[2 Kata Nama]
[2 Kata Kerja]
[1 Kata Adjektif]
Semuanya rawak
Apakah kesudahan coretan ini?
KATA NAMA
• bakul
• bandar
KATA KERJA
• undur
• sorok
KATA ADJEKTIF
• berdebu
_____________
coretan 1 : pasar malam
[TIDAK SESUAI DIBACA OLEH MEREKA YANG TIDAK SELESA MEMBACA GENRE SERAM]
Sedang aku leka berjalan di sebuah pasar malam, aku terjumpa seorang tua yang menjual pelbagai jenis bakul. Aku pun menghentikan langkahku untuk mengamati bakul-bakul yang berada di atas meja tersebut. Dalam keheningan bandar, si tua pun berkata, “Anak nak beli bakul?”
“Berapa pak cik bakul-bakul ni?"
“Bakul yang ini pak cik jual RM 10, yang ini pula RM15. Semuanya pak cik sendiri anyam."
Mendengar jawapan itu, aku pun melihat ke arah tangannya. Terlintas sebuah bayangan dalam fikiranku, si tua itu menganyam bakul sambil tersenyum. Aku pasti itu juga terjadi dalam realiti.
Mahu menghargai usaha si tua itu, aku pun berfikir untuk membeli dua bakul yang dijualnya. Baru aku mahu memilih, aku terlihat sebuah bakul yang berada di sebelah tempat duduknya. Yang peliknya, ia berdebu, seperti sudah lama ditinggalkan.
Menyedari pandangan anak mataku, si tua itu pun cuba menyorokkan bakul berdebu itu dari pandanganku.
“Anak dah pilih bakul yang mahu dibeli?"
Kerana rasa ingin tahu yang membuak-buak, aku menjawab, “Bakul yang kat sebelah pak cik tu untuk dijual ke?"
“Ini bu- Ya, ini unt- Bukan- Pak Cik jua- JANGAN BELI!" jawab si tua itu. “Err pak cik?" tanyaku kepadanya.
“Anak, lebih baik kau undur dari sini. Kembali ke tempat asal engkau," dia bersuara separuh nafas. “Tapi, bakul pak cik?” tanyaku pula.
“Ambillah mana yang kamu mahu. Pak cik sedekah," dia memberi sebuah tawaran. Matanya sekali kala dipejam, seperti menahan sakit. Rasa bersalah pun menyelebungi diriku.
“Tak apa saya beli sahaja bakul yang pak cik jual. Sebentar ya, saya pilih.”
Selepas mendengar jawapan ku, si tua itu mula panik. “TAK APA NAK, KAMU AMBIL SAJA YANG MANA-MANA. YANG PENTING KAMU PULANG SEGERA," dia cuba memaksaku.
Cepat-cepat aku memilih bakul-bakul yang mahu aku beli, lalu menyerahkan wang bayaran kepadanya.
“Anak, tak apa. Tidak perlu bayar,"
“Tak apa pak cik, saya ikhlas,"
“Haih, yalah. Dengar sini, bila kamu berlalu pergi, kamu jangan sesekali toleh ke belakang sehingga sampai ke kedai air yang kedua,” katanya lagi.
“Kenapa?" aku menyoal.
“Dengar saja kata pak cik, jangan sesekali toleh ke belakang,” dia menegaskan lagi.
“Baiklah,” aku menjawabnya.
Dengan itu, dia tersenyum lega.
Aku pun berjalan mengikut arahannya. Bila ku tiba ke kedai air yang pertama, aku mendengar sebuah suara sayup yang memanggil namaku. Langkahku terhenti. Berulang-ulang kali ia memanggil namaku.
“Dengar saja kata pak cik, jangan sesekali toleh ke belakang,”
Nasihat si tua itu bermain berkali-kali dalam kotak fikiranku.
“Lebih baik aku ikut nasihat pak cik bakul. Hantu agaknya,” aku bermonolog.
Sepanjang perjalananku, aku tetap diganggu dengan suara yang sama yang cuba memanggilku. Mahu tak mahu, aku hanya meneruskan langkah sambil mengabaikan suara tersebut.
Sampai di kedai air yang kedua, suara itu berhenti. Aku pun memberanikan diri untuk menoleh ke belakang.
Lega.
Aku lega di belakangku, hanyalah sebuah pasar malam di sebuah bandar. Aku pun cuba mengamati bakul yang telah ku beli. Bila diperhatikan dengan lebih teliti, barulah ku sedar betapa kemasnya anyaman si tua itu.
Sebentar, bila masa aku beli bakul?
--------------------------------------------
ah sudah~
- aminah, 2 Mac 2021, 16:30
--------------------------------------------
Share this novel