Peta itu menunjukkan gambaran muka bumi di dunia mimpi itu. Kelihatan jelas peta hologram tersebut dihadapan mereka.
"Ini adalah peta bagi dunia ini." terang Pendeta Adika. "Disebelah kiri itulah kerajaan Berlian Sebutir. Mereka hanya dipisahkan oleh sebatang sungai yang besar dari tanah Inderapati." sambungnya lagi sambil memandang kepada Aidan, Jenny, dan Rendra.
Rendra mengangguk, dia mula terfikir satu strategi untuk masuk ke Berlian Sebutir. Dia memerhati setiap sudut yang terdapat pada peta hologram tersebut.
"Aku ada satu buah fikiran untuk masuk ke Berlian Sebutir." kata Rendra perlahan.
Semua yang berada disitu memandang Rendra menunggu apa yang hendak dikatakan.
"Kita gunakan kemahiran Aidan dan Jenny untuk masuk ke sempadan Berlian Sebutir. Tetapi kita harus pastikan kawasan yang akan kita muncul dari portal jauh dari khalayak ramai. Aku risau sekiranya kehadiran kita disedari, ini akan membahayakan nyawa kita." Rendra terdiam sebentar sambil memandang peta hologram dihadapannya.
"Kita akan pastikan portal muncul dititik ini." sambung Rendra sambil jarinya menunjuk kearah satu kawasan berhutan yang seolah-olah ada laluan rahsia untuk mereka menyelinap masuk ke Berlian Sebutir.
Kawasan itu cukup strategik kerana jauh dari orang ramai dan mempunyai jalan denai yang selamat untuk mereka lalui.
Pendeta Adika kelihatan setuju dengan cadangan Rendra. Dia mengangguk faham dan memandang kepada Aidan dan Jenny.
"Sekarang, giliran kalian pula. Buat yang terbaik Aidan, Jenny. Harapan kami bergantung kepada kalian." kata Pendeta Adika sambil tersenyum.
Mereka tidak menyedari perbincangan itu diperhatikan oleh Raja Batram yang senyap-senyap masuk ke bilik Pendeta Adika.
Melur yang menyedari kehadirannya terkejut lalu terbangun dari tempat duduknya. Dia terus melutut dan menaikkan sembah hormat kepada Raja Batram.
"Ampun tuanku, beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Patik tak sedar kehadiran tuanku di bilik ini." sembah Melur dengan suara yang tergagap-gagap. Wajahnya pucat melihat susuk tubuh Raja Batram dihadapannya.
Mereka yang terkejut dengan perbuatan Melur itu terus melihat apa yang sedang berlaku. Apabila mereka menyedari Raja Batram ada didalam bilik itu, mereka terus melakukan perbuatan yang sama dengan apa yang dilakukan oleh Melur.
Share this novel