Bab 19

Romance Completed 59724

Pendeta Adika mengeluarkan segala buku yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat berkenaan Berlian Sebutir.

Longgokan buku-buku lama dan berhabuk itu diletakkan ditengah-tengah meja kayu besar tempat mereka mengadakan perbincangan. Setiap helaian kertas usang diselak penuh teliti oleh mereka.

Buku-buku berkaitan sejarah bagaimana terdirinya sebuah kerajaan yang dinamakan Berlian Sebutir sehinggalah konflik yang berlaku antara mereka dan Inderapati, telah dibaca dan dikaji oleh Pendeta Adika bersama-sama Aidan, Jenny, dan Rendra. Namun, tiada satu pun memberi petunjuk yang jelas kepada mereka.

Masing-masing telah menunjukkan tanda-tanda keletihan, tetapi Aidan enggan berputus asa. Matanya tetap tertumpu pada peta lama yang tertera di salah satu halaman buku yang sedang diselak oleh Pendeta Adika.

"Apa sebenarnya rahsia Berlian Sebutir ni?" bisik Jenny perlahan. Hatinya penuh dengan perasaan ragu dengan kerajaan yang dipimpin oleh Jahar itu. Seperti ada sesuatu yang mendorong Jahar membuat keputusan untuk menyerang dunia mimpi dan dunia nyata.

"Aku rasa ada sesuatu yang kita terlepas pandang. Tapi aku tak tahu apa dia." Aidan membalas, dia cuba menenangkan fikirannya yang berserabut. "Tapi kita perlu segera mencari jawapannya sebelum musuh kita membuat sesuatu."

Rendra yang sejak tadi berdiam diri, menatap setiap halaman dengan wajah muram. "Kita tak boleh membuang masa." dia bersuara tegas. "Jika kita tak berjaya menemui petunjuk, aku risau Jahar akan mendahului kita. Jika itu berlaku, Inderapati akan mendapat bala yang berpunca dari kita."

Jenny memerhatikan kitab lama yang ditulis dalam bahasa purba yang sukar untuk difahami. Dia merasakan ada sesuatu yang tersembunyi disebalik setiap perkataan didalamnya. Namun, masih belum menemui sebarang petunjuk. "Bagaimana kalau semua ni sia-sia?" tanyanya meluahkan kebimbangan yang bersarang dihati.

Pendeta Adika yang mendengarkan pertanyaan Jenny, menggelengkan kepalanya. "Tidak, aku yakin dalam setiap masalah yang berlaku pasti ada jalan penyelesaiannya. Cuma kita sahaja perlu bersabar dalam mencarinya."

Dalam keserabutan mencari jawapan di dalam bilik itu, Aidan terpandang sesuatu yang menarik. Surat perjanjian damai antara Inderapati dan Berlian Sebutir terselit dicelah-celah muka surat yang sedang dibacanya.

"Surat perjanjian!" bisik Aidan terpegun sebentar dengan penemuannya.

"Apa kau kata? Surat perjanjian?" Pendeta Adika menghentikan gerak tangannya ditengah-tengah helaian buku yang dipegangnya.

Dia memandang sehelai kertas usang yang berada ditangan Aidan. Jenny dan Rendra turut mengalihkan perhatian mereka kepada Aidan.

Dengan berhati-hati, Aidan mengambil surat perjanjian itu. Surat itu nampak usang, diselaputi debu-debu yang jelas menandakan usianya yang sudah berabad.

"Ya... surat yang mengandungi perjanjian damai antara Inderapati dan Berlian Sebutir. Bagaimana surat ini boleh terselit dalam buku ni?" soal Aidan kepada Pendeta Adika.

"Aku tak pasti. Selama ini aku sentiasa membaca dan mengkaji buku-buku ini, namun tak pernah aku perasan surat ini Aidan." balas Pendeta Adika.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience