Adrean masih setia di sisi Denisa. Berat pula kakinya ingin meninggalkan gadis itu. Sebagai seorang yang bertanggungjawab, dia menunggu sehingga gadis yang tidak dikenalinya kembali normal. Boleh pula dia berdua sahaja dengan gadis itu sedangkan dia sangat memahami dirinya yang agak fobia dengan perempuan selain ahli keluarganya.
Pesakit yang diurusnya juga kebanyakan adalah lelaki. Oops! Dia bukan gay! Cuma, berjaga-jaga. Dulu, hampir sahaja dirinya terjerat dengan tipu helah seorang wanita ketika menuntut di Ireland. Sehingga sekarang, dia masih belum boleh membiasakan diri berurusan dengan sesiapa yang berjantina perempuan.
“Errr… awak dah okey ke?” tanya Adrean, gugup. Denisa masih menghadap sinki. Dipejamkan seketika matanya.
“Okey sikit. Emmm, terima kasih,” ucap Denisa. Tidak sanggup dia memandang lelaki itu. Malu!
“Boleh berjalan dah?” Sekadar inginkan kepastian. Tidak mahu dileter oleh Dr Rahimah dek meninggalkan gadis ini di tandas.
“Dah. Awak boleh pergi dah. Terima kasih sekali lagi,” Tanpa menunggu lama, Adrean beredar.
Denisa mengeluh kecil. Selesa sedikit. Setelah memastikan lelaki yang membantunya betul-betul keluar, dia menanggalkan tudungnya. Dibiarkan rambutnya lepas buat seketika. Huh, barulah boleh bernafas sikit. Jururawat garang itu punya pasal, dia begini. Bukannya nak consider sikit, main angkut saja. Setidaknya, dengarlah penjelasan dia dulu.
Dia bukanlah takut darah, cuma dia lemah melihat wanita bersalin. Fobia! Ketika mengikut abinya ke site, ada seorang wanita yang merupakan isteri kepada pekerja di situ ditemui meninggal dunia sewaktu melahirkan bayinya. Sejak itulah, dia agak lemah berhadapan dengan wanita yang melahirkan anak.
*****
“Anak dah okey ke?” soal Dr Rahimah sebaik ternampak kelibat Denisa.
“Denisa. Saya okey,” Dari tadi lagi, wanita itu asyik panggilnya anak. Selesa sedikit jika wanita itu memanggil namanya.
“Alhamdulillah. Kawan Denisa macam mana? Dah bersalin?”
“Alhamdulillah, sudah. Doktor tengah mandikan baby rasanya. Anak auntie?”
“Entahlah. Tak ada pula jururawat yang keluar, nak tanya pun. Denisa ada nampak anak auntie tak tadi?”
“Maaflah, auntie. Saya kat dalam tu, dah tak pandang sesiapa. Gelap aje semuanya,” kata Denisa selamba.
Dr Rahimah ketawa. Dr Raudhah dan Adrean yang turut berada di situ hanya mendengar perbualan kedua-duanya. Malas nak menyampuk. Denisa duduk di kerusi, serentak itu matanya terpandang lelaki yang membantunya tadi. Berdasarkan pakaian lelaki itu; kemeja putih disinting lengannya dan slack hitam, dia pasti memang lelaki itulah orangnya. Saat itu, mata mereka bertaut. Denisa terpaku pada wajah kacak itu. Arh, bertimpa pula malunya dek dicempung tadi.
“Denis!” Pandangan Denisa dilarikan dari wajah kacak itu dan kini matanya memandang lelaki yang memanggilnya itu.
“Cepatnya sampai. Naik bullet train ke hapa?” Selamba sahaja bibir itu berkata.
“Banyaklah bullet train kau. Bini aku mana?”
“Ada kat dalam lagi. Kejap lagi ada nurse panggillah tu,” Iskandar melabuhkan punggung di sebelah Denisa. “Kenapa tak balik esok aje?”
Iskandar mengerling Denisa pelik.
“Dah aku nak balik hari ni. Apasal? Salah?”
“Tak pasal aje aku kena teman An kat dalam. Kau punya pasallah ni,” Iskandar gelak.
“Alah, kawan kau jugak. Tapi, aku dapat anak apa?” tanya Iskandar dengan mata yang bersinar. Siapa tak suka jika sudah bergelar bapa, kan?
“Lelaki. Congratulations, my super hot prince charming,” Hilang terus rajuknya tadi, dipeluk abang susuannya itu mesra. Gilalah dia nak peluk bagai jika Iskandar bukan sesiapa padanya kan. Iskandar adalah anak kepada bekas pengasuhnya, Puan Dahlia.
Disebabkan ummi Denisa tidak boleh menyusukannya ketika itu, Puan Dahlialah yang mengambil alih tugas itu. Bergilir-gilir Puan Dahlia menyusukan Iskandar dan Denisa yang sebaya itu. Cuma, Iskandar dilahirkan awal empat bulan. Kiranya, Iskandar lebih tua dari Denisalah.
Share this novel