Bab 1 : Perubahan

Action Series 516

Kejadian aneh mula berlaku seminggu selepas tu. Sepetang itu aku langsung tak menjangka apa-apa yang di luar biasa akan berlaku.

Aku dan abang menjalani rutin kami seperti biasa tanpa gangguan. Pagi bertukang di bengkel, tengahari rehat untuk makan dan tidur, petangnya sambung kerja sampailah lewat petang.

Lewat petang itu, macam biasa aku akan serbu bilik air dulu sementara abang pasang televisyen, bersantai menonton berita. Aku tak tahan dengan badan yang masam melekit!

Dari dalam bilik air, aku dapat dengar abang menguatkan suara televisyen. Macam sengaja suruh aku mendengar sekali. Ah, pedulilah! Aku membuka aliran air pancur lebih kuat untuk meredam suara bising di luar.

Aku menutup mata, menikmati butiran air bersama wap dingin yang mengenai wajahku. Segar! Terasa bagai semua kepenatan pada setiap sel ototku dibawa aliran air.

Aku fikir aku sudah mandi agak lama, lebih dari had masa sepatutnya. Tapi, tak ada pula abang menggegar pintu bilik air, menggesa aku cepat keluar macam biasa. Aku masuk ke bilik tidurku untuk mengganti baju.

Ketika aku keluar dari bilik, abang rupanya masih di depan televisyen. Dia berpeluk tubuh. Dahinya berkerut dan matanya merenung skrin dengan. Benar-benar serius.

"Apa yang menarik?" Aku duduk sebelah abang sambil mengelap rambut yang basah dengan tuala. Abang menoleh dengan wajah keruh.

"Entahlah. Sesuatu terjadi di Rionzess. Remaja belasan tahun merusuh."

"Huh?! Biar betul?" Aku segera menoleh memandang skrin di hadapan kami. Tapi, aku tidak sempat melihat siaran berita yang dikatakannya. Pembaca berita sudah melaporkan berita lain.

"Apa yang sudah berlaku? Arash tak sempat nampak. Remaja Rionzess... merusuh?"

"Ya. Abang pun tidak percaya. Remaja-remaja tu dikatakan mengalami mutasi sebab meteor hari tu. Mereka tiba-tiba...mempunyai kuasa luar biasa?" kata abang dengan sangsi.

Serentak itu, tersembur tawaku. "Kuasa? Takkan abang nak percaya? Mengarut! Abang terlebih tengok filemlah ni!"

Abang menumbuk bahuku. Aku mengaduh kesakitan dalam saki-baki ketawa. Abang mendengus kasar. Dia merendahkan suara televisyen.

Sambil mendesah dia berkata, "Bukan itu masalahnya. Sekumpulan remaja yang kononnya termutasi itu mengamuk dan mencetuskan huru-hara di Rionzess. Gara-gara itu, sekarang kerajaan pusat bertindak menahan semua remaja, seperti kamu! Katanya untuk mengesan siapa yang termutasi." Abang menekan perkataan 'semua' sambil menolak kepalaku.

Aku menjauhkan kepalaku dari terus ditujalnya sebagai tanda protes.

"Tapi, abang tak percaya ia semudah itu," gumam abang. "Lagi abang takut kalau mereka pun menahan Arash..."

Aku senyum kelat mendengar kata-kata abang.

"Kita tinggal di luar Rionzess, abang. Kita tak ada kaitannya dengan apa yang mereka lakukan di dalam sana. Kenapa pula mereka nak menangkap Arash? Bukannya saya ada buat apa-apa," ujarku sambil cuba menghulurkan rasional kepada abang. Namun, wajahnya masih kelihatan bimbang.

"Penangkapan besar-besaran sedang dilakukan untuk menyaring siapa yang termutasi sebab meteor hari tu. Kamu jangan lupa, walaupun kita tinggal di sini, kita tetap terdaftar sebagai anggota koloni Rionzess! Cepat atau lambat, mereka akan cari Arash juga. Abang risau...

"Abang jangan risaulah," Aku mencelah. "Cuba tengok muka Arash yang kacak ni. Ada tanda-tanda jadi raksasa ke, manusia super ke? Tak ada, kan? Arash sihatlah! Paranoidlah abang ni!"

Abang tampak tersenyum mendengar selorohku. Aku lega.

"Siapa kata tak ada?Ada. Muka kamu ada iras-iras bumper kereta hibrid. Tu, yang remuk berkarat di bengkel," kata abang lantas ketawa.

Aku ketawa juga sambil penumbukku laju terbang ke rusuknya. Abang sempat mengelak lalu segera berlari masuk ke bilik air untuk mandi.

Melihat kelibatnya menghilang aku tersengih sendiri. Aku tidak faham kenapa abang takut sangat pasal berita tu. Dahlah televisyen kuno ini mencuri sambungan saluran penyiaran dari Rionzess. Belum tentu berita itu betul. Lagipun, media boleh saja berlebih-lebihan dalam menyampaikan maklumat supaya menjadi lebih sensasi.

Aku mematikan televisyen lalu berbaring di atas lantai, merenung siling. Aku sempat termenung memikirkan kembali kata-kata abang. Aku tidak mahu terlalu memikirkannya sebenarnya. Lagipun, bukannya aku tahu hujung pangkal.

Tapi, kalau betul remaja sebayaku di Rionzess termutasi lalu memiliki kuasa luar biasa, bagaimana pula aku? Aku terkena gelombang cahaya semasa meteor itu jatuh. Masih terbayang jelas dalam layar ingatanku peristiwa pada malam itu.

Aku tak memberitahu abang. Tidak penting pun. Selain pening kepala pada keesokan harinya, aku kembali sihat macam biasa.

Sementara itu, di Rionzess, seluruh penduduk dalam bulatan benteng gergasi itu kecoh dengan meteor itu. Selama seminggu, media Rionzess asyik meliput benda yang sama.

Kami berdua langsung tidak peduli. Aku dan abang tenggelam dalam keasyikan kami menyiapkan prototaip reka cipta kami yang terbaru. Bagi kami, itu bukan urusan kami.

Tapi, bagaimana kalau aku termutasi juga? Cuak aku dibuatnya.

Ah, mengarut! Tiada apa-apa pun berlaku padaku. Sihat saja, elok saja?

Ketika aku asyik berkhayal itu, tanpa aku sedar barang-barang ringan di sekelilingku terapung-apung.

"Arash!"

Aku tersentak.

Aku bingkas bangun dari pembaringan. Sesaat kemudian, aku mendengar barang-barang jatuh dan pecah.

Abang terkaku melihat aku dengan mata terbeliak. Nafasku tersekat di kerongkong melihat barang bertaburan di sekitarku. Apa yang telah terjadi?

"Kamu... termutasi!"

Teaser Bab 3: Eizham baru meninggalkan Arash sebentar di ruang tamu untuk mandi. Tapi, bila dia kembali, barang-barang di sekeliling adiknya terapung-apung! Tampaknya ketakutan Eizham menjadi nyata. Berita dari Rionzess juga buka tipuan media. Hanya menanti masa, tentera akan datang dari kota itu dan menangkap Arash pergi. Nantikan tindakan Eizham dalam seterusnya dalam [Bab 3 : Kuasa]

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience