Bab 18

Romance Completed 59724

Setelah lama berfikir, Aidan teringat kata-kata susuk Pembunuh Mimpi yang dikirim oleh Jahar untuk membunuh mereka. Susuk tersebut berkata Berlian Sebutir hendak menguasai dunia mimpi dan dunia nyata. Oleh sebab itu, Penjejak Mimpi perlu dihapuskan untuk mencapai cita-cita tersebut.

Aidan menceritakan semula perkara itu kepada Pendeta Adika. Wajah Rendra dan Pendeta Adika terus berubah menjadi riak kerisauan selepas mendengar cerita Aidan tentang apa yang diperkatakan oleh Pembunuh Mimpi tersebut.

"Jika benar seperti apa yang kau katakan, ini bermakna dunia ini dan dunia kalian dalam bahaya. Kita perlu bertindak segera sebelum masalah ini menjadi lebih buruk." ujar Rendra tegas.

"Benar kata kau, Rendra. Aku rasa kita tidak boleh berlengah lagi." celah Pendeta Adika sambil menganggukkan kepalanya bersetuju dengan kata Rendra.

"Tapi, apa yang kita perlu lakukan? Jahar bukan lawan yang senang untuk dikalahkan. Lihatlah kecederaan yang dialami Aidan selepas bertarung dengannya. Kita tak boleh bertindak membuta tuli" Jenny melontarkan kebimbangannya kepada Rendra dan Pendeta Adika.

Mereka semua terdiam selepas mendengar luahan dari Jenny. Ada benar juga kata Jenny itu, kebimbangannya berasas. Musuh mereka kali ini bukanlah musuh yang senang sahaja mereka tumpaskan seperti menumbangkan seorang kanak-kanak.

Masing-masing termenung memikirkan apakah tindakan terbaik untuk mengatasi ancaman kerajaan yang dipimpin oleh Jahar.

Melur yang dari tadi hanya memerhati, akhirnya bersuara memecahkan suasana yang senyap itu. "Apa kata kita cari maklumat dahulu tentang Berlian Sebutir. Mungkin kita boleh buat risikan untuk mencari kelemahan yang boleh kita gunakan untuk menggagalkan cita-cita Jahar dan Berlian Sebutir." katanya sambil jari jemari halusnya menyelak setiap helaian yang ada didalam kitab hijau itu seperti mencari jawapan.

Kehadiran Melur yang tiba-tiba muncul disebelahnya membuatkan Aidan segan. Bau wangi-wangian seharum bunga yang dibawa oleh Melur menyusup masuk ke dalam fikiran Aidan, membuatkan dunianya seakan terhenti seketika. Wajah Melur yang lembut, digabungkan dengan aroma manis yang memabukkan, membuat Aidan terlupa akan segala perkara yang sedang mereka hadapi. "Wanginya... oh Melur. Kalaulah kau nak kahwin dengan aku, sekarang juga aku ajak kau ke rumah tok kadi." bisik Aidan dalam hati. Fikirannya melayang jauh, berangan tentang hidup bersama Melur.

Jenny yang menyedari gelagatnya terus memberikan cubitan tajam di paha Aidan. "Aaaduhhh!" jerit Aidan yang mengejutkan Melur, Rendra, dan Pendeta Adika. "Apa ni Jenny? Sakit la main cubit-cubit. Apa aku dah buat kat kau, hah?" tanya Aidan marah sambil menggosok-gosok pahanya yang sakit. Terasa pedih menusuk kedalam kulit dan isinya.

"Tu la kau. Berangan bukan-bukan lagi. Kan dah mendapat." kata Jenny sambil tergelak kecil. Puas rasa hatinya dapat mengenakan Aidan.

"Kacau daun la kau. Bagi la chance kat aku nak rasa bahagia kejap." rungut Aidan.

"Bahagia apa macam tu? Bahagia songsang? Lelaki semua memang macam tu eh? Suka fikir benda-benda kotor?" sindir Jenny sambil tersengih.

Mereka terus bergaduh mulut sambil menyindir satu sama lain. Melur yang memerhatikan gelagat mereka tersenyum dan tergelak kecil sambil menutup mulutnya dengan tangan. Aidan yang menyedari hal itu terus tersipu-sipu malu.

"Sudah tu kalian." kata Rendra dengan tegas. Dia memandang tajam kepada Aidan dan Jenny. Menyedari kelakuan Rendra itu, mereka berdua kembali duduk dan diam.

"Kita disini nak berbincang perkara yang penting, bukan nak buat perkara yang sia-sia. Kalian harus ingat matlamat kalian sebagai Penjejak Mimpi." sambungnya lagi dengan suara yang keras.

Aidan dan Jenny hanya menundukkan kepala mendengar kata dari Rendra. Melur yang dari tadi dibelakang Aidan berundur dan duduk semula ditempat asalnya.

"Aku dah fikir habis dan bersetuju dengan pendapat Melur." kali ini suaranya lebih rendah. Dia menoleh kepada Pendeta Adika. "Bagaimana Pendeta? Kau juga bersetuju bukan? Seperti kata Melur, kita perlu merisik dahulu keadaan untuk mengetahui kelemahan dipihak musuh. Mungkin disitu ada kelebihan bagi pihak kita."

Pendeta Adika mengangguk kecil. "Aku setuju dengan pendapat kau dan pendapat Melur. Kita akan perincikan lagi perkara ini sebelum kita melaksanakannya." kata Pendeta Adika sambil berdiri dan memandang ke arah tingkap yang terbuka luas melihat permandangan di kota Indra Utama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience