Rate

Coretan 2

Short Story Series 322

[2 Kata Nama]
[2 Kata Kerja]
[1 Kata Adjektif]

Semuanya rawak
Apakah kesudahan coretan ini?

KATA NAMA
• kucing
• jeladeri (sastera lama - lautan)
KATA KERJA
• lawan
• ubah
KATA ADJEKTIF
• kuning

_____________
coretan 2 : rumah

Tulis dua ayat bagi setiap kata di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan frasa itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) bekas
(ii) alamat
(iii) bengkel

Aku membaca soalan itu beberapa kali sebelum menjawab.

(i)
1- Bekas luka itu perlu dijaga dengan baik supaya ia tidak mendapat jangkitan kuman.
2- Ibu mengisi kuih-muih ke dalam sebuah bekas makanan yang baru dibelinya pagi tadi

(ii)
1- Alamat rumah beliau ada dalam buku nota ini.
2- Hari mendung alamat akan hujan.

(iii)
1- Kereta ini perlu dihantar ke bengkel sebelum kerosakannya menjadi lebih teruk.
2- Bengkel penulisan itu akan diadakan pada minggu hadapan.

Selesai menjawab, aku meregangkan otot-otot di badanku. “Ok, soalan yang seterusnya," aku berkata kepada diri sendiri.

Kembali memegang pen biru, aku pun mula membaca soalan yang seterusnya sebelum diberhentikan oleh seekor makhluk yang comel.

“Tepung, kenapa ni? Orang tengah buat kerja sekolah ni," aku berkata kepada kucing kesayanganku.

Kucing putih itu tetap cuba bermain denganku.

“Ok, ok nanti orang main dengan Tepung lepas dah habis kerja sekolah, ok? Ada sikit lagi orang kena siapkan,"

Mendengar jawapan itu, dia kembali tenang dan hanya duduk di atas ribaku sambil menggigit mainan kegemarannya, sebuah patung tikus berwarna kuning.

15 minit kemudian...

“Yes, siap! Jom Tepung, kita main," aku memanggilnya dengan teruja. Namun, aku tidak mendapat sebarang reaksi dari Tepung. Aku pun melihat ke arah ribaku, hanya untuk melihatnya sedang tidur.

“Patutlah diam semacam. Aku pun tak kena cakar," aku berkata.

“Alamak, macam mana ni? Aku nak bangun ke tak? Kang nanti bangun, Tepung terkejut. Tapi, kalau aku duduk je, kaki aku kebas," aku bermonolog di dalam hati.

Setelah berfikir selama 10.89 saat, aku pun memutuskan untuk melaksanakan "Misi Angkat Tepung, Letak Tepung Atas Katil, Pastu Baring Atas Katil dan Tengok YouTube Sementara Tunggu Tepung Bangun."

Dengan cermat aku mengangkat badannya dan mengikut isi kandungan misi.

Cantik! "Misi Angkat Tepung, Letak Tepung Atas Katil, Pastu Baring Atas Katil dan Tengok YouTube Sementara Tunggu Tepung Bangun" berjaya dilaksanakan. Berikan sebuah tepukan gemuruh pada diri sendiri.

Terima kasih, terima kasih. Saya tidak layak menerima tepukan ini, tapi terima kasih!

Aku pun menghabiskan masa dengan menonton jeledari video dalam aplikasi YouTube, sambil menunggu Si Tepung untuk bangun.

Sedang aku leka, aku merasa sebuah pergerakan di sebelahku. “Tepung dah bangun ni," aku bermonolog. Seperti yang ku teka, si kucing putih itu telah bangun dari lenanya.

Melihat kelibat aku, dia pun mengajak aku untuk main bersamanya sekali lagi. Dia mengiau beberapa kali. Menerima ajakannya, aku pun mengambil mainan kegemarannya sebelum berjalan ke luar rumah.

Di halaman rumah, kami berdua pun bermain bersama-sama. Tidak seperti kucing yang lain, Si Tepung ini aktif bermain. Setiap petang, pasti kami berdua akan sama-sama bermain. Aku membawa umpan untuk dikejarnya.

Sedar tidak sedar, tekak pun berasa kering. Aku pun berhenti bergerak dan mengangkat Tepung dari tanah.

“Tepung, kita masuk rumah sekejap, orang nak minum air," aku memberitahunya. Namun Tepung tidak menghiraukan kata-kata aku dan masih lagi cuba menangkap umpan di dalam tangan kiriku.

Aku tergelak kecil sebelum menegurnya, “Eh, jangan cuba ambil! Nanti kalau Tepung jatuh macam mana?"

Sekali lagi, dia buat endah tak endah. Aku pun mengambil keputusan untuk menyerahkan saja umpan itu kepadanya.

“Hmm, makanan Tepung pun dah nak habis...aku pun rasa macam nak makan aiskrim. Ok lah, aku gi kedai beli," aku memutuskan setelah mengintai peti di dapur.

Sampai di pintu rumah, Tepung menggeselkan kepalanya di kakiku.

“Tepung nak ikut ke?"

Dia memandangku dengan mata yang bersinar.

“Kalau dah pandang macam tu, macam mana nak tolak? Ok, Tepung tunggu sini sekejap. Orang nak ambil sangkar pembawa Tepung," aku mengarahnya.

“Ok, jom jalan!"

Sampai di kedai runcit, aku meletakkan sangkar pembawa itu di luar kedai. “Tepung, tunggu sini sekejap tau. Orang beli barang," aku berkata kepadanya.

“Meow," balas Tepung.

“Hmm, betul tu. Nanti orang datang balik, orang nak beli makanan Tepung," aku pula membalasnya.

“Alamak tersalah ambil jenama,"

Aku pun kembali semula ke rak makanan haiwan kedai tersebut untuk mengubah pilihan makanan.

“Terima kasih," kata pekerja kedai itu, selepas aku habis membayar. Aku hanya memberi sebuah senyuman kepadanya.

Pintu automatik pun terbuka dan aku akhirnya melangkah keluar ke kaki lima, tempat aku meninggalkan Tepung.

Yang peliknya, sangkar Tepung hilang.

Dalam telingaku, aku mendengar sebuah lagu sedang dimainkan. Sebentar, lagu ni ....lagu ni bukan ke lagu yang dorang guna dalam video baling kucing tu?

Mengejar melodi lagu itu, aku akhirnya bertemu dengan sebuah kumpulan remaja. Seorang sedang merakam, seorang lagi sedang bersorak dan seorang lagi sedang memegang sebuah sangkar pembawa.

ITU SANGKAR PEMBAWA TEPUNG!

Sebelum aku sempat membuka mulut, remaja itu pun mengeluarkan Tepung dari sangkarnya, lalu membalingnya ke udara.

Kenapa dia buat benda ni?
Demi likes?
Likes tu penting sangat ke?
Hati merah je pun.
Apa salah tepung dekat engkau?
Tepung tak buat apa-apa.

Pada saat itu, air mataku pun mengalir, sementara lagu itu bermain dengan sayup dalam telingaku.

Dalam dunia gelap itu, aku dapat merasa sesuatu yang sedang menyentuh pipiku. Aku pun membuka mata dan melihat Tepung berada di depan mataku. Beberapa kali, dia menyentuh pipiku. Aku pelik dengan tindakannya sebelum aku sedar akan pipiku yang basah.

Masin. Mulutku berasa sedikit masin, mungkin aku tertelan air mata tanpa sedar.

Melihat aku bangun, dia memberiku mainan kegemarannya, patung kapas tikus kuning.

Tindakan Tepung seolah-olah berkata, “Janganlah nangis, ni Tepung kasi benda yang buat Tepung gembira. Jadi, awak tak boleh sedih lama-lama."

Melihat muka Tepung, aku hanya mampu melafazkan rasa syukur. Syukur, itu hanyalah sebuah mimpi. Syukur, Tepung masih lagi bersamaku. Syukur, aku hanya tertidur ketika menyelusuri jeladeri YouTube.

Aku cuba melawan air mata gembira.

--------------------------------------------
bila Aminah nak tulis komedi ni?
- aminah, 3 Mac 2021, 15:53
--------------------------------------------

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience