Bab 1: Gunung Ais Beribu Tahun Tercair

Romance Completed 317886

Matahari mula terbenam di atas bandar Kuching yang sibuk, memancarkan cahaya keemasan yang hangat di Sungai Sarawak. Dewan besar Pusat Warisan Budaya Sarawak dipenuhi dengan keghairahan ketika para kakitangan tergesa-gesa membuat persiapan akhir untuk lelong amal pada petang itu. Acara tersebut, yang didedikasikan untuk mengumpul dana bagi pengubahsuaian Katedral St. Thomas, dijanjikan menjadi sebuah majlis yang penting, menarik golongan elit bandar dan penderma yang murah hati.

Victor Langford, atau lebih dikenali sebagai Presiden Victor Langford, seorang usahawan muda berusia 32 tahun yang berjaya serta selaku presiden Kumpulan Langford yang dimiliki oleh keluarga orang Sarawak, yang telah berkembang pesat ke lebih banyak negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, duduk di kawasan ruang istirahat VIP. Sebenarnya, itu bukan bilik menunggu VIP yang biasa. Ia hanyalah sudut yang lebih tenang di kawasan ruang istirahat yang sebahagiannya ditutup dengan panel pembahagi yang sungguh elegan ukirannya untuk mewujudkan ruang yang sedikit peribadi dari kawasan umum di ruang istirahat.

Victor mengenakan sut tunik hitam yang ditempah khas, kelihatan motif Dayak sulaman benang hitam bersinar dan bermutu tinggi pada bahagian sebelah dada kirinya. Jaket tunik itu diperbuat daripada kain hitam matte berkualiti tinggi, dengan potongan siluet mengikut ukuran tumbuh Victor. Kolar baju itu adalah rekaan berinspirasi Cina, berdiri tegak dan dekat dengan leher, memberikan Victor penampilan yang berwibawa. Ia dijahit dengan rapi dengan garis-garis yang mengikut lengkungan semula jadi lehernya, menambah sentuhan kehalusan yang tidak ketara. Bahagian depan tunik dihiasi dengan lima butang hitam licin yang diperbuat daripada tanduk yang digilap, setiap butang diletakkan dengan jarak yang tepat dan dijahit dengan teliti. Butang-butang ini melanjut dari pangkal kolar ke pinggang. Lubang-lubang butang itu tidak kelihatan, tersembunyi oleh plaket langsing yang mengekalkan penampilan anggun tunik tersebut.

Kesederhanaan elegan sut itu menyerlahkan bingkai tubuh tinggi dan atletik Victor, dan mata hazelnya yang gelap bersinar dengan keyakinan dan ketenangan. Secara keseluruhannya, dari garis-garis kolar yang rapi hingga kilauan kasutnya yang digilap, gayanya mencerminkan seorang lelaki yang menghargai tradisi dan kemodenan, kehadiran yang kuat di mana-mana dia berada.

Mata Victor yang dingin dan tajam mengimbas pandangan sekilas ke kawasan ruang istirahat umum di sebelah panel pembahagi yang hampir kosong, dengan rasa terasing. Dia menerima jemputan untuk menjadi penaja utama lelong amal itu demi mengingati mendiang ibunya, seorang Kristian yang taat. Sejak pemergiannya, Victor semakin menjauh dari gereja dan segala aktiviti kerohanian, mencari ketenangan dalam membina empayar perniagaannya. Dia berada di sini pada petang ini pun untuk memberi penghormatan kepada ibunya, bukan untuk sebarang keuntungan peribadi. Lagipun, acara tanggungjawab sosial korporat berskala kecil seperti ini tidak mampu membawa sebarang keuntungan yang ketara kepada empayar perniagaan yang telah dibinanya. Selain itu, dia biasanya tidak suka menghadiri kebanyakan acara sosial atau rangkaian perniagaan. Oleh itu, ramai golongan elit dan pemimpin perniagaan bandar masih terkejut dengan berita bahawa dia akan menghadiri lelongan itu sendiri.

Victor bersandar di kerusinya, matanya tertutup, cuba berehat seketika sebelum acara bermula. Dia menghargai saat-saat tenang dan damai seperti itu berbanding interaksi dangkal yang datang kerana kedudukannya, terutamanya dengan banyaknya individu yang bercita-cita menjadi rakan kongsi perniagaan dan wanita-wanita yang sentiasa menginginkan perhatiannya.

Di luar panel pembahagi VIP di kawasan umum, lebih kurang jarak sejauh dua meja, Kaylee Stone duduk dengan santai. Seorang arkitek berusia 29 tahun, dia telah diamanahkan dengan reka bentuk untuk pengubahsuaian gereja, satu projek yang dipegangnya dengan penuh semangat dan dedikasi. Walaupun dengan ketinggiannya yang hanya 156 cm, kehadirannya sentiasa memancarkan kewibawaan dan keanggunan.

Bagi meraikan lelong amal khas ini sebagai projek pengubahsuaian solo pertamanya, dia telah mereka khas pakaiannya untuk petang ini, yang sepupu mudanya Lin Xiang Er tolong jahitkan. Xiang Er memang berbakat dalam fesyen dan jahitan sejak zaman remajanya lagi, tetapi tetap sentiasa mengagumi cita rasa fesyen Kaylee sebab walaupun Kaylee tidak pernah memakai pakaian yang terlalu mahal, tetapi dia sentiasa tahu bagaimana untuk mencipta penampilan yang anggun dan elegan dengan pakaian yang paling sederhana. Pakaian rekaannya sendiri untuk acara petang ini merupakan blaus sutera berwarna putih gading dengan kolar Cina dan lengan lentera yang elegan, yang dijahit oleh Xiang Er. Untuk menambah sentuhan warisan dan memberi sedikit makna yang selaras dengan acara hari ini, Kaylee menyulam motif Dayak yang minimalis menggunakan benang sutera berwarna putih gading bermutu tinggi yang berkilauan pada bahagian dada kiri blausnya, memberikan gabungan kebanggaan budaya dan keanggunan yang unik.

Blaus dia diselit kemas ke dalam seluar hitam berpinggang tinggi dan berpotongan slim, menonjolkan kaki langsing dan lekuk tubuhnya yang anggun tanpa terlalu mendedahkan. Seluar itu melebar sedikit di bahagian bawah, menambah sentuhan kontemporari kepada penampilan klasiknya. Kasut tumit kitten berwarna putih gadingnya menambahkan dua inci kepada ketinggiannya, meningkatkan postur keseluruhannya.

Wajah Kaylee menampilkan ciri-ciri elegan, lembut, dan feminin, dengan matanya yang sentiasa ekspresif dan kadang-kala sedikit nakal, mudah menyentuh hati sesiapa yang bertemu dan berinteraksi dengannya. Kulitnya licin dan cerah, tampak berseri secara semula jadi – hasil usahanya mengamalkan rutin penjagaan kulit dengan produk V Magic yang telah banyak memulihkan masalah kulit sensitifnya selama berbelas tahun sejak remaja.

Keyakinannya jelas dalam sikap tenangnya ketika dia menyemak nota untuk pembentangan reka bentuk yang akan diberikan kepada VIP pada petang nanti. Tumpuan Kaylee terganggu seketika apabila seorang pelayan membawa pesanannya, teh serai dengan daun pandan. Ketika dia mencapai cawan untuk minum, telefonnya berdering dengan panggilan masuk.

“Hai, Encik Lim,” jawabnya dengan hormat dan senyuman lembut selepas melihat nama pemanggil. Keningnya berkerut sedikit mendengar apa yang dikatakan di sebalik panggilan itu. Dia mengambil tiga saat untuk bertenang, kening yang berkerutnya hilang, dan senyuman kembali ke bibirnya sambil dia berkata, “Ya, saya faham tarikh akhirnya ketat, tetapi saya yakin kita boleh menepatinya. Saya hanya memerlukan jaminan encik bahawa bahan-bahan akan dihantar tepat pada masanya,” nada suaranya profesional tetapi mesra. “Terima kasih, Encik Lim. Saya menantikan peluang untuk bekerja sama dengan encik,” jawab Kaylee dengan nada puas hati sebelum menamatkan panggilan itu.

Sebaik sahaja dia meletakkan telefonnya di atas meja, ia berdering lagi dengan panggilan masuk dari nombor yang tidak dikenali. Dia kelihatan teragak-agak, ternaik keningnya sebelum memutuskan untuk menjawab ataupun tidak. Telefonnya masih berdering berterusan dan memecah kesunyian di seluruh ruang istirahat itu. Kedengaran itu, seorang lelaki bersut hitam kemas yang berdiri di sebelah Victor berkerut dahi. Dia adalah Hann Louis, wakil dan pembantu peribadi Presiden Victor Langford yang terkenal juga dan telah bersama Victor selama lebih sedekad. Bimbang bahawa tidur sejenak Presiden Victor akan terganggu, dia hendak melangkah ke arah meja dengan telefon yang berdering bising itu apabila Kaylee akhirnya menjawab panggilan tersebut, tertanya-tanya siapa pemanggil yang gigih ini.

Seperti kebiasaannya menjawab panggilan dari nombor yang tidak dikenali, dia tidak berkata apa-apa dan menunggu pihak di sebelah panggilan itu memulakan perbualan. Beberapa saat kemudian, dia menjawab, “Ya, saya.” Sebaik sahaja dia mengesahkan identitinya, suara di hujung sana memulakan bicara dengan cepat, jelas sekali panggilan pemasaran. Air muka Kaylee berubah, dan kali ini keningnya benar-benar berkerut dengan rasa sangat tidak suka. Sekali lagi, selepas kira-kira tiga saat, dia bertukar menjadi senyuman lebar dan mulut pintarnya menjawab dengan sangat sopan tetapi dengan nada mengheret, “Cik dah beli rumah ke? Dah berapa lama? Tiga tahun ke, dah masuk tahun keempat?” Dan selepas seketika sunyi, dia ketawa kecil dan berkata, “Sebab cik tanya saya soalan yang sama. Ingatkan kita dah kawan rapat sangat sampai boleh berkongsi maklumat peribadi macam ni.” Selepas seketika, suaranya yang yakin dengan nada sarkastik terdengar lagi ke telinga Victor: “Okey, makaseh, jangan call lagi.”

Hann pada dasarnya ternganga dengan perubahan cepat wanita ini. Dia mendengarnya bercakap dengan profesional dari panggilan sebelumnya, dan sekarang jawapannya yang fasih tetapi sarkastik untuk menghentikan pemanggil yang jelas sekali seorang pemasar tidak diundang atau spammer.

Dan dia bukan satu-satunya yang berasa begitu, Victor juga tertarik dengan suara yang kedengaran melalui panel pembahagi di sebelah kanannya itu. Suara wanita itu kedengaran beralunan gabungan tekad, ketegasan, dan kesopanan, mulut pintar – memang segera menarik perhatiannya apabila dia terdengar perbualan panggilannya dari awal lagi. Tanpa dirinya sedari, telinganya yang memang peka itu tidak terkawal tercari-cari suara wanita itu melalui potongan-potongan perbualannya sejak awal walaupun matanya masih tertutup tadi.

Sebaik sahaja Kaylee menamatkan panggilannya dengan pemasar telefon itu, Victor membuka matanya tetapi masih tidak menoleh ke arah wanita di sebalik panel pembahagi itu. Dia menghulurkan tangan kanannya untuk mengambil teko dan mengisi cawan tehnya sendiri, dengan senyuman santai, seolah-olah dia begitu bangga dengan sesuatu. Hann kini lebih terkejut lagi melihat tindakan luar biasa Presiden Vicnya yang jarang sekali berlaku. Betul, dia akan menuangkan teh untuk dirinya sendiri dengan senyuman santai apabila dia benar-benar gembira atau dalam angin yang baik. Kelakuan ini sangat jarang berlaku – tidak sampai sekali dalam setahun pun – tetapi Hann yang telah bersamanya selama lebih sedekad berkesempatan juga untuk menyaksikan kelakuan jarang itu beberapa kali.

"Saya rasa saya boleh menang loteri hari ini!" Hann berfikir sendiri, masih terharu kerana tersaksi kelakuan gembira Presiden Vic yang jarang berlaku itu.

Kaylee melihat jam pada telefonnya, menghirup sedikit teh dari cawannya, lalu meletakkan cawan itu dan mengangkat tangan kirinya untuk melambai kepada pelayan berhampiran untuk menyelesaikan bilnya. Victor akhirnya menoleh ke arahnya ketika dia mengangkat tangannya. Matanya yang tajam melihat gelang jed putih anggun yang melilit pergelangan tangan kirinya, dan mendapati cita rasa wanita ini cukup menarik.

"Sederhana, anggun, semula jadi, agak... cantik." Itulah yang terlintas di fikiran Victor apabila menangkap sekilas sisi wajah Kaylee ketika dia tersenyum kepada pelayan yang menyerahkan bil dan berkata, “Terima kasih,” suaranya kali ini tulus dan sopan.

Minat Victor meningkat. Ada sesuatu tentang cara wanita ini mengendalikan dirinya – kemampuannya untuk bertukar dari tegas ke sopan, sikapnya yang tenang – yang menarik perhatiannya. Dia terus memerhati ketika Kaylee mengemas dokumen dari meja dan menuju ke kaunter, kemudian mengimbas kod 2D untuk membuat pembayaran.

"Hmm... jadi dia biasanya guna Sarawak Pay," fikir Victor selepas nampak Kaylee mengimbas papan kod 2D Sarawak Pay di kaunter. Dia tidak menyedari bahawa dirinya yang biasanya tidak akan membuang masa dengan perkara remeh seperti ini, kini menikmati memperhatikan semua butiran kecil tentang wanita ini.

“Presiden Vic? Presiden Vic?” Panggilan Hann kedengaran semakin jelas dan akhirnya menarik kembali perhatian Victor lalu dia berpaling dan memandang pembantu setianya dengan pandangan kosong, sisa senyuman masih kelihatan di hujung matanya.

“Er... bos okeykah?” Hann bimbang. Bos dia ini telah berkelakuan sangat aneh dalam 10 minit akhir-akhir ini.

Senyuman di mata Victor hilang serta-merta seolah-olah tiada apa-apa yang luar biasa berlaku. Wajah dingin Presiden Vic kembali seperti biasa.

“Dah kena bertolak?” tanya Victor kepada Hann. “Ya, seminit lagi kena bertolak ke tempat duduk yang dah ditetapkan,” kata Hann sambil memeriksa jam tangannya.

Mendengar itu, Victor melaras butang lengan bajunya, bersiap untuk melaksanakan peranannya pada petang ini. Dia bangun dan keluar dari kawasan VIP melalui panel pembahagi, terus menuju ke dewan besar dengan langkah yang mantap, tetapi dia bukannya ada mendengar apa-apa pun yang dipesan oleh Hann berkenaan dengan isi kandungan ucapannya. Dia tidak dapat menghilangkan suara dan sekilas pandangan sisi wanita di ruang istirahat itu dari fikirannya.

***

Seiring berlalunya masa, dewan besar mula dipenuhi tetamu, dan permulaan rasmi lelong amal semakin hampir. Apabila Victor tiba di pintu masuk dewan, pengerusi penganjur lelong amal, ketua gereja, dan ahli-ahli politik tempatan yang sudah menunggunya di situ dari awal lagi turut menyambutnya dan mengiringnya ke tempat duduknya, di barisan VIP, paling depan dan tengah.

Walaupun berjabatan tangan dan bersalaman formal dengan mereka semasa berjalan ke tempat duduknya, sempat mata Victor sibuk mengimbas dewan itu, mencari wanita yang tidak dapat dia lupakan itu.

Namun perjalanannya ke tempat duduk yang ditetapkan tidaklah jauh, jadi, dia tidak sempat mendapati bayang-bayang Kaylee sebelum duduk. Sebaik sahaja dia duduk, dia mula merasa gugup – bukan kerana takut berucap di atas pentas, tetapi kerana tidak menemui wanita itu dalam dewan ini.

"Dia bukannya di sini sebab lelongan ini? Mana agaknya dia sekarang?" Fikirnya sambil duduk di tempat duduk yang ditetapkan, berasa agak gelisah, sesuatu yang baru bagi dirinya yang sudah biasa hidup tanpa berbagai emosi hampir setiap hari dan waktu.

Dia menoleh sedikit ke belakang untuk terus mencari wanita itu, namun tindakan itu serta-merta menarik perhatian Hann yang segera menghampirinya dan bertanya, “Kenapa, Presiden Vic? Bos perlukan sesuatu?”

Victor terkejut sejenak dengan kemunculan dan soalan Hann yang tiba-tiba, barulah perhatiannya kini kembali kepada acara yang sedang berlangsung, kepada ucapannya yang akan datang.

“Takda apa-pa,” jawabnya kepada Hann, dan kembali kepada sikap tenang dan dinginnya. Kini dia bersedia untuk ucapannya, dengan fikirannya yang mengembara kembali kepada peranan utamanya hari ini.

Dewan itu dipenuhi dengan golongan elit dalam kota ini, semuanya berkumpul untuk lelong amal yang bertujuan mengumpul dana bagi projek pengubahsuaian Katedral St. Thomas. Protokol acara pun bermula dan tidak lama kemudian, tibalah giliran Victor untuk berucap dalam agenda.

“Tanpa melengahkan masa, mari kita mempersilakan penaja utama lelong amal hari ini, Presiden Victor Langford, untuk naik ke pentas dan menyampaikan ucapan beliau,” umum pengacara yang fasih, diikuti oleh tepukan gemuruh.

Memang tepukan gemuruh seperti guruh, kerana ini merupakan kali pertama ramai orang di dewan itu melihat wajah Presiden Victor Langford dengan mata sendiri. Penampilannya yang karismatik telah menjadi bualan wanita-wanita bujang yang tergelak kecil dalam dewan besar itu sejak dia diiring ke tempat duduknya. Dan golongan tua kaya juga bergurau pasal keinginan untuk memperkenalkan anak-anak perempuan mereka kepadanya – sebenarnya ada yang betul-betul serius ingin berbuat begitu.

Victor berdiri di atas pentas dewan besar Pusat Warisan Budaya Sarawak, bersedia untuk menyampaikan ucapannya.

“Tuan-tuan dan puan-puan,” Victor memulakan, suaranya membawa keyakinan dan karisma yang telah menjadi tanda dagangannya. “Petang ini, kita berkumpul bukan sahaja untuk membida barang-barang yang berharga, tetapi untuk membina suatu masa depan di mana warisan kita dipelihara dan komuniti kita berkembang. Lelongan ini bukan sahaja tentang mengumpul dana; ia suatu pelaburan dalam impian kita bersama dan warisan kaya kita untuk generasi-generasi tercinta yang akan datang.”

Sambil dia bercakap, matanya mengimbas bilik itu, dan akhirnya dia jumpa juga Kaylee yang duduk di kalangan orang ramai, mendengar dengan penuh perhatian.

Ucapannya terhenti sejenak. Dia tidak dapat menahan diri daripada memperhatikannya walaupun di tengah-tengah ucapannya.

Mata Kaylee yang besar menjadi ciri yang menonjol, berbentuk badam dengan warna coklat pekat yang kelihatan penuh dengan emosi dan kecerdasan. Ia bersinar tampak ceria dan sedikit nakal, sifat ekspresifnya seperti dapat berhubung secara mendalam dengan sesiapa yang melihatnya.

Hidungnya berbentuk halus, dengan lengkungan yang lembut, melengkapi ciri-ciri lain di wajahnya. Ia tidak terlalu kecil atau terlalu menonjol, menambahkan keseimbangan yang harmoni pada wajahnya, dan ia meningkatkan keanggunan semula jadinya.

Bibirnya tidak terlalu tebal, tetapi menunjukkan lengkungan tipis yang menarik, dan kelihatan sedikit berkilat di bawah cahaya lampu di dalam dewan besar itu.

Kali ini, Victor mengesahkan dalam hatinya setelah melihat Kaylee dengan jelas dari depan: "Memang cantik."

Di kalangan orang ramai, Kaylee terpesona. Mata coklat gelapnya terkunci pada Victor, dengan percikan kekaguman yang menyala di dalam dirinya. Victor tertangkap pandangannya dan merasakan satu ikatan yang melampaui alam profesional. Pandangan kekaguman wanita itu memberinya keyakinan. Apabila mata mereka bertemu, Kaylee sangat gugup sehingga pipinya kemerah-merahan dan matanya kelihatan panik sejenak. Victor terhibur melihat sisi comel wanita yang yakin ini. Dia tidak dapat menyembunyikan lengkungan yang semakin naik di hujung bibirnya ketika dia mengakhiri ucapannya yang sekali lagi mendapat tepukan gemuruh.

Hann yang sedang memperhatikannya dari bawah pentas turut ternganga melihat senyuman Presiden Vic. "Aku nampak bos tersenyum! Aku nampak dengan betul, kan?" Dia memang terkejut. "Ada jampi ke tempat ni? Ke ada benda buruk nak jadi lepas ni, sebab tu Presiden Vic makin pelik sejak kami tiba di sini?" Hann mengingatkan dirinya untuk lebih berjaga-jaga selepas ini bagi memastikan keselamatan Presiden Vic sepanjang petang ini.

Di meja baris kedua ke kiri duduk seorang wanita muda yang menarik dengan mata yang bersinar. Dia meneliti setiap gerakan Victor sejak dia muncul di pintu masuk utama dewan besar. Berpakaian rapi dengan gaun merah gelap yang dipotong dengan sempurna mengikut lekuk tubuhnya di semua tempat yang betul, dia adalah Cherie Bella George, 25 tahun, anak bongsu kepada Kaunselor tempatan George Gana. Rambut hitam pekatnya meluncur dalam gelombang ke belakangnya, matanya begitu gelap sehingga kelihatan menyerap cahaya di sekelilingnya. Bukan sekadar penampilannya yang menarik perhatian malah aura keyakinan dan ketegasan yang dipancarkannya.

Cherie selalu tahu apa yang dia mahukan, dan sekarang, apa yang dia mahukan adalah Victor Langford. Keinginannya terhadap Victor bermula beberapa bulan lalu setelah membaca artikel mengenai Presiden Victor di media kewangan, di mana pesona dan karismanya telah memikat hati Cherie. Dia telah memperhatikan Victor mengemudi dunia perniagaan dengan mudah, mengagumi kejayaannya, dan tertarik kepada aura misteri dan kuasa yang mengelilinginya. Sejak itu, Cherie telah merancang cara untuk mendekati Victor, untuk membuatnya melihat Cherie sebagai pasangan yang sempurna, baik dalam perniagaan mahupun kehidupan.

Apabila dia mendengar khabar angin bahawa Presiden Victor Langford akan menghadiri acara ini sendiri, dia mendesak ayahnya siang dan malam, merayu agar dia dibawa ke acara amal ini. Dan akhirnya dia mendapat apa yang dia mahukan, berada di sini semeja dengan teman keluarga yang sudah lama dikenali, fikirannya sibuk merancang cara untuk bertemu dengan Victor nanti.

Yang duduk di sebelahnya adalah Joyce Chee, anak tunggal kepada seorang hartawan pembinaan di Sarawak, Robert Chee. Joyce bersandar ke arah Cherie yang kelihatan terpikat dengan Presiden Victor, ketawa kecil dan mengusiknya, “Ish, ish, ish.. Handsome betul laki yang kamu target kali ni. Patutlah kamu sanggup pergi desak Daddy kamu sepanjang minggu sebab nak datang malam ini.”

Cherie menjeling ke arah Joyce, kemudian mengembalikan fokusnya kepada Victor yang sedang duduk setelah menyampaikan ucapannya.

***

Dewan besar itu penuh dengan kemeriahan ketika lelongan amal bermula. Acara tersebut berlangsung dengan lancar, dengan pelbagai artifak yang jarang ditemui dan karya seni yang berharga telah mendapat bidaan yang mengagumkan, para hadirin nampaknya semua bersemangat untuk menyumbang kepada pembaikan gereja bersejarah itu.

Untuk lelongan ini, Victor turut menyumbangkan tujuh barang lelongan, termasuk sepasang anting-anting jed putih berukiran rumit yang dahulunya dihadiahkan kepada mendiang ibunya, rekaannya sendiri masa masih muda, namanya, "Yang Kuhargai". Hann juga turut terharu dengan penglibatan dan dedikasi Presiden Vic dalam acara ini semenjak dia menerima jemputan untuk menjadi penaja utama. Sebenarnya, Victor menangani acara ini dengan sepenuh hati, seperti projek-projek lain yang dikendalikannya, cuma yang ini lebih dekat dengan hatinya secara peribadi bagi mengenang mendiang ibunya.

Ketika juru lelong bersiap untuk memperkenalkan barang terakhir, hadirin mula berdiam kembali, teruja dan menanti-nantikan apa yang mungkin membuka mata mereka lagi selepas ini. Memang hebat-hebat barang-barang lelongan petang ini.

#

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience