Fikiran Victor berkecamuk, diliputi oleh perasaan yang kuat dan bergelut untuk mengekalkan kawalan ke atas pergerakannya ketika nalurinya mendesak untuk terus mendekati Kaylee. Matanya mencari sebarang tanda keraguan dalam mata Kaylee, sebarang petunjuk bahawa saat ini belum lagi sesuai, tetapi dia tidak menemui apa-apa.
Tatkala bibirnya hampir menyentuh bibir Kaylee dan nafasnya bercampur dengan nafas Kaylee, haruman karamel dari bibir Kaylee menyentuh deria baunya, menyampaikan kesedaran hingga ke otaknya. Dengan serta-merta, fikirannya yang waras kembali terkawal, dan keinginan yang mengaburi matanya hilang.
Tidak sempat menarik tubuhnya lagi pada masa itu namun bertekad untuk tidak melepasi batasan fizikal dengan Kaylee pada saat-saat akhir, Victor segera memalingkan mukanya ke kiri, lalu pipi kanannya menekan pada pelipis kanan Kaylee supaya tidak terciumnya.
Kaylee yang derianya turut kembali menarik nafas panjang, mukanya memerah menahan malu. Dia berasa malu kerana mengharapkan sesuatu akan berlaku dan juga kerana tidak menolak Victor apabila dia semakin mendekat tadi.
Tetapi apa yang Victor katakan seterusnya mencairkan hatinya.
"Tolong maafkan saya..." bisiknya dekat telinga kanan Kaylee dengan suaranya yang serak, penuh dengan penyesalan, dengan pernafasannya yang berat. Dia benar-benar menyesal kerana tidak terkawal keinginan dirinya sampai terlanjur jauh dalam keadaan begini.
Dia melepaskan pegangannya pada pipi dan tangan Kaylee, mengambil dua langkah berat ke belakang, wajahnya menunduk. Dia merasakan seolah-olah telah memusnahkan segala kepercayaan dan hubungan yang telah dibina dengan berhati-hati dengan Kaylee akibat kekurangan kawalan dirinya.
Ketakutan menyelubunginya – ketakutan kehilangan Kaylee buat selama-lamanya. Wajahnya penuh penyesalan, bahunya melendut dengan penuh rasa kegagalan, dan tangannya sedikit menggeletar tidak terkawal walaupun dia cuba mengepalnya menjadi penumbuk.
Hati Kaylee terasa sakit melihatnya begitu. Selepas beberapa saat merenungi situasi tersebut, kini dengan fikiran yang jelas, dia memberanikan dirinya untuk mendekati Victor semula, meraih tangannya yang masih menggeletar.
Pada sentuhannya, Victor mendongak, kekeliruan dan harapan bercampuran dalam matanya.
"Saya faham apa yang telah berlaku," katanya dengan lembut, matanya melunak dengan senyuman. "Saya juga sangat minta maaf kerana tak berundur pada masa yang sepatutnya."
Mata Victor membesar dalam keterkejutan dengan pemahamannya.
Kaylee meneruskan, "Terima kasih banyak kerana sentiasa berusaha untuk menghormati dan menghargai saya. Godaan itu sememangnya nyata dalam mana-mana hubungan, kerana begitulah Tuhan telah mencipta kita lelaki dan wanita, menurut gambaran dan rupaNya, untuk menjadi satu, seperti mana Bapa, Anak, dan Roh Kudus adalah satu Tuhan."
Victor mendengar dengan penuh perhatian, emosinya semakin tenang sambil menyerap kata-kata Kaylee. Dia memandang Kaylee dengan bersungguh-sungguh, bersedia untuk mengharungi perjalanan cinta yang baru ini bersama.
"Dan sememangnya benar bahawa kurniaan indah penyatuan antara seorang lelaki dan seorang wanita ini diberi Tuhan untuk dinikmati di dalam kesucian dan keselamatan penjalinan perkahwinan yang berasaskan komitmen bersama. Jadi, apa yang telah kamu lakukan dalam menghormati batasan kita dan melindungi saya adalah mulia, dan saya benar-benar menghargainya," jelasnya dengan sabar.
"Tapi, kalau kita rasa susah nak kawal keinginan dan nafsu kita, saya rasa lebih baik kalau saya pindah balik ke apartmen saya secepat mungkin," cadangnya sambil tersenyum lembut.
Victor menggenggam ringan tangannya, memahami dan bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Kaylee. Tetapi dia berharap dengan sepenuh hati agar dia masih dapat bersama Kaylee sepanjang minggu ini.
Victor dengan tulus tidak mahu Kaylee bersendirian sebelum dia pulih sepenuhnya, walaupun dia tahu Corinna akan ada dengan Kaylee. Sebab di dalam hatinya, dia merasakan Corinna ini lebih seperti seorang penjaga, manakala kehadirannya akan memberikan keselesaan seperti keluarga kepada Kaylee sehingga ibu bapanya pulang.
"Saya benar-benar berharap dapat menjaga kamu sehingga ibu bapa kamu pulang," kata Victor dengan ikhlas. "Tapi saya nak kamu tahu juga yang saya akan menghormati keputusan kamu kalau kamu lebih ingin balik awal."
Senyuman Kaylee semakin mendalam, dia kini lebih mengenali Victor. Penjagaan dan keprihatinan Victor terhadapnya telah menjadi sesuatu yang Kaylee jangkakan, namun tidak pernah diambil mudah.
Sambil menarik nafas panjang, dia mempertimbangkan perkara itu sebelum bercakap. "Memandangkan kita akan buat makan malam dengan Xiang Er dan Gavin pada hari Jumaat nanti, saya akan tinggal di sini buat masa ni. Dan sementara itu, kita berdua belajar untuk menguruskan sebarang godaan. Anggaplah ini sebagai latihan untuk kita. Saya percaya kalau kita dapat mengatasinya bersama dengan baik, ia akan membina asas yang lebih kukuh untuk hubungan kita selepas ni."
Dia memandang Victor, meminta pendapatnya. "Kamu rasa?"
Victor mengangguk perlahan, wajahnya mencerminkan penghargaan. "Kita cuba," katanya. Dia berasa bangga dengan kecerdasan Kaylee, ketenangannya, dan kebolehannya menangani perkara dengan bijaksana dan bertimbang rasa.
Namun kemudian, riak wajahnya berubah kepada rasa malu. Kaylee perasan gelegatnya itu dan tergelak melihat sisi Victor yang menawan hati dan jarang ditemui itu.
"Jangan terlebih fikir. Kita biarkan segalanya berkembang secara semula jadi. Buat masa sekarang, jom kita berehat dulu. Banyak lagi kerja esok, um?" Kaylee memujuknya.
Victor mengangguk lagi, "Selamat malam dan mimpi indah, Kaylee. Terima kasih sekali lagi untuk segala-galanya."
"Terima kasih juga, Victor. Selamat malam," jawabnya, kemudian membuka pintunya dengan tenang lalu masuk ke dalam biliknya.
Namun, sebaik sahaja pintu ditutup di belakangnya, ketenangan di wajahnya berubah menjadi kemerahan yang merebak ke pipi dan telinganya. Dia bersandar pada pintu dengan rasa lemah, memiringkan kepalanya ke belakang dengan matanya tertutup, memproses kejadian yang hampir berlaku.
Satu perkara yang dia tahu dia perlu menangani adalah sikapnya terhadap Victor menciumnya – walaupun ia tidak berlaku pada saat akhirnya. Dia sangat jelas bahawa dia tidak mengelaknya tadi. Malah, dia sudah bersedia untuknya.
Kaylee jelas tentang batasannya: walaupun dia tidak kisah dan boleh terima berpelukan atau berciuman sederhana dalam sebuah hubungan yang serius, dia mahu mengelakkan keintiman yang boleh meningkat secara mendadak itu sebelum berkahwin. Menjauhkan diri daripada langkah-langkah awal keintiman sememangnya bijak jika mereka serius ingin mengekalkan kesucian seksual sebelum berkahwin.
Apa yang benar-benar mengejutkannya adalah kesediaannya sendiri. Dia terasa terkejut malah kagum dengan kesedaran itu. Dia telah mengambil masa bertahun-tahun untuk membekukan segala keinginannya terhadap cinta dan kasih sayang, tetapi Victor dengan mudahnya telah meleraikan halangan itu dalam masa hanya seminggu – tidak termasuk hari-hari yang dia belum sedar di hospital.
Di manakah rasa jijik dan penolakan kuat yang biasa dia rasakan apabila mana-mana lelaki cuba mendekatinya secara romantik? Kini dia sedar bahawa Victor telah menjadi lebih rapat tanpa menimbulkan rasa tidak suka atau ketidakselesaan. Sejujurnya, Kaylee sangat menikmati kehadiran dan penjagaan Victor, semuanya terasa begitu semula jadi dan selesa baginya, seolah-olah mereka berdua memang sepatutnya begitu.
Setelah menjadi semakin tenang, Kaylee mempertimbangkan dengan serius cadangan perkahwinan Victor.
Perkahwinan pernah menjadi impian paling indahnya, yang diingininya sejak kecil. Tetapi selepas berakhirnya hubungan pertamanya yang menyakitkan tujuh tahun lalu, ia telah menjadi pemikiran yang jauh dan menakutkan. Pengkhianatan dan ketidaksetiaan yang ditanggungnya telah meninggalkan parut yang mendalam, membuatnya ragu-ragu untuk mengharapkan kebahagiaan sebegitu lagi.
Namun, kini, ketika dia meninjau semula idea hubungan dengan Victor – mungkin juga mengahwininya – dia tidak berasa sebarang keengganan langsung. Sebaliknya, satu perasaan aneh tetapi indah muncul dalam hatinya. Seolah-olah dia menantikannya. Betul, dia benar-benar menantikan untuk menjadi isteri Victor seumur hidup.
Kejelasan yang baru ditemui ini membawanya ketenangan yang mendalam. Emosinya yang berkecamuk menjadi reda, dan dia merasakan kedamaian yang luar biasa.
Menghadapi hatinya secara jujur, dia berazam untuk berkongsi perasaannya terhadap Victor dengan ibu bapanya dan membincangkan kemungkinan perkahwinan dengan mereka.
Dia berjalan ke meja kecilnya, membuka buku catatan rohaninya, dan mula menulis dengan pennya yang berwarna merah jambu.
"Oh TUHAN, terima kasih kerana menyembuhkan hati saya dan membebaskan saya untuk memulakan hubungan baru. Selidiki hati saya dan tunjukkan kepada saya di mana saya telah melakukan kesalahan sepanjang hari ini, saya memohon agar Engkau mengampuni dosa saya, sebagaimana saya"...
Tulisanannya terhenti, dan kemudian dia meneruskan dengan tekad yang diperbaharui, "juga maafkan Ken sepenuhnya atas apa yang dia lakukan kepada saya. Bantulah saya melepaskan sebarang ketidakmaafan yang mungkin masih saya pegang. Sembuhkan setiap kesakitan dan trauma dalam diri saya, dalam nama Yesus, dengan kuasa Roh KudusMu. Berikan saya hati yang baru dan kepercayaan untuk membina kehidupan baru bersama Victor, jika itu kehendakMu. Jika tidak, tutupkan semua pintu untuk meneruskan hubungan ini. Pimpinlah saya melalui ibu bapa saya dan keluarga Victor tentang kehendakMu untuk kami berkahwin atau tidak."
Semasa dia mengakhiri doanya, Kaylee berasa sungguh ringan di dalam hatinya dan kegembiraan yang memenuhi keseluruhan dirinya. Dia tidak pernah berasa begitu bebas dan benar-benar bahagia dalam bertahun-tahun. Dia menamatkan sembahyangnya dan pergi tidur dengan sangat tenang.
Tanpa disedarinya, Victor kekal berada di luar pintu biliknya untuk masa yang sangat, sangat lama. Dia nampak bayang-bayang Kaylee masih kekal di pintu melalui celah bawah pintu tadi setelah Kaylee memasuki biliknya.
Dia dibelenggu dengan pelbagai fikiran: "Dia betul-betul okey ke? Saya dah benar-benar mengecewakannya ke? Ke dia menyesal dengan keputusannya untuk tinggal di sini sampai Jumaat?"
***
Victor berpusing-pusing di atas katil, tidak dapat tidur. Sambil merenung ke siling dengan lengan kirinya terletak di dahi, dia tenggelam dalam pemikiran yang mendalam. Macam mana dia boleh hilang kawalan? Kata-kata Hann pagi tadi terlintas di fikirannya. Saat berikutnya, dalam kegeraman, dia memejamkan matanya dan mengguling mata pada diri sendiri di dalam hatinya.
Kini baru dia faham – mengapa malam wayang sering dijadikan waktu yang sesuai untuk pasangan berkelakuan intim. Begitu rupa-rupanya perasaan semasa dilamun cinta, memang senang tergerak hati. Walaupun dia telah bersungguh-sungguh berusaha untuk tidak mengambil kesempatan ke atas Kaylee, dia akhirnya menjadi seperti lelaki-lelaki yang mengatur malam wayang dengan agenda yang tidak membanggakan itu.
Dia mengerang kecewa dengan dirinya. Tiba-tiba, matanya terbuka dan bersinar-sinar terfikirkan sesuatu. Setelah teragak-agak seketika, dia mencapai telefonnya di sebelah bantal, yang sunyi dan tanpa notifikasi kerana dia biasanya menutup Wi-Fi semasa waktu tidurnya. Sambil duduk tegak atas katilnya, dia membuka aplikasi Kenalan, mencari kenalan yang berlabel "FD," lalu menekan butang Panggil.
Panggilannya berdering lebih daripada tujuh saat, tetapi dia tetap bersabar. Akhirnya, panggilan itu dijawab. Kedengaran suara yang matang dan tegas, juga penuh dengan ketidakpuasan. "Mm? Ingatkan aku ni dah dilupakan."
Victor ragu sejenak sebelum menjawab. "Ayah," dia menarik nafas panjang, "saya nak kahwin." Dia terdengar bunyi sesuatu benda jatuh ke atas meja di sebelah talian ketika dia meneruskan dengan tegas, "Saya harap ayah tak akan halang saya."
Di seberang talian, Ford Dylan sedang menikmati teh selepas makan malam di rumah agamnya di Sheffield apabila dia mendengar pengakuan yang mengejutkan daripada anaknya. Ini anak lelaki yang sama yang tidak pernah menunjukkan minat terhadap mana-mana wanita, kecuali wanita yang sampai dipeluknya di lelongan amal hari itu – bakal menantu yang dianggapnya sendiri. Ford mengangkat kening, tertarik ingin tahu dengan lebih lanjut. "Jap, inikah perempuan yang dia nak bawa kahwin?"
Walaupun amat teruja, Ford menyembunyikan keghairahannya di sebalik gelagatnya yang sentiasa buat-buat tegas lalu mengusik dengan tenang, "Waa... sebulan pun tak sabar lagi nak tunggu sampai Ayah balik, ya?"
Kemudian, satu tekaan terlintas di fikirannya, dan matanya terbeliak dengan kebimbangan. Suaranya meninggi dengan cemas, "Jap, awak jangan dah buat dia mengandung? Apa yang Ibu dengan Ayah selalu ajar awak, ha?" Dia mula berceramah, dan sengaja melambatkan setiap perkataan yang dikatanya seterus itu bagi memastikan kata-katanya jelas, "Jangan sesekali sentuh perempuan sebelum dia jadi isteri awak." Nada suaranya lalu melembut kembali ketika dia meneruskan, keningnya berkerut, "Apa yang awak dah buat kat dia?"
Kegeraman dan kekecewaan Victor membuak dengan tuduhan itu. "Saya pun harap saya dapat buat apa-pa kat dia, Ayah," katanya. "Dan ya, saya menantikan hari yang dia boleh jadi isteri saya tapi," dia berhenti dan suaranya tiba-tiba menjadi lemah, penuh rasa kekalahan, "saya rasa susah sangat, Ayah. Saya tak dapat mengawal diri saya dan hampir mengecewakannya malam ni."
Riak wajah Ford melunak, dia tahu anaknya bukan jenis yang melulu, tetapi dia hanya bimbang, manalah tahu, dia perlu menyoal lebih sebagai langkah berjaga-jaga.
"Nak, awak telah mencurahkan seluruh hidup awak untuk membangunkan Kumpulan Langford, terlepas banyak pengalaman hidup yang dinikmati orang-orang muda lain. Ayah sangat berbangga dengan awak, dan sekarang Ayah sangat gembira yang awak dah menemui seseorang untuk bersama. Ayah percaya dengan pilihan awak, dan Ayah akan memberi restu Ayah. Pergi dapatkan dia," Ford menggalakkan dengan mesra.
Hati Victor dipenuhi keyakinan dan kelegaan. Sebenarnya, memang pun dia mengharapkan restu ayahnya, walaupun dia juga bersedia untuk meneruskan perkahwinan tersebut sekiranya ayahnya membangkang.
"Memang patut telefon Ayah malam ni," dia setuju dengan dirinya dalam hati. "Terima kasih, Ayah. Tapi saya masih menunggu jawapannya tentang lamaran saya."
"Apa yang akan Ibu buat?" Ford bertanya kepadanya kembali.
Victor terdiam. Kenangan zaman mudanya mengalir kembali ketika ibunya masih hidup. Dia seperti dapat membayangkan ibunya yang tengah melutut berdoa untuknya, untuk Kaylee, dan untuk mereka berdua.
"Saya dah tahu apa yang saya kena buat sekarang, Ayah," katanya, dengan rendah hati. Wajah Ford berseri dengan rasa bangga. Anak lelakinya sentiasa membuat dia bangga.
"Dah, sekarang pergi tidur dulu," nasihat Ford sambil mengimbas jam tangannya. "Dah hampir pukul 2 pagi kan di sana?"
"Um. Selamat malam, Ayah," jawab Victor, hatinya kini terasa lebih ringan.
Sebelum Ford menamatkan panggilan, dia mendengar suara Victor sekali lagi. "Terima kasih banyak, Ayah." Ford mengeluh perlahan, dan wajah cantik isterinya Long Lefyna memenuhi fikirannya. Rindu sangat dia dengannya...
"Anak kita dah dewasa dah, Fyna," dia berbisik kepada dirinya sendiri, dengan senyuman yang sangat bersyukur dan puas.
***
Selepas menamatkan panggilan dengan ayahnya, Victor berangkat dari katil dan menghampiri sisi katilnya. Dia melutut, mengikut cara mendiang ibunya melutut dalam doa sejak dia masih kanak-kanak.
Dia mula berdoa, "Ya Tuhan yang Maha Kuasa, aku sangat takut terambil langkah yang salah. Sudikah Engkau membantu aku melakukan ini? Bimbinglah aku untuk sentiasa melakukan perkara yang betul, bantuku membuat pilihan yang betul, ajarku untuk mencintai Kaylee dengan cara yang membanggakanMu, dan aku serahkan masa depan kami ke dalam tanganMu. Sembuhkan semua luka aku dan bantu aku keluar dari trauma supaya aku boleh memasuki kehidupan Kaylee sebagai orang yang baru, sedia untuk menghargai dan mencintainya menurut kehendakMu."
Dia berhenti seketika, bergelut dalam hati, dan akhirnya dia meneruskan, berserah sepenuhnya, "Jikalau aku bukan yang terbaik untuknya, aku mendoakan kebahagiaannya, dan aku berdoa agar lelaki yang sesuai untuknya akan kekal dekat denganMu, supaya dia takkan melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti Kaylee. Terima kasih TUHAN kerana membenarkanku mengenali anak perempuanMu yang luar biasa ini. Kubagi segala kemuliaan dan pujian kepadaMu. Dalam nama Yesus, amin."
Dia menghela nafas panjang lalu menaiki semula ke katil, rasa mengantuk dengan cepat melandanya. Tidak lama kemudian, kelopak matanya yang berat tertutup, dan dia tidur nyenyak hingga pagi.
***
Victor memulakan harinya lebih lewat daripada biasa kerana tidur lewat. Dia masih mengamalkan senaman paginya di rumah, walaupun sejam lebih lewat dari jadual biasanya.
Bagi memastikan kerjanya tidak tergendala, dia meminta Hann untuk melaporkan sorotan perniagaan utama minggu ini sementara dia bersenam. Semasa taklimat itu, Hann mengingatkan Victor mengenai pelancaran rasmi pusat persidangan baru Kumpulan Langford di Samarahan yang dijadualkan pada Isnin depan.
Mendengar itu, Victor mengarahkan Hann untuk meminta Gavin segera menyediakan pakaian untuk Kaylee berdasarkan saiz badan yang telah diberikan ketika mereka mula-mula mengisi almari pakaian Kaylee di rumahnya. Victor ingin Kaylee turut menghadiri pelancaran tersebut sebagai tanda penghargaan atas sumbangan besarnya dalam menaik taraf keseluruhan sistem keselamatan bangunan tersebut. Dia merancang untuk memberitahu Kaylee mengenai undangan ke acara itu pada tengah hari nanti.
Semasa berehat, Victor dan Hann membincangkan projek tanggungjawab sosial korporat baru hasil perbualannya dengan Kaylee malam tadi. Projek yang bertujuan untuk memerangi diskriminasi kaum ini dijadualkan untuk dilancarkan tidak lama kemudian, dan Victor memberikan Hann arahan untuk rancangan tindakan pada peringkat awal.
Selepas perbincangan kerja rasmi mereka, Hann yang tidak dapat menahan rasa ingin tahunya bertanya dengan berhati-hati, "Macam mana dengan malam wayang kamu, bos?" Dia melirik sekejap ke arah bilik Cik Stone lalu meneruskan, dengan nada menyibuk, "Ada tak kamu... ahem, kamu tahulah... macam... bestkah masa bersama?" Keningnya terangkat kerana teruja, dengan kedua-dua jari telunjuknya bersentuhan berulang-ulang cuba memaksudkan aksi berciuman atau berpelukan.
Reaksi pertama Victor adalah telinganya yang mula memerah dan matanya yang sedikit panik. Tetapi dengan cepat, ekspresinya berubah menjadi dingin dan tajam ketika dia merenung Hann dan kekal diam.
Hann, yang perasan perubahan itu, segera berundur dari rasa menyibuknya itu lalu beralih kepada mod kerja yang serius. Membersihkan tekaknya, dia berkata dengan cara rasmi, "Baiklah, bos. Saya akan selesaikan tugasan ni dengan segera dan maklumkan semula sebarang perkembangan."
Namun kali ini, Presiden Victor yang berasa cukup malu tidak akan melepaskannya dengan begitu mudah.
"Kalau tak silap, perjanjian kerjasama terbaru dengan Robert Chee mengenai bekalan kain premium kita masih belum diselesaikan. Atur satu pertemuan dengan anak perempuannya, adakan sesi yang baik bersama, dan pastikan perjanjian itu dimuktamadkan sebelum Jumaat ini."
Mendengar itu, seluruh gelagat Hann tiba-tiba menjadi kaku, dan dia berasa seolah-olah dunianya telah runtuh. Pemikiran untuk bertemu dengan Cik Joyce Chee yang menggerunkan kerana telah menjemputnya keluar untuk minum secara berterusan itu mengisi jiwanya dengan ketakutan. Wajahnya penuh penyesalan kerana telah mengusik Presiden Vic tentang usahanya dalam mengejar Cik Stone.
"Bos, bos..." Hann merayu, cuba menangkap lengan Victor ketika dia berangkat keluar dari gim rumahnya sambil mengelap peluh dengan tualanya. Tetapi langkah Victor tetap teguh dan tidak tergesa-gesa.
"Saya boleh hantarkan satu laporan ringkasan ini, tentang petua dating dan cara-cara menjadi teman lelaki terbaik bagi Kristian. Saya pasti ini dapat membantu bos memenangi hati Cik Stone," Hann mencadangkan dengan cepat, cuba mengubah nasibnya dan berharap untuk menebus dirinya sebelum Victor menghilang lebih jauh ke dalam rumah.
"Muktamadkan perjanjian tu Khamis sajalah," arah Victor, mendesak penyelesaian yang lebih cepat untuk berurusan dengan Cik Joyce Chee sambil beransur-ansur bergerak ke ruang tamu utama.
Bahu Hann terkulai pasrah sambil menerima takdirnya. Ketika dia berpaling untuk pergi, dia mendengar suara Victor dari jauh, "Hantarkan laporan ringkasan tu."
"Alangkah ruginya..." fikir Hann, hatinya tenggelam dengan kehilangan senjata tawar-menawarnya, malah tambah lagi satu tugasan baru yang mencabar dan menggerunkan. Namun, dia tidak berani mengingkari arahan Presiden Vic.
Kurang daripada lima minit kemudian, telefon Victor bergetar dengan notifikasi mesej WhatsApp baru, ianya fail daripada Hann, dengan nama fail: "Buku Strategi Untuk Mendapatkan Puan Victor.".
Victor mengimbas nama fail itu dan menggulingkan matanya sedikit, namun dia tidak dapat menahan lengkungan yang semakin meningkat di hujung bibirnya. Ibu jarinya secara naluri terus membuka fail tersebut.
#
Nota kaki daripada pengarang:
Terima kasih banyak-banyak kerana telah mengikut kisah Victor dan Kaylee sehingga di sini. Saya berharap anda boleh tinggalkan komen untuk kongsikan fikiran anda setakat ini, atau ceritakan bahagian mana yang paling anda suka atau menanti-nantikan. Dorongan anda sangat bermakna dan menggalakkan untuk saya. Makaseh :)
Share this novel