Series
10868
Bab Satu
Starbucks Setia Alam.
Sengaja aku melabuhkan punggung di atas sofa kuning cair ini. Kenap bulat berwarna coklat pekat seperti warna dahan tua, aku letakkan tumbler limited edition kolabrasi antara Starbucks x Duck. Ice Americano tanpa gula sentiasa menjadi pilihan hatiku. Semenjak aku menyedari bahawa usiaku semakin meningkat saban tahun, menjaga kesihatan sentiasa menjadi keutamaan aku. Atas nasihat doktor, aku juga telah menambah waktu bersenam aku dari seratus dua puluh minit ke seratus enam puluh minit seminggu.
“Awak muda lagi. Saya cadangkan awak bersenam hari-hari supaya badan awak sihat dan kesihatan awak lebih baik dari semasa ke semasa.”
Terngiang-ngiang nasihat doktor kacak tersebut di cuping telinga aku. Aku ketap bibir sendiri. Tanpa sedar, senyumanku kian membias di wajah. Aku menggosok pipi yang merah menyala bak udang.
Aku menongkat dagu sambil menggigit straw kertas di atas kenap bulat ini. Kala ini, aku membayangkan si dia dan aku bersanding di atas pelamin indah yang dihiasi bunga ros hidup di sekelilingnya.
Huh! Aku mengepal penumbuk. Tiba-tiba sahaja aku terbayangkan wajah bekas kekasih aku, Harraz muncul bersama suit hitamnya di majlis perkahwinan aku dan ingin membawa aku lari gara-gara tidak puas hati kerana aku tekad memilih doktor tersebut sebagai suami aku.
Huh! Walaupun wajah Harraz tak kurang pun kacaknya seperti Henry Cavill, tetapi, aku tidak betah dengan perangai buayanya. Bertukar perempuan seperti menukar baju. Huh! Bimbang juga aku kalau terjangkit virus STD daripadanya. Ya. Hubungannya dengan wanita-wanita tersebut pasti akan berakhir di bilik tidur. Sejujurnya, tidak wujud pun setitik penyesalan kerana telah meninggalkannya tiga tahun lalu. Malah, aku bersyukur kerana ALLAH menyelamatkan aku dari terjebak dengan permainannya.
“Ehem, jauhnya you mengelamun, Shofie. Jangan kata you berangan nak kahwin eh!”
Tiba-tiba, seseorang menepuk meja bulat ini. Bagaikan terkena renjatan elektrik, aku tergigit bibir bawah hingga luka. Aku segera mengangkat wajah dan mata bundarku membulat memandangnya. Dia tampak lebih sempoi berbanding kebiasaannya. Ketampanannya tidak terjejas biarpun hanya mengenakan t-shirt lengan pendek berwarna biru tua dan seluar jeans koyak.
“Kalau I berangan nak kahwin pun, tak salahkan Zayn?”
Aku pulangkan soalan kepadanya.
“Interesting. Siapa calon you itu? Jangan-jangan you dah berbaik dengan Harraz Naufal?” katanya sebelum jongket kening.
Aku juihkan bibir seraya menggeleng. Tak mungkin aku berbaik dengan kasanova tersebut.
“Kita dah lama kenal. You taknak kongsi dengan I nama jejaka bertuah tersebut?”
Zayn tatap anak mataku dalam. Wajahnya tetap redup seperti selalu.. Rambutnya tersisir rapi. Sengaja dia usik rambutnya itu dan kemudian tersenyum lagi.
“Hey, you akan tahu juga bila dapat kad jemputan daripada I nanti. So, jangan tanya I lagi. Jom pergi kaunter. I nak croissant?”
Aku segera bangun dan menarik tangannya. Dia menggosok ubun-ubun aku seperti selalunya. Dia merupakan abang sepupu aku dan juga merangkap kawan baik aku. Jarak usia kami yang cuma setahun membuatkan hubungan kami rapat seperti isi dengan kuku.
Setibanya di kaunter, rambang mataku melihat susunan croissant yang gebu gebas di rak kaca. Lupakan soal harganya seketika memandangkan kualiti dan rasanya tiada tandingannya. Memang menepati citarasa aku yang cerewet ini.
“Tolong berikan tiga croissant. Nak dine in. Satu lagi bungkus ya.”
“Oh ya, saya nak Green Tea Latte, dine in.” Zayn menepuk dahi sendiri dan menapak ke kaunter semula tatkala dia lupa memesan minuman kegemarannya.
Aku menampar lengannya seperti selalu dan mulai ketawa. Kelakar betul Zayn ini. Sejak akhir-akhir ini, mudah benar lupa!
Aku menegah Zayn untuk bangun dan mengambil croissant. Tak sampai hati hendak menyusahkannya lagi. Dia murah hati untuk belanja aku hari ini pun dah cukup bagus. Zayn kembali sambung menyedut air minumannya.
Aku berjalan ke kaunter dengan wajah ceria. Sengaja aku tolak rambut ke belakang dan mulutku menyanyi kecil. Aku membalas senyuman barista yang menyerahkan dulang berisi croissant.
“Auch, sakitlah. You tak guna mata ke bila berjalan?”
Aku menyinga ketika seorang lelaki yang tidak dikenali melanggar bahu aku dan air kopinya tertumpah habis ke baju kemeja putih aku. Croissant aku yang tiga ketul pun tercampak di permukaan lantai. Yang selamat pun dalam bungkusan itu je, itu pun untuk mama.
“You tak guna mata ke bila berjalan. Dah lah croissant itu dah habis!”
Aku membentak sambil hentak kaki. Mata aku mulai merah menyala dan aku mulai menangis.
Lelaki tersebut tercenggang melihat aku menangis. Dia hanya menunduk. Mask di wajah tidak ditanggalkan. Takutlah itu! Geramkan dia, aku pukul dadanya berkali-kali, melepaskan amarah di hati.
“Ganti balik croissant I. Ganti balik!”
Beberapa pasang mata mulai memusat ke arah kami. Zayn segera menarik tangan aku dan membawa aku pergi dari Starbucks. Aku sambung menangis dalam pelukannya.
“Girl, stop crying. Nanti I belikan lagi Croissant you itu di cawangan lain. Tak guna pun you menangis, takkan boleh dapat semula pun croissant itu!”
Zayn pujuk aku dalam kereta sambil bersihkan kotoran di baju aku. Tergeleng-geleng dia melihat rajukan adik sepupu yang tak berubah, sama seperti dahulu.
Aku berhenti menangis dan memusingkan badan. Mataku tidak berkelip-kelip memandangnya.
“Promise ya? Kalau macam itu, I nak sekarang. Boleh?”
Zayn ketawa terbahak-bahak. Tercuit hatinya melihat keletah aku barangkali.
“Ya. Untuk you, semuanya boleh!”
Aku segera memeluk lengannya. Entah mengapa, disisinya aku sentiasa berasa selamat dan dilindungi.
Aku mendaki tangga dengan raut wajah ceria dan sekaligus mindaku terus memadam insiden petang tadi. Kediaman ini kelihatan sunyi sepi tanpa mama dan papa. Akhir-akhir ini, mereka selalu menghabiskan masa berdua. Aku menarik nota kuning yang terlekat di peti sejuk pagi tadi sewaktu meneguk air kosong.
“We are not at home. We are spending our time together. Take care, darling”
Love, mama and papa
Aku senyum bersahaja tatkala membaca tulisan berangkai mama itu.
Jauh di sudut hatiku, aku memahami bahawa mereka juga perlukan masa mereka sendiri. Pengorbanan mereka menjaga aku sejurus sahaja aku lahir, aku akan kenang sampai mati. Sosok tubuh gempal Makcik Maimunah pun tidak kelihatan di ruangan dapur kerana aku memintanya pulang ke rumahnya sahaja pagi tadi. Aku bukannya anak kecil lagi sampai memerlukan bantuan orang dewasa untuk menguruskan aku.
Maka, empat ketul Croissant yang dibeli di Starbucks cawangan Eco Grandeur ini automatik menjadi milik aku seorang. Laju tangan aku membuka almari dan mencapai pinggan plastik dan menyusun Croissant tadi. Ice Americano yang masih tidak luak aku sisip sambil menikmati Croissant.
Ting! Ting!
Aku meraba kocek seluar slack dan lantas mengeluarkan telefon. Berkerut-kerut dahiku melihat banyak notifikasi di Instagram. Jari jemari aku pun automatik gatal hendak mengetik satu persatu notifikasi tersebut.
Congratulation to you on your engagement day!
Buntang biji mata aku melihat komen yang tertera di akaun milik Instagram seseorang yang aku kenali secara rapat.
“Mustahil! Mustahil dia yang bertunang! Mustahil!”
Aku menjerit kerana sukar untuk dipercayai dia telah bertunang.
Aku menampar kedua belah pipi berulang kali dan mencubit paha kanan. Auch! Sakit!
“Takkanlah dia dah bertunang? Tapi, dengan siapa?”
Jari aku laju skrol Instagram milik Haq Hakim. Jelas terpampang wajahnya yang kacak ala-ala Shah Rukh Khan, bersuit kelabu dan pasangannya pula memakai gaun kembang dan bertudung putih. Seri wajah tunangnya naik dua kali ganda dengan kuasa solekan. Persis seperti artis muda yang sedang meningkat naik iaitu Sophia Al Barakhbah.
You look so stunning on your engagement day. Congratulation Ariana Khaira!
Mata aku tidak lepas membaca komen dari warganet yang lain. Tiba-tiba, dadaku merasa sebu dan aku dihurung sebak. Tanpa sedar, air mataku mulai menitis di pipi.
“Sampai hati you. Patutlah you beria taknak masuk meminang I. Rupa-rupanya, you ada wanita lain selama kita bercinta. Patutlah you selalu marahkan I kalau I terlepas upload gambar kita bersama di Instagram!”
Aku mulai mengongoi dan melempiaskan kesedihan di hati. Sampai hatinya. Sampai hatinya kerana dia kejam dan mempermainkan aku! Bentak aku dalam hati.
Tiba-tiba, aku teringatkan kata-kata manisnya. Dan, parahnya ia kembali terngiang-ngiang di cuping telinga aku.
“I janji lepas dua tahun kita bercinta, I akan masuk meminang you. You sabar okay. I kena kukuhkan kewangan I dulu. And please honey, lepas dah halal nanti baru you boleh spam all our candid photos together okay?”
Tangisan aku semakin menjadi-jadi sampai bengkak biji mata namun tetap juga aku gigih menikmati Croissant tanpa sedar aku telah makan tiga Croissant. Aku dihambat kekecawaan mendalam. Ini bukan kali pertama aku dilukakan oleh lelaki. Sejarah berulang buat kali ketiga. Aku menepuk-nepuk dada yang semakin menjalar rasa sebu dan sebak.
“Kenapa aku asyik-asyik gagal dengan lelaki muda? Harraz, kaki perempuan. Danial, Gay. Haq Hakim pula tidak setia dengan aku!”
Tanpa sedar, jariku membilang senarai lelaki yang pernah mendampingi aku. Semuanya dalam lingkungan dua puluhan.
Tiba-tiba, satu idea tak masuk akal melintas dalam fikiran aku. Aku memetik ibu jari dan terus berhenti menangis.
“Kalau gagal dengan lelaki muda? Boleh je cuba dengan lelaki yang sedikit berusia?”
Aku menekup mulut dan mula mengesat air mata. Rambut panjang paras pinggang aku tolak ke tepi, biar beralun.
“Ya. Jika dengan lelaki muda gagal, aku akan cuba dengan lelaki yang berusia! Jangan putus asa, Inayah Shofie Elissa!”
Aku cuba meniup semangat buat diriku sendiri. Sewaktu membilas pinggan di singki, aku menyanyi-nyanyi kecil dan aku ingin terus melupakan kesedihan yang bertakhta di hati. Aku percaya, ALLAH pasti akan berikan aku jodoh yang terbaik.
Share this novel
uuuuu why so cute