Rate

Bab 5

Romance Completed 18462

“ Macam mana ni mak… Epul dah tak tau macam mana nak pujuk Wafiyya tu.. mak tolonglah Epul mak…” Saiful pula semakin tidak keruan dengan tindakan kekasih hatinya itu. Sejak perbualan terakhir mereka di telefon seminggu yang lalu, sekalipun dia tidak dapat menghubungi Wafiyya. Telefon si gadis terus dimatikan. Dia telah mengambil cuti kecemasan selama beberapa hari untuk menyelesaikan masalah yang satu itu. Namun, Wafiyya langsung tidak memberikan sedikit pun kesempatan kepadanya untuk duduk berbincang. Dia sudah buntu memikirkan jalan penyelesaian bagi menjernihkan keadaan.

Pak Sahak dan isterinya Mak Kiah simpati melihat keadaan anaknya yang semakin kusut dan tidak terurus. Namun, mereka juga turut berasa marah dengan kerenah anak teruna mereka yang satu ini. Senang-senang nak minta tangguh tarikh perkahwinan?

“ Hang nak kami buat lagu mana lagi? Kami ni malu sangat pada keluarga Mak Milah hang tu. Ada ka patut hang pi mintak tangguh? Hang ingat soal nikah kawin ni macam makan kacang ka?? Epul, Epul…mak suka hang ada kerja besaq, gaji pon stabil… tapi mak tak suka hang mainkan perasaan anak dara orang. Abang, abang nasihat la pulak abak abang tu. Saya dah takdak kuasa nak melayan dah.” Sebaik menamatkan bicaranya, Mak Kiah bangun dari duduk dan berjalan ke biliknya. Saiful hanya memandang dengan rasa yang memberat. Kalau sudah ibu sendiri pun tidak mahu membantu, siapa lagi yang boleh diharapkan.

Pak Sahak sedari tadi hanya mendiamkan diri. Memang betul kata-kata isterinya itu. Anaknya itu seperti tidak berfikir panjang. Katanya seorang engineer, tahu mengukur sana sini. Tapi anaknya itu tidak mampu mengukur dasar hati Wafiyya. Malah, anaknya itu juga sudah biasa bertutur mengikut arus “orang KL”. Nasib baiklah adab sopan seorang Melayu dan seorang yang beragama Islam tidak terhakis. Walaupun dia tidak mempunyai anak perempuan, namun dia adalah seorang suami kepada seorang isteri, anak kepada seorang ibu, adik kepada seorang kakak dan abang kepada adik-adiknya. Dia telah terlebih dahulu menikmati pelbagai rencah kehidupan. Namun dia sedar, manusia itu tidak lepas daripada melakukan sebarang kesilapan. Sebagai seorang bapa, dia harus bertindak dengan bernas.

“ Sudahlah Saiful. Hang pi balik KL dulu. Hang kata hang cuti berapa hari saja kan? Ni dah seminggu. Apa kata majikan hang nanti. Dah elok-elok dia percaya kat hang, hang pulak buat hal tak masuk kerja. Hang toksah nak pening kepala sangat. Kalau dah Allah tetapkan jodoh hang dengan si Wafiyya tu, kawin jugak hangpa nanti. Cepat ka lambat, semua Allah dah tetapkan. Cumanya, hang banyak-banyak lah berdoa pada Allah, moga-moga Allah mudahkan mana yang susah. Sudahlah, hang pi la masuk tidoq. Da lewat dah ni.” Pak Sahak menepuk bahu anaknya berulang kali, sedikit menenangkan hati anaknya yang gundah. Sejurus itu, dia mengatur langkah memasuki kamarnya.

Sedikit sebanyak Saiful terkesan dengan kata-kata luhur dari bapanya. Betul, sekarang ini sepatutnya dia tabahkan hati dan mendekatkan diri dengan Allah yang Maha Mendengar. Namun, kerana terlalu asyik dengan kesibukan kerja, dia bukan sahaja mengabaikan perasaan Wafiyya, malah dia leka dalam soal ibadah dan penghambaan diri kepada Yang Esa. Walaupun tidak sampai meninggalkan solat, namun solat di waktu kemuncak sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya. Ibadah-ibadah sunat yang sering dilaksanakan dahulu sudah ditinggalkan. Ya Allah… lekanya aku dengan nikmat dunia yang sementara ini..

Dalam menungannya itu, kenangannya bersama Wafiyya menggamit ingatan. Dia teringat akan kata-kata Wafiyya suatu masa dahulu.

“ Awak, saya tak ada apa-apa yang boleh awak jadikan sandaran. Kerana saya hanya seorang perempuan yang seharusnya bersandar pada awak. Kalau suatu masa nanti, in sya’ Allah, kita ditakdirkan bersama… saya akan berusaha menjadi isteri yang solehah dan ibu yang baik pada anak-anak awak… dan yang paling penting, in sya’ Allah..saya akan setia di sisi awak..sebab saya adalah Wafiyya, yang setia..tapi awak kena ingat tau. Kalau awak main-mainkan saya, there is no turn back! Faham?!” Wafiyya menjegilkan mata kepada Saiful, seolah-olah memberi amaran. Dalam masa yang sama, dia berniat untuk bergurau dengan kekasih hatinya.

“ Uish, amaran keras la ni eh? Hehehehe.. in sya’ Allah… saya janji dengan awak, saya takkan sia-siakan awak, Wafiyya. Sebab saya tahu, hati awak hanya untuk saya. Dan hati saya juga hanya untuk awak. Dan kita berdua, adalah milik Dia..itu yang awak selalu cakap pada saya kan? Ingatan saya ni kuat tau.hehehehe,” Saiful turut menyambut gurauan si jantung hati. Dia juga yakin akan kata-katanya sendiri, tidak mungkin dia mampu untuk memiliki gadis yang lain seperti Wafiyya. Dan dia berjanji pada dirinya bahawa hanya Wafiyya yang akan menjadi suri hidupnya.

Air mata lelakinya menitis di pipi. Bagaimana janjinya pada Wafiyya dahulu? Ya Allah…kenapa aku tak fikir dahulu sebelum berkata-kata… aku dah hancurkan impian dia… aku dah musnahkan angan-angan kami… Ya Allah… beri aku kesempatan untuk memperbaiki keadaan… aku sayangkan dia Ya Allah… kuatkan jodoh kami… hanya itu yang aku pinta Ya Allah…

Saiful mengesat air mata yang bersisa, lalu bangkit dari duduknya. Tujuannya sekarang hanya satu, iaitu mempersembahkan diri kepada Allah Maha Besar. Semoga Allah mendengar rintihan hatinya, menenangkan gelodak jiwa, dan memakbulkan doanya…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience