BAB 2

Drama Completed 6167

“Ibu! Orang lain semua dapat apa yang mereka nak. Masa depan mereka tak ditentukan oleh ibu mereka tapi Kira? Dari dulu lagi semua benda Kira nak kena ikut cakap ibu. Kira dah bosan! Bosan!” aku membentak lagi.

Ya Allah. Ampunkanlah dosaku! Kemudian… kata-kataku semakin menyakitkan hati dan berakhir dengan ibu menampar pipiku atas kebiadabanku. Mulutku terlalu lancang berkata-kata.

Selepas ditampar, aku melarikan diri. Berlari keluar. Konon nak tunjuk protes. Tetapi… aku tidak dapat mengelak sebuah kereta yang meluncur laju.

Inilah balasanku. Lihatlah siapa yang menjengukku? Tetap juga si ibu yang tergores hatinya. Tetap juga si ibu yang sentiasa menyayangiku. Ibu, Kira minta maaf sangat-sangat. Kira khilaf! Ibu, Kira tak nak koma begini. Kira nak peluk ibu. Kira nak melutut pada ibu. Kira nak mohon ampun pada ibu. Kira tahu Kira berdosa pada ibu. Berdosa besar!

“Kira, ibu minta maaf. Ibu tahu Kira dah besar. Tak layak didesak. Ibu menyesal, Kira. Menyesal sungguh. Kalaulah ibu tak mendesak Kira supaya berhenti melakukan kerja-kerja Kira, tentu Kira tak lari dari rumah. Tentu Kira tak ada di sini.

Sekarang ibu menyesal sangat. Kira, bangunlah nak. Kalau Kira nak terus jadi fashion designer pun ibu takkan sesekali melarang lagi. Ibu takkan paksa Kira jadi pegawai bank atau apa-apa. Kira, bangunlah…” sebak suara ibuku.

Ya Allah, ibu… sayunya hati ini bila mendengar kata-kata maaf dari ibu. Bukankah Kira yang sepatutnya meminta maaf? Kira membesarkan hal yang kecil. Kira tak patut bertindak sampai begitu. Lihatlah balasanNya pada Kira sekarang?

Kira tak mampu bergerak lagi, ibu! Kira lumpuh! Kira tak boleh melihat! Kira tak boleh bersuara. Sewaktu Kira boleh melihat dulu, Kira tak lihat wajah ibu. Sewaktu Kira boleh berkata-kata dulu, Kira melawan cakap ibu. Sewaktu Kira boleh mendengar dulu, Kira lebih memilih untuk mendengar kata kawan-kawan berbanding suara ibu. Sekarang? Kira cuma nak ibu!

“Mak cik, sabar ya. Pasti ada hikmahnya,” si doktor masih tidak beredar rupa-rupanya. Masih di situ. Ya Allah! Malu aku berganda. Luahan hati ibu menunjukkan yang aku ini benar-benar seorang anak derhaka. Ibu, maafkan Kira bu…

“Mak cik dah banyak buat salah pada dia. Mak cik selalu suruh dia jadi apa yang mak cik nak dia jadi. Dia tak pernah membantah langsung kata-kata mak cik. Sedikit pun tak pernah sampailah hari semalam… mak cik tak suka dia leka dengan dunia seninya.

Mak cik lebih suka dia menjadi pegawai bank. Mak cik cuma nakkan yang terbaik dalam hidup dia tanpa menyedari yang dia memang sedang berusaha untuk menjadi yang terbaik…

Buat pertama kalinya, dia meminta mak cik merestui minatnya. Tapi.. mak cik marah-marah dan perbualan kami menjadi perbalahan besar. Dia berlari keluar dari rumah dan dalam masa yang sama, di waktu hujan begitu. Sebuah kereta meluncur laju, mak cik nampak dengan mata kepala mak cik sendiri… dia dilanggar dan mak cik tak dapat buat apa-apa. Ya Allah! Kasihan sungguh anak aku,” ibuku meraung.

Dadaku sebak! Sebak sangat. Ibu. Janganlah berkata macam tu. Berhenti menyalahkan diri ibu. Kira yang salah. Kira yang derhaka. Kenapa ibu mesti menyalahkan diri ibu? Disebabkan Kira tak pernah membantahlah Kira tak pernah tercedera sehingga semalam, bu.

Sehingga semalam! Aku hendak menangis! Tapi… mata bagaikan kering. Tak mampu mengalirkan air mata. Aku berterusan kaku. Ibu, air mata pun Kira tak mampu titiskan. Inikah balasan dunia Kira, ibu?

“Mak cik banyakkan berdoa pada Allah. Semua ni berlaku sebagai pengajaran pada mak cik dan mungkin pengajaran pada anak mak cik. Jangan salahkan qada’ dan qadarnya. Benda dah jadi. Saya tahu Cik Kira mendengar.

Dan jika saya betul, dia tentu tak nak dengar mak cik menangis begini. Dia tentu nak mak cik beri sokongan padanya dan tidak menyalahkan diri mak cik,” si doktor menenangkan ibuku. Alhamdulillah! Si doktor dapat membaca isi hatiku. Memang itulah yang aku harapkan! Aku harapkan agar ibu berhenti menangis.

“Mak cik menyesal, doktor. Kalaulah mak cik tak desak dia…” mak aku bersuara perlahan. Menyesali kata-katanya. Sedangkan akulah yang sepatutnya menyesali tindakanku yang telah menderhaka kepada ibu. Ibu tak patut menangisi seorang anak yang biadap seperti aku!

“Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mak cik bertenang ya? Keadaan anak mak cik ni yang mak cik perlu risaukan. Dia tentu tak mahu mak cik menangis begini. Anggaplah ini ujian daripadaNya untuk kebahagiaan di masa akan datang,” si doktor memujuk lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience