Rate

BAB 1

Drama Completed 375

Vaksin tiba-tiba sahaja menjadi tular. Hal ini terjadi apabila virus dan bakteria didakwa terlepas dari makmal kebanggaan bangsa. Menyusup keluar dengan jumlah yang luar biasa banyaknya. Belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berwajib mengenai kesahihan berita ini. Pernyataan beberapa orang individu lain sahaja yang mudah menarik perhatian orang ramai, “stok vaksin tetap terkawal dan mencukupi.”

i. Vaksin tiba-tiba sahaja menjadi tular. Hal ini terjadi apabila virus dan bakteria didakwa terlepas dari makmal kebanggaan bangsa. Menyusup keluar dengan jumlah yang luar biasa banyaknya. Belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berwajib mengenai kesahihan berita ini. Pernyataan beberapa orang individu lain sahaja yang mudah menarik perhatian orang ramai, “stok vaksin tetap terkawal dan mencukupi.”

ii. Dia duduk sambil menopang dagu. Di bingkai jendela, kenyitan fajar yang membelingas bersama dengan embalan hembusan bayu terasa mampu mengecilkan apertur lensa matanya. Mujurlah dedaun rimbun masih cekal memerangkap sebahagian kecil kabut tebal. Cuba menyulingnya agar menjadi titisan seni. Sebelum jatuh ke pangkuan bumi setitik demi setitik.

Di tanah yang basah itu, dia cuba mempercayai diri pernah mengepalkan azam dan janji. Dia hendak membuktikan bahawa kejayaan petani tidak bergantung dengan peralatan moden sahaja. Seseorang petani cuma memerlukan tekad yang tinggi. Terus cekal menghayun cangkul berbanding menjemput dif ke upacara pecah tanah.

Lucu sekali, dia masih juga memilih sehelai baju kemeja T lengan panjang dengan seutas dasi kupu-kupu. Tradisi mengenakan sehelai baju panjang lusuh berbau pokok ditebang dan terbakar, seluar hitam dengan tali rafia sebagai tali pinggang serta topi yang diperbuat daripada daun mengkuang telah diketepikan tanpa sebab yang jelas.

Tidak terkecuali, angin yang sering meluncur dari arah perbukitan. Angin dingin yang kerap menampar pipi, tidak pun sesekali pernah menggugat dia. Dia bersikap tenang dan membiarkan sahaja udara ini terus berbuat demikian. Dia percaya bahawa tangan angin ini mampu menyapu perkhabaran tentang keperitan hidup dengan sendirinya.

Lain pula halnya dengan daya graviti yang dicetuskan oleh kesunyian. Daya yang akrab mendampingi dangau terasa seperti melonglaikan kudratnya. Hingga akhirnya, bisikan ini mudah mencelah seperti melankolis kepunyaan pasangan sedang mabuk kecubung asmara yang beranggapan bahawa terpisah sehari persis berabad-abad lama, “Kalau diikutkan, saya memang tidak pernah berkenan ditinggalkan bersendirian di sini untuk sekian lama.”

Menurut orang tua-tua, kalau berniat tulus, seseorang pasti akan dijumpai di hutan belantara ini. Seseorang ini bukanlah seseorang yang sebaik-baik sahaja dilahirkan akan terus menangis meminta pen dan buku. Seorang genius tetap juga mempelajari rempah-ratus kehidupan bermula dengan mengenali suara alam. Suara yang tidak pernah sumbang mendendangkan kebenaran.

“Tadi kau kata saya harus mencintai kesunyian?”

Kesunyian memang wajar dijadikan ruang terbaik untuk menyuling rasa hati. Kelak, tanggungjawab yang sukar dipikul tidak pula akan dialihkan ke bahu orang lain tanpa rasa bersalah.

“Aneh?”

iii. Jangan mudah melatah apabila teringatkan tentang nasib segolong ijazah yang telah dituntut di luar negara. Pada zaman maklumat berada di hujung jari, ijazah sahaja tidak pernah mencukupi. Generasi kini harus pandai merebut peluang, tidak memilih pekerjaan sangat serta sedia belajar pelbagai kemahiran asas. Menangguk di air keruh sahaja yang tidak digalakkan. Biarpun diketahui ramai bahawa gejala cetak rompak memang mampu menguntungkan sesiapa sahaja. Hal ini termasuk di industri perfileman, industri muzik, bidang sastera dan keilmuan lain.

“Kau seperti menuduh saya berminat dengan watak salin dan tampal?”

Jika difikirkan berulang kali, perwatakan dia memang telah lama dibentuk dengan elok. Selain turut dijaga bagai menatang minyak penuh. Lebih-lebih lagi, pada saat dia begitu diharapkan untuk mendukung dan memartabatkan lagi warisan leluhur.

“Kau juga harus realistik. Pari-pari cuma wujud dalam cerita dongeng.”

Tanpa sayap berkemilau pun, niat untuk membantu orang lain pasti dapat dilakukan dengan jayanya. Lebih daripada memadai, jika sekiranya tanggungjawab ini dilaksanakan dengan intergriti dan keikhlasan.

“Jika begitu, saya tidak perlu lagi membazir waktu untuk berdebat dengan budak hingusan seperti kau?”

Dalam dimensi ini, pertemuan yang diharapkan itu memang hampir mustahil untuk terjadi. Kepercayaan yang didukung sejak berkurun lama telah meletakkan dia di ruang dan masa berasingan. Hal ini terjadi sebaik-baik sahaja dia memilih untuk mempercayai teori asing. Mudah akur dengan pegangan karut, iaitu perlunya pengiraan secara ilmiah bagi membuktikan bahawa kedua-dua garisan selari tidak akan pernah bertemu walaupun di mana-mana titik.

“Nah! Secara saintifik pun memang diakui agak sukar untuk mempertemukan semula saya dengan cendikiawan yang sering kau puja hampir sepanjang zaman itu.”

Di tanah bertuah ini, ilmu pengamal perubatan, ahli falsafah, pakar ekonomi bahkan semangat pejuang sejati yang cukup menggerunkan penjajah pernah berakar-umbi tanpa mampu digugat. Usaha keras dan keyakinan secara berterusan sahaja yang diperlukan untuk menemui semula semua kekuatan itu pada zaman mutakhir ini.

“Biar apa-apa pun alasannya, saya tetap mahukan latar cerita ini ditukar dengan segera. Disesuaikan dengan perubahan zaman agar tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.”

Kota metropolitan amat menggerunkan. Setiap inci ruangnya telah dipenuhi oleh manusia yang mengenakan pesona. Sifat mereka jauh sudah berubah seperti kebanyakan pokok di persekitaran kota itu sendiri. Sebahagian besar daripada pokok berkenaan telah terbina daripada plastik. Burung dan haiwan juga tidak jauh berbeza. Kedua-duanya adalah campuran batu, pasir, dan simen yang diukir oleh tangan kasar pendatang asing tanpa izin.

“Kau perlu melihat dari sudut terbuka. Tanpa industri perladangan yang berkembang biak dengan pesat di belantara rimba, hutan akan kekal dikaitkan dengan tempat penularan wabak penyakit kemiskinan.”

Kota metropolitan pun tidak kurang juga hebatnya. Penyakit yang jauh lebih berbahaya telah membiak dengan pantas kerana tidak diperdulikan. Bahkan ramai yang menafikan tentang kewujudan penyakit kencing manis, penyakit tekanan darah tinggi, dan penyakit jantung. Walaupun penyakit yang boleh dicegah ini (bukan dengan vaksinasi melainkan dengan mengamalkan gaya hidup sihat) telah pun terbukti lebih kerap lagi membazirkan emas hitam bumi bertuah.

iv. Aku kerap terfikir dan memasang angan. Peluang untuk memperoleh Hadiah Nobel mungkin lebih cerah lagi jika sekiranya aku berjaya menemui dan langsung mengadun watak seseorang yang sering aku puja agar menjadi sebahagian daripada watak dia.

“Ah! Saya tidak semudah itu hendak membiarkan watak diri dimanipulasi oleh penulis hingusan seperti kau.”

Seingat-ingat aku, dia adalah watak utama. Perwatakan yang diberikan penghormatan terbesar bagi menapakkan semula keyakinan generasi era baharu. Generasi yang boleh diharapkan menjaga dan mengekalkan keharmonian warisan leluhur sampai bila-bila.

“Permudahkanlah jalan cerita ini. Angkat sahajalah saya sebagai watak yang kau puja itu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience