Series
167
Jay terjaga awal beberapa minit sebelum jam penggera berbunyi. Kesejukan musim sejuk terasa mencengkam seluruh tubuh. Jay fikir dirinya mungkin terjaga angkara kesejukan. 'Semalam aku paling semangat nak mula semester baru, hari pertama sudah tewas dek sejuk.' desir hati seorang Jay.
Setelah beberapa minit berguling atas katil berselimutkan kemalasan, Jay akhirnya mengatur langkah ke kamar mandi lalu membersihkan diri ala kadar persis watak-watak dalam filem Seniman Bujang Lapok sebelum berwuduk kerana perlu menunaikan solat subuh.
Usai solat, Jay tadah tangan sambil melafazkan doa. "Dengan nama-Mu, aku mohon urusan pada hari ini dipermudahkan. Semoga ilmu yang aku dapat pada hari ini akan menjadi manfaat bagi diriku dan orang lain."
Ada sebaris keinginan lain terdetik dalam hati sebelum Jay mengaminkan doa - 'Aku ingin merasakan apa rasanya menyukai dan disukai.' Jay tidak melafazkan keinginan itu kerana tidak tahu apakah itu hal yang patut menjadi sebahagian daripada doa atau tidak.
Namun, Jay tahu sendiri bahawa tuhan itu maha mendengar.
Dia bingkas bangun lalu menyimpan telekung dan sejadah sebelum bergegas siap untuk pergi bersarapan di kampus. Dia sudah berjanji dengan Serena, teman yang dia peroleh semasa mengambil subjek berkenaan organisasi antarabangsa semester lepas. Serena merupakan gadis berbangsa Itali yang sedang menjalani program pertukaran pelajar ker Amerika Syarikat. Tuhan telah takdirkan mereka untuk duduk bersebelahan dalam kelas pada semester lepas. Setelah melewati empat belas minggu (tempoh semester musim sejuk) bersama-sama, keakraban muncul dengan sendirinya antara mereka.
Lucu dan mengharukan. Tidak ada apa yang sama dan serupa antara Jay dan Serena. Seorang berbangsa Eropah manakala seorang lagi berasal dari Asia. Seorang menganuti agama Kristian manakala seorang lagi memeluk Islam sejak lahir. Seorang berkulit cerah dan bermata bundar manakala seorang lagi mempunyai sepasang mata tipikal orang Asia Tenggara dan berkulit hitam manis. Seorang tinggi lampai, berkemungkinan 5 kaki 5 inchi manakala seorang lagi cukup-cukup 5 kaki. Namun, apabila berbual, semua perbezaan itu bagaikan tidak pernah wujud.
Memetik Aristotle - 'Apa itu sahabat? Satu jiwa yang tinggal dalam dua jasad.'
Kata-kata itu sudah cukup untuk menerangkan hubungan persahabatan Jay bersama Serena.
Jay bingkas masuk ke dalam bas apabila pintu bas tersebut ternganga luas. Lega sekali dapat masuk ke dalam perut bas setelah hampir sepuluh minit bertarung dengan kedinginan di kawasan menunggu bas. Nasib agak baik juga kerana bas tidak penuh sangat. Bas tersebut bergerak dengan kelajuan sederhana ke aras kampus. Jay sekadar membuang pandangan ke luar jendela bas.
Sayu apabila pemandangan pokok-pokok 'mati' singgah ke mata. Namun, kesayuan yang menyayat sepasang mata coklat gelapnya hilang apabila bas semakin menghampiri detinasinya, perpustakaan utama universiti. Tempat dia berjanji untuk menemui Serena.
Bas berhenti seketika di hentian perpustakaan utama. Jay menuruni bas dengan girang tanpa sempat memandang kiri kanan. Bum! Jay tidak tahu apa yang jadi, namun dia merasakan tubuhnya hilang keseimbangan. Jay pasrah andai dia ditakdirkan terjatuh pada hari pertama ini.
Namun, tubuhnya tidak cium tanah. Jay membuka mata. Beg galasnya sedang ditarik oleh seseorang dan perlakuan itu yang menghalangnya daripada terjatuh. Jay membetulkan kedudukan tubuh sebelum berpusing lalu mengucapkan terima kasih kepada orang yang menyelamatkan dirinya (juga orang yang dia langgar sewaktu terjun daripada bas).
"You're welcome. Are you okay? I was rushing I didn't see you getting off the bus. I'm sorry." Lelaki bermata sepet itu menjelaskan keadaan dirinya sebelum menghulurkan ucapan maaf.
"It's fine. I'm okay." Balas Jay pendek. Mendengarkan lelaki itu sedang tergesa-gesa membuatkan Jay meringkaskan jawapan. Dia juga sedang tergesa-gesa kerana mahu menemui Serena.
Lelaki yang amat tinggi itu angguk kecil sebelum meninggalkan Jay. Jay kagum dengan kepantasan lelaki itu berjalan. 'Mesti urgent sangat hal dia.' detik hati Jay. Malas mahu fikir lama tentang hal orang, Jay terus mengatur langkah ke medan selera yang berada di aras bawah tanah perpustakaan utama.
Sebaik sahaja Jay menolak daun pintu medan selera, Serena sudah kelihatan melambai-lambai dari kejauhan. "Jay! Over here!"
Apabila Jay menghampiri Serena, dia mendapati Serena sudah membelikan makanan buat dirinya. Telur hancur bersama bayam dan cendawan kegemarannya.
"I added feta cheese for you."
"Gosh. Thank you, Serena. My favorite!"
Mereka berbual-bual mengenai pelbagai topik sepanjang sarapan. Bermula dangan Serena berkongsi tentang meme yang popular di Itali beralih kepada Jay menceritakan tentang isu-isu politik tanah air bertukar kepada keluhan masing-masing berkenaan healthcare di Amerika Syarikat yang sangat mahal dan berakhir dengan topik LOML - love of my life. Jay sedikit kaget apabila Serena menceritakan tentang LOML yang dia temui sewaktu dia ke CancĂșn, Mexico untuk bercuti pada semester break yang lepas.
Kata Serena - 'Aku mengalami kesukaran berbahasa di sana kerana aku memang sukar memahami Bahasa Inggeris dengan pelat Sepanyol tambah lagi Bahasa Sepanyol sendiri. Mujur aku temui Alejandro yang sangat fasih berbahasa Inggeris. Dia yang banyak tolong sewaktu bercuti di sana. Mula-mula aku anggap dia kenalan biasa namun semakin lama, aku semakin rasa yang kami berdua serasi. Apabila masa aku di CancĂșn hampir tamat, Alejandro menyatakan isi hatinya - dia menginginkan aku. Aku memutuskan untuk merealisasikan hajat Alejandro.'
Jay menyatakan bahawa dia sangat gembira dengan perkembangan hubungan Serena. Serena sengih. "I hope you'll find your soulmate soon. Jay. He shouldn't be that far."
Pandangan Jay bertukar kosong mendengarkan kata-kata Serena. "I don't know about that but since I'm already in my 20s, I hope it's true that he's not that far."
Share this novel