Bab 2 : Kuasa

Action Series 516

Abang segera menerpa dan memeluk aku. Aku pula masih tergamam dengan apa yang telah berlaku.

Buku, nat besi, bola, lampu meja, botol plastik, figura dawai abang dan banyak lagi barang-barang yang kecil dan ringan bertaburan membentuk bulatan di sekeliling aku. Lampu sfera kaca yang abang letak di atas meja juga sudah berderai di atas lantai. Begitu juga barang-barang yang lain.

Aku menggosok mataku berkali-kali. Mahu berapa kali pun aku pejam celik mataku, barang-barang itu sudah berada di situ dan bukan tempat asalnya.

"Arash, kamu tidak apa-apa?" suara abang tenggelam timbul di telingaku. Aku masih hilang fokus.
 
"Arash!" Aku tersentak dek herdikan abang.

"Abang... A-apa yang dah terjadi pada Arash?" Aku mulai panik. "Apa maksud abang saya termutasi!"

Abang tidak terkata apa-apa selain tangannya menepuk-nepuk belakangku. Dia memandang barang-barang yang bertaburan di sekeliling kami penuh cemas.

Apa yang sudah terjadi kepada aku?

Semuanya berlaku dalam sekelip mata... tapi, aku benar-benar nampak barang-barang itu berterbangan di sekeliling aku!

"Ikut abang!" Tidak semena-mena, abang menarik aku keluar rumah. Aku nyaris tersembam sekali dua mengekori langkahnya yang tergesa-gesa. Dia mengheret aku sampai ke bangsal tempat kerja kami. Aku tiada pilihan lain selain cuba mengejar langkahnya yang panjang.

Jarak bangsal dari rumah kami cuma dalam 30 langkah, berada di bahagian tenggara dari rumah kami. Sekejap sahaja kami berdua sudah sampai di hadapan pintu.
 
Dari luar, bangsal kami tampak lapuk, kusam dan kuno kerana terbuat dari aloi dan simen, dibina dari teknologi pembinaan lama sedangkan bangunan-bangunan di Rionzess terbuat dari bahan yang lebih kuat dan futuristik. Abang melalukan matanya pada pengimbas retina versi lama untuk membuka pintu.

"Abang, sakit!" Rintihku.

Abang tidak mendengar. Dia terus mengheret aku masuk sebaik sahaja pintu terbuka. Kami melewati barang elektrik rosak milik pelanggan, tumpukan besi buruk dan ruang kerja kami. Abang akhirnya berhenti setelah membawa aku masuk ke pejabat arwah ayah.

"Apa abang nak buat ni?"

Abang masih tak membalas. Wajahnya tampak begitu serius. Pegangannya juga masih kukuh mencengkam pergelanganku.

Aku mulai takut dengan tingkah abang. Ketika dia mengunci pintu pejabat, aku pula menjadi cemas memandang pejabat ayah. Kami jarang-jarang masuk ke ruangan ini.

Kalau penduduk Rionzess masuk, mereka akan menganggap tempat ini sebagai muzium. Pejabat ayah penuh dengan alatan elektrik antik dan perabot kayu. Sedangkan, kini perabot kayu sudah diharamkan dan diganti dengan bahan sintetik.

Tapi, kenapa abang tiba-tiba bawa aku ke sini?

"Abang!" jeritku. Kali ini barulah jeritanku dapat menyentakkan abang. Dia segera mengendurkan cengkaman tangannya. Aku segera menarik dan mengusap pergelanganku yang memerah. Wajah abang terbayang perasaan bersalah.

"Maafkan abang. Ki-kita kena masuk dulu. Kita tidak boleh bincang di sini." katanya perlahan.

Dia pantas menguak permaidani dengan kakinya. Kemudian, dia membuka satu lagi panel kayu segi empat yang kecil pada lantai kayu itu. Ada skrin sesentuh di dalamnya.

Abang melekapkan tangannya pada skrin itu dan terbukalah satu pintu rahsia menuju ke bawah tanah.

Aku tunduk memandang pintu yang sedang ternganga luas. Abang mengisyaratkan aku untuk masuk.

Dengan pertanyaan yang masih menyesakkan kepala, aku akur dan melompat masuk, barulah diikuti oleh abang.

Sebaik sahaja kaki kami mendarat di atas lantai putih,
serta-merta lampu automatik terpasang dan menyerlahkan ruang serba putih yang canggih. Tiada siapa akan menyangka kami memiliki ruang sebegini memandangkan tersembunyi dalam bangunan yang agak kuno.

Abang mendarat di belakangku lalu mendorongku pergi ke ruang tengah ruangan itu. Aku terus duduk di atas kerusi yang berdekatan dengan hati yang mendongkol. Abang terburu-buru menutup pintu ruang rahsia ini.

"Apa kita kena buat, Arash? Habislah kalau kerajaan pusat sampai tahu tentang kamu! Apa kita kena buat?" Abang mundar-mandir gelisah di depanku.

"Abang!" bentakku. Abang terkejut, aku terkedu. Spontan aku menekup mulut.

"Maaf... Tapi, janganlah mundar-mandir begitu. Abang menakutkan Arash..." gumamku perlahan.

Aku mendengar desah abang. Kami sama-sama diam sementara menenangkan diri. Aku harap abang tidak terasa dengan oktaf suaraku sebentar tadi.

"Apa yang... apa yang abang nampak sebenarnya tadi?" Akhirnya aku bersuara memecahkan hening.

Abang memandang aku sebelum teragak-agak berkata, "Abang baru keluar dari bilik dan abang nampak... Arash berbaring di atas lantai dan barang-barang kecil berterbangan dan berpusar di sekeliling kamu..."

Aku ternganga mendengar ceritanya. Jadi, sekilas pandangan yang aku lihat tadi juga disaksikan abang?

"Mata kamu nampak lurus memandang ke atas. Abang dah takut masa tu. Bila abang panggil nama kamu, tiba-tiba semua yang berterbangan itu terjatuh serentak," sambung abang sambil meramas-ramas tangannya.

Ya, aku juga ingat hal itu berlaku.

"Apa yang Arash fikirkan ketika itu?" Abang menapak mendekati aku.

"Arash cuma... Arash cuma berkhayal." Jawapanku jelas menghadirkan riak skeptikal pada wajah abang.

Sumpah! Tadi aku hanya tenggelam dalam fikiranku. Bila abang panggil nama aku, baru aku tersedar balik. Akukah yang membuatkan barang-barang itu terbang?

Tapi, itu mustahil...

"Apa... maksud abang Arash termutasi?" Aku ulang balik soalanku yang belum terjawab tadi.

Abang menggigit bibir. Dia mencapai poket seluarnya dan mengeluarkan tab digitalnya yang sebesar telapak tangannya. Selepas dia menala di atas skrin itu beberapa kali, dia menyuakan alat itu kepadaku.

Terpampang poster amaran yang rasmi dikeluarkan oleh Penguasa Rionzess. Grafiknya serba merah, membuatkan aku merasa cemas.

Aku membacanya sekilas.

Ia tentang meteor hari itu, diikuti laporan-laporan hospital mengenai remaja-remaja yang mempunyai rungutan sakit kepala yang dahsyat tapi kemudian hilang. Diikuti, sebuah peristiwa seorang pesakit muda tersebut mengamuk dan menyebabkan kerosakan berskala besar.

Nafasku tersekat di kerongkong. 'Sakit kepala?'

"Arash ada rasa sakit kepala, sekitar minggu lepas... betul?" Lembut dan penuh berhati-hati abang bertanya kepadaku. Aku mengangkat wajah, dan pandanganku bertembung mata abang. Perlahan-lahan, aku mengangguk. Aku perasan tanganku mulai menggeletar.

"Abang, saya tak tahu... saya minta maaf..."

"Arash..." Abang segera menarik aku ke dalam pelukan. "Bukankah abang dah cakap kalau Arash ada rasa tak sihat, cepat-cepat beritahu abang?"

"Abang... Arash termutasikah?"

Serta-merta wajah abang kelam buat seketika. Dia memaksakan senyum lalu menggeleng. "Abang tak tahu. Tapi, boleh Arash beritahu abang apa yang berlaku? Kamu sakit kepala semasa meteor itu jatuh, bukan? Ketika kamu lambat datang ke bengkel?"

Aku mengangguk.

"Abang minta maaf. Abang tak perasan kamu sakit. Abang ingat kamu cuma nak tidur sebab terlalu penat..."

"Tak... salah Arash juga."

Bermula saat itulah aku menceritakan segala-galanya yang berlaku pada aku pada abang. Bermula dari aku yang duduk di atas menara tangki air, tentang meteor membelah langit malam, tentang getarannya dan gelombang cahaya yang mengenai aku sebelum aku pengsan.

Abang nampak sangat terkilan bila aku menceritakan apa yang aku rasa ketika aku tersedar dari pengsan s
dan mengheret diri masuk ke rumah. Aku tahu, samada dia antara kecewa aku tidak memberitahunya awal-awal, atau dia sedang marahkan dirinya sendiri kerana tidak peka akan keadaanku.

Abang seperti itu orangnya.

Tapi, kali ini dia memilih untuk mendengar dengan teliti sambil merakam ucapanku dan menaip sesuatu di tabletnya. Semakin lama aku bercerita, semakin dalam kerutan dahinya.

Bila aku habis bercakap, lama abang diam untuk berfikir. Pandangannya seperti menembusi kabinet arkib bahan digital tinggalan ayah yang berada di belakangku. Aku jadi gelisah.

"Telekinesis!" Abang tiba-tiba menjerit. Hampir terlompat aku dari dudukku.

Dia mencengkam bahuku. ''Kuasa kamu tadi. Kamu membuatkan barang-barang terapung-apung, kan? Jangan-jangan kamu ada telekinesis!"

Aku meronta melepaskan diri cengkaman abang. "Telekinesis? Kuasa minda separa sedar yang abang pernah cerita dulu?"

Bila abang mengangguk dengan laju, aku mengurut pelipis kepalaku dalam kekesalan. Apa yang abang mengarut pula ini?

"Tapi abang... takkanlah radiasi meteor itu dapat membangkitkan kuasa itu? Mustahil! Kenapa abang sampai fikir sedemikian rupa? Boleh tak abang jangan takut-takutkan Arash sekarang?"

Abang menyuak rambutnya ke belakang. Dia menghembuskan nafas paling panjang.

"Adakah abang tahu bagaimana keadaan remaja-remaja di Rionzess yang seperti... seperti Arash?" tanyaku tersekat-sekat.

Abang menggeleng perlahan, tanda dia juga tidak tahu. Serentak, aku terus menyembamkan muka dalam lipatan tangan di atas meja.

Buntu.

Mustahil kami boleh datang ke Rionzess untuk merujuk tentang apa yang berlaku kepada aku, kemudian mengisytiharkan aku termutasi seperti remaja-remaja Rionzess yang sedang dikehendaki? Itu namanya bunuh diri!

Aku mendengar abang menarik kerusi dan duduk di sebelahku. Tangannya menepuk-nepuk belakangku perlahan.

Dia berkata, "Abang ada satu teori tentang ini. Tapi, sebelum tu kita kena pastikan betul atau tidak dakwaan Rionzess tentang remaja yang tiba-tiba ada kuasa luar biasa itu kerana termutasi. Kita kena jalankan eksperimen ke atas kamu. Kita kena buktikan teori abang ni."

Aku terus tegak semula mendengar abang mengatakan perkataan 'eksperimen'. Mataku terbeliak memandang abang. Telunjukku spontan menunjuk diri sendiri.

Abang mengangguk penuh keseriusan.

Aku? Eksperimen?

Fikiran Arash hanya menerawang seketika, sebelum dikejutkan dengan jeritan abangnya. Sedar-sedar, barang-barang kecil berjatuhan lalu bertaburan membentuk bulatan di sekeliling Arash. Eizham sudah tidak dapat menyangkal hakikat yang adiknya sudah termutasi. Lalu, apa yang Arash perlu lakukan dengan kuasa luar biasa yang tidak dipintanya ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience