Rate

Bab 1 - Kembali

Romance Series 1182

Nota penulis : Setting cerita ini ialah Malaysia fusion Jepun jadi nama watak-wataknya campuran Jepun, Malaysia dan sedikit international. Hope you enjoy this.

+++++++++++++++++++++++++
+++++++++++++++++++++++++

"Puan Inspektor Naomi, silakan duduk dulu, kerana Tuan ASP sedang dalam perjalanan ke mari. Penerangan akan bermula sebentar sahaja lagi." ujar wanita berpangkat Sarjan kepada Inspektor itu. Inspektor itu hanya tersenyum dan mengangguk namun dia tidak segera duduk di kerusi yang disediakan.

Inspektor Naomi Utada, 29 tahun, berkelulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kriminologi & Psikologi Jenayah, berkhidmat dengan Ibu Pejabat Polis Kuantan Pahang, kini telah dijemput oleh Ketua Polis Johor Bahru untuk membantu dalam siasatan kes terbaru mereka. Wanita berambut blonde sekuning matahari, dan bermata biru sesejuk lautan itu kelihatan agak garang pada mulanya. Namun setelah ditegur dia mesra rupanya. Tegas di wajah hanya kerana tugas dan bukan pada semua situasi.

Sedang dia berdiri menunggu ketibaan Tuan ASP, Naomi menghampiri tingkap bilik mesyuarat itu. Dia dapat lihat daripada sini seluruh pusat bandar Johor Bahru. Perspektif daripada Ibu Pejabat Polis di atas bukit itu membolehkan Naomi nampak bumbung sekolah menengah dan juga menara berdekatan kawasan rumah lamanya. Dia tersenyum sendirian mengenang memori lamanya di Johor Bahru. Namun tidak lama kemudian akhirnya sampai Tuan ASP yang ditunggu-tunggu

"Selamat pagi, saya ASP Yazzer, kami amat berbesar hati Puan dapat hadir ke Johor Bahru secepat mungkin," Yazzer berkata sambil mereka berjabat tangan.

"Terima kasih Tuan, saya juga berbesar hati dapat memberi kerjasama ini. Impian saya memang sudah lama untuk berkhidmat dengan pihak polis di mana bapa saya pernah berkhidmat." Naomi memberikan Yazzer senyuman secerah mataharinya. Bukan dia berniat untuk bermegah-megah dengan statusnya sebagai anak kepada Minato Katsuki, seorang DSP bersara yang banyak menerima pingat atas sumbangannya semasa masih berkhidmat. Dia sekadar berkongsi cerita kerana dia tahu Yazzer merupakan antara pegawai junior yang mengenali bapanya dengan rapat dahulu.

"Bagaimana hidup Tuan Katsuki sekarang? Sibuk menimang cucu?" tanya Yazzer.

"Ayah saya sihat. Cucu belum lagi, nantilah lagi sepuluh tahun mungkin. Tapi dia mudah penat sejak kemalangan itu." Naomi tersenyum. Dia pasti Yazzer sedar bahawa dia anak tunggal bapanya, dan dia belum berkahwin jadi manakan nak ada anak.

"Saya doakan yang terbaik untuk ayah dan keluarga kamu ya. Mari duduk, Omar akan memulakan penerangan sebentar lagi."

Naomi berjabat tangan dengan Omar, pegawai yang bersama Tuan ASP itu, dia memiliki wajah separuh berparut dan separuh lagi normal.

“Saya Detektif Omar Zane, salam perkenalan Inspektor Utada,” ujar lelaki itu.

“Salam perkenalan,” jawab Naomi. Nama keluarga Zane itu mirip nama keluarga rakan lamanya, mungkinkah mereka bersaudara? Naomi berharap untuk mengetahui lebih lanjut tentang itu nanti, ada banyak masa lagi untuk dia berkenalan dengan pasukan barunya nanti.

Bersama Tuan ASP Yazzer juga ada seorang lagi pegawai polis namun pegawai itu tidak memperkenalkan dirinya, malahan dia hanya berdiri di belakang bilik itu sambil memegang sebuah fail. Naomi memerhatikan pegawai itu seketika sebelum Omar memulakan penerangan.

“Puan boleh duduk untuk kita mulakan penerangan,” kata Omar.

“Ah, baiklah. Panggil saya Naomi sahaja. Silakan Tuan," ujarnya dengan ceria sambil melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan ASP Yazzer.

++++++++++++++++++++++++
++++++++++++++++++++++++

Lima belas minit telah berlalu sejak penerangan tentang 'vigilante' Johor Bahru bermula. Kebanyakan info itu Naomi sudah tahu berdasarkan fail yang dibacanya semalam. Seterusnya Omar menekan butang Play pada pemain video untuk memulakan video temuramah seorang saksi yang pernah berhadapan dengan 'vigilante' itu. Naomi membetulkan posisi duduknya. dengan wajah penuh perhatian dan posisi badannya peka untuk mendengar. Posisi fizikalnya menunjukkan betapa minatnya dia terhadap kes itu. Mungkin saksi kali ini dapat menceritakan dengan lebih tepat bagaimana rupa vigilante yang polis gelar Shadow dan Chakar. Dia tidak rasa ilustrasi lakaran pelukis yang telah ditunjukkan Omar sebelum ini tepat dengan rupa sebenar vigilante itu.

Video bermula dan muncul visual seorang makcik berambut putih dengan selendang merah jambu menutup rambutnya. Jambul putihnya disisir ke tepi, dan dia sedang memakai baju berwarna kuning cair berbunga-bunga merah kecil. Makcik itu jelas nampak gugup walaupun dia hanya duduk sahaja.

Seseorang bergerak mengalih kerusi di belakang Naomi, lalu Inspektor itu menoleh dan ternampak pegawai yang masuk bersama Tuan ASP sedang bergerak ke hadapan. Pegawai lelaki itu menuju ke arah suis lampu dan menutup lampu bahagian hadapan. Naomi mengalihkan pandangannya kepada paparan video itu semula. Apabila bilik itu gelap, paparan video yang mereka tonton nampak lebih jelas.

"Di mana makcik berada ketika lelaki itu menemui makcik dan pencuri itu?"

"Dia bukan sebarang lelaki nak, dia ialah wira. Dia seorang wira yang kami gelar Shadow sempena legenda mata merah itu. Makcik berbesar hati dapat bertemu dia. Tapi makcik agak kecewa apabila dia tidak hadir di parti yang jiran kami adakan bagi mengucapkan terima kasih padanya tahun lalu."

"Jadi, di mana makcik ketika itu, makcik boleh terus ceritakan mengenai perjumpaan ya?"

Makcik itu senyum dan tertawa, "Hahaha, Makcik gugup nak. Ini kali pertama makcik disoal polis. Pada malam kejadian tu, makcik keluar rumah sebab elektrik tak ada. Anak menantu makcik tiada di rumah, hanya cucu makcik yang kecil, umur lima tahun dan ada baby lapan bulan. Nak dijadikan cerita elektrik pula tiada pada malam itu, bukan makcik tak bayar bil, tapi sebab tiang depan jalan besar tu tumbang hujan lebat sebelum tu. Jadi dalam gelap dan panas tu, makcik keluar untuk mencari lilin di stor. Makcik punya suami dah lama meninggal dan dialah yang bina stor tu. Dulu makcik dah kata jangan buat stor jauh sangat, tapi dia kata nantilah dia bikin yang lebih dekat. Tapi tak kesampaian..."

"Saya minta maaf mengenai mendiang suami makcik, minta teruskan dan seterusnya," suara pegawai itu berkata.

"Tak apa, dia pergi dalam senyuman," kata makcik itu.

Pegawai tersebut terhenti sebentar dan menyambung, "Dan seterusnya, perompak menyerang makcik?"

"Ya, ya, ketika makcik sedang menyeberang padang kecil belakang rumah kami daripada pintu rumah nak ke stor, masa tu hujan renyai tu, makcik berlari-lari… tapi tiba-tiba ditolak. Makcik jatuh dan orang jahat tu cuba merentap gelang emas makcik yang tiga biji tu. Gelang-gelang tu longgar, dah usang, jadi mudah dia ragut. Tapi itu semua kesayangan makcik sebab hadiah daripada mendiang ibu. Perompak tu cuba tahan makcik daripada meronta, dia tekan makcik ke bawah, tapi makcik meronta-ronta makin kuat. Makcik memang ingat dia nak mencabul makcik, tapi kemudian dia pegang kuat-kuat tangan makcik dan herdik makcik, "Kalau makcik nak selamat, serahkan rantai emas makcik juga."

Makcik itu kemudian mengambil botol air yang disediakan atas meja dan menghirup sedikit air. "Haus," kata makcik.

"Guna cawan makcik, "suara pegawai polis itu menegur. Sebuah cawan ditolak daripada sudut yang tersembunyi daripada pandangan kamera ke arah makcik.

"Tak ape. Makcik sambung." Makcik mengelap bibirnya dengan tisu sambil menghela nafas.

"Silakan."

"Jadi makcik berasa marah sangat sebab tak cukup dengan gelang nak rantai pula. Makcik rasa dah sembunyi dah rantai tu jadi orang tak nampak tapi dia nak juga. Itu sahaja harta yang suami makcik hadiahkan, itu pun rantai itu kami dah banyak kali gadai dan tebus. Namun ia sentiasa kembali pada kami, ia simbol susah dan senang perkahwinan kami. Tiba-tiba ini pencuri boleh datang dan minta sesuka hati dia. Tapi kemudian dia tekan makcik kuar, dan makcik terfikir kalau tak bagi rantai tu, apa akan jadi pada cucu-cucu makcik? Masa itu kan cuti sekolah, jadi jiran-jiran ramai tak ada. Anak-menantu makcik, budak-budak tu punya ibu bapa hanya akan pulang dua hari lagi daripada Iwa."

"Dan kemudian?"

"Makcik baru nak buka rantai itu, apabila ada bayang-bayang muncul di belakang kami. Bayang-bayang itu kata, suara dia kasar, "Jika kau sayang nyawa kau, lepaskan makcik itu dan beri balik barang dia. Buat malu melawan makcik tidak berupaya." Lepas tu orang jahat tu melepaskan makcik dan berpusing ke belakang. Makcik pun bangun walaupun sakit, makcik pergi ke arah stor tu. Makcik toleh. Ada orang berjubah hitam, lebih kurang sepuluh meter jauh, mata dia bersinar warna merah."

"Selepas itu apa yang berlaku?"

"Shadow melompat ke arah pencuri itu sambil menjerit, "Puan masuk ke dalam rumah dan telefon polis." Makcik memang ikut sahaja arahan dia sebab makcik percayakan Shadow. Ketika makcik berlari masuk rumah, makcik dengar suara lelaki menjerit. Makcik tak berani toleh belakang. Masuk je rumah, makcik terus kunci pintu dan telefon polis. Lepas tu bila makcik jenguk belakang selepas tenteramkan cucu-cucu makcik, polis pun sampai. Bila polis bawa makcik ke belakang hanya ada pencuri tu kena kurung dalam bangsal itu. Shadow dah tak ada."

"Bagaimana rupa Shadow itu?

“Makcik tak nampak dia dengan jelas, tapi dia agak tinggi, hampir sama tinggi dengan mendiang suami makcik. Rasa dalam 6 kaki lebih. Dia pakai serba hitam, daripada percakapannya macam orang sini. Tapi tak pastila sebab menantu makcik yang asal Pahang pun boleh dah cakap fasih macam orang Johor Bahru. Rambut dia macam tajam-tajam, yang penting mata dia merah. Oh, dan dia seorang lelaki sebab suara dia macho, kasar. Tapi makcik tak nampak Chakar pula. Hanya Shadow seorang yang ada."

"Ok makcik, kita berehat dahulu sebab dah tiba makan tengah hari. Terima kasih."

"Sama-sama. Makcik harap kamu tak tangkap Shadow."

"Itu luar bidang kuasa kami makcik, ok silakan kita makan dahulu. Terima kasih kerana sudi bercerita."

Naomi memandang Yazzer setelah video itu tamat dan lampu dipasang semula. Lantas dia terus berkongsi pendapatnya mengenai video itu. "Kes yang saya siasat di Kuantan, vigilante itu mereka gelar Kuku. Masyarakat mengaitkan Kuku dengan legenda temapatan Kuantan, ia kisah mengenai manusia separuh bunian yang bermata merah. Namun vigilante Pahang itu beraksi seorang sahaja, sedangkan wira Johor Bahru ini beraksi secara berpasangan dalam beberapa insiden. Saya rasa ada kaitan antara vigilante Johor Bahru dan vigilante Kuantan. Saya suspek vigilante Pahang ada Pahang dengan yang di Johor Bahru ini, mungkin mereka ialah pengikutnya. Saya perlu pastikan sama ada mereka orang yang sama, peniru atau mereka sebenarnya tiga individu yang berbeza."

Tuan ASP mengangguk lalu berkata, “Kami bersedia untuk membantu apa sahaja yang Puan perlukan.” Dia tidak bercakap panjang lebar kerana dia cukup maklum dengan situasi vigilante di

"Panggil saya Naomi sahaja, Tuan ASP," jawab Naomi mesra.

ASP Yazzer tersenyum dan mereka meneruskan penerangan. Omar menbentangkan fakta-fakta kes-kes utama yang menjadi fokus utama bagi pihak polis dalam penyiasatan  Selain daripada memang tugas polis, Datuk Bandar Johor Bahru, Adam Chan juga telah memohon pihak polis agar vigilante ini diberkas secepat mungkin. Pihak Dewan Bandaraya mahu penerangan daripada vigilante itu mengapa mereka memasuki bangunan-bangunan dan tanah kerajaan dan persendirian tanpa permit mahu pun kebenaran lisan. Mereka mungkin masuk secara haram kerana menyelamatkan nyawa, namun kerana identiti mereka yang misteri pihak Dewan Bandaraya berasa bahawa mereka berpotensi untuk mengancam keselamatan awam.  

Setelah lima belas minit berlalu, Naomi menjadi semakin hairan kerana persamaan antara vigilante Pahang dan vigilante Johor Bahru sangat banyak namun mereka juga tidak serupa. Naomi sudah menghabiskan tiga tahun menyiasat tentang vigilante Pahang secara sambilan, namun wira itu ibarat halimunan dan menghilangkan diri apabila polis semakin menghampiri jejaknya. Setakat ini langsung tiada jejak fizikal malahan hanya ada pengakuan saksi sahaja. Semua tiga puluh saksi yang ditemubual memberikan pengakuan yang serupa. Yang menjadi masalah ialah apabila masyarakat awam pula seperti membantu vigilante Pahang itu menghilangkan diri dengan melengah-lengahkan kerja polis. Mereka seperti mahukan vigilante Pahang itu terus beraksi tanpa pantauan daripada pihak berkuasa.

Masalah utama pihak polis Pahang ialah untuk memastikan vigilante itu dikenal pasti supaya dia tidak beraksi sesuka hati. Memang vigilante itu banyak membantu polis tetapi siapa dia, apa yang dibuat semua bersendirian dan tidak diketahui oleh pihak berkuasa. Pihak polis tidak mahu vigilante ini melakukan sesuatu mungkin lebih dahsyat daripada menghentikan perompak di kedai emas, kerana jika sesuatu terjadi pada pihak awam dan penjahat, pihak polis dan Datuk Bandar yang perlu bertanggungjawab.

Pada tahun lepas Naomi telah menerima berita bahawa di Johor Bahru juga sudah ada wira seperti di Kuantan. Pihak polis sengaja merahsiakan kewujudannya selama enam bulan kerana ingin menyiasat sendirian, namun mereka menemui jalan buntu. Masyarakat Johor Bahru juga seperti masyarakat Kuantan, mereka seperti membantu wira Johor Bahru. Mereka sentiasa cuba melambatkan usaha polis untuk menjejak wira-wira mereka itu. Pihak polis buntu bagaimana untuk memberkas vigilante bergelar Shadow dan Chakar. Mereka mengambil jalan mudah membelakangkan pihak polis dalam mereka membanteras jenayah. Setelah enam bulan mereka berahsia, akhirnya ASP Yazzer berjaya meyakinkan Ketua Polis Kuantan, Tania Odawa untuk meminta pertolongan Ketua-Ketua Polis seluruh negara untuk perkongsian maklumat. Ketua Polis Pahang dengan pantas menghantar Inspektor Naomi ke Johor Bahru.

Pelbagai teori mula berlegar-legar dalam otak Naomi. Dia membuat spekulasi awal bahawa mungkin Shadow dan Chakar yang membantu Kuku. Kerana kadangkala penjenayah yang dikatakan berlawan dengan Kuku akan melarikan diri daripada Pahang untuk pergi ke Johor Bahru, tetapi tidak lama kemudian dijumpai terikat di pusat bandar Johor Bahru. Para saksi mendakwa mereka nampak Shadow dan Chakar yang membantu menangkap penjenayah itu. Pada pandangan Naomi nampak seperti mereka bekerjasama.

Sesudah dua jam mereka bermesyuarat, Yazzer mengumumkan mereka akan menyambung mesyuarat dengan Ketua Polis Johor Bahru pada Isnin akan datang. Mereka berjabat tangan sebelum berpisah.

"Semoga Puan Naomi dapati penginapan sementara yang kami sediakan mencukupi, kami mahukan yang terbaik untuk penyiasatan ini. Berehatlah hujung minggu ini sebelum kita mula sibuk."

"Oh, saya sangat berpuas hati tuan. Terima kasih. Saya boleh sahaja menetap di rumah ibu bapa saya tetapi di hotel itu lebih dekat dengan pejabat ini."

"Jika begitu, adakah kamu mahu ke sana nanti? Tapi bos kamu maklum bahawa kamu lebih perlukan hotel kerana rumah kamu agak jauh.”

"Dan kerana itu saya berterima kasih pada pihak  tuan." Naomi senyum, dia tidak langsung penat melemparkan senyumannya kepada Yazzer, Omar dan seorang lagi polis di belakang mereka.

"Jika begitu, selamat bertugas. Esok Jumaat dan selepas tu sudah hujung minggu. Agak lama juga kami take berehat hujung minggu sejak Shadow dan Chakar muncul, tapi kebelakangan ini aktiviti mereka senyap jadi kami pun on standby. Saya pun sudah janji dengan anak saya untuk menonton perlawanan akhir badmintonnya. Kita jumpa Isnin ya."

"Baik tuan," Naomi memberi tabik hormat kepada Yazzer sebelum Tuan ASP itu beredar.

Mereka turun ke bawah, Naomi tidak pasti bagaimana pegawai polis yang bersamanya di bilik mesyuarat tadi boleh menemaninya hingga ke keretanya. Setibanya di kereta, pegawai itu menghulurkan tangan kepada Naomi, "Salam perkenalan, saya Detektif Sam."

Naomi senyum dan menyambut salam itu, "Saya Naomi Utada. Salam perkenalan." Naomi menawarkan senyuman kepada pegawai itu.

"Saya tahu, Inspektor Utada menjadi sebutan di Johor Bahru juga. Banyak kisah-kisah kejayaan cik menjadi bualan di sini, kami juga sangat mengkagumi Tuan DSP Katsuki."

"Oh ya ke?" wajah Naomi bertukar merah jambu dengan pujian itu. "Saya hanya menjalankan tugas seperti diarah sahaja." Naomi tersenyum simpul.

"Adakah anda berasa kembang bontot ketika ini? Saya pasti anda berasa sangat bangga menjadi bualan polis-polis seantero daerah."

"Apa kamu kata?" Naomi berasa marah. Sebenarnya dia pelik dengan ayat-ayat  Sam. Memuji atau mengutuk sebenarnya?

Sam berkata lagi, “Cik Utada, mengapa tidak menggunakan nama keluarga Katsuki di JB ni, sebagai anak seorang wira mungkin lebih mudah di sini, supaya cik lebih mudah dikenali dan dihormati. Tak salah menumpang nama ayah. Baiklah, saya naik dulu kerana masih ada kerja lagi. Ada sejam sebelum syif saya habis." Sam terus berlalu pergi dengan senyuman sinis terukir di wajahnya.

Naomi hanya berdiri kaget di luar keretanya sambil melihat Sam pergi. Di kepalanya terngiang-ngiang sindiran tidak berasas Sam. "Sudah kenapa? Tiada adabkah cakap macam tu?" dia mendengus sambil mencari kunci keretanya.

Tiba-tiba perutnya berbunyi. Naomi baru sedar dia hanya sempat makan ramen dan minum kopi sahaja pagi tadi. Semasa sesi taklimat tadi, dia juga enggan makan sarapan di pejabat Yazzer kerana terlalu teruja untuk mengetahui kisah tentang Shadow dan Chakar. Dengan perut menyanyi kelaparan, dia memasuki keretanya dan terus menuju ke kedai ramen kegemaran bapanya.

Dalam otaknya sudah memilih-milih, menu ramen mana yang dia mahukan. Udang pastinya yang besar-besar, belum lagi dengan tambahan Naomi kegemarannya. Dia tergelak memikirkan namanya yang hampir sama dengan Naomi itu. Kereta kuning compact miliknya menyusuri bukit, dan keluar dari perkarangan balai polis itu. Walaupun dia sudah lama tidak menjejak kaki ke Johor Bahru namun dia ingat jalan menuju ke pusat bandar Johor Bahru tempat asal ibu bapanya.

++++++++++++++++++++++++
++++++++++++++++++++++++

Daripada perspektif sebuah menara di tengah bandar, sepasang lelaki bermata merah sedang memerhatikan kereta kuning itu dipandu memasuki bandar Johor Bahru.

Lelaki lebih tua, pemilik satu mata merah dan sebelah hitam, berambut putih,  bersuara memecah sunyi.  "Rakan lama kamu dihantar untuk menjejak kita, adakah kamu akan berhenti sebentar untuk menghilangkan jejak?"

Lelaki lebih muda tergelak pendek. "Hnn." Dengan suara penuh emosi dia berkata, "Setelah kaki saya sembuh saya akan buat sesuatu agar mereka jumpa kita. Ini masa untuk kita menjerat Madhara. Biar polis terlibat sama jua baru meriah."

"Aku harap kau tahu apa yang kau lakukan." Lalu si lelaki berambut putih terus beredar dari situ.

Si mata merah terus memandang kereta itu sehingga ia hilang di celah bangunan tinggi, lalu mata merahnya bertukar warna hitam, warna mata asalnya. Dia mendongak ke langit dan berkata sendirian, "Cerita lama akan berulang kembali. Nama keluarga Zane akan bersih semula."

Pada hari berikutnya, hari Jumaat, Naomi Utada hadir ke Ibu Pejabat Polis Johor Bahru tepat pukul 8.00 pagi. Semua urusan pendaftaran telah berjalan dengan lancar, sebahagian besarnya kerana kini semua pendaftaran dilakukan secara digital. Naomi kini boleh mengakses pelbagai maklumat dengan dengan hanya cap jari tanpa mengisi borang seperti dahulu.

Selepas itu Detektif Omar membawanya melawat pelbagai bahagian di ibu pejabat itu. Mereka bertemu dengan para pegawai yang terlibat dalam penyiasatan vigilante itu. Setelah melawat semua bahagian, Naomi mengunjungi bahagian forensik pula. Dia ingin melihat video-video kamera litar tertutup, atau CCTV yang merakam kawasan-kawasan di mana vigilante bertopeng dilihat.

Naomi diberi pejabat sementara untuk memeriksa video cctv. Dia dapati perkara yang sama terjadi pada semua rakaman di Johor Bahru, kedua-dua kelibat vigilante itu langsung tidak kelihatan. Di Kuantan tidak banyak rakaman video kerana vigilante itu kerap dilihat di kawasan kebun dan hutan berbanding di Johor Bahru, di mana mereka hadir di pusat bandar dan kawasan perumahan.

Selain itu ada juga kamera di lokasi yang rosak pada hari kejadian. Naomi tertanya-tanya adakah vigilante ini telah merosakkan kamera-kamera berikut untuk menyembunyikan identiti mereka? Dia berharap mereka tidak berbuat begitu kerana ini akan menyusahkan diri mereka jika tertangkap. Merosakkan harta awam atau pihak swasta bukan jenayah ringan. Namun hasil pemeriksaan mereka tiada bukti cctv itu dirosakkan manusia kerana kebanyakannya ialah masalah teknikal.

Dia menghabiskan beberapa jam menonton video. Selesai menonton dia membuka laptopnya untuk menelaah laporannya yang lepas.

"Nah, ini buah tangan salam perkenalan daripada kami para detektif. Ini ialah hadiah untuk kamu. Kami berharap kerjasama antara kami dan Cik Utada akan berjalan lancar. Tapi Detektif Shea, Chong dan Hana hanya akan ada esok pagi, mereka masih berada di Taiping untuk kursus. Mereka pesan pada saya untuk berikan ini pada cik."

Naomi melihat Sam yang datang bersama sebuah beg barang. Dia teka beg itu berisi makanan ringan, "Ah, terima kasih. Saya juga berharap dapat berjumpa mereka nanti."

"Malam ini, ada keluar dengan siapa-siapa ke Inspektor Utada? Esokkan hujung minggu."

"Detektif Sam panggil saya Naomi sahaja. Skema sangat nak sebut dengan pangkat-pangkat sekali."

Sam tersenyum sahaja, Naomi masih keliru dengan senyuman Sam kerana nampak sangat tak ikhlas. Tapi setakat ini dia tiada sebab utama untuk menjauhi pegawai itu.  

Dia mengambil keputusan untuk bersikap jujur memandangkan mereka mungkin bakal menjadi satu team. Naomi berkata, "Saya melepak di bilik sahaja, maklumlah penat perjalanan semalam ke sini pun masih terasa lagi."

Sam tergelak, "Ya, saya nampak cik pun bukan secergas wanita aktif. Badan ada sedikit berisi berbanding Hana. Mungkin awak perlu ke gym untuk cergas, saya boleh cadangkan beberapa gym wanita di sini."

Naomi terus rasa ingin menampar Sam ketika itu juga, namun dia harus bersikap profesional. Hakikatnya juga dia sudah berisi berbanding dahulu. Penyiasatan kali ini dia banyak duduk berbanding mengejar penjenayah dan suspek. Dia menahan rasa marahnya dan memilih untuk bersikap neutral. "Saya selalu jogging sahaja. Awak bukan ada kehidupan sendiri untuk menyibuk pasal orang lain ke Sai?" Akhirnya terkeluar juga ayat sindiran. Dia bukan anak gadis Karen Utada jika tidak bereaksi tajam seperti ini.

Sam senyum, "Tiada. Lelaki bujang macam saya ini banyak habiskan masa bekerja. Tiada suri yang sempurna untuk melayan lelaki banyak kerenah macam saya ini. Rakan-rakan sepejabat ibarat adik beradik yang saya tak penah ada, jadi apa salahnya tegur menegur. Cik memang nampak tidak cergas pun.”

Naomi memahami kerjaya detektif polis seperti Sam ini. Mereka bekerja berdasarkan kes, jadi syifnya boleh berpanjangan selama 2-3 hari. Bagaimana pula dengan pegawai sepertinya yang ramai lelaki pandang jelek kerana terlalu workaholic sehingga asyik lupa diri. Ada yang memandang mereka sebagai kurang komitmen kepada rumah tangga. Tapi itu bukan sebab utama kebanyakannya masih bujang.

"Mungkin kita boleh keluar weekend ni, saya boleh tunjukkan gym untuk wanita sahaja. Mungkin cik malu nak beriadah di kalangan lelaki,” Sam mencadangkan. Mata hitamnya memandang tepat ke arah Naomi.

"Uhhh?" Naomi tergamam lagi. Bukan selalu ada orang mengajak dia keluar, dan oleh manusia selurus ini pula. Gaya Sam bersosial sangat canggung, dan ayat-ayatnya boleh buat orang tersinggung.

"Mungkin boleh masa akan datang, kita ajak yang lain-lain sekali," ujar Naomi.

“Oh mahu berkemas, Cik pun baru tiba kan hari ni?” Tanya Sam.

“Tidak, hari semalam dah tiba tapi barang tak kemas lagi,” jelas Naomi.

"Baiklah, saya boleh tolong menyimpan semula video-video yang dah cik tonton tadi sebab syif saya dah hampir habis, jumpa Isnin pula."

Naomi mengangguk dan memandang Sam. Pegawai itu mengangkat kotak yang mengandungi video-video cctv itu dan berlalu pergi.

"Terima kasih," ujar Naomi. Dia memeriksa waktu dan tanpa sedar masa sudah lewat ke pukul enam. Naomi baru sedar bahawa hanya tinggal dia dan Sam sahaja di dalam pejabat itu tadi. Pegawai polis syif pagi semua sudah beredar pulang dan pegawai syif petang sedang mendengar taklimat penyelia syif petang.

Naomi mengingatkan dirinya tentang  plan untuk malam itu. Semalam dia ada berbual melalui teks dengan ibunya, Karen yang memberitahu ada kedai Isayama Ramen dua blok daripada hotelnya. Jika dia rajin untuk memandu, mungkin dia boleh pusing-pusing bandar untuk melihat kedai Isayama atau kedai-kedai lain di sekitar hotel. Dengan semangat untuk mencari Isayama Ramen buat makan malam, Naomi mengemas laptopnya dan mula beredar daripada pejabat. Dia sempat menegur beberapa pegawai syif malam yang berada di lobi sebelum pulang ke hotel.

Kisah Shadow dan Chakar terus dilupakan buat sementara waktu. Naomi memahami bahawa kadangkala membawa kerja pulang ke rumah tidak baik untuk dirinya, demi tugas dia juga harus melupakan tugasnya bila sampai waktu untuk berehat. Dia ada dua hari untuk bersiap sedia sebelum bertugas dengan gigih mulai Isnin.

++++++++++++++++++++++++
++++++++++++++++++++++++

Malam itu di Metro Johor Bahru.

Sejak tamat pengajian di akademi polis, Naomi sudah jarang makan ramen. Memang ramen ialah makanan wajibnya ketika zaman belajar dahulu, malahan rakan-rakannya seperti Shiru, Gaana, Kumari dan juniornya Riva dan hampir 89 peratus pelatih polis lain juga makan ramen kerana ia mudah disediakan. Soal suka atau tidak pada ramen tidak dipedulikan kerana makanan itu ringkas dan murah. Lagipun Riva ada memborong berkarton-karton ramen segera dan selalu menjualnya kepada Naomi dengan harga borong. Mungkin dek kerap memakan ramen di akademi polis dia jarang menyentuh ramen semasa sudah bekerja.

Apabila meningkat dewasa, Naomi hanya layan makanan segera apabila tidak sempat makan atau ketika merindui rasa ramen yang penuh nostalgia. Dia juga mulai sedar setelah dibebelkan oleh Karen banyak kali, bahawa sebagai pegawai polis dia perlu makan makanan seimbang. Karen memang menyediakan makanan seimbang untuknya apabila dia pulang ke Johor Bahru.

Malam itu, Naomi memilih untuk memakai t-shirt kegemarannya untuk keluar ke bandar. T-shirt oren yang mempunyai logo harimau di hadapannya dibeli lima tahun lalu ketika kali terakhir dia kembali ke Johor Bahru. Oleh kerana dia khuatir malam mungkin sejuk, Naomi turut memakai jaket labuh warna putih paras lutut. Jaket kegemarannya itu agak mahal harganya namun kerana ia dibeli dengan duit kemenangan Anugerah Cemerlang, maka Naomi tidak kisah langsung.

Semasa dia membongkok untuk memakai but paras buku lali, tiba-tiba Naomi teringat sesuatu.

"Eh hampir lupa pula," ujar Naomi kepada dirinya.

Lalu dia berjalan ke arah meja hotel dan menarik laci meja itu, dalam laci itu ada memo pad dan kertas. Naomi duduk sebentar untuk menulis senarai barangan yang perlu dibeli, nasib baik dia tidak lupa tadi. Menyediakan senarai barang ialah satu cara perbelanjaan berhemah. Selalunya Naomi  suka shopping barang yang tidak perlu dan ketika hujung bulan dia merana tidak cukup wang. Tatkala usianya masuk 30 dan ibu bapanya sudah meningkat umur, Naomi tahu dia harus memikirkan masa depan. Dia merancang untuk membeli rumah di Johor Bahru di masa akan datang selain ingin mewujudkan simpanan untuk masa hadapan. Oleh itu dia mula memaksa dirinya berjimat cermat bermula sekarang.

Setelah selesai menyenaraikan barangan yang perlu dibeli, Naomi melipat kertas itu dan menyimpannya di dalam poket jeans. Dia hanya bercadang untuk bawa dompet, kunci kereta dan kad hotel sahaja malam itu kerana dia yakin dia tidak akan pergi jauh melainkan dia hendak ke restoran Isayama jika sempat. Melihat jam tangannya lagi, Naomi keluar daripada bilik hotelnya tepat pukul 8.15 malam.

Sebaik sahaja keluar daripada pintu masuk hotel dia disapa oleh Bell Boy hotel itu.

"Selamat malam Cik Utada," ujarnya.

"Selamat malam juga, habis kerja pukul berapa?"

"Pukul 3.00 pagi Puan, hari ini kami menerima banyak tempahan sempena Ulang Tahun yang akan diadakan tiga hari lagi."

"Oh ya, saya hampir lupa pasal tu. Selamat bertugas macam tu," Naomi melemparkan senyuman sambil melangkah keluar.

Naomi meninggalkan kawasan hotel itu dan menuju ke blok sebelah. Sedar-sedar dia sudah berjalan sejauh 200 meter sebelum melintas jalan untuk ke sebuah pasaraya yang terletak di seberang blok itu. Sepanjang perjalanannya Naomi mendapati semua keperluan ada di keliling hotel yang didiaminya. Sebut apa sahaja ada, malahan gym pun ada. Jika Naomi teringin untuk mandi spa atau berurut pun ada. Dia memikirkan kemungkinan untuk dia bertugas di Johor Bahru, pasti menarik kerana dia mendapati Metro Johor Bahru sangat tersusun kedai-kedainya. Namun jika dia perlu juga memandu kerana Johor Bahru tidak ada keretapi daripada bandar ke kawasan rumah, yang sesuai untuk disewa. Naomi mungkin perlu tinggal di rumah lama keluarganya jika dia mahu tinggal lama di sini.

Sambil mengorak langkah, Naomi mendapati daripada satu segi Metro Johor Bahru tidak berubah banyak sejak sepuluh tahun lalu. Namun ada beberapa kedai-kedai baharu contohnya seperti pasaraya itu. Daripada sudut hiasan juga berbeza kerana kali ini Dewan Bandaraya telah menghiasi setiap tiang lampu dengan lampu-lampu pelbagai warna, pastinya sempena Majlis Ulang Tahun itu nanti.

Sedang Naomi mahu melintas jalan tiba-tiba dia terpandang satu papan tanda kedai tertulis Isayama Ramen, ketika itu dia terus tersenyum lebar. Nampaknya dia tidak perlu memandu kereta jauh-jauh untuk mencari mana restoran Isayama kerana sudah ada sebuah cawangan di hadapan matanya. Tatkala itu juga perut Naomi berbunyi-bunyi kelaparan. Barulah Naomi sedar dia tidak makan apa-apa sejak tengah hari tadi. Tanpa membuang masa dia melintas jalan terus ke Isayama Ramen.

Pakcik yang mengendalikan restoran itu bukan Isayama, tapi dia ada beritahu Naomi bahawa Encik Teuchi Isayama menjaga kedai utama mereka yang terletak lebih kurang lima kilometer jauhnya. Cawangan baru itu diwujudkan kerana ramai pengunjung ingin menikmati ramen di kala waktu makan tengah hari dan mereka kata tidak sempat untuk keluar memandu ke restoran Isayama utama.

Naomi memakan enam mangkuk ramen pelbagai perasa. Dia sudah memeriksa bahan-bahan yang digunakan dan semua lulus ujian Karen. Naomi senyum sambil menghirup mangkuk terakhir ramennya. Selepas sejam dia duduk dan makan, sambil berborak lagi, dia perlu segera ke pasar raya tersebut sebelum ia tutup pukul 10.30 malam nanti.

Selepas membayar bil, Naomi mengangkat kaki dan kembali melintas jalan. Jalan di situ agak sibuk dan ada beberapa orang lain yang ingin melintas jalan, dan antara mereka ada yang sudah menekan butang untuk pejalan kaki. Sebaik sahaja lampu hijau muncul, Naomi mengikut hayunan langkah anak-anak kota Johor Bahru melintas jalan raya.

++++++++++++++++++++++++

Kasumi sedang memandu kereta mewah berwarna hitamnya ketika dia melalui hadapan sebuah hotel. Sedang dia mahu lalu tiba-tiba lampu isyarat bertukar hijau kerana tiba masa untuk pejalan kaki melintas jalan. Walaupun jejaka berambut hitam itu sudah terlambat untuk ke majlisnya namun dia mengikuti undang-undang jalan raya dan terus berhenti memerhatikan manusia melintas jalan.

Tiba-tiba muncul gadis berambut kuning diikat ekor kuda sedang melintasi keretanya, Kasumi sangka dia aamt mengenali pemilik rambut berwarna sebegitu. Lebih-lebih lagi apabila pemilik rambut kuning itu memakai t shirt oren dengan simbol harimau di belakangnya. Kasumi segera menurunkan tingkap pintu keretanya dan senyum melihat kelibat wanita itu.

Kasumi tidak sangka langsung akan menemui rakan lamanya di sini. Mereka dahulu amat rapat, walaupun pada mulanya mereka asyik bertelagah. Pada tahun terakhir mereka sebagai senior, Kasumi, Naomi dan Maiya diberikan gelaran "Kumpulan Pop paling berjaya." Gelaran main-main untuk majalah sekolah sahaja.

Kasumi memanggil, "Naomi, kau ke tu?"

Gadis itu berpusing dengan pantas dan memandangnya dengan wajah terpinga-pinga. "Haa, siapa panggil nama aku?"

"Akula, di sini!" Kasumi tergelak melihat Naomi tercari-cari siapa yang memanggilnya, walhal Kasumi berada betul-betul di hadapannya. Tanpa membuang masa, Kasumi melompat keluar dari keretanya dan mendekati Naomi.

"Wei, aku la. Boyfriend tak jadi kau," Kasumi menyergahnya setiba sahaja dia di hadapan Naomi.

Naomi hampir terjatuh ke belakang, namun Kasumi dengan cepat merentap lengannya supaya dia tidak terjatuh. Entah bagaimana, tiba-tiba Naomi terjatuh pula dalam dakapan Kasumi, habis merah padam mukanya kerana kali ini jejaka itu memeluknya pula untuk menstabilkan diri mereka berdua agar tidak jatuh.

Namun dengan segera Naomio menolak dirinya menjauhi Kasumi, dia tidak sanggup menjadi bahan gossip media Johor Bahru kerana ditangkap bergambar dengan anak bongsu bilionaire itu. Cukup-cukuplah dia dipandang rendah kerana imejnya yang sukakan warna-warna terang, yang mana dianggap tidak seiring dengan identiti serius seorang inspektor. Jika dia masuk ruangan gosip, pasti akan menjadi buah mulut para pegawai Polis Johor Bahru yang tidak mengenalinya.

Bagi menjadikan keadaan lebih normal, Naomi mula mengutuk Kasumi dengan lantang. "Aha! Jantan, apa kau buat kat sini? Buat aku terkejut sahaja ya?" Naomi segera menumbuk bahu jejaka itu, namun di senyumannya lebar.

Sedang mereka asyik membuat reunion di tepi jalan, sebuah kereta yang berada di belakang kereta Kasumi terbuka tingkapnya dan pemandunya mula menjerit marah.

"Hei orang kaya, ni bukan jalan mak bapak ko sorang nak berhenti sesuka hati!" Makcik itu terus menekan pedal enjin keretanya sebelum memotong kereta Kasumi dan beredar daripada situ.

"Haa, tulah kau Kasumi, memang daripada dulu suka buat sesuka hati. Ko nak aku saman kau atas kesalahan trafik?"

Kasumi memandang Naomi, "Oh, jadi kau memang dah jadi pegawai polis macam mereka katakan, aku memang tau kau akan merealisasikan idea ko."

"Apa-apa jelah. Jom, kita beredar daripada sini sebelum ada orang kecoh panggil polis lain."

"Yelah, yelah. Jom. Naik kereta aku."

"Aku nak pergi beli barang la ni," ujar Naomi sammbil lengannya diseret Kasumi menuju ke kereta lelaki itu.

"Hmmm. Yelah tapi bukan di sini banyak lagi kedai lain," kata Kasumi.

Mereka menaiki kereta Kasumi dan berlalu pergi. Selepas lima minit Naomi menjadi hairan kerana mereka keluar daripada bandar.

"Kas, ini jalan menuju keluar bandar. Kita nak ke mana?" Naomi memandang tepat wajah Kasumi.

Kasumi pula tidak mengalihkan perhatiannya daripada jalan raya namun tersenyum dan berkata, "Kita akan ke rumah Maiya."

"Hah, buat apa? Bukan rumah Maiya jauh ke kawasan pinggir bandar?"

"Ko hadir tepat pada harinya, ada reunionlah malam ini? Ko relaks sahaja dan nikmati perjalanan ini."

"Haaa? Berhentikan aku tepi jalan jela. Aku ada urusan lain."

Sambil tergelak sinis Kasumi memecut keretanya menuju ke arah rumah Maiya.

"Rilekslah, aku akan hantar kau pulang awal jika kau kerja esok, lagipun dah lama kau tak jumpa Maiya. Kami semua rindukan kau.”

Naomi tergamam dan membiarkan Kasumi membawanya ke rumah rakan rapat mereka dahulu. Memang dia belum bersedia, dia pulang ke Johor Bahru untuk bekerja, bukan untuk berlibur! Haruskah dia relakan saja atau berkeras untuk kembali ke hotel?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience