Rate

Cerpen : Your Last Romance

Short Story Completed 11653

Deg. Deg. Deg. Deg. Deg. Deg.

Aku berselisih dengan dia lagi. Berdetak jantungku dengan kadar yang sama seperti hari-hari semalam. Tinggi aku hanya separas bahunya.

Waktu seperti terhenti seketika. Aku curi-curi pandang menatapnya.Tinggi, hitam manis, tampan. Husband material aku. Aku sudah terpaut. Aku cuba menyembunyikan senyuman. Takut-takut kalau dia terlihat.

Ammar berlalu pergi. Masa seakan kembali berdetik. Kendatipun cuma berselisih dalam waktu yang singkat, tapi aku suka! Aku menghargai tiap saat aku bertemu dengannya. Aku benar-benar sudah terjatuh dalam lubuk cinta. Si perawan akan terus terintai-intai si teruna walhal si perawan tahu dia cuma menggantung harapan.

Tuah Ammar bin Saifullah, aku Maryam Naelah, sekadar seorang gadis yang hanya menaruh harapan namun tiada keberanian lagi untuk meluah.

**********

"Biar ibu teka, kelas terakhir lagi?" Tajam sekali ibu memandangku.

"Ha ah." Jawabku pendek, mengiyakan soalan ibu. Aku bersedia untuk dimarah lagi. Alah bisa tegal biasa.

"Kak Long, apa nak jadi dengan Kak Long? Suka belajar main-main! Tahun ni nak SPM dah." Bebel ibuku. Aku rasa penat menghadap benda yang sama setiap tahun.

"Kak Long tak main-main ibu. Kak Long dah buat yang Kak Long mampu." Laju saja kata-kata itu meluncur daripada bibirku. Aku menuang jus oren ke dalam gelas.

"Amboi. Menjawab pula ye. Kak Long fikirlah sendiri masa depan Kak Long. SPM ni benda yang serius. Tengok macam Hannah. Excellent! Semua straight A. Sebab tu dapat kelas bagus. Kak Long cermin diri Kak Long tu. Yang bantu Kak Long bukan ibu, tapi diri Kak Long sendiri." Panjang lebar ibuku mengulas. Ditambah pula dengan membandingkan aku dengan Hannah, adikku.

Mati selera makanku. Jauh di sudut hati, aku juga mahu buat ibu berbangga dengan aku seperti Hannah. Aku selalu mengecewakan harapan ibu. Aku malah kesal dengan diri sendiri.

Aku mengangkat punggung tanda mahu beredar dari meja makan. Pinggan yang masih bersisa dengan makanan aku angkat pergi menuju ke dapur.

"Cakap sikit dah pergi. Ibu tak habis cakap lagi. Apa yang ibu cakap semuanya betul. Kak Long tengoklah Hannah sebagai contoh." Suara ibu sayup kedengaran. Aku mencuci pinggan kotor. Seusai itu, aku menaiki anak-anak tangga ke arah kamar tidurku. Aku menutup pintu bilik dan menghempaskan tubuh di atas katil.

Hannah.

Hannah lagi.

Nampaknya sampai bila-bila aku menjadi bayang-bayang.

Dalam dunia ini, satu hal yang paling aku benci adalah aku dibanding-bandingkan. Aku tidak menyalahkan ibu yang sudah terang lagi bersuluh melebihkan kasih terhadap adikku, Hannah. Aku sendiri akui dia layak untuk dipuji dan diangkat sebagai contoh. Serba-serbi pandai. Aktif mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan. Cemerlang dalam akademik pula tu. Anak harapan ibu.

Aku sekelumit pun langsung tidak marahkan ibu. Apatah lagi menyimpan perasaan cemburu yang menggunung dalam diri terhadap Hannah. Malahan aku berbangga bergelar seorang kakak kepada adik pintar seperti dia.

Kadang-kadang aku penat juga mendengar suara-suara sumbang memerliku. Kata mereka aku tidak sehandal adikku. Mereka tidak sedar lidah yang berkata lebih tajam daripada pedang.

Stupid!

Pedulilah mereka yang mencemuh kekurangan diriku. Aku yakin, lain orang lain rezekinya. Aku juga pasti Allah tidak akan pernah menutup pintu rezeki bagi orang yang telah berusaha keras. Aku sentiasa semat ayat keramat itu sebagai pedoman kalau-kalau aku berubah hala menjadi seorang pessimis.

Tohmahan demi tohmahan tidak sesekali menggoyahkan semangatku untuk jadi yang lebih baik. Aku bukan pemalas. Aku bukan tidak berusaha. Kadang-kadang hasilnya tidak seperti yang aku dambakan.

Nak meniti jambatan ilmu memang kena banyak memijak duri. Kejayaan terletak nan jauh di seberang sana.

**********

"Dari kiri, cepat jalan!" Lantang suara Khatijah melantunkan arahan. Menyesal aku masuk kawad kaki Kadet Remaja Sekolah ini. Ketua Platun garang macam singa betina. Penat. Tiap-tiap hari berlatih kawad kaki.

"Kiri, kiri kanan kiri! Kiri, kiri kanan kiri!" Bergema nada suara 30 platun di dataran sekolah. Similar angin bertiup lembut. Mujurlah. Tidaklah aku kepanasan di sini.

"Kuat lagi suara tu! Lembik!" Khatijah meninggikan suara. Dah kuat la ni. Nak kuat macam mana lagi? Geram aku. Aku mengerutkan dahi.

"Kiri, kiri kanan kiri. Kiri, kiri kanan kiri." Kali ini lebih kuat suara semua platun KRS.

Sekilas aku pandang skuad Kadet Polis lelaki yang baru mula berlatih juga di dataran. Lambat betul mereka mula berlatih. Aku beralih pula melihat ketua platun mereka. Siapa gerangan di sebalik topi hitam?

Komander Kadet Polis. Tuah Ammar. Wow. Sejak bila dia jadi kapten? Ini yang makin membuat aku bertambah suka.

Deg. Jantung aku berdegup lagi. Suaraku kembali mendatar. Lantunan 'kiri, kanan kiri' semakin perlahan dari mulutku. Berganti pula dengan detakan jantungku yang kencang. Duhai hati, tolonglah kawal sedikit.

Langkah kanan jadi kiri. Langkah kiri bertukar jadi kanan. Aku hilang fokus. Sneakers Converse aku tidak sengaja memijak belakang kasut orang di hadapan. Intan di sebelahku menyengih.

"Betulkan kaki kau sebelum singa betina tu perasan. Kemain kau tengok crush." Intan ketawakan aku. Belum sempat aku betulkan langkah kaki, Khatijah sudah melaung namaku.

"Maryam! Apa kau buat tu?"

Aduh! Aku cuba memperbetulkan langkahku tapi gagal. Khatijah harap saja sebaya tetapi lagak seperti guru disiplin.

"Skuad, berhenti!"

"Check, 1, 2!"

30 platun menghentikan langkah. Semuanya gara-gara aku yang leka.

"Skuad, akan menghadap ke hadapan, ke kanan pusing!"

"Check 1,2."

"Senang diri!"

"1"

"Maryam, Maryam. Kalau setakat nak main-main masa kawad kaki ni, baik tak payah masuk!" Singa betina itu meradang.

"Yalah, lepas ni aku fokus." Ni betul-betul menyesal aku menyertai kawad kaki. Si Intan penuh semangat memujukku untuk turut serta. Dapat pengalaman. Dapat sijil. Argh, ini dapat kemarahan saja.

"Korang semua macam tak ada semangat je nak kawad kaki ni. Kita dah kesuntukan masa ni. Belum lagi kawad farmasi. Nak masuk daerah kut. Seriuslah sikit!"

Semua platun diam tidak membalas. Kulihat skuad Kadet Polis sudah berhenti rehat. Cepat sungguh. Aku dan platun KRS lain dari tadi tidak berhenti berkawad. Terpaksa pula menadah telinga mendengar si singa betina membebel.

Khatijah mengorak langkah ke arah skuad Kadet Polis. Dia mendekati komander mereka. Seperti berbisik sesuatu. Entah apa yang mereka bualkan. Tidak lama itu, Ammar mengatur langkah menuju ke arah skuad aku. Eh? Aku dan Intan saling berpandangan.

"Aku pinjam kejap kapten kadet polis ni. Aku nak gi toilet kejap.Ammar, tolong handle kejap ye." Pinta Khatijah. Ammar mengangguk. Aku pula rasa mahu masuk gaung. Biar betul.

"Wow Kak Tijah korang memang tak nak bagi rehat." Ammar bersuara seraya menyembunyikan kedua tangan di belakang.

Kak Tijah? Aku berdekah dalam hati. Tidak pernah-pernah orang memanggilnya Tijah. Paling tidak pun Kath acah-acah minah saleh. Intan di sebelah mengekek ketawa.

"Saya nak kamu semua alert! Dengar arahan saya." Tampak tegap dan berkepimpinan.Terpancar lekuk lesung pipitnya di pipi sebelah kanan. Nampak manis. Lesung pipitku pula ada di sebelah kiri saja. Sepasang? Aku menjerit di dalam hati.

"Baris, sedia!"

"Baris, akan menghadap ke kanan, ke kanan pusing!"

"Baris, akan menghadap ke belakang, ke kanan pusing!"

"Baris, akan menghadap ke kiri, ke kanan pusing!"

Aduh, sabarlah! Laju sungguh! Tidak terkejar aku. Aku mengakui suka kerana Ammar menggantikan Khatijah untuk sementara tetapi bukan dengan cara ini.
"Baris, akan menghadap ke kanan, ke kanan pusing!"

Ammar berulang kali memberikan arahan yang sama. Sekejap pusing ke kiri. Sekejap pusing ke kanan. Kepalaku jadi berpinar. Kalau bukan kerana dia memegang status crush dalam hati aku sudah lama aku mengeluarkan kata-kata kesat di hadapannya. Aku dapat meneka rentak permainan Ammar. Dia mahu menyakat skuad aku. Aku dapat lihat dia tersenyum sumbing semasa memberikan arahan. Mana Khatijah? Lama sungguh dia kat tandas!

"Skuad, dari kanan, cepat jalan!"

Aku hilang fokus lagi. Langkah kakiku tidak seiring dengan mereka. Aku letih.

"Akak tudung putih, kaki tak sama!"

Deg. Akak tudung putih.

Aku terpijak kasut orang hadapan lagi. Sekilas dia menoleh lalu menghadiahkan jelingan tajam. Argh! Skuad aku berhenti berkawad lagi.

"Siapa nama akak tudung putih tu?" soal Ammar.

"Maryam! Maryam Naelah! Simpan nama tu dalam jiwa!" Kuat sekali Intan menjawab.

"Kau ni dah kenapa? Malu aku, gila!" Aku mencubit lengan Intan. Malu, malu! Merona merah wajahku.

"Kak Yam, lepas ni Kak Yam tumpukan perhatian tau Kak Yam."

Kak Yam? Erk!

Terburai tawa Intan memecahkan suasana.

**********

Aku tercari-cari sebaris namaku pada kertas yang terpampang di papan kenyataan. Sengaja aku melihat keputusan peperiksaan setengah tahun lambat-lambat sebab tidak mahu bersesak-sesak dengan pelajar-pelajar lain.

Anak mataku tertancap pada nombor 50. Siapa tahu, mungkin namaku tersangkut ranking 50 teratas. Namun, tiada. Jikalau ke bawah lagi tiada. Hairan sungguh.

"Kak Yam! Tengok ni nama kau! Hebat Kak Yam!" Intan menjerit kegembiraan. Semenjak dari peristiwa kawad kaki itu, Intan acap kali mengusik aku dengan nama Kak Yam.

Aku nombor 30? Ya Allah. Kuasa Tuhan. Daripada 130 pelajar, aku berjaya menempatkan tempat di tangga ke-30. Aku pelajar kelas tercorot. Jadi, ini sudah cukup membanggakan. Angka 30, pencapaian terbaik sepanjang hidup aku. Sebelum ini, angka 50 tidak sekalipun tidak pernah aku tembus.

"Aaaaaaa! Wah aku betul-betul tak sangka!" Aku separuh menjerit dan memeluk bahu Intan.

"Aku nombor 99. Teruknya. Macam mana eh kau boleh lompat naik nombor 30? Luar biasa!"

Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

"Emm, no pain no gain? Ala trial ada lagi. Belum terlambat. Entahlah aku study je macam biasa. Cuma aku rasa kalau takat study je aku rasa macam tak cukup. Jadi kadang-kadang ada masa tu aku solat Dhuha. Sebab aku ada baca solat Dhuha dapat memudahkan segala urusan dan memberkati rezeki. Semua orang boleh buatlah. Dont worry. Tak kisahlah nombor-nombor ni yang penting do the best in your
SPM." Aku menepuk bahu kiri Intan.

"Betul la cakap kau. Lepas usaha kena tawakal." Intan mengangguk setuju.

"Dan lagi satu, baca surah Ar-Rahman lepas solat Zohor untuk mencerdaskan minda." Aku menambah lagi.

"Wah. Berubah banyak kau." Perli Intan.

Aku tergelak.

"Janganlah cakap macam tu. Benda tu sekecil-kecil amalan tau tak. Aku nak puaskan hati ibu aku dengan result exam aku." Wajah aku bertukar muram.

"Kau cakap je puaskan hati ibu kau. Tapi sebenarnya kau nak puaskan diri sendiri. Rasa kecewa dengan diri sendiri lagi teruk daripada rasa kecewakan orang lain. Tak payah nak tipulah." Tukas Intan. Satu-satunya insan yang memahami aku. Kan bagus kalau ibu fahami aku seperti dia.

Aku menjeling ke arah keputusan pelajar tingkatan empat.

"Intan. Jaga kat belakang aku. Kalau ada sesiapa kat belakang, cepat sergah aku."

Aku mahu tahu Tuah Ammar di kedudukan nombor berapa. Perasaan ingin tahu segalanya tentang dia kian membuak-buak.

"Ish. Pandainya." Aku membandingkan kedudukan aku dan Ammar. Nombor satu dan tiga puluh. Sangat jauh perbezaan kita.

"Siapa yang pandai?"

Suara garau lelaki membuat aku terpaku. Kepalaku terteleng menoleh ke belakang. Tiada Intan. Susuk tubuh seorang lelaki berdiri tegak sambil tersenyum simpul kepadaku. Mata aku dan Ammar saling bertaut.

Satu saat.

Dua saat.

Tiga saat.

Dua-dua diam tanpa sebarang kata.

Langkah Ammar semakin mendekat. Mahu luruh jantungku. Aku rasa sesak nafas. Sempat aku menyumpah Intan dalam hati. Sampai hati dia tinggalkan aku.

"Kenapa tengok yang Form 4 punya? Form 5 ada kat sebelah sini." Jari Ammar menunjuk ke arah ranking untuk pelajar tingkatan lima. Aku terbungkam. Apa yang aku nak jawab?

"Owh. Nak tengok ranking adik angkat sa.. emm ak." Aku tidak dapat menghabiskan kata. Keliru mahu dibahasakan diri sendiri dengan apa. Saya? Aku? Macam kasar sangat? Akak? Tak nak!

"Adik angkat. Oo. Kak Maryam kan?" Ammar mencari namaku yang tertera pada papan kenyataan.

"Number thirty. Not bad. Good luck SPM." Sempat Ammar memuji.

"Terima kasih. Tahniah juga. Bye. Ada hal." Ringkas aku membalas. Aku tersengih seperti kerang busuk. Aku menderap langkah perlahan pergi meninggalkan Ammar di situ. Langkah yang tadinya perlahan kulajukan.

"Good luck SPM, huh?" Aku berbisik kecil.

**********

Sound straight from the twilight,
Has me up all night,
'Cause I can't sleep thinking of you
And I saw a shadow
Outside my window
And it's you

Aku bernyanyi-nyanyi kecil lagu Stay nyanyian Estrella sambil mengenangkan memori Ahad semalam. Setiap bait lirik lagu itu melekat dalam mindaku. Suaraku tidaklah selunak penyanyi tanah air. Tapi aku selalu meminjamkan suara untuk didengari para tetamu pada majlis-majlis perkahwinan.

Ahad kelmarin mengukir memori indah buatku. Tuah Ammar. Siapa menyangka dia turut menjadi tetamu pada majlis perkahwinan kakak saudaraku. Sejurus aku mendendangkan lagu, terus dia memuji bakatku dalam nyanyian. Lantas dia bertanya tajuk lagu yang kudendangkan.

Ada saja peristiwa yang tak diduga yang membikin aku dan dia semakin mendekat. Aku tidak meletakkan harapan tinggi kerana aku menyedari si batu kerikil sepertiku tidak mungkin duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Tuah Ammar.

Aku mahu mengetuk pintu hatinya secara perlahan. Mana tahu, di pengakhirannya aku dapat mencoretkan suatu kisah indah antara aku dan dia. Aku tahu, zaman sekolah bukan masa untuk aku bermain cinta tapi untuk menimba ilmu. Tapi, aku benar-benar sudah terjatuh suka.

Langkahku bermula. Untuk mengetuk pintu hati sang teruna. Setiap hari aku menitipkan surat. Aku letak elok di bawah meja Ammar. Aku sanggup datang awal ke kelas semata-mata untuk curi-curi masuk ke dalam kelas Ammar.

Hari demi hari, aku menitipkan surat yang berlainan isi katanya.

Hari Isnin.

Live. Just live in your own ways. Just keep moving forward, never turn back. Live like there's no tomorrow. Then, you will not have any regrets on everything.

From : Te Amo

Hari Selasa.

Kau tahu, waktu paling mujarab untuk berdoa? Apa yang aku tahu, ketika hujan turun. Ketika sujud. Ketika sahur. Ketika berbuka puasa. Waktu azan berkumandang. Bukan aku mahu bicara soal agama. Jika aku mahu bicara lebih lanjut soal itu, aku angkat bendera putih. Aku sekadar ingin berkongsi. Aku tak nak kau berputus asa. Aku bukan tukang nasihat. Aku seorang perawan yang mengintaimu dalam diam.

Daripada : Te Amo

Hari Rabu

Kala ini, izinkan aku menjadi sang penglipur lara. Kau pernah dengar tentang Taj Mahal? Sebuah masjid yang tersergam indah di Agra. Alkisah, Shah Jahan telah mengahwini Mumtaz Mahal. Antara semua isteri, Mumtaz Mahal menjadi isteri kesayangan Shah Jahan.

Langit tidak selalunya cerah. Mumtaz Mahal menghembuskan nafas terakhir dan meninggalkan seorang anak. Atas permintaan Mumtaz Mahal, Shah Jahan membina masjid sebagai tanda kasih. Maka, monumen itu dinamakan Taj Mahal. Aku tersentuh dengan kisah mereka. Bila aku renungkan, apa yang aku mampu buat untuk orang yang suka? Apa yang aku mampu, cuma melihatmu dari jauh, menyukaimu dalam diam.

Hari Khamis.

Sitti Nurbaya dan Samsulbahri. Hikayat cinta agung dari negara seberang. Karya Marah Rusli. Jujur kukata, seperti kisah Romeo & Juliet daripada William Shakespeare. Cuma ia versi Indonesia. Sitti Nurbaya, anak Baginda Sulaiman berkawan semenjak kecil dengan Samsulbahri, anak Sutan Mahmud. Bila usia mereka menginjak dewasa, barulah mereka sedar tentang perasaan masing-masing yang saling terpaut. Sebelum Samsulbahri melanjutkan pelajaran ke Batavia, barulah mereka saling meluah.

Tidak semua kisah itu indah. Baginda Sulaiman jatuh muflis dan jatuh sakit. Terpaksa Baginda Sulaiman meminjam wang daripada Datuk Meringgih. Tapi dia tidak mampu untuk melunaskan semua hutang. Datuk Meringgih terpikat dengan Sitti Nurbaya. Jadi, dia diberi pilihan. Baginda Sulaiman atau Sitti Nurbaya. Sitti Nurbaya seorang anak yang taat. Tidak mahu melihat si ayah menderita, dia rela menyerahkan diri kepada Datuk Meringgih.

Hati Samsulbahri remuk tatkala mendengar pengkhabaran tentang sang kekasih hati. Mereka saling berjumpa, melepaskan kerinduan yang lama terpendam. Datuk Meringgih tahu tentang itu, Sitti Nurbaya diracun lalu meninggal dunia. Dunia Samsulbahri gelap. Kemudian dia menyertai tentera kolonial Belanda dengan harapan dia mati di medan perang. Tapi tidak. Malah dia menumpaskan ramai musuh.

Satu pertempuran berlaku antara mereka dan Datuk Meringgih. Konco-konco Datuk Meringgih berlawan dengan mereka. Samsulbahri membunuh Datuk Meringgih. Akhirnya, dia juga meninggal dunia kerana cedera parah dalam melawan musuh.

Kasih mereka tidak kesampaian. Aku tak mahu kasih aku tidak kesampaian seperti itu. Tapi, itu terpulang pada hati kau. Mungkin aku tidak setabah Sitti Nurbaya, tapi setia aku cuma satu, seperti dia. Aku tidak berharap apa-apa dengan kau. Aku cuma mahu menyentuh hatimu sedikit demi sedikit. Maaf, kalau aku jadi perigi mencari timba.

Daripada : Te Amo

Hari Jumaat

Hari ini penghulu segala hari. Jangan lupa untuk tersenyum walaupun kau bersedih hati. Aku sentiasa ingat kau dalam setiap detakan jantung aku.

Daripada : Te Amo

Aku rasa puas hati dapat menulis surat-surat itu kepada Ammar. Tapi, aku masih keliru sama ada mahu membongkar identiti aku atau tidak? Bersediakah aku kalau aku dikecewakan? Kenapa aku pengecut. Titiplah sedikit keberanian dalam diriku. Aku mencapai sebatang pen lalu menulis lagi di atas sehelai kertas.

Seminggu berlalu. Mungkin ini surat terakhir yang aku titip untuk Ammar. Aku nekad untuk memberitahu siapa aku.

************

Aku menolak daun pintu tandas dan melangkah keluar. Aku terdengar perbualan pelajar tingkatan empat.

"Ammar tu ramai peminat kan?"

Aku menguping.

"Dia ada kakak angkat kan? Aku lupa pula nama akak tu. Yang penting cantiklah."

Aku tersentap. Rupanya aku hanya dalam lambakan gadis yang meminatinya dalam diam.

"Mestilah cantik. Laki handsome macam dia mana pandang perempuan tak cantik macam kita ni."

Kali ini hatiku bagai disiat-siat. Aku memandang wajahku ke arah cermin. Kulit cerah. Mata bundar. Tapi pipiku kiri dan kanan tercela dengan parut. Pimples!

Esoknya aku berhasrat untuk menitipkan surat yang telah kutulis. Aku teragak-agak mahu letak atau tidak. Aku perasan ada kertas lain di bawah Ammar. Untuk Te Amo? Untuk aku?

Pantas aku membuka isi surat tersebut.

Salam,

Aku baca surat-surat kau. Aku tak tahu bila kau letak surat bawah meja aku. Tapi, aku yakin kau pasti jumpa surat aku ni. Aku tak kenal kau. Surat-surat kau buat aku tertarik. Boleh aku berteman dengan kau? Aku nak tahu siapa kau.

From : Ammar.

Aku menepuk dahi. Setiap surat yang telah kutulis langsung tidak memberi salam. Terus terjah masuk.

'Laki handsome macam dia mana pandang perempuan tak cantik macam kita ni.'

'Perempuan tak cantik.'

Kata-kata budak perempuan tadi terngiang-ngiang di cuping telingaku. Aku hilang keyakinan. Aku tak nak dia tahu siapa aku. Si buruk rupa, aku.

**********

Kota metropolitan Makassar. Bumi Sulawesi Selatan. Rata-rata penduduk Makassar orang Bugis. Perjalanan dari KLIA2 ke Makassar memakan masa selama 3 jam. Sempat kulihat kepulan-kepulan awan dilanggar kapal terbang yang aku naiki ini tadi. Intan terlena tidur. Tatkala kapal terbang Air Asia mendarat di Bandara Sultan Hasanuddin, baru dia terjaga. Itu pun selepas aku menjentik kuat dahinya.

Aku teringat kembali momen aku bertegang urat dengan Intan untuk memutuskan ke mana destinasi pelancongan kami. Tak matang sungguh perangai kami.

"Aku nak pergi Krabi! Pantai dia cantik!"

"Tahun depan lah kita pergi Krabi! Kali ini kita gi Makassar." Aku mencantas.

"Krabi lah! Aku nak Krabi!"

"Makassar!"

"Indonesia atau Thailand?"

Oleh sebab tidak bertemu kata putus, aku melambungkan duit syiling. Kalau kepala untuk Makassar. Ekor untuk Krabi. Nasib menyebelahi aku. Duit syiling 50 sen yang kulambung terhenti menunjukkan kepala.

Setiba saja di Bandara Sultan Hasanuddin, aku disapa mesra oleh kenalan Intan, Lydia. Cantik. Seiras Oki Setiana Dewi.

"Nanti aku bawa kalian makan bebek penyet. Tapi kalo nggak mau makan bebek, bisa ditukar sama ayam. Aduh, yang penting, enak banget." Ujar Lydia teruja.

"Makan apa aja, kami nggak kisah kok." balas Intan.

Kereta yang aku naiki menyelusuri jalanraya yang sesak. Berbeza sungguh dengan keadaan lalu lintas di Malaysia. Kenderaan di sini tidak mengira kereta, motosikal, lori, ojek dan beca semua masuk dalam satu haluan. Semua kenderaan langsung tidak mengikut lorong.

"Di sini emang selalu aja macet. Aku mau pesan, kalo ada anak kecil minta uang, gak usah dibagi. Kalo kamu bagi uang, aduh parah. Nanti kamu dikejar sama anak-anak kecil lain."

Intan pun pernah pesan begitu. Pernah sekali sepupunya berkunjung ke Medan. Oleh sebab belas kasihan, lima ribu rupiah dihulur kepada peminta sedekah. Habis lintang-pukang dia lari kerana dikejar peminta-peminta sedekah yang lain. Peminta sedekah di sini bukan duduk di tepi jalanan seperti di negara Malaysia. Mereka lebih agresif. Nampak saja kelibat orang turun dari bas persiaran atau kereta, terus mereka serbu.

Bebek Goyang. Tertera nama kedai makan yang menyajikan bebek penyet sebagai menu utama.Sedap je daging itik. Aku, Intan dan Lydia mengambil tempa duduk yang kosong. Tas tangan kuletak tepi. Aku bersilang panggung. Mataku melilau melihat sekeliling. Ramai juga pengunjung ke sini. Aku membelek-belek menu yang telah disediakan di atas meja. Bebek penyet. Dua puluh lima ribu rupiah. Lebih kurang lapan ringgit malaysia. Setelah memesan makanan, Lydia pamit untuk pergi ke tandas.

"Maryam. Did you ever forget about your first love?" Soalan Intan buatku tersedak.

"Why so sudden? Barang yang lepas usah dikenang." Aku bermadah pujangga.

"Barang yang lepas usah dikenang konon! Kahkah! Kau ingat aku tak nampak kau stalk crush lama kau kat FB? Kat IG? C'mon lah. It has been 6 years already. Move on!" Intan mengetuk meja. Emo sungguh kawan aku sorang ni.

Move on?

Mulut senanglah cakap, hati tidak.

"Thanks for your concern. Aku tak suka dia macam dulu-dulu lah. Lagipun, aku ni macam angin lalu. Aku rasa dia pun dah lupa fasal aku. Dia sendiri tak kenal pengirim surat tu." Aku mengeluh. Aku tak kisah pun kalau dia tak ingat langsung kat aku. Siapa aku di matanya? Cuma mengenali aku sebagai senior.

"Kau la silap tak nak confess. Pastu tak payah nak sendu dia tak tahu fasal kau la apa la. Padahal dia dah balas kut surat kau. Siap bagi greenlight nak jadi kawan kau."

"Wait, kita datang sini untuk melancong. Tenangkan fikiran. Kenapa kau nak bangkitkan fasal ni? Tak penting kut. Benda remeh-temeh." Aku jadi bengang.

"Men always want to be a woman's first love meanwhile women like to be a man's last romance. Ammar is a lucky man as being a girl's first love. But you have to move on and find your last romance. Kau reject banyak lelaki kerana dalam hati kau tu tak pernah nak bagi peluang kat orang lain." Tajam menikam kalbu kata-kata Intan.

Aku terdiam sejenak memikirkan soal itu. Kejamkah aku? Dibiarkah hati yang menagih kasih hanya kerana aku terlalu dibayangi perasaan yang mengelirukan. Tuah Ammar. Andai nama lelaki itu, raut wajahnya dan perasaanku persis perisian komputer, sudah lama kutekan CTRL+DELETE.

"Aku boleh tolong kau lupakan dia. Aku ramai kawan lelaki. Kalau kau nak, aku boleh set up blind date khas untuk kau." Intan memberi cadangan.

"Aku tak nak. Tak suka blind date. Cepat aku menolak.

Tiba-tiba riak wajah Intan berubah. Kelihatan seperti terkejut.

"Kau kenapa? Takkan lah aku cakap aku tak nak blind date terkejut sampai macam tu. I really don't like blind date at all. Last romance or not, let me find it myself. Hey! Kau dengar tak ?" Aku geram menatap Intan yang seperti tidak mengendahkan aku.

"Maryam. I think your last romance is here. Look behind you."

Aku menoleh ke belakang. Ya Allah. Tak mungkin.
Aku terkesima sejenak.

"Kak Maryam kan? Dan ini kawan kak Maryam." Jejaka itu bersuara. Dia tidak berseorangan. Ditemani dengan seorang sahabat lelaki.

Dari kejauhan kulihat Lydia baru saja keluar dari tandas.

"Ammar, lama tak jumpa. Tak perlu panggil kak. Maryam je. Ni Intan nama dia." Aku ketar semacam. Aku tetap pengecut seperti dulu. Aku rasa mahu lari.

"Boleh kita orang join sekali?" Tanya Ammar.

Intan mempersilakan Ammar dan temannya mengambil tempat. Lydia tadinya juga melabuhkan punggung di sebelah kanan aku. Ammar pula duduk di sebelah kiri aku. Hampir saja mata kami bertembung tetapi aku cepat melarikan pandangan. Posisi kedudukan aku dibetulkan. Aku rasa tidak selesa. Rapat. Terlalu dekat.

Seusai sesi memperkenalkan diri, Intan membuka bicara.

"Tak sangka Ammar masih ingat dengan nama Maryam." Intan seakan mengusik. Laju kaki kananku menyepak kaki Intan. Aku membuntangkan mata tanda menyuruh Intan berhenti menyoal yang bukan-bukan.

"Pernah chat dulu lepas habis sekolah. Lepas tu lost contact dah. Bila sampai Makassar?"

Tutur katanya. Menyapu lembut corong telingaku. Raut wajahnya. Membikin hatiku berdetak laju. Tingkahnya, cukup membuat aku terpesona.

"Kita orang baru je sampai. So far, best tak tempat ni?" kata Intan. Sejurus itu, Intan menyisip teh o ais.

"Best! Hari pertama, kita orang gi Pulau Samalona. Snorkeling. Selepas itu, ke Pantai Losari, tengok matahari terbenam. Hari kedua, kita orang ke Fort Rotterdam, peninggalan kerajaan Gowa-Tallo. Petang tu, melawat Toraja, tengok rumah adat msayarakat Toraja. Korang patut pergi ke sana."

"Woah. Apa kata esok kita travel sama-sama? Bila korang balik?"

Aku menendang lagi kaki Intan. Kelihatan dia mengaduh kecil. Maaf Intan, kali ini aku tak mahu berkompromi.

"Boleh juga. Lagi ramai lagi best. Lusa kita orang balik." Tambah Hakimi lagi.

"Best kan travel ni. Jauh perjalanan, luas pemandangan." Aku mencelah setelah sekian mendiamkan diri. Gemuruh aku rasa.

"Kalau boleh saya nak travel keliling dunia. Live like there's no tomorrow. Barulah kita rasa nak hargai hidup kita." ujar Ammar perlahan.

Ayat yang pernah kutulis dalam surat untuknya. Dia masih ingat?

"Live like there's no tomorrow. Terusin hidup seperti besok nggak ada lagi. Aku suka dengarnya. Kitakan masih muda. Selagi kita hidup, buat aja apa yang kita mau." Lemah lembut Lydia berbicara.

Ammar, terima kasih. Sekurang-kuranganya kau masih ingat apa yang aku coret.

**********

Aku mencampak tas tanganku ke atas katil. Selendang putih yang terlilit kemas menutupi kepalaku lantas aku buka. Itu pun aku campak dengan kasar.

"Kenapa dengan kau? Nak memberontak? Huh!" Intan mendengus.

"Kaulah. Kenapa kau ajak dia travel sama-sama? Aku tak nak lah."

"Tak nak? Sebab apa? Malu? Kau sedar tak Ammar ada depan mata kau sekarang ni? Ni lah masanya untuk kau luahkan perasaan kau. Kira baik apa aku dah tolong kau kut."

"Tadi kau suruh aku move on. Sekarang kau suruh aku confess?" Aku membalas seraya menyelak langsir. Cahaya mentari menyelinap masuk ke ruang kamar hotel.

"Keadaan dah berubah. Aku faham sangat apa yang kau rasa. Kita berkawan bukan sehari dua. Dari tingkatan satu lagi. Surat terakhir yang konon kau nak bagi kat Ammar dulu kau tak nak bagi. Sebab kau takut Ammar tolak perasaan kau? Pengecut!" Suara Intan meninggi.

"Ya, memang aku pengecut!" Aku meradang.

"Kau selalu ajarkan aku untuk terus jadi positif. Bagi kata-kata semangat. Bila aku jatuh, kau hulur tangan tolong aku bangun. Tapi kau sendiri tak positif. Kau berselindung di sebalik ketakutan kau. Bila kau dapat straight A dalam SPM, kau dah cipta satu plot twist dalam hidup kau. Aku tabik sebab kau dah buat aku sedar, usaha melebihi segalanya. From free hair to cover up your aurah. Aku nampak semua perubahan kau depan mata aku. Aku ikut kau pakai tudung walaupun semua family perli aku. Kau kata, jangan dengar kata dia orang. You're more than a friend to me. A role model. Tapi bila aku tengok kau tak keruan hanya sebab seorang lelaki, aku kecewa dengan kau." Nada Intan bertukar suram. Tak pernah dia seserius ini denganku.

"Intan.. aku.." Aku mati akal untuk meneruskan kata.

"Aku tak kisah kau suka dia atau tak. Tapi aku tak suka tengok kau macam ni. Takut nak berterus-terang. Sebenarnya, kau sendiri yang gantung perasaan kau. Ammar masih ingat lagi kata-kata yang kau tulis untuk dia. Maksudnya, dia masih ingat lagi pengirim surat tu. Kalau kau luah, dia tolak, then get over it. Kalau dia terima, Alhamdulillah." Intan mencantas.

"Aku dah cuba ok? Aku dah cuba lupakan dia lepas habis sekolah. Tapi aku dan dia tak sengaja balas mesej kat FB. Lepas tu lama kita orang tak berhubung. Aku cuba lupakan dia lagi.Tapi aku tak dapat nak tahan diri aku stalk dia kat FB, kat Instagram. Sekarang, dia muncul balik depan aku. Semua rasa datang semula kat aku. Aku akan berhenti berlari dan menghadap realiti. Kalau aku terluka, aku ada kau untuk pujuk aku. Kan?" Aku menatap lama wajah Intan. Sahabatku dunia akhirat.

Aku sendiri penat tertanya sendiri. Tenggelam dalam perasaan yang tidak pasti. Tiba masa untuk aku meluahkan rahsia hati.

Keesokan hari, aku tidak dapat melunaskan hasrat hati aku. Pada saat akhir Ammar membatalkan janji untuk melancong bersama-sama aku, Intan dan Lydia. Ada hal yang tidak dapat dielakkan katanya. Aku tidak bertanya lanjut tentang itu. Mungkin takdir tidak mengizinkan untuk aku meluahkan rasa. Tapi, secebis ayat yang telah dia petik daripada suratku memberikan sedikit harapan.

***********

"Hannah. Betul ke Hannah nak kahwin?" Dengan penuh rasa terkejut aku bertanya. Aku tidak pernah tahu langsung tentang teman lelaki Hannah. Lagipun, dia seringkali bertukar-tukar teman lelaki. Hannah tidak banyak berkongsi rahsia denganku. Bukan tidak rapat, tetapi kalau tentang hal sebegini, aku dan dia langsung tidak pernah berkongsi rahsia.

"Betul lah. Hannah serius ni. Dalam dua hari, ada rombongan datang merisik. Maaflah kalau Hannah langkah bendul." Gembira sungguh tampaknya dia berkata.

Aku tidak kisah Hannah berkahwin terlebih dahulu daripadaku. Sebab kematangan bukan diukur dari segi umur tetapi pemikiran.

Tiba-tiba aku rasa mahu tertawakan diri sendiri. Crush yang dikejar tidak dapat-dapat oleh sebab tindakan bodohku. Inikan pula bicara soal kahwin.

"Yalah, nak tunggu Kak Long kau tu hmmmm." Sampuk ibu.

"Dah tiada siapa yang sesuai. Kahwin ni bukan boleh dibuat main-main. Kahwin bila kita dah bersedia dan Kak Long belum bersedia lagi." Balasku.

"Alaa Kak Long yang jual mahal. Ramai nak kenal ngan Kak Long tapi Kak Long tak nak." Hannah mencebik kemudian tertawa.

"Kak Long tak berkenanlah dengan mereka. Jadi siapa gerangan yang telah mencuri hati adik Kak Long ni? Aku jadi penasaran. Sebelum ini, Hannah tidak serius dalam perhubungan. Aku ingat betapa cepatnya dia berganti pasangan selepas putus.

"Ammar. Tuah Ammar."

Riak wajahku berubah.

Tidak.

Tidak.

Jangan Ammar yang itu. Detik hatiku.

"Hannah rasa Kak Long kenal dia kut. Satu sekolah dengan Kak Long dulu." Hannah menyambung kata.

Jawapan Hannah membuatku tergamam. Beribu persoalan menerjah dalam minda. Bagaimana mereka boleh bertemu? Bila mereka mula berhubung? Rupanya Hannah lebih mengenali Ammar berbanding aku. Aku telah tewas.

Secebis harapan yang aku pegang, musnah. Bunga-bunga cinta yang kujaga rapi dalam taman hati bagaikan layu. Dulu mungkin aku terjatuh dalam lubuk cinta namun sekarang aku terjatuh dalam lohong hitam yang kupanggil kekecewaan. Gelap. Suram.

Si perawan yang dulunya mengintai si teruna dalam diam, kini harus menatap si teruna sedang berkasih dengan yang lain. Apa sudah tamat kisah antara kita?

**********

Aku persis bayang yang akhirnya menghilang. Aku bagaikan pungguk merindukan sang rembulan. Aku umpama merpati patah sayap. Hari ini dan esok seperti lembaran kosong tanpa contengan. Buat pertama kali dalam hidupku, aku merasakan peritnya patah hati. Hatiku luluh.

Aku sendiri tidak dapat melawan ketakutanku untuk meluah. Tindakanku membunuh harapan yang kucipta. Sudah cantik ia mekar, namun, aku sendiri yang musnahkannya.

Desiran angin pantai berhembus lembut menyapa aku kesuraman. Pelepah daun kelapa meliuk ke kiri dan kanan ditiup sang bayu. Pokok kelapa yang sudah terlentok ke kanan menjadi tempat aku melepaskan kekecewaan.

"Ini untuk diri aku yang pengecut!"

Aku menyepak batang pokok kelapa itu.

"Ini untuk dia yang tak pernah memandangku."

Aku menyepak lagi kuat.

"Ini untuk penyatuan dua jiwa antara crush aku dan adik aku."

Aku sepak untuk kali yang ketiga.

"Dan ini untuk penyesalan aku yang tak pernah jujur dengan dia."

Aku menyepak lagi.

"Kau sepaklah sampai tumbang pokok kelapa tu, Ammar bukan milik kau. Sekarang baru kau nak sesal. Dah terlambat." Kata-kata Intan menghiris lagi hatiku yang sudah terlalu kecewa.

Aku terduduk di atas tanah. Batang pokok kelapa jadi tempat aku bersandar. Aku menahan sebak. Tunggu air mata ini tumpah.

"Si kumbang terbang di hadapan si bunga. Si bunga langsung tidak menunjukkan apa tarikan. Banyak kali si kumbang ada di hadapan si bunga. Tapi si bunga tetap berdiam. Lalu si kumbang terbang menghinggap ke kuntuman yang lain kerana kuntuman itu tahu bagaimana hendak menarik si kumbang dengan harumannya. Aku dah nampak usaha kau. Tapi aku tak nampak kejujuran dan keberanian kau." Panjang lebar Intan memberikan perumpamaan.

"Beritahu aku, macam mana cara aku untuk lupakan dia. Beritahu aku juga, apa yang harus aku buat untuk berhenti sukakan dia?" Air mata mengalir deras di pipiku.

Waktu tidak dapat diputarkan kembali. Banyak peluang untuk aku mengenali dia dengan lebih dekat, tapi aku sendiri yang menyekat. Aku harus terima, dia bukan jodohku.

"Kumbang bukan seekor. Allah mungkin tak bagi apa yang kau nak, tapi Allah bagi apa yang kau perlu. Biar waktu yang berjalan sendiri menyembuhkan hati kau."

Kubiarkan kata-kata Intan berlalu pergi tanpa balasan. Aku mahu lupakan dia, Ya Allah. Tolonglah aku.

**********

Malam terasa dingin sekali. Aku berpeluk tubuh. Tiada sebutir bintang kelihatan berkerdipan di dada langit. Kelam. Cuma rembulan penuh yang dapat ditatap dengan jelas.

Aku melangkah menuju ke arah kereta. Langkahku terhenti tatkala mendengar satu suara menyeru namaku. Aku berpaling menghadap si pemanggil.

Ammar. Kenapa dia selalu muncul dari arah belakangku? Detik ini, aku tidak mahu melihatnya lagi. Bukan saat ini.

"Hai. Maryam atau Kak Maryam?" Ammar mengoyak senyuman. Lesung pipit sebelah kanan aku dapat lihat dengan jelas. Sama seperti dulu.

Dia datang kembali. Mengusik jiwaku lagi. Aku berharap agar dia berhenti.

"Maryam ok? Tak nak ada Kak kat depan." Tekanku. Kalau nama saja, aku terasa lebih dekat.

"Bakal kakak ipar aku. Mestilah kena panggil kak. Betul tak? Kak Yam?"

Sepertinya dia sengaja membikin aku untuk mengimbau kenangan lalu.

"Take care of Hannah. Cherish her. Don't make her cry." kataku. Separuh kedengaran jujur dari mulutku. Selebihnya kedengaran terpaksa dari hatiku untuk berkata sedemikian. Aku rasa mahu menangis.

"Hmm I will. Terima kasih sebab jadi seorang kakak yang baik untuk Hannah. I hope you will find the right man too. Kalau tak jumpa, aku boleh tolong carikan."

Mata aku sudah berkaca. Perbualan ini harus dihentikan. Aku sudah bertemu dengan 'mr right' tapi sayang dia bukan milikku. Tak perlu dicari kerana dia sudah ada di depan mataku cuma dia saja tidak pernah tahu.

"Hannah is my dear sister. Mungkin dia panas baran sikit. Sedikit mengada. Tapi, dia baik. Dan Ammar secocok dengan dia. Tak sangka adik aku nak kahwin dah. Perkahwinan ni bukan menyatukan dua hati je tapi menyatukan dua buah keluarga besar. Bukan setakat lafaz I love u, I miss u. Kena ada toleransi dan komunikasi. I trust you."

Layakkah aku berkata sebegitu. Hanya Allah saja yang tahu, separuh daripada butir kataku penuh kepura-puraan.

"I love you. I miss you. Aku tahu lafaz itu tak cukup untuk membina sebuah keluarga."

Liur yang kutelan terasa kelat.

"Semoga bahagia dengan Hannah." Mungkin inilah peleraian yang terbaik.

"Maryam, kenapa kau menangis?"

Aku mengesat air hangat yang tanpa sengaja mengalir laju. Bodohnya aku!

"Aku terbawa dengan perasaan. Haha. Apa la aku ni." Aku buat-buat senyum.

"Aku tahu, kau sedih sebab adik kesayangan kau nak kahwin. Jangan sedih. Aku janji akan bahagiakan dia." Suara Ammar kedengaran memujuk aku.

Bukan itu maksudku. Bukan sebab itu aku menangis. Tidak mengapalah kau tidak perlu tahu pun, Ammar. Sama ada kau tahu atau tidak tiada apa yang akan berubah.

"Aku balik dulu. Dah malam ni. Selamat tinggal." Aku meminta diri untuk pulang.

"Hati-hati drive."

Aku mengangguk lalu pergi. Aku membuka pintu kereta lantas masuk ke dalam perut kereta. Aku tersandar di tempat duduk. Melayan perasaan hibaku. Sekelumit harapan yang aku bina punah.

Jari-jemariku menyentuh pipi kiriku. Lesung pipit ini bukan berpasangan dengan lesung pipit yang kulihat tadi.

Kesalahan terbesar aku, jatuh cinta pada orang yang salah.

**********

Aku membelek-belek surat yang seharusnya aku beri kepada Ammar dahulu. Sudah enam tahun tapi aku masih simpan elok. Mungkin aku patut buang surat ini sekarang. Ataupun membakarnya. Sedikit demi sedikit mungkin aku dapat memadamkan memori lalu. Bila makin dikenang, makin aku luluh.

Aku mencapai telefon pintar lalu kubuka fail lagu. Hujung ibu jariku tercari sebuah lagu. Stay, Estrella. Aku memadamkan lagu tersebut. Lagu yang pernah aku nyanyikan di sebuah majlis perkahwinan enam tahun lalu. Semenjak Ammar bertanyakan tentang lagu itu, terus aku dengar berulang kali setiap hari. Kini, lagu yang mengungkap memori lalu, aku harus berhenti daripada mendengarnya lagi.

Aku merenung ke luar jendela. Nampaknya hujan renyai-renyai turun.

"Arghhhh!!!!"

Aku dikejutkan teriakan ibu yang datangnya dari arah ruang tamu. Aku meluru mendapatkan ibu. Pantas aku bertanya kenapa.

"Ibu bengang dengan ayah kamu ni. Macam endah tak endah dengan Hannah. Dia kata dia datang cuma untuk jadi wali. Selebihnya urusan perkahwinan semua ibu yang kena uruskan.Hannah nak kahwin tak lama lagi tapi dia sibuk dengan perempuan tu." Ibu marah sekali.

Lama sudah ibu dan ayah berpisah. Sekali sekala mereka berhubung pun kerana aku dan Hannah. Aku jarang-jarang bertemu dengan ayah. Sebulan hanya sekali. Aku memujuk ibu. Asalkan ayah datang pada hari pernikahan cukuplah. Tindakan lepas tangan ayah memang tidak bertanggungjawab langsung.

Aku memanjat anak-anak tangga. Setiba di kamar, aku tersentak.

Hannah.

Aku merampas suratku dari tangannya.

"Apa Hannah buat kat bilik Kak Long?" Menggigil aku bertanya. Aku tidak mahu dia tahu tentang perasaanku terhadap Ammar, bakal suaminya.

"Hannah nak pinjam headphone. Dah terlambat. Hannah dah baca surat Kak Long. Kak Long cakap dengan Hannah, apa hubungan Kak Long dengan Ammar?" Keras suaranya. Aku jadi kaku.

"Kak Long dengan Ammar mana ada hubungan apa. Surat ni dah lama dah. Masa zaman sekolah." ujarku lagi. Tidak perlu untuk Hannah rasa cemburu.

"Kak Long masih sukakan Ammar? Kak Long jangan sesekali nak rampas Ammar dari Hannah!" Hannah memberi amaran.

"Astaghfirullahalazim.. Kak Long bukan perempuan keji tergamak merampas hak milik adik sendiri. Tidak terdetik langsung dalam hati Kak Long untuk merebut dia daripada Hannah. Ammar nak kahwin dengan Hannah, bukan dengan Kak Long. Dia sukakan Hannah." Aku cuba membuat Hannah mengerti. Aku bukan wanita kejam mahu merobohkan kasih antara mereka.

"Kak Long jangan jadi orang ketiga antara kami. Hannah tak suka ada orang lain sukakan dia selain Hannah!" Hannah masih dengan emosinya.

Aneh. Seharusnya aku yang berkata begitu.

"Hannah pernah tengok filem Surga Yang Tak Dirindukan? Ada satu watak ini, kata kalau aku terlebih dahulu mengenal Tuhan, aku takkan membina kebahagiaan aku atas penderitaan perempuan lain. Kak Long takkan membina kebahagiaan Kak Long walaupun Kak Long terpaksa melihat penderitaan adik sendiri. Be a good wife, Hannah. I'm not a threat to you. Orang ketiga antara kamu berdua bukan Kak Long tapi ego kamu sendiri. Kak Long dah terlepas peluang Kak Long untuk kenal Ammar, jadi buktikan pada Kak Long, jadi yang terbaik untuk dia. Dengan itu, Kak Long tiada penyesalan."

Aku merenyukkan surat itu lalu kubuang dalam bakul sampah.

Berlinang air mata Hannah. Apa kata-kataku membuat dia tersentuh?

"Hannah minta maaf, Kak Long. Hannah betul-betul minta maaf. Maafkan kesalahan Hannah, Kak Long."

Aku tidak mengerti dengan tangisan Hannah. Aku juga tidak faham kenapa dia harus minta maaf. Aku meraih tubuhnya dalam dakapanku.

**********

Aku harus merelakan segalanya. Aku sendiri tidak dapat menduga berapa lama masa yang harus kuambil untuk menghapuskan semua memori lalu. Bukan sehari. Bukan sebulan. Bukan setahun. Mungkin juga lebih lama daripada itu.

Hari ini Hannah terlihat cantik sekali mengenakan busana putih. Aku lihat Ammar kacak sekali. Aku mencuri-curi pandang wajahnya buat kali terakhir. Bodoh kan aku? Mahu melupakan dia tetapi mencuri pandang seperti dahulu. Dia tidak memandangku malah tersipu-sipu malu menatap Hannah. Aku menjatuhkan pandangan ke atas lantai. Intan yang duduk di sebelahku mendaratkan tangannya di bahuku. Mahu memujuk hati aku.

"Aku nikahkan dikau dengan Hannah Fazeera binti Abdul Razak dengan mas kahwinnya lima ribu ringgit tunai."

"Aku terima nikahnya.."

"Hannah aku punya!!!"

Ammar tidak dapat menghabiskan lafaz akad.Seorang lelaki yang tidak dikenali meluru masuk ke dalam masjid seraya menjerit seperti orang hilang akal. Tetamu yang hadir bertempik ketakutan.

"Hannah aku punya! Kau siapa nak kahwin dengan Hannah? Hannah aku punya!"

Lelaki itu mengacu pisau ke arah Ammar.

Hannah kelihatan resah. Takut.

"Hannah, siapa lelaki kurang siuman ni?" soal Ammar. Dia seakan terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.

Hannah diam tidak berkutik. Soalan itu dibiarkan sepi tanpa jawapan.

"Hannah, aku sayangkan kau. Aku sayangkan anak kita." Lelaki itu melutut di hadapan Hannah. Pisau tajam terlepas daripada genggamannya.

Anak kita?

Hannah, apa yang telah kau lakukan?

**********

Semenjak itu, Hannah menghilangkan diri. Puas aku mencarinya ke merata tempat tetapi tidak juga berhasil. Aku gagal menghubungi Hannah. Aku runsing. Pasti Hannah rasa serba salah dengan apa yang telah terjadi. Ibu pula mengurungkan diri di dalam rumah. Berhari-hari tidak mahu keluar.

Aku rasa kesal dengan diri sendiri. Aku gagal menjadi seorang kakak yang baik kepada Hannah. Kehormatan adik sendiri tidak dapat aku lindungi. Hannah berpelajaran tinggi. Pencapaian dia lebih jauh melangkaui aku. Tapi sayang, setinggi mana pun pengetahuan dia, kalah dengan bisikan syaitan.

Dari awal, aku patut menegur perbuatan Hannah yang asyik bertukar teman lelaki. Ke hulu ke hilir dengan lelaki. Aku ambil mudah hal itu sehinggakan dia terjerumus dalam kancah maksiat. Selama ini aku hanya berfikir Hannah tahu jaga diri. Aku fikir Hannah tahu batas-batas pergaulan. Sekarang, sudah terhantuk baru terngadah.

Aku juga kena tempias. Bila aku melangkah keluar, orang sekeliling mencemuh aku.

"Adik dah mengandung anak luar nikah."

"Maryam tak tahu jaga adik."

"Adik cari pak sanggup."

Hannah telah menconteng arang ke muka keluarga aku. Aku benci dengan perbuatan bodohnya yang tidak memakai penghalang. Aku lagi benci dengan perbuatan mereka yang mengikut telunjuk syaitan. Sama ada dia atau bekas kekasih dia, dua-dua tidak berfikir panjang.
Aku ingin bersemuka dengan Ammar, dan keluarga mereka untuk memohon kata maaf bagi pihak Hannah.

**********

Aku berkunjung ke rumah Ammar ditemani Intan dengan harapan orang tua Ammar membuka pintu untuk aku memohon kemaafan. Namun, aku telah dihalau dan diherdik. Emaknya kata keluarga aku pembawa malu. Sedikit pun aku tidak terkilan kerana memang seharusnya dia marahkan keluarga aku. Kenapa aku rasa aku seorang yang harus menanggung semua ini?

Mujurlah Ammar sudi berbicara denganku. Dia menyuruh aku bertemu di sebuah cafe. Aku turutkan permintaan Ammar.

"Ammar, aku minta maaf bagi pihak adik aku." Aku memulakan kata. Aku sangat malu dengan perbuatan Hannah.

"Sebenarnya, salah aku juga sebab tak kenal dia dengan lebih mendalam. Keputusan aku untuk bernikah dengan Hannah sangat terburu-buru." Ammar bernada kesal.

Kalau diikutkan perkenalan mereka sangat singkat. Dalam dua atau tiga bulan.

"Ammar, sekali lagi aku minta maaf. Aku tak minta kau maafkan adik aku buat masa sekarang ni. Aku harap satu masa nanti kau maafkanlah dia. Itu saja yang aku nak cakap. Aku pergi dulu."
Aku mahu mengatakan sesuatu tetapi rasa tersekat di kerongkong.

"Maryam, tunggu dulu. Hannah dah minta maaf dengan aku. Dia dah jumpa dengan aku."

Ammar melarang aku pergi. Kata-kata dia buat aku terduduk semula.

"Mana Hannah? Kau tahu dia ada kat mana?" Aku tertanya penuh kesungguhan.

"Aku tak tahu dia pergi mana."

Sejurus itu dia mengeluarkan sesuatu daripada poket seluar hitamnya. Aku terpempan. Surat aku suatu tika dahulu.

"Te Amo. Kau kan? Kenapa kau tak pernah cakap? You make me a bad guy."

Aku hilang punca untuk berkata. Terdiam aku seketika.

"Aku pengecut. Aku takut kau reject aku. Sebab masa tu, ramai perempuan sukakan kau. Aku rasa aku tak cantik jadi aku tak ada keyakinan nak bagitahu kau siapa aku. Lagipun tu cerita lama. Hannah ke yang bagi surat tu? Tak silap aku dah buang dah." Kataku jujur.

Aku membalas beserta persoalan.

"Cerita lama boleh mencoretkan cerita baru. Jadi, bagaimana dengan sekarang? Kau masih suka kat aku? Selagi kau tak jawab, selagi tu kau tak boleh pergi."

Aku terpana dengan soalan Ammar. Straight to the point.

"Tak nak jawab? I give you five minutes to let out everything. Confess everything that I should know, Maryam."

Aku dan dia saling bertentang mata.

"Aku sukakan kau. Dari dulu sampai sekarang." Luahku. Entah dari mana keberanian ini datang.

"Lagi?" Ammar menjungkit kening.

"Aku jatuh cinta masa tengok kau main ragbi."

"Lagi?" Ammar mendesak lagi.

"Aku suka tiap kali terserempak dengan kau. Aku pandang kau senyap-senyap. Aku suka bila kau conduct skuad KRS aku dulu."

"More?"

Otakku ligat berfikir.

"Aku suka bila kau tahu nama aku Maryam Naelah. Aku suka bila kau sebut nama aku. Aku selalu tengok nama kau nombor berapa masa exam. Aku tipu kau cakap yang aku nak tengok nama adik angkat aku padahal aku tengok nama kau. Aku stalk kau lepas habis sekolah."

"Lagi?"

Aku rasa ini sudah melebihi lima minit.

"Aku suka bila kau duduk sebelah aku masa kat Makassar. Kau masih ingat nama aku. Aku suka kau ingat isi surat aku."

"More."

"Aku suka lesung pipit kau sebelah kanan dan lesung pipit aku sebelah kiri. Aku harap kita berpasangan."

"Lagi?"

"Aku menangis banyak kali bila aku tahu Hannah nak kahwin dengan kau. Aku sedar selama ni aku bertepuk sebelah tangan."

"Penutup?"

"Aku suka segalanya tentang kau walaupun aku tahu kau tak sukakan aku."

Suara aku seperti tenggelam di hujung kata.

Akhirnya, aku dapat meluahkan apa yang terbuku selama ini.

"Aku masih ingat kisah yang kau ceritakan dalam surat tu. Tentang waktu mujarab untuk berdoa. Tentang Taj Mahal. Tentang Sitti Nurbaya. Mungkin aku tak dapat jadi seperti Shah Jahan atau Samsulbahri seperti yang kau ceritakan, tapi aku boleh beri kau peluang. Kita boleh bermula dari awal."

Kata-kata Ammar memberikan aku harapan dan ruang untuk mendekatinya.

"Terima kasih. Mungkin aku bukan cinta pertama kau, tapi aku harap aku boleh jadi cinta terakhir kau."

"Maryam, kenapa kau menangis?"

Aku tidak sedar air mataku jatuh menitik. Mungkin sebab aku terharu. Bila aku lihat Ammar lagi aku tidak mengerti.

"Tapi, Ammar, kau juga menangis."

Ammar tidak membalas malah dia menguntumkan senyuman manis, cukup untuk menjentik tangkai hatiku.

Bila menginjak ke lembah dewasa ini, aku belajar banyak perkara daripada pengalaman. Itulah yang membuat aku lebih matang. Setiap yang aku ada, harus aku hargai. Aku kena cekal. Aku harus berani. Kerana perjalanan hidup aku masih panjang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience