Bab 13: Petua Daripada Hann

Romance Completed 317865

Dengan matanya tertumpu pada skrin telefon, Victor berjalan ke kaunter dapur, menuangkan segelas air dan meneguknya sambil membaca mesej terbaru daripada Hann.

Petua pertama menyatakan: "Kejutkan dia dengan nota cintamu dalam Alkitabnya: Tulislah nota cinta yang ikhlas dan selitkan ke dalam Alkitabnya, sebaiknya pada ayat kegemarannya. Apabila dia membukanya semasa sembahyang atau membaca firman, dia akan menemui kata-kata manismu yang menantinya."

Victor terhenti, tangannya kaku di tengah-tengah tegukan apabila membayangkan Kaylee menemui nota itu. Rasa janggal bercampuran malu membuat perutnya berkocak. "Apa ayat kegemarannya...?" Fikirannya kembali ke perbualan-perbualan mereka sebelum ini, cuba mengingat sebarang petunjuk yang mungkin Kaylee pernah sebutkan.

Tidak dapat memikirkan apa-apa ayat kegemaran Kaylee buat masa ini, dia menatal ke petua seterusnya, sambil mengangkat gelas untuk seteguk air lagi.

"Amalkan 'Paparan Awam Kasih Sayang' Secara Rawak di Tempat Awam: Kejutkan dia dengan pelukan rawak, ciuman di dahi, atau memegang tangannya ketika dia tidak menjangkakannya – terutamanya di tempat awam."

Fikiran Victor melayang ke malam tadi ketika dia membaca petua itu. Dia begitu hampir untuk mencium Kaylee, tetapi pada saat-saat akhir, kawalan dirinya menahannya – dan Kaylee hampir menamatkan penginapannya di sini lebih awal daripada yang dirancangkan kerana perkara itu. Kini, dia membayangkan cuba mencium dahi atau pipi Kaylee di tempat awam mungkin semasa upacara Isnin depan. Fikiran itu membuat perutnya semakin kecut.

Mengebaskan khalayannya, Victor kembali ke realiti, dengan kerut yang semakin dalam di dahinya. "Apa yang si Hann buat sepanjang hari sampai boleh dapat petua-petua yang... dasyat ni?" fikirnya.

Walaupun dengan keraguannya, dia terus membaca.

"Bisikkan Pujian Rahsia Yang Manis Semasa Detik Serius..."

Pipi Victor memerah ketika dia membaca sambungan petua itu:

"Semasa waktu-waktu serius atau formal (seperti di gereja atau makan malam keluarga), rapatkan dirimu dengan dia dan bisikkan sesuatu yang manis seperti, 'Awak kelihatan sungguh menawan hari ini, tetapi saya yakin awak tentu lagi menawan apabila memakai hoodie saya nanti.' Saksikan dia cuba menahan segan!"

Pemikiran untuk melakukan sesuatu yang begitu berani di depan orang lain terus membuat perut Victor semakin berkocak. Tetapi memikirkan Kaylee dalam hoodienya...? Dia mendapati dirinya melamun dalam khayalan itu. Kemudian, realiti menyentaknya kembali semula, dan dia baru hendak menggulingkan matanya tepat ketika suara di belakangnya memecah lamunannya.

"Victor, apa yang kamu baca tu?"

Dia hampir terlompat dari bangku barnya, telefonnya terlepas dari tangan dan terhempas berdenting ke atas kaunter dapur. Dia mendongak dan melihat Kaylee berdiri di situ, dengan senyuman ingin tahu pada wajahnya. Dalam berebut untuk menyembunyikan skrin telefonnya, bar nama fail pada bahagian atas skrin pula terpapar akibat sentuhan jarinya pada skrin – "Buku Strategi Untuk Mendapatkan Puan Victor..."

Mata Kaylee tertarik kepada bar nama fail yang muncul itu sebelum Victor sempat menutupnya. Senyumannya melebar menjadi senyuman mengusik.

"Jadi... tengah merancang langkah seterusnya ke?"

Muka Victor menjadi merah padam. Dia cuba bertenang, tetapi jari-jarinya yang gelisah di atas kaunter dapur mendedahkan rasa malunya. Dia cuba menunjukkan senyuman yang separuh yakin. "Nanti kamu tengok."

Mata Kaylee melembut dan dia tidak lagi mengusik Victor kerana pipinya pula mula memerah. Apa-apa pun yang Victor rancangkan, dia tiba-tiba tidak sabar untuk mengetahuinya.

Dalam usahanya cuba meredakan suasana, dia menyapa, "Selamat pagi."

Victor mengalu-alukan perubahan topik itu, bersyukur dapat memecahkan suasasa janggal dan malunya. "Selamat pagi, Kaylee," balasnya.

Tanpa berfikir, dia menambah, "Nampak segar hari ni. Saya suka bagaimana kehadiran kamu menyinari pagi Rabu kita." Dia secara spontan cuba mengaplikasikan petua-petua yang baru dibacanya, walaupun kata-kata itu terasa agak formal dan janggal baginya. Sebaik sahaja dia bercakap begitu, dia tertanya-tanya sama ada Kaylee menyukai usaha tambahannya itu.

Terkelip mata Kaylee, terpegun seketika dengan pujian yang tidak dijangka itu. Keningnya terangkat sedikit sambil mengamati wajah Victor, mencari petunjuk untuk menjelaskan tingkah lakunya yang luar biasa.

Pandangan matanya terarah kepada telefon Victor, dan air mukanya seperti mengatakan, "Oh paduhal..." Victor perasan lalu tersipu lagi, cepat-cepat menyeluk telefonnya ke dalam poket seluar peluhnya.

"Oh, ya," dia memulakan, cuba mengalihkan perbualan. "Saya nak jemput kamu ke majlis pelancaran rasmi Pusat Persidangan Langford di Samarahan pada pagi Isnin depan. Saya sangat berharap kamu boleh hadir bersama. Kalau bukan dengan bantuan dan kepakaran kamu, sistem keselamatan seluruh bangunan itu takkan dapat dibaiki dan dinaik taraf dalam masa yang begitu kritikal, pelancaran ni juga takkan dapat berlaku seperti yang kami rancangkan."

"Isnin depan? Wah, cepatnya masa berlalu," kata Kaylee sambil tersenyum. "Saya berbesar hati dapat hadir. Terima kasih, Victor."

Victor tersenyum, lega. "Bagus! Saya nak pergi mandi dulu. Nikmati sarapan kamu. Jumpa lagi di perbincangan petang kita nanti."

Kaylee mengangguk, melihat Victor berlalu pergi. Pertemuan petang harian mereka untuk mengerjakan projek pusat kebudayaan itu sudah menjadi rutin, sesuatu yang dia secara diam-diam menanti-nantikan pada setiap hari kerja.

Sementara Victor menghilang ke dalam biliknya, pandangan Kaylee beralih kepada semangkuk bubur ikan halia yang disediakan oleh Corinna mengikut pengaturan Victor sehari sebelum itu. Wajahnya melembut, dan dia duduk untuk menikmati sarapannya.

***

Hari itu berlalu dengan pantas dalam kesibukan. Apabila matahari tenggelam di bawah ufuk, Victor dan Kaylee sudah berkumpul semula untuk sembahyang bersama selepas makan malam.

Malam ini, mereka memilih kisah Yesus meredakan angin ribut dalam Alkitab. Victor, yang semakin peka mencari peluang untuk menerapkan petua-petua dari yang dihantar oleh Hann, terfikir satu idea untuk mewarnai kajian Alkitab mereka.

Selepas mereka selesai membaca petikan dari Markus 4:35-41, senyuman manis Victor yang semakin menawan hati Kaylee kian hari terukir di wajahnya. "Jap, Kaylee. Saya ada idea."

Kaylee memandangnya dengan kening terangkat. "Mm?"

Victor masih senyum, matanya bersinar dengan sedikit kenakalan. Dia kemudian berdiri dan melebarkan kedua-dua tangannya secara dramatik cuba memerintah dalam bilik itu, seperti Yesus memerintahkan angin ribut. Suaranya bergema dengan penuh wibawa walaupun sisa senyumannya menunjukkan sifat main-main dalam lakonannya. "Diam! Tenanglah!" dia mengisytiharkan sambil mengerling ke sekeliling bilik seolah-olah mengharapkan angin dan ombak untuk patuh kepadanya.

Kaylee tergelak melihat Presiden Victor yang biasanya tenang berpura-pura meredakan angin ribut khayalan di dalam pejabat rumahnya. "Victor, apa yang kamu buat ni?"

Menurunkan lengannya, Victor mendekati Kaylee, langkahnya yang yakin membuatkan jantung Kaylee berdebar-debar walaupun dalam suasana yang lucu itu. "Saya kena berlatih dulu," katanya, nadanya ringan tetapi dengan keikhlasan. "Untuk menangani segala 'ribut' dalam hidup yang mungkin melanda kita."

Kaylee ketawa sambil menggelengkan kepala, tetapi hatinya terharu dengan pertimbangan dan persiapan serius Victor walaupun dalam sikap bermain-main.

Victor tersenyum lebar, jelas menikmati kesan yang dia berjaya berikan kepada Kaylee. "Saya mungkin nampak macam lawak atau bodoh, tapi saya nak kamu tahu, Kaylee, walau apa pun ribut dan badai yang datang melanda kita, saya akan ada bersama kamu menenangkan ombak... atau sekurang-kurangnya mencuba."

Victor duduk semula, wajahnya menjadi lebih serius walaupun kilauan main-main masih terpancar di matanya. "Dan kalau saya tak dapat meredakan ribut, saya sekurang-kurangnya akan melindungi awak dengan kot saya."

Ketawa Kaylee dilembutkan menjadi senyuman hangat apabila dia menyedari betapa mendalamnya kata-kata itu. "Tahu tak, kamu ni memang bukan calang-calang orang."

Senyuman yakin Victor kembali. "Saya cuba." Dia dengan lembut memegang tangan Kaylee, nadanya menjadi lebih ikhlas. "Tapi saya serius, Kaylee, saya mungkin takda kuasa Yesus untuk meredakan angin ribut, tapi saya janji saya akan sentiasa berada di sisi kamu, tak kira apa pun yang berlaku."

Kaylee menggenggam tangan Victor kembali dengan erat, hatinya dipenuhi rasa cinta dan sayang. "Dan itu pun dah lebih daripada cukup untuk saya."

Mereka meneruskan sembahyang mereka, bilik itu dipenuhi dengan ketawa dan rasa hubungan yang mendalam. Pada saat itu, Victor bukanlah seorang presiden yang berkuasa - dia hanyalah seorang lelaki yang telah jatuh cinta, sanggup memperbodohkan dirinya demi melihat Kaylee tersenyum.

Dan azam Victor untuk memperkukuh hubungan mereka melalui sesi pengajian Alkitab tidak terhenti di situ, lebih-lebih lagi kerana dia sedar bahawa ini sudah antara malam-malam terakhir mereka dapat bersembahyang bersama sebelum Kaylee berpindah kembali ke pangsapuri sewanya. Victor ingin memanfaatkan setiap detik yang ada, memastikan masa yang mereka luangkan bersama itu penuh bermakna dan tidak dapat dilupakan.

Jadi, pada malam berikutnya, ketika mereka duduk bersama dengan Alkitab mereka, Kaylee perasan senyuman teruja Victor lalu bertanya dengan rasa ingin tahu sama ada Victor sudah terfikirkan mana-mana petikan ayat Alkitab untuk malam itu. Dengan penuh semangat, Victor mengajak Kaylee mendalami perumpamaan tentang orang Samaria yang baik hati dari Lukas 10:25-37, dengan cara yang lebih interaktif.

Kening Kaylee terangkat, tertarik dengan idea itu. Victor menjelaskan rancangannya untuk memainkan peranan bagi versi moden perumpamaan itu, dengan Kaylee sebagai orang Samaria yang baik hati membantu seseorang yang terkandas di pusat membeli-belah yang sibuk - yang akan dilakonkan oleh Victor sendiri.

Victor terus menggambarkan adegan tersebut dengan penuh lakonan, malah sampai terbaring di atas permaidani di dalam pejabat rumahnya dengan matanya yang memohon belas kasihan, Kaylee tidak dapat menahan ketawa melihat persembahannya yang berlebihan dan bersungguh-sungguh itu tetapi bersetuju untuk turut melayan lakonannya, berpura-pura membimbing Victor ke sebuah kafe khayalan dan menawarkan bantuan.

Walaupun dalam suasana main-main, pesona semula jadi dan keikhlasan Victor terserlah, menjadikan lakonan itu terasa penuh dengan makna dan sangat menyentuh hati. Setelah selesai berseronok dengan lakonan versi moden perumpamaan tersebut, mereka kembali kepada sesi kajian Alkitab, suasana di antara mereka bertambah mesra dan akrab, menggabungkan humor dan ketulusan dalam cara yang membuat sesi sembahyang bersama mereka itu semakin bermakna.

Kaylee secara senyap-senyap menghargai semua usaha yang telah dilakukan oleh Victor, menyedari bahawa itu adalah cara Victor memastikan masa mereka bersama kekal bermakna dan memuliakan Tuhan, biarpun hanya dapat bertemu janji melalui sesi sembahyang malaman mereka. Pujaan dan cinta Kaylee terhadap Victor semakin mendalam tanpa disedari dengan sepenuhnya. Walaupun Kaylee sudah memutuskan untuk menerima lamaran perkahwinan Victor, dia belum memberitahu Victor kerana dia menunggu untuk berbincang dengan ibu bapanya sebelum memberikan jawapannya.

***

Dalam sekelip mata, hari Jumaat akhirnya tiba - hari yang paling ditunggu-tunggu Xiang Er!

Sepanjang minggu, dia berdebar-debar dengan penantian sejak mengetahui bahawa Kaylee tengah pulih di rumah Presiden Victor selepas dirawat di hospital buat seketika. Fikiran Xiang Er tidak berhenti memikirkan tentang Kaylee, kakak sepupunya yang sangat menawan, dijaga oleh tidak bukan tidak lain daripada Presiden Victor Langford yang penuh misteri dan berkuasa. Macam-macam kemungkinan yang timbul dari situasi itu membuatkan fikirannya berputar-putar.

Xiang Er sememangnya seorang yang suka ingin tahu, terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan perasaan hati. Hakikat bahawa Kaylee, daripada semua orang, akhirnya tinggal serumah dengan Presiden Victor, sukar dipercayai sebagai satu kebetulan semata-mata. Mungkinkah ada sesuatu yang lebih mendalam sedang berkembang di antara mereka? Dia tekad untuk mencari jawapannya sendiri.

Dalam perjalanannya ke rumah Victor, kegembiraan dan keterujaan Xiang Er semakin memuncak. Bukan sahaja kerana kehebatan dapat melawat rumah salah seorang lelaki bujang paling berpengaruh dalam negara yang menggembirakannya - walaupun itu juga sebahagian besar daripadanya. Tetapi, apa yang benar-benar membuatnya tidak sabar adalah peluang untuk mengendus sebarang berita atau gosip tentang kemungkinan percintaan antara President Victor dan kakak sepupunya Kaylee.

Fikiran tentang Victor, seorang presiden yang berwibawa dan biasanya sukar didekati oleh orang ramai, mungkin telah jatuh cinta pada sepupunya yang manis, adalah sesuatu yang sangat menarik minatnya. Dan jika ada sedikit pun petunjuk tentang percintaan mereka berdua, Xiang Er ingin menjadi orang pertama yang menyaksikannya sendiri.

Apabila dia melangkah masuk ke ruang tamu yang elegan di rumah Victor, matanya yang tajam sudah pun sibuk mencari petanda - sebarang pandangan yang berlarutan, sentuhan halus - yang mungkin mendedahkan hubungan yang lebih mendalam antara Victor dan Kaylee. Dia hampir tidak dapat menahan kegembiraannya apabila membayangkan dirinya berpeluang mengusik Kaylee nanti jika dia menemui sebarang bukti percintaan mereka yang sedang berkembang. Jantung Xiang Er berdegup kencang membayangkan pelbagai jalan cerita cinta dalam fikirannya.

Matahari petang menyinari melalui tingkap besar di ruang tamu Victor, memancarkan cahaya keemasan yang hangat ke seluruh ruang itu. Gavin Mel, tukang jahit peribadi Victor, baru sahaja tiba dengan koleksi pakaian baru, termasuk pakaian untuk pelancaran rasmi Pusat Persidangan Langford pada hari Isnin yang akan datang. Antara pakaian yang dihantar adalah pakaian khas untuk Kaylee - satu kejutan yang telah diatur dengan teliti oleh Victor.

Lazimnya bersikap tertutup dan profesional, Gavin yang pendiam tetap perasan perubahan halus dalam sikap Presiden Victor. Lelaki yang biasanya dingin dan tidak berperasaan itu kelihatan berbeza hari ini. Muka kacak yang jarang sekali kelihatan dengan senyuman itu kini kerap terukir dengan senyuman, terutamanya ditujukan kepada wanita yang, teka Gavin, merupakan penerima pakaian yang telah dipesan oleh Hann mesti disiapkan dengan cepat. Malah kepada gadis muda yang Presiden Victor mengekalkan jarak yang formal, Gavin dapat mengesan keramahan walaupun tidak ketara dalam ekspresi bosnya.

Namun begitu, Gavin mengingatkan dirinya supaya jangan menyelidik kehidupan peribadi Presiden Victor, sebab ianya bukan dalam skop tugasnya. Perhatian Gavin lalu kekal pada tugas yang sedang dilaksanakan.

Ketika dia menyusun pakaian Presiden Victor dengan teliti, Xiang Er yang penuh bersemangat sibuk memeriksa rekaan terbaru Gavin. Dia berbual tidak henti-henti tentang fabrik dan idea reka bentuk, seolah-olah tidak menyedari kegusaran Gavin yang semakin meningkat.

"Saya rasa corak sulaman halus di sepanjang lapel sut biru gelap ni macam bintang di langit malamlah!" Xiang Er berkata sambil melambai ke arah Gavin dalam usahanya untuk membina hubungan dengan tukang jahit peribadi Presiden Victor. "Kamu rasa cun tak kalau kita padankan sut ni dengan kemeja putih dan tali leher hitam?"

Walaupun Gavin kagum dengan ketajaman mata Xiang Er dan deria reka bentuknya yang tepat mengenal pasti semua konsep utamanya dalam reka bentuk sut biru gelap itu, kesabarannya semakin menipis dengan sifat peramah Xiang Er yang berlebihan. Dia menjawab dengan senyuman paksa. "Saya di sini untuk menghantar pakaian Presiden Victor, bukan untuk membincangkan teori fesyen."

Victor, yang menyedari ketegangan dan merasakan peluang untuk menceriakan suasana, campur tangan dengan senyuman samar di matanya. "Apa kata kita buat petang ini lebih menarik? Gavin, cuba buat pertunjukan fesyen dengan pakaian baru saya? Bagi kami peluang mendalami hasil kerja kamu."

Gavin mengangkat kening, keraguan jelas kelihatan di wajahnya. Ini tidak seperti Presiden Victor yang biasanya mengelak daripada sebarang perkara yang tidak bermanfaat atau 'keseronokan' yang tidak perlu. "Pertunjukan fesyen?" dia mengulang dengan nada hampir tidak percaya.

Walaupun ketinggiannya hampir sama dengan Victor dan mungkin boleh muat dalam sut-sut itu - cuma bahunya tidak seluas bahu bosnya - Gavin masih mencari kepastian. "Betul ke?"

"Ya!" Xiang Er bertepuk tangan dengan teruja. "Bolehlah, Gavin, mesti kelakar. Mungkin kamu pun akan berseronok dan menikmati pengalaman ni nanti."

Victor dan Kaylee berbalas pandangan sambil tersenyum. Kaylee, yang selama ini diam-diam mengagumi ketelitian Victor, menyedari Victor mencapai tangannya, memberinya pegangan yang menenangkan. Kemesraan mereka yang semakin mendalam jelas kelihatan dalam setiap gerak-geri kecil.

Melihat dinamik antara Victor dan Kaylee, mata Xiang Er bersinar-sinar dengan nakal. "Cepatlah Gavin, sekali saja. Baru seronok!"

Dengan mengeluh pasrah, Gavin bersetuju, memikirkan mungkin dengan menuruti idea Presiden Victor ini, dia akhirnya dapat melarikan diri daripada Cik Lin yang banyak bercakap itu dan kembali bekerja.

Dia menuju ke bilik persalinan, manakala Xiang Er lekas menyediakan landasan pertunjukan fesyen sementara di ruang tamu - laluan sempit di antara sofa dan meja kopi.

Gavin muncul dulu dengan sut yang anggun dan bergaya, berjalan dengan muka yang serius. Tetapi Xiang Er tidak dapat menahan diri daripada membuat komen berlebihan.

"Oh, tengok tu! Gavin si James Bond tempatan kita!" Xiang Er mengumumkan sambil membuat aksi dramatik. "Awas, dunia! Kita ada ejen rahsia di dalam rumah ni!"

Kaylee tergelak, dan Victor juga ketawa kecil, matanya sering melayang ke arah Kaylee dengan pandangan yang hangat dan penuh kasih sayang. Suasana telah berubah menjadi lebih ceria dan gembira, satu kontras yang dialu-alukan berbanding ketegangan sebelum ini.

Pakaian seterusnya lebih santai, dan walaupun Gavin cuba mengekalkan sikap profesionalnya, Xiang Er tetap bertekad untuk menceriakan suasana dengan ulasan landasan fesyen yang kelakar.

"Tuan-tuan dan puan-puan, mempersembahkan ikon fesyen lelaki terkini: Gavin Mel!" Xiang Er mengisytiharkan dengan suara teatrikal, keterujaannya menular. "Saksikan bagaimana dia melangkah di atas landasan dengan keyakinan yang hanya boleh terbentuk melalui kepakaran menjahitnya sepanjang hidup!"

Gavin yang cuba menahan senyumnya berjalan dengan keyakinan yang semakin memuncak, sifat seriusnya perlahan-lahan menyerah kepada keseronokan saat itu. Ulasan Xiang Er pun semakin melampau. "Dan sekarang, penutup yang hebat! Dipersilakan, Gavin yang menguasai keanggunan! Saksikan gabungan sempurna antara gaya dan keangkuhan!"

Pada mulanya, Gavin merasakan dirinya terbelah antara mengekalkan profesionalismenya dan melepaskan sahaja ketawa yang sudah menggelegak dalam dirinya. Tetapi tenaga dan semangat Xiang Er yang tidak henti-henti tidak dapat dilawannya, dan akhirnya, kegusaran awalnya hilang. Dia mula ketawa bersama yang lain, sikapnya yang biasanya tertutup mulai melunak.

Memandang ke arah Xiang Er, Gavin berasa sedikit terpesona apabila mendapati dirinya semakin selesa malah tertarik dengan personaliti ceria Cik Lin ini yang pada awalnya dianggap sangat mengganggu. Daya tarikan dan semangat Xiang Er memang menular, dan walaupun dia cuba untuk tidak terbawa-bawa, dia tidak dapat menahan diri daripada turut tertarik menjadi gembira dan berseronok sekali.

Apabila Gavin selesai memperagakan pakaian terakhir - satu persalinan yang bergaya tetapi selesa - dia akhirnya melepaskan segala kekangan dan bersenyum dengan tulus. Menyedari perubahan anginnya, Xiang Er memberi isyarat syabas dengan ibu jarinya. "Terbaik, Gavin! Hebatlah kamu ni!"

Gavin agak terharu dengan pujiannya lalu menjawab, "Terima kasih. Sebenarnya... seronok juga. Saya tak sangka saya akan menikmatinya sebanyak ni."

Mata Xiang Er bersinar dengan kemenangan. "Tengok? Kan saya dah cakap memang akan sangat seronok!"

Kumpulan itu meletus dalam ketawa, dan ketika matahari petang semakin tenggelam, rumah itu dipenuhi dengan rasa persahabatan dan kemesraan. Victor dan Kaylee berkongsi detik-detik yang penuh kasih sayang, hubungan mereka semakin mendalam dengan setiap interaksi.

Sementara itu, ketegangan yang sebelum ini wujud antara Xiang Er dan Gavin telah lenyap sepenuhnya. Perbualan mereka mengalir dengan mudah sekarang, dengan Xiang Er yang sering mengusik Gavin, dan dia membalas dengan senyuman atau komen bersahaja. Bagi Gavin, hari ini ternyata menjadi salah satu hari yang paling menyeronokkan dalam hidupnya yang biasanya sunyi - dipenuhi dengan jauh lebih banyak ketawa dan perbualan daripada yang pernah dialaminya sejak sekian lama.

***

Victor dan Kaylee mengucapkan selamat tinggal kepada Gavin dan Xiang Er sekitar jam 9 malam, setelah menikmati makan malam yang santai dengan hidangan hotpot, diikuti dengan kemas-kemas, minum teh, dan perbualan ringan.

Dalam malam yang semakin tenang, Victor menghulurkan sebuah kotak yang dibalut dengan mewah kepada Kaylee. Mata Kaylee bersinar dengan rasa ingin tahu dan teruja sewaktu dia membuka ikatan reben, dia membuka bungkusan itu dengan berhati-hati.

Di dalamnya, tersusun di antara kertas tisu yang lembut, adalah sebuah gaun yang mempesonakan – warna biru gelap yang memancarkan gabungan kecanggihan moden dan keanggunan abadi. kain sutera yang mewah itu berkilauan dalam cahaya, setiap gerakan halus kelihatan seperti air yang mengalir dengan anggun.

Kaylee mendongak memandang Victor, matanya terbeliak dengan rasa terkejut dan terharu.

Victor memandang Kaylee dengan sedikit keresahan, dia menarik nafas dalam-dalam. "Kaylee, saya harap kamu boleh terima hadiah ini. Ia sesuatu yang istimewa yang saya tempah khas untuk kamu pakai pada majlis pelancaran rasmi Pusat Persidangan Langford pada hari Isnin nanti."

Tersentuh melihat keresahannya, hati Kaylee cair terasa penuh dengan kasih sayang. Dia mengusap kain itu dengan lembut, genggamannya pada gaun itu semakin erat ketika dia cuba mencari kata-kata yang sesuai. "Victor... Gaun ini sangat menakjubkan. Kamu dah banyak beri kat saya - saya tak tahu macam mana nak bayar balik segala kebaikan kamu."

Suara Victor, lembut namun penuh dengan keyakinan, memecah keraguannya. "Kamu tak perlu bayar balik apa-pa, Kaylee. Segala yang saya ada... saya nak kongsi dengan kamu. Kalau kamu izinkan, saya nak hidup saya jadi milik kamu sepenuhnya."

Walaupun ini bukan lagi kali pertama Kaylee mendengar pengakuan tulus lelaki itu, hatinya masih berdegup kencang mendengar kata-kata Victor. Dia menyimpan gaun itu dengan cermat ke dalam kotak dan melangkah perlahan ke arah Victor, gerakannya perlahan tetapi penuh kepastian. Apabila dia berhenti hanya beberapa inci dari Victor, Kaylee mendongak, matanya bertemu dengan pandangan Victor dengan campuran rasa syukur dan sesuatu yang lebih mendalam.

Tanpa berkata apa-apa, Kaylee menghulurkan tangan dan melingkarkan kedua-dua tangannya di sisi Victor. Dia menyandarkan kepalanya di dada Victor, memejamkan mata sambil menyerah pada saat itu. Suaranya, lembut dan terdedah, memecah kesunyian. "Untuk sebentar saja, biarlah saya..."

Tubuh Victor pada mulanya tegang dengan pelukan yang tidak dijangka itu, tetapi kemudian dia menerimanya dengan hati yang tenang, hatinya bersyukur dengan kepercayaan yang ditunjukkan Kaylee kepadanya. Tanpa teragak-agak, dia membalas pelukan itu, tangan kanannya menahan belakang Kaylee sementara tangan kirinya dengan lembut menahan belakang kepala Kaylee. Mereka berdiri begitu buat masa yang lama, hanya saling memeluk, membiarkan kehangatan dan hubungan antara mereka membicarakan perasaan mereka terhadap satu sama lain lebih kuat daripada sebarang kata-kata.

#

Nota kaki daripada pengarang:

Tak sangka seminggu telah berlalu. Terima kasih atas kesabaran anda semua dalam menantikan bab baru. Pengarangan saya tergendala disebabkan oleh keperluan menjaga ibu di hospital untuk beberapa malam yang tidak dijangka. Saya bersyukur yang ibu sekarang sudah lebih sihat, dan saya juga telah dapat berehat sepenuhnya untuk mengarang novel semula. Semoga kalian semua sihat dan baik-baik saja.

Share this novel

Guest User
 

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience