Anis hampa tatkala mengenangkan bicara sendu dari kekasih hati yang
hilang pergi selamanya. Syed Adruce meninggal dunia akibat penyakit barah
otak setahun yang lalu dan selama setahun itulah Anis Zaleyka terluka
hati dan hidup di dalam kesepian walaupun terdapat banyak kenalan.
Lelaki itu telah mengajarnya erti kehidupan dalam mengenal dunia
percintaan sejati.
Anis Zaleyka termangu di hadapan komputer ribanya. Di kamar itu dia
menyepi bersama malam yang dingin. Sesuatu yang indah dahulu itu mahu
diamati dan sekiranya dapat waktu diputarkan kembali, dia ingin mengubah
segalanya namun itu tidak mungkin akan terjadi.
"Anis..." kedengaran suara memanggil Anis Zaleyka dari luar kamar,
barangkali teman serumahnya. Kalau bukan Nuril mesti Zaza yang mengetuk
pintu untuk menjemput Anis Zaleyka makan malam bersama. Dari pagi tadi
Anis Zaleyka tidak menjamah apa-apa. Hari minggu itu dihabikan di dalam
kamar sahaja, menangis dan meratapi pemergian Syed Adruce .
Anis Zaleyka bagaikan menyesali akan apa yang telah berlalu itu. Air mata
penyesalan itu diseka sampai habis kemudian dia bangun dari bangku lalu
mengatur langkah ke pintu kamar. Perasaannya sangat sarat dengan kekesalan.
"Anis... jom makan," kelihatan Zaza terpacak di hadapan mata Anis Zaleyka
sebaik sahaja pintu kamarnya dikuak. Pandangan mata Anis Zaleyka cukup
hambar sepertinya kelesuan yang tiada belas kasihan lagi terhadap diri
sendiri kerana terbiar duka mengundang nestapa.
"Aku tak ada selera, Zaza ," Anis Zaleyka sungguh hilang selera makan.
Dirinya umpama tidur tidak lena mandiri tidak basah apatah lagi untuk
makan. Lidahnya kejal saat makanan dikunyah kerana seringkali
terbayangkan wajah Syed Adruce menjelma di hadapan mata.
"Dari pagi tadi kau tak makan, aku yakin kau sangat lapar jadi tolonglah
makan. Aku tak nak tengok sahabat aku jatuh sakit kerana menyeksakan
diri sendiri berkurung di dalam bilik aje," Zaza memujuk sahabatnya
merangkap rakan sekuliah.
"Aku tak nak makan, tolong jangan paksa aku," Anis Zaleyka tetap berdegil
biarpun Zaza berusaha memujuk dan menarik tangannya namun sekujur tubuh
itu membatu.
"Kenapa kau tak nak makan Anis? Kau nak seksa diri kau? Kau masih
terkenangkan kisah lama kau? dan kau makan hati dengan kata-kata Farouk?
Aku tahu bedilan kata-kata Abbas lebih membuatkan kau terluka kan
sampai tak lalu makan?" Zaza membuat telahan yang mungkin tepat. Nada
Zaza kedengaran agak sedikit keras dan tegas dan memang begitulah sifat
rakan Anis Zaleyka .
Anis Zaleyka tidak menjawab lantunan kata-kata Zaza malah dia hanya
tunduk di muka pintu kamarnya. Perlahan-lahan dia menolak pintu kamarnya
untuk ditutup semula dan membiarkan Zaza berdiri di luar. Sejurus
kemudian pintu kamar Anis Zaleyka ditolak pula kali ini dari Nuril yang
mendengar berbualan antara mereka.
Share this novel