Rate

Bab 2

Other Series 1861

"Tempoh eddah Ain tak lama lagi nak habis. Kita kahwin ya,".

Bazli ucap penuh pengharapan namun Ain masih begitu. Duduk diam memandang ke luar tingkap. Entah apa yang difikirkannya. Sejak awal kehadiran Bazli bersama ibunya dia begitu. Datin Masyitah juga buntu. Anaknya si Ain ini disahkan doktor mengalami kemurungan. Semua tidak dilakukan. Kewajipan juga tidak dilaksanakan. Tanggungjawab menjaga dan mendidik Aisyah diabaikan. Tinggal Aisyah menumpang kasih atuk Asyraf dan nenek Salamah. Cuba berdikari anak kecil itu demi mama, atuk dan neneknya. Usia yang cukup muda buat kerja dalam rumah. Sungguh tidak dapat diterima dek akal Datin Masyitah.

" Ain kena tinggal dengan kami sepanjang dia berada dalam tempoh eddah," bisikan Puan Salamah masih terngiang di telinganya. Hanya anggukan yang diberikan oleh Datin Masyitah bagi memenuhi permintaan itu. Dia juga mengetahui serba sedikit selok-belok agama Islam dan adat kampung meskipun tinggal di bandar. Setiap minggu dia berkunjung ke rumah itu menziarahi anaknya. Sehinggalah suatu hari dia dengar Ain berteriak seperti orang gila dan melihat sendiri di depan mata Aisyah menatang dulang hidangan panas untuknya. Hasrat Bazli untuk memperisterikan Ain ditimbang secukupnya sebelum akhirnya dia berbalas cakap dengan Puan Salamah kerana berebutkan hak penjagaan ke atas Aisyah. Dan hari ini dia datang lagi memujuk Ain untuk berkahwin dengan Bazli, anak saudaranya.

"Ain masih dalam tempoh eddah lagi, tak elok dia dilamar dalam keadaan ni. Kasihanilah kami," sayu kedengaran suara Puan Salamah yang keluar dari arah dapur sambil menatang dulang. Keadaan fizikal kudung tangan kiri itu membataskan pergerakan. Cepat Datin Masyitah menyambut dulang dan meletakkan di atas meja. Dihidang minuman panas itu.

"Hati-hati, air masih panas bang, " sempat dia bertutur mempelawa kedua besannya minum walhal ini rumah mereka. Senyuman nipis diukir. Encik Asyraf yang strok sebelah badan mengangguk.

"Ain, kita kahwin ya. Baz akan penuhi segala keinginan Ain. Cakap je Ain nak macamna tapi pastikan majlis kita antara yang paling grand abad ini," senyuman Bazli kian mekar. Sakitnya hati Puan Salamah mendengarnya. Telah dipinta tetap dibuat juga oleh Bazli. Datin Masyitah mengeluh. Ikutkan hati dia juga tidak ingin Ain bernikah semula dalam waktu yang terdekat ini. Seolah-olah dia menyukai pemergian arwah Adam Imran. Keadaan menjadi tegang seketika.

"Saya belum habis tempoh eddah lagi. Ain masuk bilik dulu. Kau...," lurus jari runcing itu ke arah Bazli. Bazli senyum mendengar suara Ain setelah sekian lama menanti.

"Baliklah Bazli dan jangan terlalu berharap. Saya masih sayangkan arwah suami saya,".

*****

Aisyah memaut lembut bahu Ain. Jelas perubahan wajah Ain yang nampak cengkung sejak arwah Imran pergi. Ain paksa senyum. Ditatap wajah anak tunggal kesayangannya. Meskipun anak ini lahir tanpa diminta dan tanpa rasa cinta buat suaminya. Ain akui, pernikahannya dengan Imran dulu hanya sekadar menutup aib keluarga yang tidak ingin menanggung malu akibat perbuatannya. Imran yang bekerja sebagai pemandu ayahnya menjadi mangsa atas perbuatan yang tidak pernah dia lakukan.

Kerana kecewa dengan Bazli, dituduhnya Imran mencemar kesuciannya. Sakit hati punya pasal, Imran renggut dalam keadaan tercabar. Bencinya Ain pada Imran saat itu. Dengan izin Allah, benih itu mekar di dalam rahimnya dan lahirlah seorang Aisyah Humairah. Aisyah yang sentiasa menjadi penyejuk mata. Aisyah yang gemar tersenyum dengan tingkah yang manja. Dan kerana Aisyah, dia mula belajar menyayangi Imran. Tidak sempat bercinta, Imran meninggalkannya. Hati siapa yang tidak merana, bila cinta yang disemai gugur tanpa sempat berbunga.

" Aisyah sayang mama," pelukan Aisyah makin kuat. Disembam wajahnya pada bahu Ain. Menitik air hangat itu.

"Kalau mama kahwin lain, Aisyah bagaimana? Aisyah nak tinggal dengan siapa?
Aisyah tak biasa tok wan. Dengan nenek, mama maklum keadaan nenek kan? Kalau mama kahwin lain, terpisahlah Aisyah dengan mama. Aisyah akan tinggal sendiri. Pakcik Bazli tak nak Aisyah. Aisyah...," esak kecil Aisyah mula kedengaran. Cepat Ain menghadap Aisyah langsung dipeluk anak kesayangannya.

"Shhh, jangan menangis. Mama takkan tinggalkan Aisyah. Biarpun doktor cakap mama sakit tapi Aisyah kena yakin yang mama ni sihat. Mama akan jaga Aisyah. Aisyah akan tinggal dengan mama lepas ni. Bukan nenek bukan juga tok wan,".

"Aisyah nak papa. Aisyah rindu papa,". Dan tangisan itu terus berlagu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience