikir. Tanpa aku (atau kalian), siapakah lagi yang perlu tampil dengan penuh bijaksana bagi mengetengahkan watak sebegini (di antara watak dalam cerita lisan leluhur yang harus diwariskan kepada generasi demi generasi atau watak mutakhir untuk membolehkan cerpen memperolehi Hadiah Nobel Sastera)?

Maklum, aku juga belum pernah menemui bukti bahawa antibodi yang diwarisi daripada darah suci leluhur mampu menumpulkan kreativiti mata pena aku (barangkali juga hasil ketajaman mata pena kalian) berbanding mata pena yang sering digunakan oleh kaki judi pada setiap hari Rabu, Sabtu, dan Ahad malah pada setiap setengah dasawarsa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience