Bab 2: Si Cik Arkitek Yang Istimewa

Romance Completed 317885

"Tuan-tuan dan puan-puan," suara juru lelong kedengaran, "Barang terakhir kita pada petang ini adalah sepasang anting-anting jed putih dari Shaanxi, yang dinamakan, Yang Kuhargai." Dewan tersebut segera dipenuhi dengan bisikan dan kekecohan di kalangan hadirin dengan pengenalan tersebut.

Anting-anting itu dibawa keluar di atas bantal baldu berwarna biru firus yang dipersembahkan di atas dulang emas, reka bentuknya yang halus dan indah menangkap cahaya dan membuatnya berkilauan.

"OMG! Ni mesti daripada seorang laki romantik yang handsome!" seru Joyce. Ayahnya, Robert, segera memandang anak perempuannya yang suka menyibuk tetapi baik hati itu dengan pandangan tegas, memberi isyarat supaya dia menjaga adabnya.

"Apa lagi yang kamu tahu selain laki handsome tiap-tiap hari?" tegur Robert, walaupun tegas, suaranya penuh dengan kasih sayang seorang bapa. Joyce mencebikkan bibirnya dengan tidak puas hati, dan hendak berpaling untuk berbual dengan Cherie yang duduk di sebelahnya apabila juru lelong meneruskan, "Ini adalah hadiah daripada seorang anak kepada ibunya, dan hari ini ia disumbangkan kepada lelong amal yang bermakna ini atas nama beliau."

Satu lagi gelombang kekaguman dan kekecohan menyusul. Ramai wanita muda yang pada mulanya berminat untuk melelong anting-anting ini kini berubah fikiran, tiba-tiba merasakan bahawa anting-anting tersebut kelihatan terlalu tua untuk usia mereka.

Cherie kelihatan jijik mendengar penjelasan itu. "I takkan pakai anting-anting nenek tu," dia mengejek dengan angkuh kepada Joyce. Mendengar itu, minat Joyce terhadap anting-anting itu juga berkurangan.

"Harga permulaan untuk anting-anting yang cantik ini adalah RM5,000," juru lelong mengumumkan.

Kaylee, yang duduk beberapa baris ke belakang, matanya berkilau melihat anting-anting kecil itu dari jauh. Dia selalu mengagumi keanggunan jed, dan anting-anting ini kelihatan sangat indah. Dia tidak merancang untuk membida apa-apa petang ini, tetapi bertemu dengan anting-anting ini seperti telah ditakdirkan. Sesuatu tentang anting-anting ini menarik minatnya, dan kini setelah mengetahui nama yang diberi serta cerita yang di sebaliknya, mereka semakin memikat hatinya. Tanpa mengetahui pemilik sebelumnya, dia merasakan ikatan yang mendalam dengan anting-anting itu, seolah-olah mereka memang ditakdirkan untuknya.

Sebelum dia sempat mengangkat kadnya untuk membida, suara dari seberang dewan itu memanggil. "Lima ribu lima," Noel Deon yang berusia 33 tahun memulakan pembidaannya dengan penuh keyakinan. Dikenali dengan kecerdasan perniagaannya yang tajam, Noel berfikir anting-anting yang bermakna ini pasti akan menjadi hadiah sempurna untuk ibunya. Mungkin juga dapat menghalang ibunya daripada asyik mendesaknya pergi temu janji buta atau segala hal-hal perkahwinan buat sementara waktu.

Kaylee teragak-agak seketika, kemudian mengangkat kadnya. "Enam ribu ringgit," dia melaung, hatinya berdebar-debar. Dia tidak pernah menyertai lelongan sebelum ini, dan persaingan bida ini agak mengujakan.

Noel menoleh, agak terkejut melihat seseorang wanita muda yang lain berminat dengan anting-anting itu. Dia mengangkat kadnya lagi. "Enam ribu lima," dia membida, tekad untuk menang.

Kaylee menggigit bibirnya merasakan campuran kegembiraan dan kegelisahan. Dia membuat anggaran nilai dengan cepat, dan merasakan apa-apa yang di bawah harga RM8,000 masih berbaloi untuk dikejar. Selain itu, dia benar-benar menyukai pasangan anting-anting ini. Dia mengangkat kadnya sekali lagi. "Tujuh ribu," katanya, suaranya mantap tetapi tangannya sedikit menggeletar.

Noel teragak-agak, melihat anting-anting itu dan kemudian kembali memandang wanita yang bersaing bida dengannya. Dia mengagumi kegigihannya dan menyedari betapa wanita itu mahukan anting-anting tersebut. Tersenyum kepada dirinya sendiri, dia memutuskan untuk melepaskan anting-anting itu. Kaylee menahan nafasnya ketika juru lelong melihat sekeliling bilik, memberi peluang kepada orang lain untuk membida. Melihat tiada minat selanjutnya, dia mengangkat tukul lelongnya. "Sekali, dua kali... terjual kepada wanita di belakang dengan harga RM7,000!"

Orang ramai bertepuk tangan apabila juru lelong memuktamadkan jualan. Kaylee merasakan lonjakan kemenangan dan kegembiraan. Dia telah mendapatkan anting-anting itu! Ketika dia berdiri untuk menyelesaikan pembeliannya, beberapa orang berpaling untuk melihatnya, termasuk Noel.

Noel memperhatikannya dengan minat, terpesona oleh ketenangan dan kegigihannya mengejar pembidaan anting-anting tersebut. Dia pernah melihat wanita itu di salah satu projek pembinaan mega di bandar ini pada masa lalu tetapi tidak pernah berpeluang bercakap dengannya. Dan kini, keinginan untuk mengenali wanita muda yang menarik ini dengan lebih mendalam bertambah kuat.

Di sisi lain, mata tajam Victor tidak pernah benar-benar meninggalkan Kaylee sejak terjumpa dia semasa ucapannya. Dia memperhatikannya sepanjang Kaylee membida untuk anting-anting mendiang ibunya, dengan keyakinan dalam posturnya dan nada suaranya yang jelas dan mantap. Matanya bersinar dengan ketekunan. Ada sesuatu tentang wanita ini yang menariknya, sesuatu yang melampaui kecantikan fizikalnya. Setiap kali dia mengatasi bidaan Noel, minat Victor semakin mendalam. Dia dapat melihat semangat dalam matanya, semangat yang melampaui keinginan semata-mata untuk anting-anting tersebut.

"Dia bukannya sekadar membida sesuatu barang; dia didorong oleh sesuatu yang lebih mendalam," fikirnya. Victor semakin merasakan satu hubungan aneh dan tarikan terhadapnya.

Apabila Kaylee akhirnya memenangi anting-anting itu, hati Victor berdebar kegembiraan. Dia merasakan keinginan yang kuat untuk mengetahui lebih mendalam tentang dirinya, untuk memahami apa yang membuatnya begitu memikat. Dia juga merasakan keselesaan yang aneh dengan anting-anting mendiang ibunya kini dimiliki oleh wanita ini.

Kaylee dengan berhati-hatinya meletakkan anting-anting berharga itu ke dalam begnya, hatinya masih berdebar-debar kerana kegembiraan. Dia tidak sabar untuk pulang ke rumah, mengeluarkannya, mengagumi keindahannya, memakainya, merasai kelicinan jed di kulitnya, dan mengingati malam istimewa ini. Kaylee memandang sekeliling, merasakan campuran bangga dan segan di bawah perhatian ramai ahli elit bandar. Dia menangkap pandangan Noel dan mengangguk dengan sopan. Noel membalas gerakannya dengan anggukan hormat, mengakui kemenangannya.

Dengan berakhirnya lelongan dan orang ramai mula beredar, pengumuman kedengaran melalui pembesar suara, memanggil VIP untuk mengambil tempat duduk mereka bagi pembentangan mengenai reka bentuk seni bina projek pengubahsuaian. Kaylee mengumpulkan bahan-bahan pembentangannya dan menuju ke pentas, hatinya mantap dengan keyakinan. Victor, yang duduk di bahagian depan dan tengah, pandangannya secara naluri tertumpu kepada Kaylee.

"Jadi, dialah arkitek projek pengubahsuaian ini..." dia berfikir, tanpa menyedari senyuman kecil yang muncul di hujung bibirnya. Hann kini lebih kebal terhadap tingkah laku luar biasa Presiden Vic. Dia perasan pandangan Victor untuk seketika, dan mengesannya ke arah wanita di pentas, wanita yang sama yang dia nampak di kawasan istirahat umum tadi. "Bos dengan dia...?" dia tertanya-tanya.

Kaylee berdiri dengan penuh keyakinan di hadapan ramai dalam dewan besar itu, bersedia untuk mempersembahkan reka bentuk inovatifnya untuk pengubahsuaian gereja. Dia telah menghabiskan berbulan-bulan memperhalusi rancangannya, menyatukan teknologi moden dengan unsur-unsur sejarah bangunan tersebut.

"Selamat petang, semua. Saya Kaylee Stone," dia memulakan, suaranya jelas dan yakin. "Terima kasih atas kemurahan hati anda petang tadi. Saya berbesar hati untuk mempersembahkan kepada anda reka bentuk seni bina untuk pengubahsuaian Katedral St. Thomas yang kita cintai."

Skrin besar di belakangnya memaparkan pelan terperinci dan lukisan artistik. "Reka bentuk ini menghormati warisan budaya kita yang kaya sambil menggabungkan unsur-unsur moden untuk memastikan ketahanan dan fungsi. Perhatikan bagaimana lengkungan mencerminkan motif tradisional Dayak, melambangkan kesatuan dan kekuatan."

"Kaylee Stone..." Victor menonton dengan teliti sambil mengulangi namanya dalam fikiran. Dia kagum dengan kefasihannya dan perincian yang teliti dalam karyanya. Kaylee meneruskan, semangatnya terhadap seni bina terserlah dalam setiap kata-katanya, "Penggunaan bahan tempatan bukan sahaja menyokong ekonomi kita tetapi juga memastikan gereja ini kekal sebagai perlambangan sejati semangat Sarawak."

Dia meneruskan, "Dalam pengubahsuaian ini, saya sangat mengutamakan untuk menghormati kepentingan sejarah gereja yang kita cintai sambil menggabungkan kemajuan moden untuk meningkatkan fungsinya dan keberlanjutannya. Salah satu elemen utama dalam reka bentuk saya ialah penggunaan Kecerdasan Buatan, atau AI - Artificial Intelligence."

Dia menekan butang pada alat kawalannya, dan paparan terperinci 3D gereja muncul di skrin di belakangnya. Penonton bersandar ke hadapan, terpesona.

"AI dapat meningkatkan kecekapan dan ketepatan proses pengubahsuaian kita dengan ketara," sambung Kaylee. "Berikut adalah beberapa cara inovatif kita boleh menggunakan teknologi ini:

Yang pertama, dalam Cerakinan Keutuhan Struktur: Kami akan menggunakan dron yang dikuasakan oleh AI yang dilengkapi dengan pengesan canggih untuk melakukan cerakinan keutuhan struktur yang terperinci. Dron-dron ini boleh mengakses kawasan yang sukar dicapai dan menyediakan data masa nyata mengenai keadaan asas, dinding, dan bumbung bangunan. Ini akan membolehkan kita mengenal pasti dan menangani masalah berpotensi sebelum ia menjadi masalah besar, memastikan ketahanan pengubahsuaian.

Yang kedua, dalam Pengurusan Pencahayaan dan Tenaga Pintar: Dengan mengintegrasikan AI ke dalam sistem pencahayaan dan tenaga kita, kita boleh mencipta persekitaran yang lebih lestari dan kos efektif. AI boleh menganalisis corak penggunaan dan ketersediaan cahaya semula jadi untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga, mengurangkan jejak karbon kita. Selain itu, pencahayaan pintar boleh menyesuaikan kecerahan dan suhu warna berdasarkan masa hari dan aktiviti khusus yang berlangsung di gereja, meningkatkan suasana keseluruhan."

"Muda juga arkitek ni, nampak cantik dan bijak pula tu, inovasi AI-nya pun macam hebat!" kata Joyce sambil mengetuk ringan bahu Cherie dengan bahunya sendiri, mengagumi keyakinan dan kefasihan Kaylee. Cherie tidak benar-benar mendengar pembentangan Kaylee. Dia tengah sibuk mengatur beberapa rancangan melalui telefonnya, menghantar mesej kepada salah seorang sukarelawan acara.

Beberapa minit yang lalu, dia terdengar tentang aktiviti pengalaman VR interaktif yang akan dilakukan secara berpasangan selepas ini. Melalui sedikit maklumat dalaman, dia berjaya menghubungi salah seorang sukarelawan dan kini sedang mengarahkannya untuk mempengaruhi senarai pasangan melalui WhatsApp, bagi memastikan bahawa dia akan menjadi pasangan Victor nanti. Jantungnya berdegup kencang dengan penuh harapan; inilah peluangnya untuk mencipta saat intim, yang akan membuat Victor melihatnya dalam cahaya baru!

"Kamu benar-benar kagumkan saya lagi, Kaylee Stone." Noel yang juga berada di kalangan VIP turut mendapati arkitek bernama Kaylee ini semakin menarik. "Siapa sebenarnya kamu?" tanyanya dalam hati. Untuk seketika, dia berfikir alangkah betapa gembiranya jika ibunya dapat mengaturkan temu janji buta untuknya dengan Kaylee, suatu pemikiran yang boleh mengejutkan dirinya sendiri jika dia menyedari apa yang difikirkannya.

"Yang ketiga, dengan menggunakan teknologi pemindaian 3D yang didorong oleh AI, kita boleh mencipta replika digital yang tepat bagi butiran seni bina gereja yang rumit. Ini akan membolehkan kita memelihara unsur-unsur ini sambil melakukan pembaikan atau peningkatan yang diperlukan. AI juga boleh mencadangkan teknik pemulihan yang tepat dari segi sejarah dan tidak invasif, mengekalkan penampilan asli gereja," sambung Kaylee.

"Seterusnya, Penjagaan Ramalan adalah satu lagi bidang di mana AI boleh memberi manfaat kepada kita dalam usaha pengubahsuaian ini. Algoritma AI boleh memantau sistem bangunan dan meramalkan bila penyelenggaraan diperlukan. Dengan menganalisis data daripada alat-alat pengesan yang diletakkan di seluruh gereja, AI boleh mengesan tanda-tanda awal haus dan lusuh, membolehkan kita menjadualkan pembaikan secara proaktif. Ini akan mencegah kegagalan yang tidak dijangka dan memanjangkan jangka hayat usaha pengubahsuaian kita.

Akhirnya, dalam Lawatan Realiti Maya ataupun Virtual Reality - VR: Kami akan mencipta pengalaman realiti maya yang dikuasakan oleh AI yang membolehkan para jemaah dan pelawat meneroka sejarah gereja dan proses pengubahsuaian secara interaktif. Lawatan VR ini akan menyerlahkan peristiwa sejarah utama, ciri seni bina, dan pelbagai peringkat pengubahsuaian. Ia juga akan berfungsi sebagai alat pendidikan, memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan gereja."

Kaylee berhenti sebentar, membenarkan penonton untuk menyerap dan memproses isi kandungan pembentangannya. Dia dapat melihat minat dan rasa ingin tahu menyinar dalam mata mereka, dan dia merasakan lonjakan keyakinan.

"Dengan memanfaatkan teknologi AI ini," dia mengakhiri hujahnya, "kita boleh memastikan bahawa projek pengubahsuaian kita bukan sahaja memelihara unsur-unsur sejarah gereja tetapi juga mencipta persekitaran yang moden, lestari, dan menarik untuk komuniti kita. Terima kasih."

Ruangan dewan itu bergemuruh dengan tepukan, dan hati Kaylee dipenuhi rasa pencapaian yang sangat memuaskan. Ketika penonton mula mengajukan soalan, Victor mengangkat tangannya dan Kaylee menyambut dengan anggukan, jantungnya berdegup kencang sambil mengingat namanya di dalam hati: "Presiden Victor Langford..."

"Cik Stone," katanya, suaranya yang dalam tenang dan berwibawa, namun membawa gabungan kekaguman dan rasa ingin tahu, "penggunaan AI dalam pengubahsuaian ini dan reka bentuk keseluruhan anda benar-benar inovatif dan luar biasa. Saya amat berminat dengan bagaimana anda merancang untuk mengintegrasikan amalan kelestarian dan keberlanjutan masa kini dengan elemen sejarah. Boleh anda terangkan dengan lebih lanjut?"

Kaylee tersenyum, menghargai soalan yang bijak itu. "Sudah tentu, Presiden Victor. Saya telah menggabungkan panel solar dan sistem penuaian air hujan secara tersembunyi dalam reka bentuk. Elemen-elemen ini memastikan bahawa walaupun gereja mengekalkan integriti sejarahnya, ia juga merangkul masa depan kehidupan yang lestari dan keberlanjutan."

Presiden Victor yang dingin tersenyum dan mengangguk, jelas kagumnya. "Itu pendekatan yang cemerlang. Mengimbangi tradisi dan inovasi bukanlah satu tugas yang mudah. Terima kasih, Cik Stone. Visi anda untuk projek ini sangat menginspirasi dan terpuji."

Kaylee merasakan lonjakan kebanggaan dan rasa syukur. "Terima kasih, Presiden Victor. Saya berasa bangga dapat menyumbang kepada projek ini yang begitu bermakna."

Hati Victor tersentuh oleh senyuman karismatik Kaylee, dia tidak dapat menahan lengkungan bibirnya yang semakin naik. Pada ketika ini, Hann sudah pasti dengan sepenuhnya bahawa sesuatu sedang berlaku antara Presiden Vic yang dihormatinya dengan arkitek Kaylee Stone petang ini. Dia perlu mengawasi mereka dengan lebih teliti untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.

Pertukaran soal jawab mereka telah meninggalkan kesan yang mendalam pada kedua-duanya.

***

Agenda yang paling dinantikan oleh Cherie akhirnya tiba.

Sesi Pengalaman Realiti Maya atau VR ini adalah satu teaser khas yang disediakan untuk menunjukkan kuasa AI yang digabungkan dengan VR, direka untuk mensimulasikan proses pengubahsuaian gereja, membolehkan peserta berjalan melalui ruang maya dan berinteraksi dengan elemen reka bentuk. Para VIP dibahagikan secara berpasangan, setiap pasangan terdiri daripada seorang yang memakai alat kepala VR dan berjalan menaiki set tangga kecil, sementara yang seorang lagi membimbing mereka dengan memberi arahan sambil memastikan keselamatan.

Cherie mendapat apa yang dia inginkan. Dia berjaya dipasangkan dengan Presiden Victor. Dia bergegas ke platform yang tersedia, mengambil alat kepala VR dan memakainya sebelum Victor sempat bertindak balas. "Nampaknya I akan start dulu!" katanya dengan ketawa ceria, suaranya sedikit teredam oleh alat kepala itu. Victor tersenyum sopan, walaupun matanya melirik ke arah platform sebelah di mana Kaylee Stone sedang bersedia untuk pengalaman VR-nya sendiri. Jantungnya berdegup kencang melihatnya, memikirkan dirinya begitu dekat dengannya. Platform untuk setiap pasangan diatur secara berbaris-baris, belakang ke belakang, dan belakang Kaylee betul-betul berada di belakang Cherie.

Ketika Victor mula membimbing Cherie, perhatiannya terbahagi, dia masih melirik ke arah Kaylee setiap kali dia mendapat peluang. Cherie pun merasai perhatiannya teralih, lalu memutuskan untuk bertindak mengikut perancangannya. Dia pura-pura tersandung ketika menaiki tangga kecil pertama, membuat drama kehilangan keseimbangan. "Alamak!" dia berseru, berharap agar Victor akan bergegas untuk menangkapnya.

Tetapi rancangannya gagal. Daripada terjatuh ke tepi seperti yang dirancangnya, Cherie tersandung jauh ke belakang, lalu melanggar Kaylee yang sedang mengalami simulasi VR di belakangnya. Kaylee, yang tidak menyedari kekacauan di dunia nyata kerana alat kepala VR yang menyelubungi, kehilangan keseimbangan dan mula terjatuh dari tangga kecil.

Kaylee, masih terkejut dengan hentaman tiba-tiba dari Cherie, tahu bahawa dia akan terjatuh dari tangga kecil itu. Dengan alat kepala VR masih dipakainya, dia tidak pasti permukaan apa yang akan dia hentak. Dia hanya berharap mukanya tidak terkena apa-apa yang tajam.

Victor melihat Kaylee dilanggar jatuh oleh pasangan VR-nya lalu bergerak serta-merta ke arahnya. Nalurinya menyala, dan dia bergegas menghulurkan tangan untuk menstabilkan Kaylee. Tangannya menemui pinggang Kaylee, menangkap tubuhnya yang jatuh dengan kukuh tetapi secara hormat. Perkara seterusnya yang Kaylee tahu, dia sedang separuh terbaring di dada seseorang yang luas dan tegap.

"Okey ke?" tanya Victor, suaranya penuh dengan kebimbangan yang tulus.

"Presiden Victor?" Kaylee terfikir. Suara itu tidak mungkin disalah anggap, dan itulah nama yang terlintas di fikirannya apabila mendengarnya. Kehangatan sentuhannya masih terasa di kulitnya, dan dia merasakan satu perasaan selamat yang tidak dapat dijelaskan.

"Saya okey, terima kasih," dia berjaya berkata, suaranya sedikit terengah-engah akibat kejutan.

Victor membantu dia berdiri dengan tegak, tangannya masih memegangnya dengan kukuh. Sementara itu, Cherie yang merasa terganggu dengan kekecohan itu menanggalkan alat kepala VR-nya, lalu nampak Victor dan Kaylee bagaikan tengah berpeluk dengan tangan Victor masih di pinggang Kaylee. Matanya menyempit dengan cemburu.

Victor, menyedari keakraban tubuh mereka pada saat itu dan merasakan degupan jantungnya yang cepat, segera melepaskan tangannya dan melangkah ke belakang setelah yakin bahawa Kaylee sudah berdiri dengan kukuh. "Hann," dia memanggil pembantunya, "tolong ambil alih dan bimbing wanita ini seterusnya," dia meminta sambil menunjuk ke arah Cherie.

Hann mengangguk dan berjalan terhadap Cherie, sementara Cherie mendidih dalam diam sambil memperhatikan Victor berjalan pergi. Kaylee, yang masih dalam keadaan sedikit terkejut, menanggalkan alat kepala VR-nya. Dia mengambil sedikit masa untuk mendapatkan semula keseimbangan arahnya, tetapi pada masa itu Victor sudah berada di seberang dewan, bersandar pada tiang sambil menarik nafas panjang.

Fikiran Victor berkecamuk. Rasa Kaylee dalam pelukannya, pegangan kuatnya pada lengan dia kerana ketakutan - ia sangat menguja baginya. Dia tidak dapat memahami mengapa degupan jantungnya meningkat dengan begitu ketara, sungguh asing perasaan itu baginya.

Cherie memperhatikan Victor dari jauh, fikirannya berputar dengan kekecewaan dan tekad yang diperbaharui. Dia berharap dapat mencipta peluang yang berkesan dengan Victor, tetapi sebaliknya, dia telah memberi peluang sempurna kepada arkitek itu untuk menarik perhatian Presiden Victor. "Ini belum berakhir," Cherie bertekad dalam diam. Dia akan mencari cara lain untuk mendekati Victor lagi, untuk membuatnya melihat bahawa dialah yang terbaik untuknya.

Tetapi buat masa ini, dia terpaksa menelan hakikat bahawa rancangannya telah gagal, dan hanya membawa Victor lebih dekat dengan arkitek itu. Dia mengepalkan tangannya, fikirannya sudah bekerja memikirkan langkah seterusnya, walaupun dia terpaksa senyum dan turut serta dalam pengalaman VR yang seterusnya dengan bimbingan Hann.

Kaylee, kini duduk di atas bangku di luar dewan utama, mengulang kembali saat itu dalam fikirannya. Dia masih merasakan kehangatan sentuhan Victor, dan hatinya berdebar-debar memikirkan kekuatan lengannya yang begitu memberikan rasa selamat. Dia merasakan satu hubungan yang tidak dapat dinafikan dalam saat singkat itu, satu percikan yang tidak dapat diabaikan.

Sambil dia duduk di situ, dia tidak dapat menahan daripada tertanya-tanya: "Betulkah Presiden Victor Langford yang selamatkan saya tadi? Kenapa dia tergesa-gesa meninggalkan tempat tu? Kami akan bertemu lagi ke?"

#

Saya sangat gembira kerana anda mengikuti perkembangan cerita ini sehingga akhir bab kedua ini. Jika anda menikmati novel ini setakat ini, tinggalkan komen untuk kongsikan pemikiran anda dengan saya. Saya juga berminat untuk mendengar bagaimana anda berharap untuk melihat perkembangan pertemuan seterusnya antara Victor dan Kaylee. Saya telah mengambil masa lebih kurang seminggu untuk membina watak-watak, jalan cerita, kemudian mengarang dan menerbitkan dua bab pertama ini. Saya akan berusaha untuk mengarang dan menerbitkan sekurang-kurangnya tiga bab baru setiap minggu, jadi kesabaran anda sangat dihargai. Terima kasih atas dorongan dan sokongan anda!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience